Categories
SELANGOR

GLC disaran tubuh Unit Pengurusan Penambahbaikan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Komitmen kerajaan negeri dalam memastikan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri diurus tadbir dengan telus, berhemat, cekap serta bebas daripada rasuah juga salah guna kuasa dilanjutkan lagi dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2014, hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata agensi dan GLC antara lain disaran menubuhkan ‘unit pengurusan penambahbaikan’ untuk mempertimbangkan mekanisme terbaik bagi menyusun semula organisasi dengan menyemak peranan masing-masing dalam pembangunan negeri.

khalid songkok dun-2Katanya, mereka boleh menyemak semula struktur organisasi dengan memberi tumpuan kepada pembahagian fungsi struktur, profil jawatan dan spesifikasi jawatan yang jelas.

“GLC juga boleh membatalkan semua ‘Power of Attorney’ kepada pihak ketiga untuk memastikan aset agensi dan syarikat negeri tidak tergadai, selain mengkaji semula sebarang perjanjian konsesi atau usahasama terutama yang merugikan, selain perlu membatalkannya.

“Langkah lain yang boleh dipertimbangkan adalah menambahbaik proses perolehan termasuk berurusan terus dengan pembekal perkhidmatan atau pembuat barangan dan memperkenalkan konsep ‘Perjanjian Harga’.

“Melalui konsep itu, tempahan dapat dibuat terus tanpa perlu mengulangi proses sebut harga memandangkan harga dikunci untuk tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata, dasar GLC perlu disemak semula dan mempertimbangkan langkah bagi mengurangkan khidmat perunding, agen atau sub-kontraktor, selain membina kepakaran dalaman supaya tidak bergantung dengan pihak luar.

-NFN-

MB : Belanjawan 2014: Lima teras jadi perbelanjaan terbesar untuk rakyat

Sinopsis

FOKUS Untuk 19112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1.Belanjawan Selangor 2014 adalah kelangsungan untuk memacu negeri ke arah pembangunan berterusan dengan tema ‘Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat’, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2.Selangor membelanjakan RM101,166,500 kepada 41,945 penerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sehingga 31 Ogos lalu.

3. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan koleksi Khutbah Pilihan, Himpunan Doa Rasmi dan Himpunan Doa Harian terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

4. Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menafikan pembubaran cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pandan seperti yang didakwa Pengerusi Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.

5. Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan had jangka hayat kereta kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

6. Mahkamah Tinggi menetapkan prosiding mendengar saman fitnah RM200 juta yang difailkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain, bermula 29 Januari 2014.

7. Penantian selama 10 tahun seramai 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda di sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir.

8.Tindakan kerajaan pusat menswastakan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengancam kitaran sumber makanan utama negara dan menyebabkan harga beras pada kawalan syarikat yang memonopoli komoditi itu.

9. Kehadiran 12 pelajar dari Universitas Narotama, Surabaya, Indonesia ke Universiti Selangor (UNISEL) dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama dua institusi pengajian tinggi berprestij itu.

Categories
SELANGOR

RM4.56 bilion pendapatan daripada sektor pelancongan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 19 NOV: Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) menjangkakan seramai 6.5 juta dan 6.8 juta pelancong tempatan serta asing bakal mengunjungi Selangor, pada tahun 2014 dan 2015.

Kerajaan negeri diunjurkan menerima pendapatan sebanyak RM4.56 bilion dan RM4.77 bilion pada dua tahun berkenaan ekoran jumlah pelancong yang meningkat.

khalid songkok dun-2Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan menyediakan peruntukkan bernilai RM5.2 juta khusus untuk pelancongan termasuk promosi dan acara pelancongan, memajukan kraftangan serta menaik taraf produk pelancongan bagi tujuan berkenaan.

“Ini tidak termasuk peruntukan bagi perkara lain seperti adat Melayu dan warisan, kesenian, kebudayaan, perbandaran, pembangunan luar bandar, pembangunan usahawan belia dan sukan, pertanian serta perhutanan yang boleh menyumbang kepada pembangunan pelancongan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tourism Malaysia mensasarkan ketibaan 28 juta pelancong asing di negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pelancongan adalah salah satu sektor penting yang mampu menjana pendapatan tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2014 : Peranan belia dan wanita diiktiraf

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Selangor memperuntukkan RM11.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan dalam usaha memperhebatkan lagi peranan anak muda dalam program pembangunan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, peruntukan berkenaan termasuk RM3.5 juta bagi projek pembangunan belia, RM7.2 juta membabitkan pembangunan sukan secara am serta RM800,000 untuk menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti sukan.

pc khalid dun“Selangor amat bertuah kerana ia secara relatif adalah negeri ‘muda’ dengan potensi produktiviti yang besar daripada segi ekonomi dan tenaga kerja.

