Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020 langkah permulaan realisasi WKB2030

KLANG, 12 OKT: Belanjawan 2020 menjadi langkah permulaan ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam disifatkan selari dengan WKB2030 iaitu merapatkan kesenjangan ekonomi, sekali gus memberi keadilan kepada rakyat.

Katanya, belanjawan berjumlah RM297 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM19.5 bilion itu antara lain turut memberi fokus terhadap pemberdayaan golongan belia, wanita, penduduk luar bandar, dan golongan B40.

“Belanjawan yang dibentangkan adalah komitmen kerajaan merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Ia adalah sebahagian daripada falsafah WKB2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali bergambar bersama guru dan pelajar ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan pengumuman semalam, peruntukan pembangunan bagi 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding 17.3 peratus pada tahun ini.

Katanya, peningkatan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar dan anak muda.

Tun Dr Mahathir memegang buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selepas merasmikan Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Eknomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada 5 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan WKB2030 yang secara khusus memastikan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Ia adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020 dengan mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas membentangkan belanjawan tersebut di Parlimen hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan)
-Foto BERNAMA

Semalam, Guan Eng membentangkan belanjawan kedua Pakatan Harapan berasaskan WKB2030 yang memandu Malaysia Baharu ke arah mencapai status negara maju, hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi dengan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kelas, etnik, dan lokasi geografi untuk mencipta masyarakat harmoni, progresif, dan makmur.

Bagi memenuhi WKB2030, langkah teras Belanjawan 2020 sejajar dengan pelbagai strategi Kemakmuran Bersama untuk memastikan tiada siapa ketinggalan apabila Malaysia maju ke hadapan sekali gus setiap rakyat dapat merasakan hasil pertumbuhan negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pastikan insentif petani sampai kepada golongan sasar

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu membincangkan kaedah pengagihan bantuan yang lebih berkesan bagi pekebun kecil getah supaya bantuan yang ada sampai kepada golongan sasar.

Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) Kedah, Mohd Taufik Yaacob berkata, ini kerana ada bantuan sebelum ini tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya kerana beberapa isu.

“Ada pekebun kecil getah yang berdaftar iaitu pemilik kebun getah di Kedah, mereka tidak menoreh sendiri, mereka upah orang lain menoreh getah.

“Mereka bekerja tetap tetapi bantuan ini akan dapat kepada mereka…tidak kepada golongan sasar sebenar iaitu penoreh yang menghadapi hari hujan dan harga getah jatuh,” katanya.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah yang layak di bawah RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada 2020 untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang menghadapi harga getah rendah.

Bagi Pengerusi Pergetak Tanah Merah, Kelantan Izani Zakaria, kerajaan perlu memperluaskan bantuan itu kepada penoreh getah bagi membolehkan golongan terbabit mengimbangi kehidupan dalam kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Katanya setidak-tidaknya kerajaan mengumumkan harga lantai getah RM3 ke atas bagi membantu penoreh getah menguruskan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.

Izani berkata, bantuan secara menyeluruh itu perlu dilakukan berikutan pendapatan golongan penoreh tidak menentu bagi menyara kehidupan harian.

“Peruntukan RM200 juta merupakan salah satu bantuan bagi membantu penoreh, namun ia bersifat sementara kepada penoreh yang mengalami situasi sukar akibat harga getah rendah. Harga barang terlalu mahal sedangkan harga komoditi getah rendah RM2.30 sekilogram… oleh itu bantuan jangka panjang perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Abdul Hamid Bahari berkata tambahan RM50 bantuan sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM250 dapat menggembirakan hati kira-kira 40,000 nelayan seluruh negara.

Abdul Hamid berkata, pengumuman itu menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) menghargai perit jerih nelayan yang turun ke laut mencari rezeki, sekali gus mengiktiraf kerja keras golongan berkenaan.

“Ini memberikan semangat dan galakan kepada golongan nelayan untuk turun ke laut. Meskipun naik RM50 sahaja tetapi ia cukup membuatkan nelayan rasa dihargai yang sedikit sebanyak boleh bantu meringankan beban kos sara hidup termasuk kos membeli pukat dan tali untuk mereka turun ke laut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU), Mat Yassin Mohamed berkata, kenaikan elaun itu walau tidak banyak tetapi ia petanda positif di mana kerajaan mendengar suara mereka.

