Categories
GLOBAL

Krisis Kanada-Arab Saudi meruncing

RIYADH 7 OGOS: Pergeseran antara Kanada-Arab Saudi tidak menunjukkan sebarang tanda reda selepas Riyadh memutuskan hubungan diplomatik secara mengejut dengan Ottawa yang terus mendesak pembebasan seorang aktivis yang dipenjara di negara itu.

Kerajaan Arab Saudi bertindak mengusir duta Kanada, Dennis Horak dalam masa 24 jam dan memanggil pulang wakilnya di Ottawa.

Ia turut membekukan semua perjanjian dagangan baharu menyifatkannya sebagai cubaan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata Kanada akan terus mempertahankan hak asasi manusia di seluruh dunia walau ia menjejaskan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Minggu lalu, Kanada menyatakan kebimbangannya berikutan gelombang baru penangkapan aktivis hak asasi manusia, termasuk pejuang hak asasi wanita, Samar Badawi dan menggesa Riyadh segera membebaskan mereka.

Badawi ditahan bersama Nassima al-Sadah minggu lalu, mangsa terbaru dalam tindakan keras kerajaan yang disifatkan Human Rights Watch tidak pernah berlaku ke atas pergerakan hak wanita.

Adik lelakinya, blogger Raif Badawi ditangkap pada 2012 dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara serta 1,000 kali sebatan kerana menghina Islam dalam kes yang mencetuskan bantahan antarabangsa.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Serangan Houthi, Arab Saudi henti hantar minyak

DUBAI, 26 JUL: Susulan serangan ke atas dua kapal tangki milik Arab Saudi oleh pemberontak Houthi, negara itu menghentikan sementara penghantaran minyak menggunakan laluan kapal di Selat Bab El-Mandeb, Laut Merah.

Menteri Tenaganya, Khalid Al-Falih dalam kenyataan berkata, ia berkuat kuasa serta merta sehinggalah keadaan di laluan itu disahkan selamat.

“Serangan pemberontak Houthi ke atas dua kapal tangki pembawa minyak mentah (VLCC) milik negara itu berlaku pada pagi semalam.

“Namun, serangan itu menyebabkan kerosakan kecil pada salah satu kapal berkenaan,” katanya kenyataan itu.

Selat Bab El-Mandeb terletak di antara pertemuan Laut Merah dan Teluk Aden di Laut Arab.

Dengan jarak selebar 20 kilometer, ia menyebabkan ratusan kapal yang menggunakan laluan itu menjadi sasaran mudah pengganas. – Reuters

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu dibedil Houthi

RIYADH 11 JUL: Pasukan pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah wilayah Jizan di barat daya negara itu oleh pemberontak Houthi, lapor media semalam.

Stesen televisyen al-Masirah milik Houthi melaporkan terdahulu, peluru berpandu Badr 1 mensasarkan Bandar Raya Ekonomi Jizan, lokasi syarikat Saudi Aramco membina kilang penapis minyak 400,000 tong sehari yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2019.

Tiada laporan kerosakan atau kematian dalam kejadian itu.

Houthi, yang menguasai Sanaa, membedil puluhan peluru berpandu ke negara itu sejak beberapa bulan lalu, dalam konflik tiga tahun yang dilihat sebagai pertempuran proksi antara Arab Saudi dan Iran.

Kebanyakan peluru berpandu berjaya dipintas tentera Arab Saudi.

Pasukan pakatan tentera dipimpin Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu campur tangan dalam perang di Yaman pada 2015 untuk menumbangkan Houthi dan mengembalikan semula kerajaan diiktiraf antarabangsa.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Arab Saudi tamatkan larangan wanita memandu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUN: Larangan memandu ke atas golongan wanita, di Arab Saudi ditamatkan secara rasmi, semalam.

Penyampai televisyen Saudi, Sabika al-Dosari berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha Putera Mahkota Mohammed Salman memodenkan negara pengeluar minyak itu.