“Oleh itu, kita juga memperuntukkan RM50 juta khas daripada rizab negeri bagi tujuan Pembangunan Usahawan dan Pemerkasaan Belia,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2014, di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Selain itu, RM1.3 juta diperuntukkan bagi agenda pemberdayaan wanita dan keluarga termasuk Pusat Wanita Berdaya, kempen kesedaran keganasan rumahtangga, portal Wanita dan E-BU, kempen ‘Wanita Selangor Sihat’, program pemberdayaan ekonomi wanita, konvensyen kepimpinan wanita dan kursus kemahiran jangka pendek.

Kerajaan negeri juga menyediakan dana rizab negeri sebanyak RM30 juta sebagai perbelanjaan pembangunan bagi 2014 khusus untuk melaksanakan program menjana dan meningkatkan pendapatan wanita sebagai kesinambungan bagi agenda pemberdayaan wanita.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PBT disaran batal acara di hotel mewah, lawatan luar negara

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengurang dan membatalkan segala bentuk acara pelancaran atau penganugerahan di hotel mewah serta lawatan sambil belajar ke luar negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata PBT digalakkan menganjurkan program dan aktiviti di premis milik mereka sendiri kerana ia lebih praktikal serta menjimatkan.

khalid songkok dun-2“Masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki pengurusan dan pentadbiran PBT melalui kemajuan teknologi terkini, di samping pemahaman yang lebih baik terhadap aspirasi serta keperluan rakyat.

“Sebagai contoh, kita mensasarkan penjimatan perbelanjaan tahunan sebanyak 20 peratus jika disiplin pengurusan kewangan dan pentadbiran di peringkat PBT diamalkan,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, PBT juga boleh mengambil langkah menubuhatau memperkasakan pusat khidmat panggilan berpusat bagi menerima segala aduan untuk tindakan segera, di samping mengukur tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, PBT digalakkan untuk memanfaatkan konsep ‘economies of scale’ atau pembelian secara pukal iaitu beberapa PBT boleh bergabung untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan pada harga yang lebih rendah.

“PBT juga perlu menyemak semula kadar atau tarif lesen dan permit perniagaan supaya nilainya sepadan dengan pulangan komersil yang dinikmati pengusaha perniagaan.

“Di samping itu, kecekapan mengurus dan merancang pembinaan serta penggunaan harta awam juga penting supaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

-NFN-

 

 

Categories
SELANGOR

Hasil pelaburan di Selangor cipta 27.2% peluang pekerjaan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 19 NOV: Selangor mencatat nilai pelaburan RM53.25 bilion jauh meninggalkan pesaing terdekat iaitu Sarawak dengan RM46.35 bilion, diikuti Johor (RM44.18 bilio dan Pulau Pinang (RM38.19 bilion), sejak 2008 hingga Ogos lalu.

Selangor yang menguasai hampir 20 peratus nilai pelaburan modal di Malaysia sudah meluluskan 1,560 projek iaitu 33.1% daripada bilangan projek yang mendapat kelulusan di Malaysia dan mencipta 133,275 pekerjaan atau 27.2% daripada peluang kerja keseluruhan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pelaburan asing masih mendahului pelaburan domestik dengan nisbah 52.5:47.5 di Selangor untuk tempoh sama.

Katanya, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Selangor jatuh tempat ketiga selepas Johor dan Sarawak daripada segi jumlah pelaburan yang diluluskan.

khalid dun 4“Walaupun dalam tempoh lapan bulan ini, Selangor jatuh di tempat ketiga, selepas Johor dan Sarawak daripada segi jumlah pelaburan yang diluluskan, namun Selangor masih unggul dengan 140 projek dengan menyumbang 10,208 peluang pekerjaan.

