Categories
SELANGOR

MB umum 1/2 bulan gaji untuk kakitangan Kerajaan Selangor

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 27 NOV:  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan Selangor.

Membuat pengumuman itu pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata bayaran akan dibuat pada Januari 2014 melibatkan sejumlah RM14,821,252 kepada 15,643 kakitangan.

DNSAbdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang), berkata pemberian bonus itu ekoran hasil usaha keras kakitangan awam sehingga berjaya mengutip hasil melebihi unjuran Kerajaan Negeri.

“Hasil negeri yang dikutip setakat 27 November 2013 berjumlah RM1,899,018,572 dan jumlah ini 16 peratus lebih dari yang dianggar.

“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada kakitangan negeri yang berusaha keras untuk Selangor. Dan, dengan ini, saya mengumumkan setengah bulan bonus kepada semua 15,643 kakitangan Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna pada 2013, kakitangan Kerajaan Negeri mendapat satu setengah bulan termasuk bonus Hari Raya satu bulan yang kita beri pada sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam di Selangor supaya secara beransur-ansur menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi.

– FZL

Categories
SELANGOR

Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Raya Sebulan Gaji

mb senyum kakitangan negeri 01SHAH ALAM, 24 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri itu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta dan seramai 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan akan menerima pembayaran bonus berkenaan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Abdul Khalid berkata, pemberian bonus ini diharap dapat meringankan tanggungan warga kerja Kerajaan Negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

“Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan,” kata beliau.

Abdul Khalid mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, jika Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awamnya, Kerajaan Negeri juga turut sama mengikutinya.

“Sekiranya kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Selangor Beri Kupon Raya RM 100, Bonus Kakitangan GLC

org beli baju raya 12 jul 01

SHAH ALAM 17 JULAI : Seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Manakala bagi kakitangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), mereka bakal menerima bonus raya sebulan gaji, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi program Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut.

Abdul Khalid menambah setiap keluarga yang berpendapatan di bawah RM 1,500 layak menerima bantuan itu dan perlu mendaftar di Pusat Khidmat Masyarakat dengan segera.

“Kupon ini melibatkan keluarga dari setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Dun di bawah Barisan Nasional.

“Kupon-kupon ini akan diedarkan kepada penerima oleh wakil rakyat di kawasan terlibat atau Pegawai Penyelaras bagi kawasan Dun pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, di sini.

“Bantuan ini merupakan salah satu program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meneruskan program-program kebajikan di bawah MES yang ternyata mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman bonus raya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi kakitangan awam negeri.

“Sekiranya ada, Kerajaan Negeri akan memberikan bonus raya bergantung kepada Kerajaan Pusat.

?Tetapi bagi kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), kita bersetuju untuk memberikan sekurang-kurangnya sebulan gaji,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bonus Untuk Staf Pusat Khidmat DUN

khalid dun 5

SHAH ALAM 1 JULAI :  Kerajaan Negeri bakal memberi bonus kepada kakitangan pusat khidmat DUN yang mencapai target dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian itu bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Katanya, pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan nanti.

“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan.

“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan Negeri.

“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.

Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.

Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.