“Ribuan pemandu wanita dijangka menguasai jalan raya sebaik sahaja larangan berusia lebih sedekad yang dianggap sebagai satu penindasan terhadap wanita itu ditamatkan.

“Ia adalah detik bersejarah untuk semua wanita di Arab Saudi,” katanya dipetik AFP.

Tindakan berkenaan diramal menyuntik transformasi terhadap ramai wanita kerana membantu mereka membebaskan diri daripada bergantung kepada pemandu atau saudara lelaki, sekali gus membawa kepada penjimatan wang yang amat besar.

“Masa yang terbuang kerana perlu menunggu ketibaan pemandu sudah berakhir,” kata seorang penuntut jurusan farmasi berusia 21 tahun, Hatoun Dakhil.

“Kami tidak lagi memerlukan lelaki untuk memandu,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi awal bulan ini buat pertama kali sejak beberapa dekad lalu mula mengeluarkan lesen memandu untuk golongan wanita.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Kerosakan teknikal, pesawat Arab Saudi selamat mendarat

MOSCOW 19 JUN: Persekutuan Bolasepak Arab Saudi hari ini mengesahkan skuad bola sepak negara itu selamat mendarat di Rostov selepas pesawat itu mengalami kerosakan teknikal kecil pada salah satu enjinnya.

Video yang dikongsi di laman sosial kelihatan menunjukkan sebuah pesawat dengan poster dikenali sebagai pesawat pasukan Arab Saudi mengalami kebakaran pada sayapnya ketika masih di udara.

“Kesemua pemain Arab Saudi selamat selepas kegagalan teknikal pada salah satu enjin pada pesawat yang sudah pun mendarat,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan menerusi Twitter.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi ancam guna tindakan ketenteraan terhadap Qatar

PARIS 3 JUN: Raja Salman Abdulaziz mengancam akan mengenakan tindakan ketenteraan terhadap Qatar jika negara itu memasang sistem pertahanan udara buatan Rusia.

Akhbar Perancis, Le Monde melaporkan, Raja Salman telah menulis surat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron melahirkan kebimbangan terhadap rundingan antara Doha dan Moscow dan kemungkinan Qatar mampu menghantar peluru berpandu.

“Arab Saudi bersedia mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menghapuskan sistem pertahanan termasuk menggunakan tindakan ketenteraan,’’ lapor akhbar yang memetik kenyataan daripada surat berkenaan.

Raja Salman telah meminta bantuan Macron untuk menghalang penjualan peluru berpandu dan mengekalkan keamanan di rantau terbabit.

Difahamkan surat tersebut telah dihantar baru-baru ini.

Qatar dan Rusia telah menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan dan teknikal pada Januari lalu dan sedang berunding untuk membeli sistem pertahanan udara peluru berpandu S-400 buatan Rusia.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi tembak jatuh empat peluru berpandu puak Houthi

RIYADH 29 APR: Arab Saudi memintas empat peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi semalam, kata pakatan tentera diketuai Riyadh yang menentang pemberontakan di Yemen tersebut.

Semua peluru berpandu itu menuju ke arah bandar Jizan, selatan Arab Saudi, demikian menurut pakatan Riyadh dalam satu kenyataan.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Stesen televisyen pemberontak Houthi, Al-Masirah melaporkan bahawa mereka melancarkan lapan misil ke arah Jizan, sehari selepas pasukan pertahanan Arab Saudi mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah peluru berpandu yang menuju ke lokasi sama.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika puak Houthi mengadakan majlis pengebumian pemimpin nombor duanya di ibu kota Yemen, Sanaa.

Saleh Al-Sammad yang mengetuai majlis politik agung puak Houthi, terbunuh dalam satu serangan udara oleh Arab Saudi dan sekutunya pada minggu lalu.