“Dalam tempoh itu, pelabur domestik seakan mendapat suntikan semangat baru apabila pelaburan domestik menguasai 67.2% daripada pelaburan modal keseluruhan bagi Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014, di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad turut mengatur strategi dan mengenalpasti beberapa industri fokus baru dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian bagi menarik minat pelabur baru,

“Antaranya industri elektrikal dan eletronik (E&E) berteknologi tinggi juga berasaskan pengetahuan, industri makanan, bioteknologi, teknologi hijau, farmaseutikal, penjagaan kesihatan, peranti dan alat kelengkapan perubatan, logistik, pelancongan serta automotif,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan pembangunan bernilai RM1.6 juta yang disediakan khusus untuk pelaburan, manakala RM2.5 juta bagi kajian dan penyelidikan termasuk pelaksanaan pelan induk dan penyelidikan serta pembangunan ekonomi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: Kerajaan negeri fokus dua pendekatan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan negeri meggunakan pendekatan “Belanjawan Berasaskan Hasil” dan “Belanjawan Berasaskan Pencapaian” bagi memperkukuh penyediaan, pembangunan dan pengurusan belanjawan 2014.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan yang berasaskan kepada jangkaan keputusan itu turut mengambil kira pulangan serta manfaat kepada rakyat.

khalid songkok dun-2Beliau berkata, seluruh proses dan kitaran belanjawan dijangka lebih berorientasikan dasar lengkap dengan objektif dan hasil yang ingin dicapai serta kos ditanggung untuk melaksanakannya melalui belanjawan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan penilaian atau semakan perbelanjaan pertengahan tahun, sejajar dengan standard dan amalan terbaik prinsip dua pendekatan itu.

“Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008, akaun pengurusan dibentangkan kepada Menteri Besar setiap empat bulan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan.

“Penilaian pertengahan tahun ini akan mengukuhkan lagi ketelusan dan kredibiliti pentadbir awam dan menandakan suatu anjakan paradigma dalam budaya juga struktur belanjawan yang jelas berbeza antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid turut menyeru kerajaan pusat supaya bersikap profesional, telus dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan serta fiskal negara memandangkan rakyat Selangor adalah penyumbang terbesar daripada segi kutipan cukai negara.

Beliau berkata, agihan kutipan hasil cukaiperlu dilakukan secara adil dan setimpal dengan sumbangan negeri kerana Selangor tidak pernah mendapat agihan peruntukan secara terus, sejak Mac 2008.

“Lebih malang lagi apabila sejumlah dana awam tidak disalurkan kepada pentadbiran negeri tetapi diperuntukkan melalui Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) kepada mereka yang tidak mempunyai mandat mentadbir negeri seperti calon pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang kalah.

“Kerajaan pusat perlu sedar bahawa tindakan ini bukan sahaja satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor, bahkan ia akan merugikan semua pihak termasuk BN sendiri apabila rakyat semakin nekad untuk menghukum parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor cadang tubuh JK Bertindak Bebas

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Bebas yang dianggotai golongan profesional dalam pelbagai bidang dalam usaha menyemai budaya pengurusan kewangan dan fiskal yang unggul di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan untuk mengelak sebarang percanggahan kepentingan dalam pentadbiran negeri.

pc khalid dunBeliau berkata, anggota jawatankuasa yang dilantik akan diberi kuasa serta keistimewaan dengan matlamat tertentu.

“Antara matlamatnya adalah untuk mengkaji kos perolehan, perbekalan dan perkhidmatan serta mencari mekanisme untuk mengawal perbelanjaan tidak perlu atau bertindih.

“Selain itu, penubuhannya juga bermatlamat menyelesaikan karenah birokrasi dan pelbagai perkara lain berkenaan kos dan perbelanjaan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid turut mencadangkan konsep belanjawan berpenyertaan atau ‘participatory budgeting’ diperhebatkan dengan memberi tumpuan khusus kepada syor peruntukan dana awam dan cara ia dibelanjakan.

“Ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada rakyat untuk mengenalpasti keutamaan perbelanjaan dan bersama memperhalusi cadangan perbelanjaan yang memanfaatkan rakyat dan negeri ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Amalan belanja berhemah kekalkan belanja tidak defisit

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 19 NOV : Kelebihan amalan belanja berhemah membolehkan kerajaan negeri tidak membentangkan belanjawan defisit dan tidak meminjam daripada kerajaan pusat untuk menampung perbelanjaan, sejak lima tahun mentadbir Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pengurusan kewangan dan fiskal itu boleh dijadikan teladan kepada negeri lain dan kerajaan pusat.

pc khalid dunKatanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan amalan menyemak belanjawan setiap enam bulan secara berkala apabila Perbendaharaan Negeri digesa membuat imbangan pada penyata kewangan setiap bulan.

“Dengan cara itu, kita dapat memantau keseimbangan di antara perbelanjaan negeri supaya tidak berbelanja di luar kemampuan sehingga menyebabkan defisit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, secara asasnya pendapatan negeri diperoleh daripada Hasil Kutipan Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

“Perbelanjaan pula terbahagi kepada dua kompenan utama iaitu Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan, manakala rizab simpanan sama ada dalam bentuk tunai atau aset pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 mengetengahkan konsep percukaian yang lebih progresif, lebih mudah dan bertanggungjawab serta mempunyai pelbagai mekanisme yang menjamin disiplin fiskal.

Katanya, belanjawan Barisan Nasional (BN) pula terlalu fokus kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mempelbagaikan pendapatan negara tetapi tidak menerokai kaedah penjanaan pendapatan lain.

“Semua cadangan PR itu mampu membuatkan Malaysia mencapai belanjawan berimbang menjelang 2007 atau selewat-lewatnya 2018. Belanjawan BN tidak cuba menangani masalah kos apabila hanya subsidi dan perbelanjaan pembangunan yang menjadi mangsa pengurangan, namun kompenan lain dalam perbelanjaan mengurus diunjurkan melonjak,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor teruskan tradisi Belanjawan Berimbang untuk 2014

Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Negeri Selangor terutama Speaker Puan Hannah Yeoh kerana memudahkan pembentangan Belanjawan 2014 yang bertemakan “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat”.

Sepertimana yang saya bentangkan di dalam Dewan, Belanjawan Negeri Selangor 2014 berjumlah RM1.85 bilion yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Selangor. Selain daripada itu, kita juga umumkan rancangan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi membiayai pembangunan untuk rakyat Selangor.

Ini bermakna kerajaan Selangor bersedia untuk membelanjakan RM2.28 bilion di mana RM1.055 bilion atau 46.3% adalah untuk pembangunan manakala RM1.225 bilion atau 53.7% untuk pengurusan.

Penggunaan rizab ini dapat dilakukan setelah simpanan negeri mencapai tahap optimum melebihi perbelanjaan pengurusan beberapa kali ganda.

pembentangan-bajet-2014Bermula tahun hadapan, semua perincian mengenai pengunaan rizab mestilah dibentangkan dan mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor dan ini amat penting agar rakyat mendapat jaminan bahawa dana rizab digunakan sebaik mungkin.

Saya juga telah memaklumkan sidang Dewan bahawa Kerajaan Negeri akan memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam bulan agar dapat memantau keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan supaya perbelanjaan luar kemampuan tidak berlaku.

Kita juga akan memperluaskan budaya pengurusan kewangan yang unggul dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas dianggotai oleh golongan profesional untuk mengkaji struktur kos bagi perolehan, perbekalan dan perkhidmatan.

Satu Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga akan ditubuhkan antara lain untuk menyemak segala aspek berkaitan proses, prosedur, sistem dan modal insan untuk diselaraskan dengan standard dan amalan antarabangsa.

Adalah amat jelas melalui pembentangan belanjawan kali ini, Kerajaan Pakatan Rakyat mahu meneruskan satu tradisi pengurusan kewangan yang pragmatik, berhemah, telus dan bertanggungjawab.

Tradisi sebegini perlu sentiasa dipupuk dan dipelihara agar generasi akan datang dapat mewarisi satu sistem pengurusan dan pentadbiran yang holistik untuk pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Saya amat berharap Dewan Negeri Selangor akan menyaksikan perbahasan yang professional dan bermutu tinggi di kalangan semua ADUN – termasuk dari pihak pembangkang dengan tumpuan ke atas polisi dan idea.
*
Sekian, Terima kasih.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ringkasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2014

Bertemakan “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat”, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan belanjawan berimbang dengan peruntukan sebanyak RM1.85 billion.

