Categories
GLOBAL

Arab Saudi usaha tambah baik pengalaman jemaah

MAKKAH, 30 MEI: Arab Saudi terus menyemai nilai sederhana dalam Islam sambil berusaha membangunkan perkhidmatan berkualiti untuk jemaah bagi memastikan mereka dapat mengerjakan ibadah dengan lancar dan sempurna, kata Imam Besar Masjidil Haram Syeikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais.

Abdul Rahman. yang juga Presiden Agung Hal Ehwal Dua Kota Suci berkata 140 inisiatif telah diambil ke arah melancarkan operasi semasa bulan Ramadan di kedua-dua masjid.

Beliau berkata pasukannya bekerja keras untuk membawa idea-idea baharu dan menjauhi kaedah lama operasi seiring dengan perkembangan semasa ke arah mencapai Wawasan 2030 kerajaan itu, katanya semasa ditemu bual oleh Akhbar Okaz.

Menyentuh sesi ke-14 Sidang Kemuncak Islam OIC di Makkah pada 31 Mei, Al-Sudais berkata Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman Bin Abdul Aziz berminat menjalin kerjasama dengan negara Islam.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Arab Saudi meterai 8 perjanjian dengan Pakistan

RIYADH, 18 FEB: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud, memeterai lapan perjanjian dengan Pakistan bernilai US$20 bilion, semalam.

Agensi berita China Xinhua yang memetik Al Arabiya TV melaporkan, perjanjian itu antaranya berkaitan kilang penapisan kendalian syarikat Aramco milik Arab Saudi di pelabuhan Gwadar, Pakistan.

Ia adalah salah satu daripada kilang penapisan terbesar di dunia, bernilai US$10 bilion.

“Pakistan adalah sebuah negara yang dekat di hati rakyat Arab Saudi dan kami akan sentiasa menjadi rakan kongsi,” kata putera mahkota itu seperti yang dipetik oleh Al Arabiya.

Arab Saudi dan Pakistan kini menjalin usaha sama ke arah memperluas perkongsian ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, kata baginda.

Putera mahkota Arab Saudi itu dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Pakistan, pusingan pertama siri jelajah Asia baginda yang bermula, pada Ahad.

Baginda dijadual melawat China dan India selepas ini.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Arab Saudi keluar 2.78 juta visa umrah

JEDDAH, 13 JAN: Jumlah visa umrah dikeluarkan tahun ini mencecah 2,785,790, dengan 2,346,429 jemaah sudah tiba di negara pentadbiran diraja berkenaan, menurut data disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ada 345,114 jemaah direkodkan berada di pentadbiran diraja itu dengan 233,910 berada di Makkah manakala 111,204 lagi di Madinah, menurut laporan Arab News.

Majoriti jemaah, berjumlah 2,122,424 datang ke Arab Saudi menerusi perjalanan udara, sementara 213,121 memasukinya menerusi jalan darat dan 10,884 tiba melalui jalan laut.

Jumlah terbesar jemaah adalah dari Pakistan (637,745) diikuti Indonesia (420,410), India (292,607), Malaysia (135,895), Yaman (128,618), Mesir (73,179), Turki (65,970), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (59,855) dan Bangladesh (57,701).

Rancangan pembaharuan Wawasan 2030 menyasarkan untuk menarik lebih 30 juta jemaah umrah serta menyediakan mereka dengan perkhidmatan cemerlang dan pengalaman luar biasa.

Tahun lalu, kementerian berkenaan melancarkan petunjuk mingguan bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan jumlah jemaah yang datang ke Arab Saudi dan memberi mereka pengalaman menikmati perkhidmatan berkualiti.

*Sumber: BHOnline

 

Categories
GLOBAL

Gurun Arab Saudi dilanda banjir

RIYADH 21 NOV: Sebuah rakaman video memaparkan dua lelaki menggembala sekawan unta di kawasan gurun yang digenangi air banjir ketika hujan lebat dan ribut pasir melanda kini tular di internet, lapor rangkaian televisyen Rusia, RT baru-baru ini.

Fenomena luar biasa itu dirakam ketika kawasan timur Arab Saudi mengalami cuaca buruk pada hujung minggu lalu.

Rantau itu dilanda hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang menukar padang pasir menjadi kawasan lembik berair seperti paya menjelang kelmarin.

Klip video itu dirakam di sebatang jalan dekat Tumair, utara Riyadh oleh seorang jurugambar, Fahad Al-Osaimi. Kawanan unta itu pula adalah milik seorang lelaki, Ayedh Al-Massoud. Rakaman video itu pertama kali dikongsi oleh anak lelaki Ayedh, Abd El-El Massoud.

“Saya melihat unta-unta terkandas dan terperangkap akibat hujan lebat dan banjir di rantau Tamir,” Fahad memberitahu stesen televisyen Al-Arabiya.

