Categories
AGENDA NASIONAL

Individu, majikan terjejas banjir diberi penangguhan bayar cukai

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Atas dasar prihatin, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi penangguhan bayaran cukai terhadap pembayar cukai dan majikan yang terjejas akibat bencana banjir.

Dalam kenyataan hari ini LHDN memaklumkan susulan penangguhan itu tarikh akhir bayaran Anggaran Cukai Kena Dibayar (CP204) bagi Disember ini dilanjutkan sehingga 31 Januari depan, manakala bayaran ansuran siasatan, audit, pungutan, guaman sivil bagi Januari depan ditangguhkan sehingga Februari.

Menurutnya, tarikh akhir bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) atau CP38 pekerja bagi bulan saraan Disember ini pula dilanjutkan untuk diremit hingga 31 Jan depan berserta bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga ke suatu tempoh yang dimohon oleh pembayar cukai.

Sementara itu pembayar cukai dan majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran itu melalui e-mel dan borang maklum balas yang boleh dicapai di portal rasmi LHDN dengan disertakan dokumen sokongan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian ‘Live Chat’ dan borang maklum balas di portal rasmi.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ minta pemilik harta lunas cukai taksiran sebelum 31 Ogos

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pemilik harta di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diminta menjelaskan cukai taksiran pada atau sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak dikompaun.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengemaskini bil tersebut bagi 266,111 pemegang harta membabitkan jumlah semasa dan tunggakan sebanyak RM177.638 juta.

Pelanggan boleh menyemak dan mendapat salinan bil melalui dalam talian https://ecukai.mbpj.gov.my/mbpjesalinanbil dengan menggunakan aplikasi eCukai@MBPJ atau laman ePay@MBPJ.

MBPJ turut menyediakan beberapa kaedah bayaran yang boleh dilaksana secara tunai, cek, wang pos, kiriman wang pos dan kad kredit atau debit.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau media sosial PBT tersebut atau hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 102/103/108/109 atau layari www.mbpj.gov.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2021: Pelepasan cukai pendapatan individu diperluas

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai pendapatan serta memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi individu.

Menurut Lampiran 2 berkaitan Langkah Cukai dalam Belanjawan 2021, kerajaan mahu menaikkan had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Langkah itu bertujuan membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan rawatan perubatan dan penjagaan ibu bapa, katanya.

Mengikut kedudukan semasa, pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa adalah sehingga RM5,000 layak dituntut oleh pembayar cukai individu.

“Perbelanjaan itu terhad kepada rawatan di klinik dan hospital, rawatan di rumah penjagaan, rawatan pergigian tidak termasuk rawatan kosmetik selain rawatan dan penjagaan di rumah, pusat jagaan harian dan pusat jagaan kediaman,” menurutnya.

Menurut Lampiran 3 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius bagi pembayar cukai individu, pasangan dan anak serta rawatan kesuburan daripada sehingga RM6,000 kepada sehingga RM8,000.

Selain itu, had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dicadangkan untuk dinaikkan daripada sehingga RM500 kepada sehingga RM1,000.

Menurut laporan itu juga, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan juga dicadangkan diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan Covid-19 apabila vaksin telah tersedia, katanya.

Sementara itu menurut Lampiran 4 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai tambahan bagi pasangan kurang upaya daripada RM3,500 kepada RM5,000.

Pada masa sekarang, pembayar cukai individu yang mempunyai pasangan kurang upaya diberi pelepasan cukai tambahan sebanyak RM3,500, menurutnya.

Menurut Lampiran 6, kerajaan mencadangkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada sehingga RM2,500 kepada sehingga RM3,000 apabila tambahan sehingga RM500 dikhususkan bagi perbelanjaan peralatan sukan, bayaran kemasukan, sewaan fasiliti sukan dan penyertaan pertandingan sukan.

“Skop pelepasan cukai bagi surat khabar harian bercetak diperluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik,” katanya.

Berdasarkan Lampiran 7, kerajaan mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 ke atas simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk dua tahun lagi iaitu sehingga tahun taksiran 2022.

“Ini bertujuan terus menggalakkan ibu bapa untuk menyimpan dalam pembiayaan pendidikan tertiari anak,” katanya.

Selain itu menurut Lampiran 8, kerajaan bercadang memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan yuran penggajian sehingga RM7,000 agar ia turut meliputi perbelanjaan menghadiri ‘up-skilling’ atau ‘self-enhancement’ dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pelepasan cukai pendapatan bagi skop tambahan ini adalah terhad sehingga RM1,000 bagi setiap tahun taksiran, katanya.