“Cukuplah, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga kenaikan RM50 elaun sara hidup berbanding tahun lepas,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Kelantan Saripudin Ishak pula, penambahan itu sedikit sebanyak meringankan beban nelayan yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat, selain kebanyakan peralatan menangkap ikan naik berkali ganda berikutan kejatuhan ringgit Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran terutama Thailand.

“Ini juga disebabkan kebanyakan peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring dan enjin turut naik di pasaran Thailand,” katanya yang turut mencadangkan supaya dihapuskan duti import terhadap barang-barang keperluan itu.

Satu lagi aspek membabitkan kepentingan golongan nelayan dan petani dalam Belanjawan 2020 adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada 18 kumpulan termasuk nelayan dan petani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020 tangani isu mendesak negara – KRI

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata Belanjawan 2020 berjaya menangani beberapa isu yang dihadapi negara, dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan dan mencapai hasil saksama jangka panjang.

“Ia (belanjawan) bertujuan memperkukuh struktur ekonomi, membangunkan kualiti tenaga kerja dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ia merupakan belanjawam pertama sejak pengumuman Wawasan Kemamurkan Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KRI berkata bajet itu menangani beberapa kebimbangan KRI, seperti peningkatan pelepasan cukai individu untuk bayaran TASKA yang dapat memperkukuh penjagaan dengan mengurangkan beban kewangan keluarga, yang diketengahkan dalam laporan kajian ‘Masa untuk Penjagaan: Ketidaksamaan Gender, Kerja Tanpa Bayaran dan Penggunaan Masa’.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pelepasan cukai individu ke atas yuran yang dibayar untuk mendaftar anak di tadika dan taska berdaftar, daripada RM1,000 kepada RM2,000, bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Bantuan Sara Hidup (BSH) yang lebih bersasar dan diperluaskan merupakan langkah yang betul untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

KRI berharap dapat terus memainkan peranan dalam menyokong pembangunan dasar yang ditangani dalam Belanjawan 2020 dan matlamat yang lebih luas dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelbagai insentif bantu miliki rumah dalam Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Belanjawan 2020 yang menyediakan pelbagai program dan insentif baharu berkaitan perumahan mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata peruntukan yang diumumkan semalam itu membawa berita gembira dan ia merupakan langkah tepat dan terperinci dalam usaha membantu rakyat untuk memiliki rumah.

Katanya antara langkah itu termasuk Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki yang bertujuan membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah.

Menurut Zuraida, melalui skim itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengeculian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Skim Perumahan Belia akan menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh serta bantuan ansuran bulanan RM200 bagi tempoh dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.

Kerajaan juga, menurut Lim, akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dari 1 Jan, 2020 kepada 31 Disember, 2021 serta peruntukan RM10 bilion untuk Skim Pembiayaan Sewa oleh institusi kewangan menerusi bantuan kerajaan melalui jaminan 30 peratus.

Sementara itu, mengulas mengenai Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba yang turut diumumkan semalam, Zuraida berkata elaun itu dilihat mampu memberi motivasi kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan ransangan motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Belanjawan 2020: Banyak inisiatif kurangkan beban rakyat

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat, turut mencadangkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, termasuk golongan petani, pekebun kecil dan nelayan, serta menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan taraf hidup.

Bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama, Belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, itu adalah Belanjawan kedua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Pembentangan Belanjawan 2020 itu disiarkan secara langsung menerusi siaran media massa, dan saluran-saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan di laman Facebook dan Twitter.

Menurut Lim, Belanjawan Pakatan Harapan pertama yang dibentangkan pada 2018, menumpukan kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu.

Belanjawan 2020 pula antara lain menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan kerajaan dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Strategi dan Inisiatif yang dibentangkan hari ini menunjukkan kerajaan responsif kepada kehendak rakyat, yang mahukan inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup mereka, memberi lebih peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan memberi bantuan apabila mereka dilanda musibah.

Hal itu terjelma di bawah Strategi memperkukuh Akses kepada Pembiayaan Perniagaan, yang memudahkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dalam segmen utama, dengan kerajaan akan membuat penambahbaikan terhadap Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP) selain menyediakan kemudahan jaminan baharu sebanyak RM500 juta untuk usahawan wanita.