Klip video itu yang tersebar meluas di media sosial dan turut disiarkan dalam saluran berita tempatan, mendapat pujian ramai penonton.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Arab Saudi sasar bina 16 reaktor nuklear dalam 20 tahun

RIYADH 6 NOV: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman semalam, meletakkan batu asas pembinaan reaktor penyelidikan nuklear pertama, dalam usaha mempelbagaikan pengeluaran tenaga di negara itu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan reaktor itu adalah antara tujuh projek yang dilancarkan Putera Mohammed dalam lawatannya ke Bandar Sains dan Teknologi King Abdulaziz, Riyadh.

Bagaimanapun, SPA tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tujuan penyelidikan yang bakal dijalankan oleh reaktor itu, sama ada untuk pendidikan dan pembangunan, selain kos dan tempoh pembinaannya.

Ketika ini, minyak dan gas asli adalah sumber tenaga utama di Arab Saudi.

Arab Saudi merancang untuk membina 16 reaktor nuklear dalam tempoh 20 tahun akan datang, membabitkan kos sebanyak AS$80 bilion (RM333.4 bilion), di sebalik kebimbangan perluasan tenaga nuklear di Asia Barat.

Pada Mac lalu, Putera Mohammed berkata, Riyadh bersedia membangunkan senjata nuklear sekiranya Iran berbuat demikian.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Menteri Luar Arab Saudi bertemu pemimpin Malaysia di Putrajaya

PUTRAJAYA, 25 OKT: Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir, yang kini berada di negara ini untuk lawatan kerja tiga hari sejak semalam, akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Malaysia di Putrajaya esok.

Kenyataan Wisma Putra hari ini berkata Adel dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat Perdana Menteri sebelum menamatkan lawatan beliau.

Beliau juga dijadual bertemu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra.

“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk berbincang mengenai pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama,” kata Wisma Putra.

Kali terakhir pertemuan antara kedua-dua menteri ialah semasa mereka menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 di New York pada 24 Sept.

Malaysia dan Arab Saudi menjalin hubungan erat dalam pelbagai bidang utama termasuk politik, ekonomi, pendidikan tinggi dan urusan haji.

Arab Saudi adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Jumlah dagangan pada 2017 meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM15 bilion berbanding RM14.04 bilion pada tahun sebelumnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Arab Saudi akui Khashoggi mati dalam konsulatnya di Istanbul

RIYADH 20 OKT: Arab Saudi hari ini mengakui wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul, kata media rasmi.

“Perbincangan di antara Khashoggi dan pihak yang ditemuinya di konsulat kerajaan itu di Istanbul berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya,” kata Agensi Akhbar Saudi, yang memetik pendakwa raya.

Terdahulu, akhbar harian pro-kerajaan Turki, Yeni Safak melaporkan, kolumnis akhbar Washington Post itu diseksa sebelum dipenggal dalam konsulat negara itu di Istanbul, selepas mendengar rakaman audio insiden itu.

Yeni Safak yang mendakwa mendengar beberapa rakaman berkata, pembunuh Khashoggi dipercayai menyeksa wartawan berkenaan ketika disoal siasat dengan memotong jarinya. Khashoggi kemudian dipenggal.

Wartawan itu hilang selepas memasuki konsulat berkenaan untuk mendapatkan dokumen rasmi sebelum perkahwinan dengan tunangnya, seorang warga Turki.

Polis Turki percaya beliau dibunuh pasukan khas dianggotai 15 pegawai Arab Saudi, namun Riyadh menolak dakwaan itu sebagai ‘tidak berasas.’

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Operasi anti rasuah kutip RM145 bilion

RIYADH 6 OKT: Seramai lapan individu masih berada dalam tahanan susulan operasi anti rasuah yang dilancarkan Kerajaan Arab Saudi pada November lalu.

Angka terkini tahanan itu diumumkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dalam satu temubual bersama Bloomberg yang diterbitkan, semalam.

Putera Mohammed berkata, hasil operasi itu sebanyak AS$35 bilion (RM145 bilion), iaitu 40 peratus dalam bentuk wang tunai, manakala baki 60 peratus lagi dalam bentuk aset, berjaya dipindahkan kepada kerajaan.

“Kami jangka operasi ini akan berjaya diselesaikan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

26 cedera terkena serpihan roket pemberontak Houthi

RIYADH, 6 SEPT: Sekurang-kurangnya 26 cedera terkena serpihan roket dalam satu kejadian serangan pemberontak Houti di sebuah bandar selatan Arab Saudi, Najran.

Agensi pertahanan awam negara itu berkata, tentera udara berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik berkenaan.

Stesen televisyen milik pemberontak Houthi, Al-Masirah berkata di Twitter, mereka berjaya menyerang kem pengawal kebangsaan Arab Saudi yang terletak di sempadan negara itu.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi berkata, peluru berpandu dilancarkan dari wilayah Saada itu berjaya dikesan pada jam 20.08 malam (waktu tempatan).

