Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah sedikit 4.3450/3550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS apabila dolar yang lebih kukuh telah mengurangkan minat terhadap mata wang tempatan.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan berada pada 4.3450/3550 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3310/3370 pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran tempatan ditutup semalam sempena cuti umum gantian Hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada hari Ahad.

Ketua Pakar Strategi Global AxiCorp Stephen Innes berkata pelabur kembali semula daripada percutian ke pasaran yang diselubungi dengan kebimbangan pembukaan semula ekonomi, pasaran minyak yang tidak menentu dan kemelut perang perdagangan yang masih lagi berlarutan.

“Tetapi dengan harga minyak bergerak pada hala tuju yang betul setiap minggu dan dengan bank pusat China memberi bayangan lebih banyak langkah-langkah dasar untuk menyokong ekonominya yang terjejas akibat pandemik, ia sepatutnya membantu risiko serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Innes berkata harga minyak stabil semalaman selepas Arab Saudi mengumumkan mereka akan mengurangkan lagi satu juta tong sehari pada Jun, menjadikan pengeluaran harian mereka hanya di bawah 7.5 juta tong sehari.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0594/0675 daripada 3.0645/0696 pada Jumaat minggu lepas dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 4.0422/0519 daripada 4.0716/0780.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3478/3610 daripada 5.3626/3718 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6896/7008 daripada 4.6948/6022 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Arab Saudi gesa tangguh rancangan tunai haji

SHAH ALAM, 1 APRIL: Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga Covid-19 dapat dikawal, kata menteri haji dan umrahnya.

Mohammed Saleh Benten berkata Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah tetapi kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat, lapor Berita Harian.

“Oleh itu kita minta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” katanya.

Selain haji dan umrah, Arab Saudi turut menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan masuk serta keluar ke beberapa bandar raya termasuk Makkah dan Madinah.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul bagi menunaikan rukun Islam kelima yang dijadualkan bermula akhir Julai ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Harga minyak diunjur sekitar US$30 setong tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Moody’s Analytics mengunjurkan harga minyak rendah sepanjang 2020 selepas kegagalan perjanjian mengurangkan pengeluaran antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Arab Saudi dan Rusia yang menyebabkan harga jatuh menjunam, penurunan terbesar sejak 1991.

Pakar Ekonomi Tenaga Moody’s Analytics Chris Lafakis berkata peserta pasaran perlu bersedia dengan jangkaan harga minyak diniagakan sekitar US$30 setong.

Menurutnya, peserta pasaran menjangkakan OPEC+ (negara-negara OPEC tambah 10 negara pengeluar minyak bukan-OPEC termasuk Rusia) melanjutkan perjanjian pengurangan pengeluaran yang dijadualkan berakhir pada Mac.

“Tetapi berdepan dengan berita bahawa Rusia tidak akan menyertainya, Arab Saudi memutuskan untuk mengikut jejak langkahnya. Negara itu membayangkan bahawa ia akan meningkatkan pengeluaran melebihi 10 juta tong sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Lafakis berkata tindakan itu memberikan tamparan hebat kepada pengeluar minyak ditambah lagi dengan penularan Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perjalanan dan pengangkutan.

“Dunia kini berdepan dengan lebihan bekalan minyak mentah yang nampaknya berterusan sehingga tempoh beberapa bulan,” katanya sambil menambah untuk memulihkan semula harga minyak memerlukan tiga syarat.

Syarat pertama, katanya, kebimbangan global terhadap pandemik Covid-19 perlu reda, kerana kebimbangan akan menjejaskan dengan ketara aktiviti ekonomi global, terutamanya dalam sektor perjalanan dan pelancongan.

Keduanya, eksplorasi dan pengeluaran minyak perlu dikurangkan: terutamanya pengeluar dengan kos paling tinggi di dunia dengan kitaran proses yang sangat pantas perlu berhenti mencari minyak.

Ketiganya, perselisihan geopolitik antara Arab Saudi dan Rusia perlu ditamatkan.

“Kerjasama mereka telah menstabilkan harga minyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi tanpa kerjasama itu, pasaran minyak akan menjadi tidak menentu yang mana hanya pengeluar dengan kaedah pengeluaran yang paling padu boleh meraih keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Dasar Monetarinya Ryan Sweet berkata impak daripada penurunan harga memberi kelebihan kepada perbelanjaan pengguna.