Bagi PKS Bumiputera, PKS yang berorientasikan eksport serta PKS yang melabur dalam automasi dan digital, jaminan kerajaan akan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 80 peratus, selain yuran jaminan turut dikurangkan kepada hanya 0.75 peratus.

Selain itu, untuk terus menyokong usahawan Bumiputera baharu, SME Bank akan memperkenal dua dana baharu, dengan kerajaan akan menyediakan subsidi kadar faedah dua peratus setahun bagi mengurangkan kos pinjaman, iaitu peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS, dan peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau dengan keutamaan diberi kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Tidak terkecuali menerima bantuan ialah golongan usahawan daripada etnik Cina dan India.

“Berbanding pentadbiran dahulu yang memberikan pinjaman kepada peniaga kecil melalui koperasi yang berunsurkan politik, pentadbiran Pakatan Harapan mengasingkan unsur politik daripada pembiayaan, dengan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah empat peratus setahun.

“Bagi usahawan etnik India, Kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah empat peratus setahun,” katanya.

Golongan petani turut tidak dilupakan menerusi strategi Memajukan Pertanian, dengan kerajaan menunjukkan keprihatinannya terhadap kesan harga komoditi yang rendah ke atas mata pencarian rakyat, khususnya pekebun kecil.

Sambil menyatakan yang kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, beliau berkata kerajaan berhasrat untuk menyokong industri ini termasuk menerusi pelancaran dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah dua peratus setahun.

“Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama empat tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik,” katanya.

Kerajaan juga menurut Lim, memahami akan kesukaran yang disebabkan oleh harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh dan oleh itu, akan memperuntukkan RM200 juta Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

“Di samping itu kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA),” kata Lim.

Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta FELCRA.

Di samping itu, kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Katanya Elaun Sara Hidup Nelayan juga akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.

Dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani. Bagi menyokong inisiatif ini, Kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani.

“Bagi meningkatkan hasil padi, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma,” katanya.

Kerajaan, juga katanya, akan memperuntukkan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

Untuk golongan belia pula, kerajaan menyediakan strategi meningkat peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dengan melancarakan pelbagai inisiatif untuk mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020 pacu perkembangan positif golongan muda

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai ‘Belanjawan Anak Muda 2020’ dan mampu memacu perkembangan positif kepada golongan anak muda terutamanya dalam memberi peluang pekerjaan berkualiti.

Beliau berkata, banyak penambahbaikan dirancang kerajaan menerusi peruntukan Belanjawan 2020 termasuk suntikan dana khas berjumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan tahun depan.

“Pada masa sama, ia bukan sahaja tentang peluang pekerjaan baharu, kita juga lihat sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sangat dekat dengan anak muda khususnya yang berlatar belakang daripada keluarga B40 ada peningkatan RM200 juta.

“Ini tidak termasuk dengan kenaikan elaun anak-anak TVET di setiap intitusi TVET sebanyak RM100 sebulan. Inilah hala tuju yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2020 semalam.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, mengumumkan inisiatif MalaysiaKerja (Malaysians@Work) bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

MalaysiaKerja terbahagia kepada empat program iaitu GraduanKerja (Graduates@Work), WanitaKerja (Women@Work), WatanKerja (Locals@Work) dan PerantisKerja (Apprentice@Work) yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020 mesra keluarga, wanita dan masyarakat

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyifatkan Belanjawan 2020 sememangnya mesra keluarga, wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata ini berikutan penambahan tiga kali ganda peruntukan bagi penyediaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan.

“Yay.. RM30 juta untuk TASKA di tempat kerja bagi penjawat awam!! Kami akan usahakan yang terbaik untuk keselamatan kanak-kanak, sekali gus membantu lebih ramai wanita untuk terus bekerja,” katanya dalam laman Twitter hari ini bagi memberi reaksi kepada pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.

Dalam cadangan Belanjawan 2020, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM10 juta pada 2019 kepada RM30 juta pada 2020, untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA terutamanya di hospital dan sekolah.

Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

Pada tahun ini, kerajaan berjaya menyediakan 66 TASKA baharu di bangunan kerajaan dengan peruntukan RM10 juta berbanding sasaran awal 50 TASKA.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Petikan ucapan menarik Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2020 dengan perbelanjaan RM297 bilion menawarkan pelbagai inisiatif dan manfaat kepada rakyat di pelbagai peringkat.

Menekankan empat teras utama, belanjawan kedua Pakatan Harapan bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama dirangka secara khusus menstabilkan semula kedudukan kewangan negara.

Berikut adalah intipati menarik dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, petang tadi.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

1) Belanjawan Pakatan Harapan pertama yang dibentangkan pada tahun 2018 menumpukan kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu

2) Kerajaan juga telah berjaya mengawal inflasi pada 0.2 peratus dalam separuh pertama 2019, berbanding 1 peratus pada 2018 dan 3.7 peratus pada 2017. Angka-angka ini membuktikan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan di bawah pentadbiran sebelum ini telah menyumbang dengan ketara kepada harga yang lebih tinggi.

3) Sebagai menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum tahun lalu, Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula GST.

4) Bank Dunia telah memuji kejayaan Kerajaan dalam mempercepatkan purata kelajuan jalur lebar kepada tiga kali ganda dalam tempoh hanya setahun.

5) Kerajaan akan terus menegakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, dalam Belanjawan 2020, peruntukan bagi hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri akan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion pada tahun ini.

6) Dalam Manifesto Pakatan Harapan, adalah dinyatakan bahawa rundingan akan dilaksanakan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Jemaah Menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad. Selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS. Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang Kerajaan.

7) Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan Kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada Kerajaan pada masa hadapan.

Jelas sekali, Kerajaan menolak dasar Kerajaan terdahulu yang “menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian”.

8) Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan. Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi 2 kereta dan 2 motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.

9) Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi telah terjejas akibat skandal kleptokrasi global yang amat memalukan negara dan membabitkan jumlah melebihi RM150 bilion.

10) Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Bagi 1MDB dan SRC International, sejumlah>> RM2.4 bilion perlu disediakan oleh Kerajaan untuk melunaskan bayaran khidmat hutang bagi tahun 2019 dan RM2.7 bilion untuk tahun 2020.

Dalam hal ini, Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada rakyat Malaysia yang seikhlas hati telah menyumbang sebanyak RM203 juta kepada Tabung Harapan Malaysia.

Sumbangan ini digunakan untuk membiayai sebahagian bayaran balik pinjaman tersebut.

11) Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula setiap dana yang dicuri dan aset yang berada di seluruh dunia. Ini termasuk tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs serta 17 pengarahnya.

12) Walaupun mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion, namun Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat.

13) Kerajaan Pakatan Harapan telah menepati janji mengembalikan wang kepada rakyat sebahagian besar RM37 bilion yang tidak dipulangkan sejak lima tahun lalu oleh Kerajaan terdahulu.

14) Kerajaan akan melupuskan aset yang telahpun diluluskan sebelum ini tetapi menerusi tender terbuka dan bukan rundingan terus. Langkah ini dijangka akan menjana hasil kepada negara melebihi RM3 bilion pada tahun 2020.

15) Kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan Projek Bandar Malaysia dengan keluasan 486 ekar di Sungai Besi, Kuala Lumpur setelah berunding untuk mendapatkan terma yang lebih baik kepada Kerajaan.

Projek ini akan merangkumi Taman Rakyat, dengan pertambahan lima ribu unit rumah mampu milik dan peningkatan penglibatan kontraktor Bumiputera dalam projek ini. Perolehan daripada projek ini akan dinilai dan diumumkan kelak, dan akan digunakan untuk mengurangkan hutang 1MDB.

16) Sudah menjadi lumrah pentadbiran terdahulu menumpukan pembinaan bangunan baharu tanpa menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penyelenggaraan bangunan sedia ada.

Ini menyebabkan bangunan sedia ada uzur dan usang. Sungguhpun pengabaian sebegini tidak dapat dipulihkan dalam masa yang singkat, Kerajaan sekarang akan memberikan perhatian kepada falsafah 3R.