RM1,225,080,210.00 atau 66.2% telah disediakan bagi Perbelanjaan Mengurus. Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM1,107,046,687.00 dan Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM118,033,523.00. Agihan terperinci Perbelanjaan Mengurus:

(a) Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak RM421,748,946.00 atau 34.43%;
(b) Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak RM411,801,227.00 atau 33.61%;
(c) Emolumen sebanyak RM370,522,216.00 atau 30.24%;
(d) Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain sebanyak RM14,591,101.00 atau 1.19% dan
(e) Aset sebanyak RM6,416,720.00 atau 0.52%.

Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM624,919,790.00 atau 33.78% daripada Perbelanjaan Keseluruhan. Agihan perbelanjaan berdasarkan sektor:

(a) Infrastruktur (komponen terbesar) – RM388,728,030.00 atau 62.20%
(b) Sosial – RM143,182,140.00 atau 22.91%
(c) Ekonomi – RM90,401,601.00 atau 14.47%
(d) Perbandaran – RM2,608,010.00 atau 0.42%

Peruntukan bagi sektor Infrastruktur:
a) Kemudahan Awam – RM357,272,280.00 atau 91.91%
b) Sains, Teknologi dan Inovasi – RM22,956,420.00 atau 5.91%
c) Perumahan – RM8,499,330.00 atau 2.19%.

pembentangan-bajet-2014Peruntukan bagi sektor Sosial:
a) MES – RM77,850,030.00 atau 54.37%
b) Pendidikan – RM26,300,050.00 atau 18.37%
c) Modal Insan – RM8,682,020.00 atau 6.06%
d) Sukan – RM8 juta atau 5.59%
e) Kampung Baru – RM5 juta atau 3.49%
f) Belia – RM3.5 juta atau 2.44%
g) Lain-lain – RM13,850,040 atau 9.67%

Peruntukan bagi sektor Ekonomi:
a) Kewangan – RM51,620,000.000 atau 57.10%
b) Pertanian – RM17,481,600.00 atau 19.34%
c) Pembangunan Usahawan – RM7,850,010.00 atau 8.68%
d) Pelancongan – RM5.4 juta atau 5.97%
e) Sumber Alam – RM3.65 juta atau 3.65%
f) Kajian dan Penyelidikan – RM2.8 juta atau 3.1%
g) Pelaburan – RM1.6 juta atau 1.77%

Peruntukkan sektor Perbandaran:
a) Kerajaan Tempatan – RM2.2 juta atau 84.36%
b) Pengurusan Sisa Pepejal Pulau Ketam – RM408,000 atau 15.64%

Hasil Keseluruhan Negeri Selangor bagi 2014 bernilai RM1.85 billion
(a) Hasil Cukai – RM587.6 juta atau 31.76%
(b) Hasil Bukan Cukai – RM1,066,592,873.00 atau 57.65%
(c) Terimaan Bukan Hasil – RM195,807,127.00 atau 10.58%

Setakat 31 Oktober 2013, Kumpulan Wang Disatukan Selangor atau rizab negeri dalam bentuk wang tunai dan aset pelaburan telah mencecah RM2,712.85 juta.

Rancangan penggunaan rizab berjumlah RM430 juta bagi enam inisiatif:
a) RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Kelang
b) RM100 juta bagi pembinaan rumah mampu milik
c) RM50 juta bagi pembinaan beberapa bangunan sekolah
d) RM50 juta bagi pembangunan usahawan dan pemberdayaan belia
e) RM50 juta bagi pembangunan desa
f) RM30juta bagi pemberdayaan wanita

Dicampur penggunaan rizab, Kerajaan Negeri diunjurkan akan membelanjakan RM2.28 billion secara keseluruhan bukan hanya RM1.85 bilion dengan pecahan seperti berikut:
(a) Perbelanjaan Mengurus – RM1,225.08 juta atau 53.7%
(b) Perbelanjaan Pembangunan – RM1,024.92 juta atau 46.3%

Teras I

Cadangan ditubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Bebas:
a) Mengkaji struktur kos perolehan, perbekalan dan perkhidmatan
b) Mengawal dan kemudiannya mungkin memotong perbelanjaan tidak perlu atau bertindih
c) Menyelesaikan karenah birokrasi dan pebagai perkara lain berkaitan dengan kos dan perbelanjaan

Cadangan supaya dilakukan satu kajian terhadap konsep ‘participatory budgeting’.