“Cadangan ini bertujuan menggalakkan warganegara Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meningkatkan dan memperbaharui kemahiran serta menceburi bidang kemahiran baharu,” menurut lampiran.

Kesemua pelepasan cukai ini adalah masing-masing untuk tahun taksiran 2021 dan 2022.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Kerajaan dijangka kurangkan belanja, KDNK merosot – ahli ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan Persekutuan dijangka mengurangkan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 kerana pendapatan berkurangan pada dua suku terakhir, kata seorang ahli ekonomi.

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah berkata kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakannya disebabkan kepada sekatan perdagangan komoditi terhadap ekonomi Malaysia yang dipacu oleh eksport.

“Saya berharap kerajaan akan merangka belanjawan yang mampan kerana ia penting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus bertahan dan kembali berkembang maju setelah pandemik Covid-19 berakhir.

“Jika anda hanya berpegang pada langkah penjimatan dalam belanjawan, ia mungkin tidak bergerak dalam landasan yang betul untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada semasa menjadi tetamu dalam rancangan The Nation yang disiarkan Bernama TV yang membincangkan tajuk ‘Exploring Budget 2021’, semalam.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan membentangkan belanjawan pada 6 November depan. Ia akan menjadi belanjawan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional sejak mengambil alih kuasa pada Mac lepas.

Sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada KDNK diperuntukkan untuk Belanjawan 2020, sebanyak 81.1 peratus atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Untuk meningkatkan lagi belanjawan tahun itu, Rajah mencadangkan agar mencari jalan untuk mempromosikan barang dan perkhidmatan tempatan bagi memperluas bahagian pasaran domestiknya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute Sdn Bhd, Intan Nadia Jalil, yang juga menjadi tetamu program itu berkata ketirisan dapat dicegah dengan menghentikan segala perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap atau tidak berkesan.

“Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa insentif cukai korporat yang wujud selama beberapa dekad sekarang.

“Cara terbaik adalah melihat bagaimana ia dapat diselaraskan menjadi lebih efektif dan efisien untuk ekonomi secara keseluruhan, memandangkan kerajaan dijangka melakukan penjimatan dalam belanjawan,” katanya.

Intan Nadia berkata Belanjawan 2021 seharusnya menjadi belanjawan yang memulihkan dan membangunkan terutama kepada kumpulan sasaran seperti perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk oleh penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kastam kesan RM812 juta hasil negara tiris enam bulan pertama 2020

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan usaha mendapatkan semula hasil itu daripada syarikat yang terlibat giat dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata antara kebocoran hasil yang dikesan adalah akibat daripada kegiatan mengelak cukai, fraud komersial, pengikraran nilai import yang rendah, kesalahan mengikrar kod tarif barangan, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan dan penyalahgunaan kemudahan fasiliti zon bebas atau pelabuhan bebas.

“Sepanjang tahun lepas, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan hasil kerja keras menerusi beberapa operasi yang dijalankan pihak kastam, kami telah berjaya mendapatkan semula kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah (ketirisan) tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Audit Bahagian Pematuhan JKDM Siri 1 Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat yang dikenal pasti melakukan kesalahan berkenaan perlu membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, JKDM juga melaksanakan audit dan lawatan di premis syarikat, pengimport dan pengeksport yang berdaftar dengan pihaknya dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang serta tidak melakukan penipuan dalam urusan pembayaran cukai.

“Kami menjalankan audit melalui kaedah bersasar. Selain itu, pihak yang diaudit juga akan diberi khidmat nasihat secara bersemuka bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman berkaitan perundangan yang ditadbir JKDM. Pemahaman yang tinggi akan meningkatkan pematuhan,” katanya.

Johari berkata Bahagian Pematuhan JKDM merupakan cabang penting dalam kastam untuk mengesan ketirisan hasil negara dan bahagian itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir oleh pihaknya dipatuhi serta duit, cukai atau levi diikrar dan dibayar dengan betul serta tepat.

“Keupayaan pegawai audit itu amat penting dalam menangani isu kebocoran hasil negara dan melaksanakan tugas pengauditan untuk mengesan ketirisan hasil melalui pembayaran cukai, duti atau levi yang tidak tepat. Had tempoh untuk tujuan pengauditan yang menyentuh tanggungan duti atau cukai adalah sehingga enam tahun ke belakang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman LHDN terhadap Nooryana Najwa 30 Jun

SHAH ALAM, 14 MEI: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh baharu keputusan permohonan Nooryana Najwa, anak perempuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menggantung prosiding saman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada mahkamah, kes itu yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan hari ini telah dilapangkan berikutan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, yang mendengar permohonan tersebut, bersidang sebagai panel Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, pihak mahkamah telah mengeluarkan surat kepada pihak-pihak terlibat pada 9 Mei lepas memaklumkan bahawa mereka perlu hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes pada 10.30 pagi 30 Jun depan bagi menetapkan tarikh baharu.