17) Belanjawan ini dirangka berasaskan pembaharuan institusi yang bermula sejak tahun lepas. Kerja keras Kerajaan telah membuahkan hasil di mana Malaysia adalah antara negara terbaik dalam laporan Bank Dunia Worldwide Governance Indicators (WGI).

Ini adalah bukti yang kukuh untuk menggambarkan kesan daripada kancah kleptokrasi yang diamalkan sebelum ini berbanding amalan demokrasi sekarang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2020: Banyak manfaat untuk semua

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng menawarkan pelbagai manfaat kepada pelbagai golongan.

Dengan tema ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’, belanjawan kedua bawah pentadbiran Pakatan Harapan berjumlah RM297 bilion, peningkatan sebanyak RM19.5 bilion.

Berikut beberapa manfaat utama yang ditawarkan dalam belanjawan tersebut kepada orang ramai dan penjawat awam:

Tiada lagi GST
Kerajaan tidak berhasrat mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

Diskaun tol di PLUS
Rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS.

Subsidi petrol
Bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak, subsidi petrol RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan bagi pemilik motosikal. Pembayaran pertama dibuat pada April 2020

Pemandu bukan penerima BSH mendapat Kad95 bagi menerima subsidi petrol 30 sen per liter: terhad kepada 100 liter sebulan (bagi kereta) atau 40 liter sebulan (bagi motosikal)

Penjawat awam
Bantuan khas (sekali) RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah dan bantuan khas (sekali) RM250 diberikan kepada pesara kerajaan hujung 2019.

Bantuan yang sama turut diberikan kepada veteran tidak berpencen.

Bantuan Sara Hidup (COLA) dinaikkan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana

Faedah ex-gratia sehingga RM150,000 diberikan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan

Graduan menganggur
Graduan yang baru bekerja, selepas menganggur lebih 12 bulan, menerima insentif gaji tambahan RM500 sebulan selama dua tahun.

Majikan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

Gaji minimum
Gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar pada tahun 2020

Wanita bekerja semula
Wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang kembali bekerja diberi insentif gaji RM500 sebulan selama dua tahun

Cuti bersalin tiga bulan
Tempoh cuti bersalin ditingkatkan kepada 90 hari mulai tahun 2021

Ringankan yuran TASKA dan TADIKA
Pelepasan cukai bagi yuran taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak dinaikkan kepada RM2,000

Vaksin pneumococcal
Peruntukan RM60 juta untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak

Elaun pelajar TVET
Elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar kursus Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Insentif ganti pekerja asing
Warganegara yang menggantikan pekerja asing diberikan insentif gaji sebanyak RM350 atau RM500 sebulan, mengikut sektor,  selama dua tahun

Penerima BSH dapat MySalam
Semua penerima isi rumah Bantuan Sara Hidup (BSH), berumur antara 18 hingga 55 tahun, dilindungi secara automatik skim takaful kesihatan MySalam

Peserta MySalam yang menghidap penyakit kritikal menerima bayaran tunai sebanyak RM8,000.

Peserta MySalam yang dimasukkan ke hospital kerajaan boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari.

PeKa B40 untuk 40 tahun
Kerajaan akan memperluaskan liputan skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) kepada individu yang berumur 40 tahun dan ke atas selepas mereka yang berusia 50-60 tahun

Wang KWSP untuk kos kesihatan
Pengeluaran wang KWSP sebelum persaraan bagi kos rawatan kesihatan dan kos perumahan, tanpa penalti cukai bagi pengeluaran awal.

Wang KWSP untuk dapatkan zuriat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti invitro fertilisation (IVF).

Pelepasan cukai untuk kesuburan
Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 bagi perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan

Guru KAFA
Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 sebulan

Bantuan untuk imam, bilal
Bantuan khas (sekali) RM500 kepada setiap imam, bilal, siak dan guru takmir.