Teras II

Inisiatif ‘Pejabat kepada Rakyat’
Kemudahan akses secara ‘online’
Program ‘Hari Bertemu Pelanggan’ di kawasan kejiranan

Mendigitalkan segala dokumentasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS)

Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan PBT:
a) Menubuhkan atau memerkasakan ‘Call Center’ berpusat.
b) Menjadi lebih fokus kepada inisiatif pencegahan dalam kerja-kerja penyelengaraan untuk mengelakkan kos tinggi
c) Memanfaatkan faedah ‘economies of scale’ seperti pembelian secara pukal antara PBT untuk mengurangkan kos
d) Menyemak semula kadar atau tarif lesen dan permit perniagaan yang nilainya tidak sepadan dengan pulangan komersil.
e) Menjamin pengurusan dan perancangan harta awam secara holistik dan komprehensif agar memberi manfaat kepada masyarakat setempat
f) Mengurangkan dan seterusnya membatalkan acara pelancaran dan penganugerahan di hotel-hotel mewah serta lawatan sambil belajar ke luar negara

GLC negeri, pembekal dan kontraktor diwajibkan menyertai program ‘Corporate Integrity Pledge’ dan menandatangani ‘Integrity Pact’ dengan pihak Transparency International Malaysia.

Menyokong dasar melindungi pemberi maklumat bagi kakitangan kerajaan, agensi dan GLC negeri dan menggalakkan laporan kepada pihak berkuasa jika ada sebarang salahlaku kewangan atau amalan rasuah.

Langkah-langkah lanjutan bagi reformasi agensi dan GLC negeri:
a) Menubuhkan ‘unit pengurusan reformasi’
b) Menyemak semula struktur organisasi
c) Menyelaras prosedur niaga dengan ‘SOP’ dan Piagam Pelanggan yang jelas
d) Membatalkan semua ‘Power Of Attorney’ kepada pihak ketiga
e) Mengkaji semula sebarang perjanjian konsesi atau usahasama yang merugikan agensi dan GLC negeri
f) Menambahbaik proses perolehan dan perbekalan
g) Menyemak semula dasar mendapatkan khidmat perunding, agen atau sub-kontraktor

Penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi dan GLC Negeri untuk:
a) Menyemak aspek proses, prosedur, sistem dan modal insan jentera pentadbiran awam, agensi dan GLC negeri
b) Memantau segala aspek pelaksanaan dasar dan strategi seperti yang diputuskan
c) Menggariskan mekanisme kerjasama di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta

Teras III

Industri tumpuan baharu dalam strategi menarik minat pelabur pada masa hadapan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian – industri E&E berteknologi tinggi berasaskan pengetahuan, teknologi hijau, farmaseutikal, penjagaaan kesihatan, peranti dan alat kelengkapan perubatan, logistic, pelancongan dan automotif

Negeri Selangor diunjurkan akan menerima seramai 6.5 juta dan 6.8 juta pelawat asing dan tempatan di samping meraih pendapatan sebanyak RM4.56 billion dan RM4.77 billion masing-masing bagi tahun 2014 dan 2015 sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Melawat Selangor 2015.

Teras IV

Meneruskan kesinambungan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor

Memulakan pelaksanaan berperingkat tawaran Manifesto ‘Meneruskan Kecemerlangan’

Memastikan kejayaan penstrukturan semula industri air di Selangor

Melaksanakan cadangan-cadangan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (SPTC)

Peruntukkan RM101 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) bagi agenda perumahan mampu milik berkualiti pada tahun 2014

Perbelanjaan pembangunan pendidikan bagi tahun 2014 sebanyak RM26 juta:
a) Bantuan kepada sekolah-sekolah agama, Cina dan Tamil – RM16 juta
b) Program pendidikan secara umum – RM5 juta
c) Program pendidikan tinggi – RM2 juta bagi
d) Program kemahiran teknikal – RM2 juta
e) Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang – RM1 juta

Menubuhkan Tabung Perubatan Khas Penyakit Kritikal (TPKPK)
a) Penilaian kelayakan akan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Sosial (JPS) di hospital-hospital awam terpilih
b) Bantuan kewangan akan disalurkan terus kepada pihak hospital melalui JPS

Teras V

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM63.7 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) pembangunan usahawan, pemerkasaan belia dan sukan

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM31.3 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) bagi agenda pemberdayaan wanita dan keluarga

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM73.5 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) untuk pembangunan luar bandar:

RM45.12 juta dan RM1.15 juta disediakan untuk agenda perkhidmatan masyarakat dan program Kerajaan Prihatin termasuk peruntukkan bagi AMMKN, ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, ketua kampung, pengerusi JKKK dan ketua komuniti.