Mahkamah turut menetapkan hari sama (30 Jun) untuk menetapkan tarikh keputusan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Nooryana Najwa, 32, membuat permohonan bagi menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuannya terhadap penilaian pentaksiran semula cukai LHDN selesai.

LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Oleh itu, LHDN menuntut daripada defendan jumlah RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembayaran semula RM24.7 bilion bukti wujud tunggakan cukai

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Pemulangan sebanyak RM24.7 bilion oleh kerajaan sebagai bayaran balik cukai kepada syarikat dan individu membuktikan wujudnya tunggakan yang perlu dibayar, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Daripada angka tersebut, kerajaan telah membuat bayaran sebanyak RM12.6 bilion kepada lebih daripada 70,000 syarikat di bawah pemulangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala bakinya, sejumlah RM8.1 bilion telah dibayar kepada lebih daripada 124,000 syarikat dan RM4 bilion lagi kepada 1.8 juta individu.

Pembayaran telah dibuat melalui dividen khas sebanyak RM30 bilion yang diterima kerajaan daripada Petronas pada tahun ini.

“Sudah tentu tidak wajar kita mengatakan bahawa kerajaan telah memulangkan wang yang bukan menjadi tunggakan mereka… kerajaan bukan kaya untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu sesi pada persidangan bon sehari yang dianjurkan secara bersama oleh RAM Holdings Bhd dengan Securities Industry Development Corporation di sini hari ini.

Dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai tunggakan bayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, PAC telah melampirkan maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menunjukkan bahawa pada 31 Mei 2018, sejumlah RM1.5 bilion dalam bentuk pulangan balik GST telah diluluskan tetapi masih belum dibayar.

Kastam juga menjelaskan pulangan balik sebanyak RM9.6 bilion masih lagi disaring, RM3.9 bilion terkait dengan isu-isu bekalan tidak dikenakan cukai, RM900 juta berkait dengan hal-hal pengecualian dan RM3.5 bilion masih di bawah status siasatan.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Selangor kutip RM456 juta hasil premium tanah setakat April

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Selangor berjaya mengutip hasil premium tanah sebanyak RM456 juta iaitu pada kadar 42.5 peratus setakat 30 April tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM185 juta iaitu 17 peratus bagi tempoh yang sama pada 2018.

Katanya, ia menunjukkan perbezaan peningkatan sebanyak 25.5 peratus dalam tempoh itu.

“Manakala, kutipan cukai tanah semasa termasuk tunggakan sehingga 30 April ini berjumlah RM245 juta dan kutipan cukai petak dan tunggakan berjumlah RM8.1 juta.

“Jumlah keseluruhan yang dikutip adalah sebanyak RM 253.4 juta berbanding RM 250.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2018,” katanya pada program Rapat Ramadan bersama penjawat awam di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Amirudin berkata, hasil daripada urusan tanah adalah merupakan penyumbang terbesar pendapatan kepada Negeri ini.

Justeru, beliau mahu, seluruh warga Perkhidmatan Awam Selangor berganding bahu membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan strategi yang dirancang menerusi Belanjawan 2019.

“Ini termasuk usaha penjajaran serta peningkatan keberkesanan program- program peduli rakyat berpaksikan agenda Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan jamin cukai korporat tidak dinaikkan dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan cukai korporat yang ketika ini pada kadar 24 peratus dalam tempoh terdekat walaupun berdepan kedudukan fiskal yang lemah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan kadar sedia ada itu malah berpotensi dikurangkan jika kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik.

“Saya rasa kadar cukai korporat boleh dikurangkan daripada 24 peratus, tetapi ini tentu memerlukan masa,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Lim berkata kerajaan sedang memulihkan semula kedudukan kewangan kerajaan ke tahap yang baik namun proses ini dijangka memerlukan masa.

“(Pemulihan kedudukan fiskal) ini bukan (dapat dicapai) dalam jangka pendek atau jangka sederhana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion kepada syarikat dan individu yang terlibat mulai awal 2019.

“Jadi, boleh dikatakan perkara membabitkan pemulangan semula GST dan cukai pendapatan sudah selesai. Jangan buang masa bertanyakan soalan ini (di dalam seminar ini) kerana kerajaan menjamin akan membayarnya semula.

“Kerajaan tidak akan menggunakan walaupun ‘sekupang’ (10 sen) daripada cukai yang dikutip daripada rakyat tetapi akan pulangkannya kembali,” katanya.