‘Bagaimanapun, implikasi terhadap pelaburan berkaitan tenaga adalah tidak menentu kerana ia bergantung kepada pulang modal harga minyak.

“Justeru itu, penurunan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi suku ini dan suku akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua penerbangan pulang jemaah umrah berjalan biasa

PUTRAJAYA, 29 FEB: Semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Menurutnya, pihak konsulat telah membuat lawatan konsular ke lapangan terbang antarabangsa Jeddah dan Madinah semalam dan hari ini berikutan arahan sekatan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi bermula Khamis lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung penerbangan pulang ke Malaysia, wakil ejen jemaah umrah atau penumpang diminta berhubung dengan pihak konsulat untuk bantuan dan panduan sewajarnya,” kata konsulat itu.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguh sementara perjalanan ke Arab Saudi

PUTRAJAYA, 27 FEB: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak Covid-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ …juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi, Malaysia kerjasama perangi Islamofobia

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Arab Saudi berminat bekerjasama dengan Malaysia bagi memberikan gambaran sebenar Islam dalam usaha memerangi Islamofobia, radikalisme dan ekstremisme sejagat yang berleluasa ketika ini, kata Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Beliau berkata kedua-dua negara sentiasa berusaha untuk menyampaikan gambaran sebenar Islam melalui konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.

Menegaskan bahawa perlu ada kerjasama kolektif antara negara-negara Islam bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu ummah dan dunia Islam, beliau berkata ia memerlukan usaha bersama dan penyertaan daripada seluruh negara Islam untuk mengatasinya.

“Isu dan masalah yang membelenggu umat Islam sejagat seperti Islamofobia, radikalisme dan ekstremism turut dihadapi kebanyakan negara lain di dunia. Perlu ada kerjasama kolektif dalam kalangan negara Islam bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama di Kedutaan Arab Saudi di sini.

Menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi mengambil berat tentang masalah yang membabitkan negara-negara Islam serta ummah, Mahmoud Hussien berkata negara-negara Islam boleh bekerjasama melalui institusi antarabangsa sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Duta Arab Saudi ke Malaysia itu berkata melalui mekanisme dan instrumen OIC, negara Islam mampu mengutarakan segala pendirian mereka mengenai isu berkaitan termasuk membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menangani hal-hal ummah dan Islam khususnya fenomena Islamofobia, ekstremisme dan keganasan.

“Kerjasama ini adalah antara usaha yang dibangunkan OIC dan Malaysia serta beberapa negara Islam yang lain.

“Oleh itu, perbincangan dan kerjasama antara kedua-dua negara perlu sentiasa diadakan dalam menonjolkan gambaran sebenar Islam. Hal ini selari dengan dorongan Penjaga Dua Kota Suci (Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud) dan Putera Mahkota Arab Saudi (Mohammed bin Salman) yang berusaha untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam semua bidang,” katanya.

Menyentuh tentang hubungan Malaysia dan Arab Saudi, Mahmoud Hussien berkata hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berada dalam keadaan kukuh dan berharap ia dapat dikembangkan lagi.

“Arab Saudi dan Malaysia sedang meningkatkan hubungan yang akan memberi dimensi baharu dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara Insya-Allah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi perkenal visa baharu untuk pelancong

RIYADH, 27 SEPT: Arab Saudi akan memperkenalkan visa baharu bagi membuka pintu kepada pelancong, yang akan diumumkan pada majlis gala di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ad-Diriyah, di sini, malam ini.

Memetik laporan asal BH Online, Arab Saudi dianggap negara sukar dikunjungi pelancong sebelum ini kerana hanya mengeluarkan visa untuk perniagaan dan lawatan keluarga, selain haji serta umrah.

Pengerusi Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Ahmad Al-Khateeb berkata, ia bakal menjadi peristiwa bersejarah bagi negaranya.

“Layanan baik dan murah hati menjiwai budaya Arab sehingga kami sangat mengalu-alukan kedatangan tetamu. Pelancong akan terkejut dan seronok menyaksikan khazanah yang ingin kami kongsikan.

“Antaranya, lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, budaya tempatan yang bertenaga dan keindahan alam semula jadi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pemilik Norah Farm, Putera Abdullah al-Saud berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke wilayahnya.

“Rakyat Arab Saudi terkenal dengan kerendahan hati dalam menerima tetamu dari luar.