Elaun RELA naik
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menikmati kenaikan elaun RM2 sejam mulai 1 Januari 2020

Elaun bomba
Anggota bomba menerima elaun khas RM200 sebulan

Bantuan miliki rumah
Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki Rumah bagi membantu rakyat yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus

Pingat Jasa Malaysia
Pemegang Pingat Jasa Malaysia menerima bantuan khas RM500 (sekali)

Perumahan belia
Skim Perumahan Belia yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN) dilanjutkan mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021 untuk rumah pertama

Elaun nelayan
Elaun Sara Hidup Nelayan ditingkatkan kepada RM250 sebulan

Tol jambatan Pulau Pinang

Kadar tol untuk kereta persendirian di jambatan kedua Pulau Pinang dikurangkan kepada RM7 mulai 1 Januari 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2020: Reaksi MB, selebriti dan awam

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, petang tadi mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Belanjawan kedua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan menekankan empat teras utama yang secara khusus menstabilkan semula kedudukan kewangan Kerajaan, sekali gus meneruskan matlamat Wawasan 2020.

Ia juga dirangka khusus sebagai unjuran (trajektori) pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober lalu.

Di bawah ini beberapa reaksi terpilih daripada pemimpin dan selebriti di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

(Pemimpin)

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari:

Kerajaan Selangor menyambut baik #Belanjawan2020 yang inklusif kepada semua lapisan rakyat. Inisiatif ekonomi digital, penaiktarafan Hospital Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, peruntukan RM50 juta jalan Pelabuhan Klang, pembangunan di Pulau Carey akan memberi impak positif pada rakyat Selangor.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali:

Kerajaan telah menyediakan sebuah belanjawan negara yang komprehensif selari dengan WKB 2030 untuk menstruktur semula ekonomi negara dan memacu pembangunan secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia.

Inisiatif bernilai lebih daripada RM1.6 bilion telah diperuntukkan untuk masyarakat peneroka dan pekebun kecil FELDA, FELCRA dan RISDA bagi melaksanakan program menjana pendapatan yang memanfaatkan lebih 500,000 peneroka dan pekebun kecil.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad:

Belanjawan hari ini memfokuskan tiga perkara penting yang diperlukan Malaysia : kerja, kerja dan kerja. Terbaik Guan Eng

Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah:

Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana memberi tumpuan ke atas pembangunan Pelabuhan Klang supaya menjadikan ia sebagai pusat maritim serantau dan hub logistik kargo utama.

Ia termasuk pembangunan kemudahan kontena Pulau Carey dan pembaikan jalan raya ke Pelabuhan Klang sebanyak RM50 juta.

Pada masa sama turut memberi perhatian terhadap kajian kebolehlaksanaan Serendah-Port Klang Rail bypass serta kajian kebolehlaksanaan Koridor Logistik Klang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh:

Berita baik bagi inisiatif Wakaf, ada potongan cukai bagi sumbangan wakaf tunai kepada majlis agama negeri dan universiti awam.

InsyaAllah, bersama kita perkasakan institusi wakaf di Malaysia.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh:

Apabila kumpulan Whatsapp anda tuduh Pakatan Harapan anti Melayu dan anti Islam, tolong kongsi ini sebagai perkongsian.

(Selebriti)

Usahawan dan Selebriti, Neelofa:

#Belanjawan2020 adalah mengenai perubahan. Saya sangat bersemangat dan berharap supaya #MalaysiaKerja akan membolehkan pelbagai inisiatif dan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk belia dan wanita sementara ia akan mengurangkan kebergantuangan kepada pekerja asing.

Sebagai usahawan wanita, saya sangat gembira dengan peruntukan sebanyak RM500 juta daripada ‘Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan’ bagi usahawan wanita.

Ini akan membuka lebih banyak peluang serta landasan untuk mereka berkembang. Sudah pasti ini adalah berita terbaik dari #Belanjawan2020!

Personaliti TV, Dai Luqmanul Hakim Joohari:

Salah satu perkara positif yang saya dapat dari #Belanjawan2020 hari ini ialah peluang pekerjaan bakal dibuka lebih dari 300,000.

Jadi orang Melayu Islam patut merebut peluang ini. Kalau kita terus malas dan hanya terus menuding jari, jangan dipersalahkan bangsa lain yang meraih peluang tersebut

(Orang Awam)

Muhamad Nur Hakim:

Perkara paling menarik untuk #Bajet2020 adalah mendengar seorang berbangsa Cina bercakap Bahasa Malaysia yang baku selama 3 jam.

Ashraf Arif:

Gembira mendengar apabila Kerajaan menaikkan jumlah gaji minuman kepada RM1,200. Ini adalah langkah kecil ke arah negara berpendapatan tinggi #BelanjawanAnakMuda2020.

