Categories
SELANGOR

Yunus: Noh tak profesional, pelajar kembali duduk dilantai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang mengarahkan sumbangan kerusi dan meja Dun Sijangkang dipulangkan semula disifatkan tidak profesional.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya menyumbangkan keperluan terbabit untuk membantu meringankan beban pihak sekolah.

Malah, katanya, pelajar ketika ini kembali duduk di atas lantai sementara menunggu sumbangan dari Kerajaan Persekutuan.

“Saya anggap tindakan itu tak profesional, saya cuma mahu membantu pelajar supaya dapat kemudahan selesa.

“Saya difahamkan sumbangan kerusi dan meja pelajar itu dikeluarkan atas arahannya,” katanya ketika dihubungi.

Yunus sumbanganDr Yunus berkata, pihaknya menerima permohonan dari tiga sekolah di Dun terbabit yang memaklumkan memerlukan kemudahan tersebut, sekali gus menghantar sumbangan itu segera.

“Kita memperuntukkan sumbangan ini kerana ia permohonan dari pihak sekolah. Sebelum ini, pelbagai bantuan juga disalurkan termasuk baik pulih bangunan.

“Bantuan disalurkan sebelum ini tiada sebarang masalah tetapi mengapa membangkitkan hal ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mempunyai masalah sekiranya meja dan kerusi disumbangkan ke sekolah berkenaan terpaksa dikeluarkan.

“Saya difahamkan selain SK Kebun Baru, SK Sijangkang turut diarah keluarkan kerusi dan meja yang disumbangkan,” katanya.

Katanya, jika kemudahan itu tidak diperlukan atau tidak mahu digunakan, pihak sekolah boleh memulangkannya dan beliau bersedia menerima semula untuk diagihkan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor itu mahu set kerusi meja dihantar ke sekolah itu oleh kerajaan persekutuan bagi menggantikan kerusi meja yang tertera gambar wakil rakyat berkenaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kes perceraian di Selangor meningkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor mencatatkan 12,578 kes perceraian bagi tahun 2016 dengan peningkatan 705 kes berbanding 11,873, pada 2015.

Statistik itu menunjukkan Selangor mencatatkan kes perceraian tertinggi di Malaysia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2014 dengan 11,297 kes.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau memandang serius peningkatan angka itu tanpa menafikan umat Islam adalah majorriti penduduk di negeri ini.

“Saya sangat memandang serius isu ini kerana percaya keutuhan dan keharmonian institusi kekeluargaan menjadi penyumbang kelestarian kehidupan masyarakat serta negara yang sejahtera.

“Jika institusi kekeluargaan mantap dan utuh, sudah pasti ia mewujudkan ketenteraman masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Penjawat Awam Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, di sini.

Mengikut kajian, kes perceraian berpunca daripada tiada persefahaman, tidak memahami tanggungjawab, kahwin muda dan campur tangan orang ketiga.

Selain itu, masalah dadah, pasangan curang, enggan bermadu serta isu remeh-temeh turut menyumbang kepada peningkatan perceraian di Selangor.

-AA-

Categories
SELANGOR

Isu ladang khinzir: Selangor masih cari kaedah terbaik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Negeri masih mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ladang penternakan khinzir di Selangor khususnya Kuala Langat.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, isu itu masih dibincangkan Kerajaan Negeri supaya ia diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan keharmonian perpaduan di Selangor.

“Kita belum mendapat satu penyelesaian yang baik. Kita menghargai kepelbagaian kaum dan anutan agama.

“Usaha ‘Modern Pig Farming’ ini baik kepada mereka yang mempunyai keperluannya tetapi jika berterabur kita bimbang kehadiran penyakit mengakibatkan ia susah dikawal.

YUNUS HAIRI“Buat masa ini kita belum ada penyelesaian konklusif walaupun cadangan kepada ‘Modern Pig Farming’ itu sudah berlaku beberapa tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penduduk Kampung Tumbuk Darat mengenai nasib mereka terhadap pertambahan ladang khinzir di Kuala Langat seperti dilaporkan Utusan Online.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2, Kuala Langat memiliki lebih daripada 132 ladang ternakan babi baik yang beroperasi secara berlesen mahupun tidak berlesen.

-nR-

Categories
SELANGOR

Dua ketua kampung terima sumbangan Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 FEB: Nasib dua Ketua Kampung Tradisi yang ditimpa musibah mengundang perhatian Kerajaan Negeri bagi menghulurkan bantuan, baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban mereka yang mengalami kecederaan.

“Dengan cek sumbangan ini, diharap beban kedua-dua ketua kampung menanggung kos rawatan dapat dikurangkan.

“Kerajaan Negeri mendoakan supaya mereka kembali sihat untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Yunus ditemani Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan berkesempatan menziarahi Ketua Kampung Jaya Sepakat, Jalan Kebun Klang, Khairuddin Basiron dan Ketua Kampung Sungai Raya Batu 9, Cheras, Muhamad Zin Marula.

Yunus Ziarah Ketua Kampung (2)Sebelum ini, Khairuddin mengalami patah tulang belakang selepas terjatuh daripada bumbung rumah, sehingga menyebabkan kedua-dua tumit kakinya pecah.

Sementara itu, salah satu jari kaki Muhamad Zin hancur selepas terlibat dalam satu kemalangan, pada 25 Oktober lalu.

-AA-

Categories
SELANGOR

KUIS cemerlang lahir huffaz profesional

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 23 JAN: Kecemerlangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam pendidikan serta melahirkan kalangan huffaz profesional amat membanggakan dan bersesuaian dengan matlamat Kerajaan Negeri menjadikannya sebagai hub pendidikan Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kejayaan dicatat adalah berkat kerjasama pengurusan dan semua petugas di kolej itu yang sentiasa tampil bersedia dalam mendidik pelajar mendalami ilmu agama dan al-Quran.