Peruntukkan sebanyak RM7.8 juta bagi pembangunan insane, hal-ehwal kepenggunaan dan program kebajikan terutamanya untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asal, golongan berpendapatan rendah dan golongan minority lain.

Peruntukan RM5.5 juta bagi agenda pemuliharaan alam sekitar dan sumber alam termasuk peruntukkan bagi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Peruntukan sebanyak RM3.05 juta bagi program kebudayaan, kesenian dan warisan:
a) RM500,000 untuk aktiviti dan acara kebudayaan dan kesenian
b) RM2.55 juta bagi adat Melayu dan warisan semua kaum di Selangor

Disediakan oleh:

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

Ekonomi Selangor berkembang 6.1 % tahun depan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 19 NOV : Ekonomi Selangor dijangka berkembang pada kadar 6.2 peratus tahun ini lebih perlahan berbanding 7.1 peratus yang dicapai pada 2012.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014, berkata unjuran pertumbuhan perlahan itu berdasarkan kelesuan beberapa petunjuk makro utama dan prestasi sederhana bagi statistik beberapa sektor ekonomi di sepanjang tiga suku tahun pertama.

Katanya, momentum ekonomi negeri dijangka tidak banyak berubah pada 2014 berbanding tahun 2013 dengan unjuran pertumbuhan KDNK, pada kadar 6.1 peratus.

khalid songkok dun-2Beliau berkata, sektor pertanian diunjurkan tumbuh lebih perlahan iaitu pada kadar 5.2 peratus tahun ini, berbanding 5.5 peratus pada 2012.

“Namun, sub sektor seperti ternakan, kelapa sawit, perikanan dan pertanian lain dijangka akan terus menyumbang kepada sektor pertanian serta mendorong unjuran pertumbuhan pada kadar 5.1 peratus bagi 2014,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian pula dijangka kekal sebagai peneraju pertumbuhan di kalangan semua sektor ekonomi dengan kadar unjuran 18 peratus bagi tahun 2013 dan 12.5 peratus bagi 2014, berbanding 16.7 peratus bagi 2012 yang diransang dengan aktiviti pembinaan.

“Sub sektor perumahan terutamanya kos rendah dan pertengahan serta projek infrastuktur dijangka akan terus menjana pertumbuhan dwi digit bagi sektor ketiga terbesar negeri Selangor, manakala sektor pembinaan dengan unjuran 10.3 peratus bagi 2013, tetapi perlahan bagi 2014, iaitu pada kadar 9.3 peratus,” katanya.

Manakala, sektor ekonomi terbesar negeri iaitu sektor perkhidmatan diunjurkan pada kadar 6.0 peratus dan 6.1 peratus bagi 2013 dan 2014 yang akan dipacu sub sektor.

“Ia terdiri daripada perkhidmatan kerajaan membabitkan kewangan insurans, hartanah, manakala perkhimatan perniagaan pula adalah perdagangan borong dan runcit, kediaman, restoran serta utiliti, pengangkutan dan komunikasi.

“Bagi sektor pembuatan pula, ia dijangka memuaskan dengan unjuran pertumbuhan 5.5 peratus dan 5.1 peratus bagi 2013 dan 2014,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, pihaknya dalam usaha mengambilalih semua kos prasarana kolej dan universiti milik kerajaan negeri termasuk Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ekoran kelemahan pentadbiran kewangan akibat penyelewengan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, langkah itu diambil supaya pentadbiran universiti dan kolej tidak dibebankan dengan kos infrastuktur tetapi hanya perlu mengurus kos operasi harian supaya institusi dapat menumpukan perhatian kepada penambahbaikan mutu pendidikan, selepas mengambil kira Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012 yang menyentuh berkenan perkara terbabit.

-NFN-