SPK adalah program pendidikan percukaian anjuran LHDN setiap tahun yang diadakan sebaik sahaja selesai pembentangan belanjawan tahunan kerajaan.

Penganjuran SPK 2018 adalah yang ke-36 sejak 1974 dan bagi tahun ini SPK akan diadakan di 24 lokasi di seluruh negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Saran kecuali cukai bagi ekonomi digital

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kerajaan Persekutuan perlu memberi peluang kepada pemain industri ekonomi digital dengan mengecualikan cukai buat sementara waktu.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, hal itu kerana mereka adalah pemain industri yang baharu mengatur tapak, di Malaysia dan memerlukan sokongan kerajaan bagi terus berkembang.

Katanya, Malaysia adalah negara perdagangan penting di rantau ini, sekali gus perlu memainkan peranan penting memperluaskan pasaran e-dagang.

“Pemain industri ini masih baharu dan memerlukan masa untuk memupuk bidang ini supaya terus berkembang, justeru mereka sangat memerlukan galakan daripada kerajaan.

“Semestinya, kita perlu menghulurkan bantuan kepada mereka kerana Malaysia adalah negara perdagangan penting di rantau ini.

“Jika diberi peluang, negara ini boleh menjadi gergasi dalam pasaran e-dagang walaupun kita tidak mempunyai penduduk yang ramai, namun di rantau Asia Tenggara kita mempunyai 620 juta penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Chang Khim berkata, sektor itu juga adalah pasaran besar untuk negara membina komuniti industri berkenaan dalam proses mencapai galakan dan bantuan.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) dan berjaya melatih peniaga e-dagang menerusi kerjasama Alibaba Group.

“Peniaga ini menggunakan landasan disediakan Alibaba Group untuk memperkenalkan produk mereka ke seluruh dunia,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan sedang mengkaji beberapa perkara berkenaan struktur cukai bagi ekonomi digital terhadap pemain industri, termasuk penyedia kandungan perkhidmatan luar negara.

Timbalannya, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan menyedari industri itu antara pemacu utama bagi pertumbuhan inovasi dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, kerajaan masih dalam proses mengkaji dan belum memutuskan untuk memasukkannya dengan kadar segera dalam pembentangan Belanjawan Negara 2019, pada 2 November ini.

Categories
NASIONAL

Cukai RM16 bilion tetap hilang walau guna sistem perakaunan tunai terubah

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan Jabatan Akauntan Negara yang juga menggunakan sistem perakaunan tunai terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai adalah berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei, 2018.

“Keadaan begitu serius apabila Ketua Pengarah LHDN ada menulis surat secara rasmi kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 2016, untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1.65 juta individu dan syarikat tidak menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion sejak lebih enam tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Menteri Kewangan, menerusi catatan di laman Facebook beliau semalam berkata Lim tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan di sektor swasta.

Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan yang salah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah tersalah lapor cukai yang belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN sebagai memalsukan akaun.

Menjelas lanjut, Lim berkata tunggakan besar bayaran balik sebanyak RM16 bilion, sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh Mohd Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDN.

“TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai.

“Perlu ditegaskan bahawa di bawah Seksyen 111B(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC,” katanya.

Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab oleh Najib adalah mengapa bekas perdana menteri itu membenarkan RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik itu, untuk tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa yang ditetapkan mengikut undang-undang.

“Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan ‘pecah amanah’ di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM173.15 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Sejumlah RM173.15 juta berjaya dikutip Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi kutipan cukai taksiran yang berakhir Disember 2017.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata kutipan itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM2.71 juta berbanding 2016.

“Ia merangkumi sebanyak RM77.53 juta bagi kutipan cukai taksiran 1/2017, RM70.01 juta bagi cukai taksiran 2/2017 dan tunggakan sebanyaj RM25.61 juta,” katanya di mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

Yasid berkata bagi menggalakkan kempen pembayaran cukai, MPK akan membuka di beberapa kawasan pasaraya terpilih bermula Februari dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam.

Katanya, ia termasuk Aeon Jusco, Bukit Tinggi dan Aeon Jusco Bukit Raja.

Terdahulu, MPK mengenakan Fi Notis sebanyak RM20 bagi setiap akaun cukai taksiran per penggal dan tindakan menahan harta alih melalui operasi Sita di bawah Peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Selain itu, MPK turut mengambil tindakan menahan dan menjual hartanah di bawah peruntukan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan menjalankan operasi Kutipan Pintu ke Pintu bagi mengutip tunggakan jenis perniagaan.

=EZY=