Arab Saudi membentuk pakatan ketenteraannya pada 2015 untuk memerangi pemberontak Houthi di negara jirannya itu bagi mengembalikan semula kuasa kerajaan Yemen yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Puak Houthi menguasai Sanaa dan hampir keseluruhan utara Yemen serta pelabuhan utamanya, Hodeida.

Hampir 10,000 orang terbunuh sejak pakatan Arab Saudi menyertai konflik Yemen, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyi­fatkan konflik negara itu sebagai krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Pakatan Arab Saudi melaksanakan kepungan sepenuhnya ke atas semua pelabuhan di Yemen pada November tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu pemberontak Houthi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu pemberontak Yaman

RIYADH 23 APR: Pertahanan udara Arab Saudi semalam memintas peluru berpandu balistik dilancarkan pemberontak Yaman menyasarkan bandar Najran di sempadan selatan kerajaan itu menyebabkan sebuah ladang terbakar, kata media kerajaan.

“Tentera Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu itu,” kata Agensi Berita Saudi, memetik tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menentang pemberontak Houthi yang disokong Iran.

“Bagaimanapun serpihan peluru berpandu bertaburan di kawasan kediaman menyebabkan sebuah ladang milik penduduk terbakar, namun tiada kecederaan dilaporkan.”

Menurut pakatan, peluru berpandu itu dilancarkan dari Saada, kubu kuat Houthi di utara Yaman.

Sejak Mac 2015, Arab Saudi mengetuai tentera gabungan negara-negara Arab berjuang menentang Houthi di Yaman untuk mengembalikan semula kuasa kerajaan yang diiktiraf antarabangsa.

Hampir 10,000 orang terkorban dalam konflik yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Riyadh: Bukan insiden rampasan kuasa, dron ceroboh istana

RIYADH – ARAB SAUDI 22 APR: Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan insiden tembakan di istana raja di Riyadh lewat malam semalam bukan berpunca daripada insiden rampasan kuasa.

Agensi Berita Antarabangsa Al-Jazeera melaporkan sebaliknya, jurucakap kerajaan memaklumkan tembakan bertalu-talu itu dilepaskan oleh pasukan keselamatan yang menyasarkan sebuah dron mainan yang menghampiri kawasan istana.

Polis menembak jatuh sebuah dron kecil yang dikesan berada di kawasan pemeriksaan keselamatan di kejiranan Khuzama, lapor agensi berita kerajaan SPA.

Tambah SPA, satu siasatan telah dijalankan bagi menyiasat insiden tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai senior yang tidak dinamakan memberitahu semasa kejadian, Raja Arab Saudi, Raja Salman tidak berada di Istana.

“Raja Salman berada di ladangnya di Diriya,” katanya.

Pada Oktober 2017, dua pengawal keselamatan terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di pintu gerbang Istana As Salam di Jeddah.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, seorang lelaki berusia 28 tahun dikenali sebagai Mansour al-Amri melepaskan tembakan ke arah pos kawalan diraja sebelum ditembak mati oleh pengawal lain.

SUMBER: Al Jazeera

Categories
GLOBAL

Arab Saudi beri amaran tindak balas keras

RIYADH 17 APR: Tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi di Yaman, semalam memberi amaran ‘tindak balas menyakitkan’ jika ia melancarkan serangan baru ke atas negara itu menggunakan dron yang dibekalkan Iran.

Riyadh, minggu lalu berkata ia menembak jatuh dua dron di selatan Arab Saudi selain memintas peluru berpandu balistik yang dibedil dari wilayah dikuasai pemberontak di Yaman, terbaru dalam siri kejadian seumpama itu.

“Jika Houthi berterusan mensasarkan kemudahan industri atau kawasan penempatan, tindak balasnya keras dan menyakitkan,” kata jurucakap pasukan pakatan, Turki al-Malki, menunjukkan apa yang dikatakan serpihan dron yang dipintas.

