Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lantik Hishammuddin taktik Najib kekal PM?

SHAH ALAM 13 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat hilang keyakinan kepada timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta terhadap orang kuatnya sendiri seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Salleh Said Keruak and Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ia berdasarkan perkembangan terkini pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

“Ini merupakan kegagalan serangan propaganda baru yang dilancarkan selepas Umno mengalami ‘pembersihan’ pada Julai 2015 yang menyaksikan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Strategik Media BN yang baru,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang berkata pelantikan Hishammuddin di Jabatan Perdana Menteri dilihat sebagai percaturan Najib untuk mengekalkan kuasanya.

Katanya langkah itu untuk memastikan Perdana Menteri itu kekal memerintah dengan menyelamatkan dirinya daripada penyingkiran sama ada melalui pilihan raya mahupun pemberontakan dalaman Umno.

Menurut beliau, Hishammuddin yang merupakan menteri kesepuluh yang dilantik Najib Razak menyertai pasukannya akan menjadi menteri terpenting dalam Kabinet dan didakwa merupakan de facto Timbalan Perdana Menteri – jawatan yang ketika ini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya menjangkakan Hishammudin akan mengepalai kempen Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) demi memastikan Umno-BN kekal di Putrajaya dan Najib Razak tetap menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar

kenali kampungku

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan.

Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat.

“Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

“Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup ‘Bengkel Kenali Kampungku’ di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung.

Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu.

Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,”ujarnya.