Categories
NASIONAL SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

2. Peserta-peserta Bengkel Kenali Kampungku berkata penganjuran bengkel dan strategi baru Program Pembangunan Desa berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.

3. Bidang agro pelancongan berpotensi untuk dimajukan di DUN Sekinchan sesuai dengan aktiviti masyarakat, sektor pertanian dan perkembangan industri hiliran di situ.

4. Pandangan Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendakwa ‘tiada subsidi dalam Islam’ dan yang ada ‘adalah cukai’ adalah pandangan politik sempit yang tidak berlandaskan ilmu dan realiti masa kini kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri berada di atas landasan betul

kenali kampungku 02

SHAH ALAM, 11 SEPT : Peserta-peserta Bengkel Kenali Kampungku berkata penganjuran bengkel dan strategi baru Program Pembangunan Desa berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.

Seorang peserta dari Sungai Air Tawar, Ahmad Mustain Othman, 45, berkata sejak sekian lama penduduk desa mahu Kerajaan Negeri yang benar-benar peduli dengan suara mereka.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana memberi ruang kepada rakyat bersama-sama dalam mengubal sesuatu dasar khususnya dalam pembangunan desa.

“Peluang seumpama ini jarang berlaku, kebiasaannya kerajaan sebelum ini akan menurunkan sesuatu dasar atau program terus kepada rakyat tanpa bertanya apa yang rakyat mahukan, akhirnya ia gagal dilaksana,” ujarnya.

Antara objektif bengkel tersebut ialah menilai kapasiti serta aset komuniti dalam aspek tenaga kerja, sumber alam yang boleh diteroka serta peluang ekonomi dan halangan dalam menjana pendapatan penduduk desa.

Mustain menambah, amalan keterbukaan dan kepedulian Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat mendengar pandangan golongan bawahan wajar diteruskan.

“Ini adalah sesuatu yang luar biasa dan saya yakin apa yang dirancang ini pasti akan berjaya, kerana apa yang diturunkan adalah apa yang rakyat mahu dan rakyat mampu lakukan,”jelasnya.

Categories
SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar

kenali kampungku

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan.

Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat.

“Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

“Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup ‘Bengkel Kenali Kampungku’ di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung.

Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu.

Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,”ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Saifuddin galas tanggungjawab majukan pembangunan desa

SUK-Saifudin-MB

SHAH ALAM 2 SEPT: Setiausaha Kehormat PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan menggalas tanggungjawab memajukan program pembangunan desa di Selangor, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata, program itu dirancang bagi penggal kedua selepas pelbagai program kebajikan melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dipraktik kerajaan negeri sejak 2008 mencapai kejayaan.

Beliau berkata, ia tambahan kepada program sedia ada supaya kemajuan di luar bandar dititik berat menerusi pelbagai aktiviti selepas mengenal pasti kumpulan sasaran untuk dibantu.

“Kita akan jalankan program itu dengan menjelajah ke setiap daerah di Selangor dan Saifuddin diberi tanggungjawab mengendalikannya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, tiada masalah dalam penugasan kepada Saifuddin walaupun Setiausaha Agung PKR itu sibuk dengan urusan parti, selagi menjalankan tugas yang diamana.

Malah, beliau berkata, situasi sama dialaminya ketika berkhidmat di Guthrie Berhad (Guthrie) apabila dipertanggungjawabkan bagi pembangunan ekonomi Islam yang menyebabkannya sentiasa bertugas di luar.

“Kalau duduk di pejabat mungkin maknanya tak buat kerja,” katanya.

Selain itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga akan memberi penerangan mengenai manifesto pilihan raya supaya rakyat mendapat gambaran jelas mengenai program Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, program itu akan dijalankan di bawah kelolaan Exco Selangor bersama Adun negeri itu.