Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Rakyat boleh beri cadangan di laman sesawang khas

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Orang ramai dipelawa untuk menyumbang cadangan masing-masing bagi penyediaan input Belanjawan 2020 secara dalam talian di laman sesawang khusus – belanjawan2020.treasury.gov.my mulai 9 Ogos sehingga 11 September ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia bagi membolehkan semua lapisan masyarakat turut sama terbabit mengemukakan pandangan selaras dengan usaha kerajaan membina negara dan menyejahterakan rakyat.

“Justeru, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input atau cadangan di laman sesawang khas belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sejajar usaha itu, Guan Eng berkata, kerajaan sudah menganjurkan Majlis Konsultasi Bajet iaitu forum utama untuk pelbagai pihak mewakili sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi menyumbang idea serta cadangan konstruktif untuk dipertimbang sebagai input dalam merangka strategi juga langkah berkaitan belanjawan.

“Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan turut diadakan bersama kerajaan negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta kementerian bermula esok (9 Ogos),” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 1% berbanding Putrajaya tapi manfaat menyeluruh

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 10 FEB: Walaupun belanjawan Selangor hanya berjumlah RM3.2 bilion atau satu peratus berbanding peringkat persekutuan yang mencecah RM300 bilion, namun ia memberi manfaat yang sangat besar kepada rakyat negeri itu.

Dato’Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu berikutan kecekapan Kerajaan Negeri menguruskan kewangan dan kekayaan Selangor dengan intergiriti yang tinggi bagi memastikan hasil negeri itu dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Belanjawan Selangor ini taklah besar sangat. Tahun ini RM3.2 bilion untuk kita belanjakan jika dibandingkan dengan negeri lain yang masih besar tetapi dengan Putrajaya hanya satu peratus sahaja.

“Belanjawan Putrajaya RM300 bilion tetapi saya bersyukur walaupun belanjawan kita cuma satu peratus daripada belanjawan persekutuan, namun terlalu banyak program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang sudah dan akan kita jalankan selain akan mengangkat umat serta rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf dan Solat Asar di Surau Al-Islah AU2, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, antara skim yang diperkenalkan di bawah program IPR termasuk skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang dilancarkan, pada 22 Januari lalu.

Katanya, keadaan terbabit menyebabkan Selangor pada hari ini menjadi tumpuan penduduk di luar negeri itu yang turut ingin merasai nikmat sebagai rakyat Selangor.

Beliau berkaya, kejayaan itu diperolehi melalui usaha keras semua pihak termasuk rakyat dan anggota penjawat awam Selangor yang profesional serta berintergriti.

Categories
SELANGOR

Selangor sumbang RM251.6 bilion, Persekutuan salur ke negeri BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Sumbangan Selangor terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat RM11.6 bilion kepada RM251.6 bilion, pada tahun 2016.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu menjadikan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar KDNK negara dengan 22.7 peratus berbanding jumlah keseluruhan.

“Ini menyaksikan peningkatan RM11.6 bilion dari tahun 2015. Jika Kerajaan Persekutuan memegang semangat federalisme dan memulangkan sejumlah dana yang lebih adil kepada Selangor, saya yakin belanjawan negeri akan menterjemahkan lebih banyak pembangunan untuk rakyat negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Katanya, ketika ini Selangor memainkan peranan besar membantu negeri lain termasu dikuasai Barisan Nasional (BN) melalui sumbangan besar KDNK negeri termaju itu.

Katanya, walaupun memahami Kerajaan Persekutuan tidak dapat menyalurkan jumlah sama dengan apa yang disumbangkan Selangor tetapi berharap sekurang-kurangnya satu jumlah yang lebih adil dapat disalurkan kepada negeri itu.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Ahli Dewan Negeri terima RM200,000 perkenal Tabung Penyayang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan Tabung Penyayang melalui peruntukan tambahan RM200,000 kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan berkenaan turut disalurkan kepada Penyelaras Dewan Negeri dan Parlimen untuk tujuan program kemasyarakatan.

Katanya, pelaksanaannya juga disalurkan bagi penganjuran program ziarah medik dan keperluan kebajikan seperti sumbangan makanan asas serta keperluan persekolahan.