Namun pemberontak tidak menghiraukan amaran itu apabila membedil peluru berpandu baru ke arah wilayah Najran lewat semalam, yang dipintas tentera udara Arab Saudi, lapor stesen televisyen Al-Ekhbariya TV.

Malki memberitahu wartawan di bandar raya Al-Khobar bahawa lapangan terbang di Sanaa yang ditawan pemberontak digunakan sebagai pangkalan tentera mengatur serangan dron.

Kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi, minggu lalu berkata dron itu dihasil di Iran, menambah tentera Yaman tidak memiliki pesawat seumpama itu dan ‘mustahil untuk menghasilkan ia di negara itu’.

Iran menyokong Houthi, yang merampas Sanaa pada 2014, memaksa tentera pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan menyerang pemberontak itu pada tahun berikutnya.

Namun Tehran berulang kali menafikan ia membekalkan senjata kepada Houthi, yang jelas melanggar embargo senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Yaman pada 2015.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Arab Saudi berdepan dakwaan serangan 11 September

NEW YORK 29 MAC: Seorang Hakim Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan Arab Saudi untuk menggugurkan tindakan mahkamah mendakwa ia membantu merancang serangan 11 September 2001 dan perlu membayar pampasan berbilion dolar kepada mangsa.

Hakim Daerah AS, George Daniels berkata tuduhan plaintif itu ‘berdasarkan asas yang wajar’ untuknya menggunakan undang-undang persekutuan 2016, Akta Keadilan Menentang Keganasan (JASTA) ke atas Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi sekian lama menafikan terbabit dalam serangan terancang menggunakan pesawat yang dirampas sebelum terhempas di Pusat Dagangan Dunia New York, Pentagon di luar Washington D.C dan sebuah padang berhampiran Pennsylvania. Hampir 3,000 orang terbunuh.

Setakat ini, barisan peguam Arab Saudi masih belum memberi maklum balas sejak keputusan itu diumumkan.

Keputusan Daniels meliputi tuntutan oleh keluarga mereka yang terbunuh, kira-kira 25,000 orang yang mengalami kecederaan, sejumlah perniagaan serta penanggung insurans.

Hakim turut menolak dakwaan bahawa dua bank Arab Saudi, National Commercial Bank dan Al Rajhi Bank, dan Binladin Group, sebuah syarikat pembinaan yang dikendalikan oleh keluarga bin Laden, menyediakan dana dan perkhidmatan kewangan untuk serangan itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS meterai kontrak pertahanan Arab Saudi RM3.9 bilion

GLOBAL 24 MAC: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi meluluskan kontrak pertahanan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.9 bilion) yang dimeterai bersama Arab Saudi kelmarin.

Perjanjian itu dimeterai sempena lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ke AS.

Jabatan Negara AS mengesahkan telah bersetuju dengan satu perjanjian bernilai AS$670 juta (RM2.62 bilion) bagi peluru berpandu antikereta kebal.

Satu kontrak lain bernilai AS$106 juta (RM414 juta) bagi menguruskan penyelenggaraan helikopter dan AS$300 juta (RM1.1 bilion) untuk alat ganti kenderaan darat.

Seorang pegawai berkata, perjanjian itu dipersetujui selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kontrak baharu bernilai lebih AS$100 bilion (RM391 bilion) dalam satu lawatan ke Riyadh pada tahun lalu.

“Cadangan ini akan menyokong dasar luar AS dan objektif keselamatan bagi meningkatkan keselamatan negara Arab Saudi,” kata Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan.

Mohammed mengadakan lawatan selama tiga minggu ke AS selain telah mengadakan rundingan dengan Trump di White House.

Daripada kontrak tersebut, pembelian sistem peluru berpandu antikereta kebal menjadi yang terbesar dengan 6,600 unit, diikuti kereta kebal Abram, kenderaan perang Bradley, kenderaan tempur LAV, howitzer dan Humvee.

SUMBER: AFP