“Dua kanak-kanak adalah antara mangsa yang cedera dalam serangan terbaru itu.

“Sebelas mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital untuk rawatan,” kata agensi pertahanan awam Arab Saudi. – Reuters

Categories
EKONOMI

Dagangan Malaysia-Arab Saudi ditingkatkan

KUALA LUMPUR 17 OGOS: Perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi boleh ditingkatkan menerusi usaha sama dan kerjasama dalam sektor seperti minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pembinaan, pendidikan, pelancongan perubatan, perkhidmatan kewangan dan industri halal.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jeddah, Yusram Yusup menggalakkan syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran Jeddah dan mewujudkan hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat di sana.

“Banyak yang perlu dilakukan untuk meningkat dan memperdalam hubungan perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Kita perlu menggalak lebih banyak kerjasama perdagangan dan pelaburan di kalangan komuniti perniagaan di kedua-dua negara yang membuka peluang kepada syarikat Malaysia dalam sektor berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan selepas bertemu Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Riyadh, Abdulrahman Ali Al-Jeraisi dan Pengerusi Dewan Perniagaan Dewan Wilayah Timur (Dewan Asharqia), Abdul Hakim Hamad Al-Ammar Al-Khalidi.

Pada masa ini, Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan RM15 bilion tahun lepas.

Bagi enam bulan pertama 2018, perdagangan Malaysia dengan negara tersebut meningkat kepada RM9.57 bilion berbanding RM7.6 bilion pada separuh 2017.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA GLOBAL

Arab Saudi sedia khutbah Arafah lima bahasa termasuk Melayu

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kerajaan Arab Saudi bakal menyediakan khutbah Arafah dalam lima bahasa, kata Imam Besar dua masjid agung di Makkah dan Madinah, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais.

Sheikh Abdul Rahman berkata, usaha terbabit dilaksanakan bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam di seluruh dunia mendengar secara langsung terjemahan khutbah berkenaan.

Beliau berkata, khutbah itu bakal dilancarkan menerusi frekuensi radio khas dalam lima bahasa yang diterima pakai iaitu Melayu, Urdu, Parsi, Perancis dan Inggeris, bahkan Sheikh Abdul Rahman sendiri dijangka menyampaikannya dalam bahasa Arab.

“Terjemahan dalam bahasa Melayu dibuat bagi manfaat orang Melayu iaitu sebahagian besar kumpulan jemaah dari Asia Tenggara. Kebanyakan mereka adalah Ahli Sunnah Waljamaah dan fahaman ini berkembang ke negara lain termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura serta Indonesia.

“Urdu adalah bahasa rasmi Pakistan dan masyarakat Islam dari lima negara India, di samping beberapa tempat lain di Asia Selatan. Manakala, Parsi pula bahasa rasmi Iran seperti yang dituturkan di Tajikistan dan negara lain,” katanya kepada editor media, lapor BERNAMA.

Sheikh Abdul Rahman berkata, Kerajaan Arab Saudi turut menyediakan bilik keselamatan yang dikawal rapi dan lengkap dengan kemudahan bagi penterjemah, selain mengambil kira spesifikasi kepentingan serta pengaruh kerana terjemahan dilakukan serentak, bermula dari awal khutbah.

Khutbah Arafah meliputi kawasan seluas 110,000 meter persegi yang akan diadakan, di Masjid Nemra, di Dataran Arafah.

Ia akan disiarkan segera sebelum jemaah menunaikan solat Zuhur dan Asar dalam satu perhimpunan ringkas bagi mengikuti sunnah Nabi Muhammad SWT.

Categories
GLOBAL

Arab Saudi sambut baik jemaah haji Qatar

RIYADH, 9 OGOS: Jaminan diberikan kepada rakyat Qatar yang menunaikan haji tahun ini dan ketibaan itu dialu-alukan Kerajaan Arab Saudi, lapor agensi berita Xinhua, memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pada masa sama, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mendakwa Doha menghalang rakyat Qatar daripasda mengakses laman sesawang negera itu bagi urusan pendaftaran haji.

Kementeri itu berkata, rakyat Qatar dipelawa menunaikan haji dan boleh menyelesaikan pendaftaran sebaik tiba, di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, memetik  laporan BERNAMA.

Rakyat Qatar yang menetap yang di Arab Saudi juga boleh mendaftar melalui pautan yang disediakan oleh kementerian khas bagi urusan berkenaan.

Terdahulu, Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana mendakwa negara itu masuk campur dalam hal ehwal negara lain dan menyokong keganasan, sejak pertengahan 2017.

Bagaimanapun, Qatar menafikan tuduhan yang dilemparkan Arab Saudi itu.