“Selain tarikan sejarah, al-Ula juga menawarkan pengalaman menarik melalui kebun buah-buahan seperti tamar, lemon dan mangga,” katanya kepada delegasi wartawan antarabangsa dan ‘influencer’ media sosial di al-Ula, dekat sini.

Sempena pengenalan visa baharu itu, wartawan luar negara dan ‘influencer’ media sosial turut dibawa ke destinasi pelancongan utama negara ini.

Ia merangkumi tiga tema, iaitu pelancongan budaya, mewah dan kembara.

Visa baharu itu memberi peluang untuk pelancong melawat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, persisiran Laut Merah dan Empty Quarter.

Antaranya, tapak arkeologi terbesar tamadun Nabataean yang terletak di luar Petra, Jordan, iaitu Madain Saleh, Al-Ula.

Selain itu, ibu kota pertama Arab Saudi, at-Turaif, ad-Diriyah dan Jeddah yang bersejarah kerana menjadi pintu masuk ke Makkah.

Pelancongan menjadi segmen penting dalam Wawasan 2030 Arab Saudi untuk meningkatkan pelancong asing dan tempatan hingga 100 juta orang pada 2030.

Categories
AGENDA GLOBAL

21,000 sertai tilawah al-Quran dan azan dalam talian

RIYADH, 22 JUL: Lebih 21,000 peserta dari 162 negara memohon menyertai dua pertandingan keagamaan berprestij yang diadakan secara dalam talian, lapor Arab News.

Dilancarkan awal tahun ini oleh pengerusi Lembaga Hiburan Umum (GEA) Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, pertandingan tilawah Al-Quran dan Azan itu menawarkan hadiah bernilai SR7 juta (US$ 1.9 juta) kepada pemenang.

Inisiatif itu bertujuan menonjolkan kepelbagaian budaya dan meningkatkan imej Islam di peringkat antarabangsa.

Mereka yang berminat boleh mendaftar sehingga akhir Julai. Menurut GEA setakat ini, lebih 11,000 penyertaan diterima untuk tilawah Al-Quran dan sekurang-kurangnya 9,000 untuk pertandingan Azan.

Pertandingan dibahagikan kepada beberapa fasa. Peringkat pertama melibatkan penerimaan video yang dihantar oleh para peserta ke laman web anugerah bermula 24 Julai hingga 23 Ogos, peserta yang dipilih akan disenarai pendek.

Persembahan secara langsung menerusi penstriman pula berlangsung dari 24 Ogos hingga 24 September, senarai pemenang akan diumum mulai 25 September hingga 25 Oktober.

Pemenang tilawah Al-Quran akan menerima hadiah wang tunai SR5 juta (kira-kira US$1.3 juta) dan pemenang Azan bakal membawa pulang SR2 juta (kira-kira US$533.333).

Untuk pendaftaran serta maklumat lanjut mengenai terma dan syarat penyertaan layari https://quranathanawards.com.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke Arab Saudi hari ini

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan khas selama tiga hari itu adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

“Lawatan khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI ke Arab Saudi ini melambangkan kesinambungan hubungan dua hala yang akrab dan istimewa antara kedua-dua negara.

“Lawatan khas ini juga akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Keberangkatan Sultan Abdullah ke negara Timur Tengah itu diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta Istana Negara.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Road to Makkah permudah urusan jemaah haji Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Inisiatif “Road to Makkah” satu projek prapelepasan haji disediakan kerajaan Arab Saudi untuk negara terpilih mendapat pujian jemaah Malaysia.

Melalui projek yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2017 itu, jemaah haji tidak lagi perlu melalui proses imigresen di Arab Saudi kerana proses itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah haji kumpulan kedua musim haji tahun ini, Norizan Yacob berkata beliau amat berpuas hati dengan inisiatif itu kerana selain menjimatkan masa ia juga memudahkan golongan yang menghadapi masalah kesihatan.

“Syukur. Terutamanya sebab suami baru saja keluar hospital dan masih belum sihat sepenuhnya. Dengan inisiatif ini, kami tidak perlu beratur lama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, beliau lega kerana tidak perlu berasak-asak di lapangan terbang di Arab Saudi bersama jemaah-jemaah negara lain.

Sementara itu, Sawandi Berahim, 65, dari Tanjung Karang, Selangor memuji hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sehingga diberi kepercayaan untuk menjalankan inisiatif itu.