Khae Karem:

Saya tak faham kenapa ada suara sumbang yang tidak puas hati dengan bajet untuk Sabah paling besar. Kami layak, Sabah ni banyak tertinggal dari negeri-negeri lain, sedangkan ia adalah negeri yang kaya dengan minyak. Adakah anda melihat jalan raya kami?

Rela Pontian:

Terima kasih daripada kami warga RELA Malaysia.

Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta.

Theborakfootball:

Menerusi pengumuman Bajet 2020 sebentar tadi, Program Pembangunan Bola Sepak Negara atau National Football Development Program menerima suntikan dana RM45 juta untuk 2020 berbanding RM15 juta pada 2019.

Ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam keberlangsungan program ini dalam melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat di Malaysia. Terbaik!

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020 langkah pertama ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menjadi langkah pertama ke arah merealisasikan objektif dan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan yang bersifat komprehensif itu selari dengan WKB 2030 untuk menstruktur semula ekonomi negara dan memacu pembangunan secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk rakyat.

“Belanjawan yang dibentangkan merupakan komitmen kerajaan untuk merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Ia adalah sebahagian integral daripada falsafah WKB 2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan siling Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding 17.3 peratus pada 2019.

Mohamed Azmin berkata peningkatan tersebut akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar dan anak muda.

Dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM1.6 billion diperuntukkan kepada masyarakat peneroka dan pekebun kecil FELDA, FELCRA dan RISDA.

Selain itu, lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk kepenggunaan digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengasah bakat dalam penggunaan teknologi baharu untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Mohamed Azmin juga berkata Belanjawan 2020 turut memberi tumpuan kepada usaha pemberdayaan anak muda dalam mendepani cabaran baharu dalam era teknologi yang serba canggih.

“Justeru, fokus terhadap program Teknikal dan Latihan Vokasional dengan peruntukan sejumlah RM5.9 bilion akan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya.

—BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Belanjawan 2020 bukti kedudukan kewangan negara kukuh

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2020 yang menyediakan peruntukan tambahan kepada pelbagai sektor membuktikan kedudukan kewangan Malaysia masih kukuh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pembentangan Belanjawan 2020 bertema ’Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’ itu menepis dakwaan ramai bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak boleh mentadbir negara dengan baik.

“Ramai berpendapat kerajaan PAKATAN tidak berpengalaman dan tidak mungkin mentadbir negara dengan baik, tetapi peruntukan tambahan diberi kepada semua pihak.

“Kedudukan kewangan masih kukuh, kita juga tidak ada non-perfoming loan (hutang yang tidak dibayar),” katanya pada sidang media selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020, yang memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan Belanjawan 2020 meningkat RM19.5 bilion berbanding peruntukan belanjawan tahun ini sebanyak RM277.5 bilion.

Dr Mahathir berkata melalui pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan masih mampu meningkatkan prestasi ekonomi walaupun menghadapi kekangan membayar hutang negara.

“Seperti dilihat pertumbuhan ekonomi pada tahun ini ialah 4.7 peratus dan tahun 2020 ia dijangka meningkat kepada 4.8 peratus.

“Ini susulan pemerintahan PH masih berjalan dengan baik walaupun terpaksa ‘membersihkan’ kerajaan, ini tidak bermakna (pentadbiran) kerajaan tidak berjalan dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri juga yakin rakyat gembira dengan pembentangan belanjawan kali ini.

“Rakyat gembira, hampir setiap orang mendapat sesuatu,” katanya.

Menjawab mengenai penurunan nilai ambang hartanah bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing, yang akan menyebabkan pemaju mengambil kesempatan menaikkan harga rumah dan memberi kesan kepada pembeli tempatan, Dr Mahathir berkata ia terhad kepada pangsapuri dan kondominium sahaja dan tidak melibatkan rumah atas tanah.

Katanya, ia perlu memandangkan terdapat hartanah yang tidak terjual dan ia tidak akan memberi kesan kepada pembeli tempatan.

“Kita perlu menjual hartanah ini. Sudah tentu akan ada pembeli warga asing tetapi pembeli dalam kalangan rakyat tempatan tidak terpinggir,” katanya.

-BERNAMA