“Saya juga ingin mencadangkan peruntukan tahunan JKKK dinaikkan dari RM10,000 setahun kepada RM20,000.

“Ia bagi membantu 371 JKKK Kampung Tradisi dan 78 JKKK Kampung Tradisi dan 78 JKKK Kampung Baru Cina dan Bagan untuk menganjurkan aktiviti kampung serta program mesra rakyat,” katanya ketika membentangkan cadangan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor, petang tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Mohamed Azmin berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: Peruntukan projek bantuan sekolah ditambah RM2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menaikkan peruntukan projek bantuan sekolah dari RM22 juta kepada RM24 juta, bagi tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenaikan itu menyaksikan peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dinaikkan dariRM9 juta kepada RM10 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari RM5 juta kepada RM6 juta.

Mengikut rekod, peruntukan untuk projek bantuan sekolah meningkat dari RM16 juta pada tahun 2016 kepada RM22 juta untuk tahun ini.

Pertambahan itu untuk membantu Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM2 juta, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) pula RM1 juta.

 

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kekal kecuali cukai taksiran, fi lesen niaga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri kekal melaksanakan pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pengecualian itu menyaksikan Kerajaan Negeri akan menanggung perbelanjaan RM70 juta.

“Langkah menyantuni penduduk kampung baru dan kampung bagan serta pemilik rumah kos rendah juga peniaga kecil yang dilaksanakan saban tahun sejak 2016 akan diteruskan, pada 2018.

“Ia memandangkan kadar inflasi yang terus meningkat, justeru sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri sekali lagi akan mengecualikan cukai taksiran dan fi lesen perniagaan.

“Pengecualian ini akan ditanggung Kerajaan Negeri sebanyak RM70 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang tadi.

Terdahulu, Kerajaan negeri memberikan pengecualian cukai taksiran selama setahun kepada rumah kampung, rumah kos rendah dan fi lesen perniagaan penjaja kecil.

Pengecualian bertujuan mengurangkan beban penduduk sebagai persediaan untuk tahun akan datang yang dijangkakan mengalami kelembapan ekonomi ekoran kenaikan kos sara hidup.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM10 juta biayai pesakit jantung

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memulakan langkah proaktif bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberikan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah, mulai tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaan itu ekoran cardiovascular disease (CVD) adalah pembunuh nombor satu negara,

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit jantung dalam kalangan rakyat Selangor menerusi bentuk kerjasama strategik antara IJN dan Selgate Corporation untuk membina ‘medical city’ di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung yang dimeterai, pada 31 Oktober lalu.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kewangan kepada pusat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif sebagai rasa simpati untuk pesakit kanser dan keluarga.

Katanya, penjagaan paliatif adalah satu perkhidmatan yang menumpukan peningkatan kualiti hidup dalam kalangan pesakit dan RM3 juta akan disediakan untuk permulaan, bagi tahun 2018.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM1 juta tangani kesihatan mental

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Masalah kesihatan mental dalam masyarakat semakin membimbangkan dan memberi impak masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kesedihan, ketagihan alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menghargai sumbangan badan bukan kerajaan dan pelbagai pertubuhan seperti Malaysian Mental Health Association, Befrienders serta Relate Malaysia yang mengambil inisiatif untuk memupuk kesedaran juga mendidik masyarakat mengenai masalah kesihatan mental melalui kaunseling selain wacana pendidikan.

“Dengan itu, Belanjawan 2018 akan memperuntukkan RM1 juta sebagai usaha Kerajaan Negeri menyokong program pertubuhan dan lembaga swadaya masyarakat bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk membantu pasangan muda, keluarga juga individu yang menghadapi tekanan emosi serta kemurungan.

“Mesej Kerajaan Negeri kepada pesakit mental adalah anda tidak bersendirian. Seperti lirik Michael Jackson, “You are not alone, I’m here with you”.

“Jika ingin meluahkan perasaan anda, Kerajaan Negeri sentiasa sedia mendengar dan memberi sokongan emosi. Kerajaan Negeri mengambil peduli di saat paling gelap dalam hidup anda,” katanya.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM30 juta untuk teruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta lagi bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi tahun 2018 ekoran sambutan yang menggalakkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan khususnya di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga kawasan industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri sudah membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ‘ridership’ dalam tempoh 3 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan dana sejumlah RM18.6 juta untuk menyediakan 22 bas termasuk Bas Elektrik membabitkan empat laluan.