Beliau yang pernah menunaikan haji pada 2006 berharap dapat memberi lebih fokus untuk beribadah pada perjalanan kali ini.

“Alhamdulillah. Dengan inisiatif ini, jemaah tidak lagi perlu berpenat-lelah selepas tiba di Madinah nanti. Pada tahun 2006, saya dah alami semua itu dan ianya sangat memenatkan,” katanya.

Road to Makkah adalah satu sistem prapelepasan haji kelolaan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan perjalanan jemaah ke Makkah.

Di bawah inisiatif ini, cap jari jemaah akan diambil dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi juga akan dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Tahun ini, sebanyak 12 kaunter imigresen Arab Saudi disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk dua kaunter untuk golongan orang kurang upaya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia buat julung kalinya menyediakan dua pintu automatik yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi memudahkan proses imigresen terhadap jemaah haji.

Syarikat tempatan, Dagang NeXchange Berhad (DNeX) diberi kepercayaan untuk menyediakan kemudahan lokasi dan jaringan komunikasi untuk inisiatif Road to Makkah bagi jemaah Malaysia dan Indonesia, tahun ini.

Projek perintis Road to Makkah dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, inisiatif ini turut diperkenal di Tunisia, Bangladesh dan Pakistan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Moon, Putera Mahkota Arab Saudi adakan sidang kemuncak di Korea Selatan

SEOUL, 26 JUN: Presiden Korea Selatan, Moon Jae In akan mengadakan sidang kemuncak dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman hari ini untuk membincangkan kaedah meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan dua hari Putera Mahkota Arab Saudi ke Korea Selatan itu adalah yang pertama sejak 1998.

Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar Korea Selatan di Timur Tengah dan pengeksport nombor satu minyak mentah untuk ekonomi terbesar keempat di Asia.

Kedua-dua pihak juga akan menumpukan kepada perbincangan mengenai skop kerjasama lain termasuk bidang teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga nuklear dan penjagaan kesihatan.

Presiden Korea Selatan itu juga mahu mendapatkan sokongan Arab Saudi untuk usahanya mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea.

Turut dijadual diadakan majlis makan tengah hari dihoskan Moon, dijangka dihadiri konglomerat terkenal termasuk Naib Pengerusi Samsung Electronics Lee Jae Yong dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor Chung Euisun.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Arab Saudi kaji permohonan tambah kuota haji Malaysia

MAKKAH, 30 MEI: Kerajaan Arab Saudi akan membuat kajian menyeluruh berhubung permohonan Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji tahun ini, kata Menteri Haji dan Umrahnya, Muhammad Saleh bin Taher Benten.

Beliau berkata sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah berbincang dan membuat keputusan dalam penentuan kuota haji setiap negara.

“Kuota setiap negara diagihkan mengikut apa yang dibincangkan…kuota rasmi Malaysia juga telah diberikan, tetapi terdapat permohonan penambahan dan ia tentu sekali perlu dikaji terlebih dahulu.

“Permohonan ini dibuat (di peringkat tertinggi) melalui Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan insyaAllah akan dikaji dari sudut persediaan dan (kapasiti) tempat untuk jemaah Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media tempatan dan antarabangsa sempena sidang kemucak OIC ke-14 di sini.

Turut serta dalam sesi itu 390 wartawan dari 57 negara anggota OIC dan 59 stesen televisyen antarabangsa yang membuat liputan sidang kemuncak bermula Jumaat ini.

Bertemakan: “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan”, dijangka dihadiri para pemimpin negara anggota OIC untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Bermula dengan Mesyuarat Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan, hasilnya akan dikemukakan kepada mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC yang telah diadakan di Jeddah pada Rabu.

Deraf akhir pernyataan rasmi akan diserahkan ke Sidang Kemuncak Islam itu untuk diterima pakai. Sidang kemuncak itu juga dijangka akan mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam.

Sementara itu, Saleh turut memuji pengurusan jemaah haji Malaysia dan menyifatkan pengurusan haji negara ini bersistematik dan terlatih.

“Terima kasih kepada Malaysia dan Tabung Haji (TH) atas pengurusan yang sangat baik dan membantu jemaah haji mengerjakan ibadat mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat berkata Dr Mahathir telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan permohonan itu daripada kerajaan Arab Saudi.

-BERNAMA