Mohamed Azmin berkata, usaha Kerajaan Negeri itu mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Most Number of Free Shuttle Bus Services Provided By State Government’ pada 24 September lalu.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Laksana Smart Agro tingkat hasil tani

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan Smart Agro atau Smart Farming menggunakan ‘sensing technology’ yang menjadikan proses pertanian lebih pintar dan saling berhubung.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji dengan lebih mendalam konsep ‘individualized smart agro’ untuk menghasilkan tanaman berkhasiat, mempertingkatkan keluaran makanan dari bandar serta menyumbang kepada ekonomi sosial dan persekitaran hijau

“Antara aspek lain dalam smart agro adalah konsep ‘Smart Community Garden’ khususnya di kawasan bandar. Konsep ini menggunakan pengairan, pemantauan tanah dan pengawalan serangga secara automatik serta pembajaan pintar yang dilaksanakan di Eropah dan dikenali sebagai Swiss Smart Garden Ecosystem.

“Kerajaan Negeri mensasarkan pengeluaran agro makanan bernilai RM500 juta setahun, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri melebihi 1.6 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta pada 2018 dengan RM12.94 juta daripadanya diperuntukkan untuk meningkatkan pengeluaran padi, kelapa, buahan-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

Menurut Food &Agriculture Organisation (FAO), penduduk dunia akan meledak kepada 9.6 bilion, menjelang 2050.

Justeru, dunia akan berdepan dengan cabaran besar untuk mengeluarkan makanan yang perlu meningkat sebanyak 70 peratus.

Dengan kawasan pertanian yang semakin terbatas, peningkatan keperluan kepada sumber air dan dampak daripada perubahan iklim akan menggugat pengeluaran pertanian.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: Peduli Siswa diperluas bantu mahasiswa Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Program Peduli Siswa selain memperkenalkan Peduli Siswa Timur Tengah dengan peruntukan RM10 juta, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program yang dimulakan tahun ini dengan peruntukan RM10 juta itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan mahasiswa.

“Sehingga Oktober lalu, seramai 738 mahasiswa menerima pembiayaan dalam bentuk pinjaman boleh ubah di empat IPTA iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.

Katanya, hasil lawatan ke Maghribi, Jordan dan Mesir tahun ini menyaksikan pembiayaan kepada mahasiswa diperluaskan dengan pembiayaan RM3.45 juta kepada 988 pelajar.

Di samping itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan pembiayaan biasiswa kepada RM5 juta bagi pelajar yang sedang dan akan mengikuti Program Kemahiran Teknikal, di Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS).

Secara keseluruhan, peruntukan Peduli Siswa juga merangkumi bantuan sara diri kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL, KUIS dan Kolej INPENS bagi meringankan beban sara hidup sementara menunggu kelulusan pembiayaan pendidikan.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

#Selangor18: Salur RM7.8 juta, Selangor iktiraf peranan wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Peranan wanita seluruh negeri terus diiktiraf menerusi komitmen golongan itu dalam membantu Kerajaan Negeri memajukan Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu merealisasikan potensi wanita bagi menyumbang kepada pembangunan negeri dan sosioekonomi.

“Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan terus membantu bagi merealisasikan potensi wanita menyumbang kepada pembangunan negeri dan sosio ekonomi.

“Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan RM7.8 juta untuk Institut Wanita Berdaya (IWB), Pusat Wanita Berdaya (PWB), program pembangunan institusi keluarga dan Skim Kesihatan Wanita, ” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Institut Wanita Berdaya dan Pusat Wanita Berdaya berjaya menggubal Dasar Wanita Selangor yang bersifat inovatif.

“Ia dilaksanakan demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat yang maju dan progresif.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan sokongan kepada IWB dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta, bagi tahun 2018. Kerajaan Negeri mengakui kejayaan PWB menyuntik dinamisme dalam masyarakat melalui program pemberdayaan ekonomi dan program bersifat advokasi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan untuk setiap PWB ditingkatkan daripada RM30,000 setahun kepada RM50,000.

“Ini menjadikan peruntukan PWB bagi tahun 2018 meningkat kepada RM2.8 juta,” katanya.