Yunus“Penghargaan khusus Kerajaan Negeri kepada pengurusan KUIS di bawah pimpinan Rektornya, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri yang berjaya mentadbir dengan cemerlang sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang melahirkan kalangan daei, ulama dan umara.

“Kerajaan Negeri sememangnya mahu menjadikan KUIS sebagai hub melahirkan golongan huffaz di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Majlis Apresiasi Mahasiswa Tahfiz KUIS Bersama Kerajaan Negeri dan Pelancaran Fakulti Syariah Dan Undang-Undang KUIS di sini, hari ini.

Katanya, tahniah juga kepada KUIS di atas penganjuran majlis itu bagi meraikan seramai 545 pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang berkenaan.

“Al-Quran adalah kemuliaan tertinggi iaitu kalam Allah S.W.T diturunkan dengan penuh berkat dan memberikan petunjuk kepada manusia ke jalan yang lurus.

KUIS (7)“Sesungguhnya tiada keburukan di dalamnya dan sebaik-baik manusia adalah mereka yang mempelajari juga mengajar al-Quran,” katanya.

Bagi menjayakan Tabung Pendidikan Tahfiz al-Quran Dan al-Qiraat KUIS, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sejumlah RM5 juta setahun hasil daripada sumber kewangan anak syarikatnya di mana majis terbabit turut meraikan Kerajaan Negeri bersama pihak berkenaan.

Antara anak syarikat Kerajaan Negeri itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), WorldWide Holding Bhd, Pemerbadanan Dato’ Menteri Besar Selangor (MBI), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Semesta Ssdn Bhd.

-nR-

Categories
SELANGOR

Exco sumbang kerusi bantu lancar pembelajaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JAN: Sebanyak 200 buah kerusi disumbangkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom, Kuala Langat bagi membantu kelancaran pembelajaran pelajar di sekolah terbabit.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumbangan itu bagi memenuhi permintaan sekolah ekoran pertambahan pelajar.

“Peruntukan Kementerian Pelajaran terhad untuk pembelian perabot termasuk kerusi dan meja pelajar, pada tahun ini.

“Keperluan yang sangat mendesak untuk pelajar itu disuarakan pihak sekolah, justeru kita membantu sedaya upaya untuk melancarkan proses pembelajaran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, 50 set kerusi dan meja turut disumbangkan kepada Sekolah Kebangsaan Sijangkang di Telok Panglima Garang.

yunus mejaYunus berkata, pihaknya turut mendapat permintaan dari sekolah lain dalam urusan pembelian meja dan kerusi pelajar.

“Saya berharap pelajar dapat belajar bersungguh-sungguh dengan memanfaatkan prasarana pendidikan yang disediakan untuk mereka,” katanya.

Peruntukan membeli peralatan itu dianggarkan berjumlah RM11,000.

-AA-

Categories
SELANGOR

Modul 3T pupuk amal makruf remaja Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 1 DIS : Penekakan modul 3T (Tadarrus, Taddabur dan Tahsin Akhlak) diwujudkan sebagai inisiatif melahirkan remaja berakhlak tinggi dengan amalan dan nilai-nilai positif.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, konsep tersebut dilaksanakan menerusi penganjuran Program Daurah Remaja Islam yang diwujudkan di seluruh negeri, bermula 26 November hingga 1 Disember.

“Menyedari pentingnya untuk membentuk sikap dan nilai positif dalam kalangan remaja, masyarakat seharusnya bersedia memberi dorongan dan bimbingan berterusan untuk membangunkan remaja sihat dan cemerlang.

“Modul Daurah 3T dibina khusus dengan bermatlamat memberi peluang dan dorongan kepada remaja membangunkan sepenuhnya potensi diri daripada perspektif mental, fizikal, sosial dan kerohanian,” katanya.

tadarus-alquran-di-bulan-ramadhan-_120718073421-395Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dibacakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tuan, Razaly Hassan pada Majlis Perasmian Penutupan Program Daurah Remaja Islam 3T di Masjid Bukit Indah, di sini petang ini.

Sementara itu, mengulas perkembangan masalah sosial membabitkan golongan remaja kini, Yunus berkata, Jabatan Agama Islam (JAIS) memainkan peranan penting menentukan hala tuju untuk mengekang penularan gejala negatif membabitkan golongan itu.

“Peranan dimainkan JAIS sangat besar dalam membantu generasi muda kini.

“Keutamaannya mengetahui tentang masalah sosial sahaja tidak mencukupi jika ia tidak disusuli dengan cara-cara penyelesaian dan percegahan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen tersebutlah mendorong Program Daurah Remaja 3T diwujudkan menerusi penyertaan 2,200 orang remaja membabitkan usahasama 22 masjid seluruh negeri.

“Saya berharap modul Daurah 3T ini membolehkan remaja memahami diri sendiri, membentuk watak, keyakinan diri dan benteng untuk menjauhi pengaruh dan penyakit sosial.

“Kesempatan Kerajaan Negeri menyeru supaya remaja bijak membuat pilihan dan menjadi contoh terbaik antara satu sama lain dengan rakan sebaya,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri rancang bina kompleks Islam di semua daerah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri dalam perancangan membina Kompleks Islam Daerah merangkumi komponen Pejabat Agama Islam Daerah, Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pembinaan kompleks itu bertujuan mewujudkan pusat setempat di semua daerah bagi pengurusan hal ehwal agama Islam.

“Mengikut perancangan jangka masa panjang dan keperluan di daerah, Kerajaan Negeri merancang untuk membina Kompleks Islam Daerah di semua daerah.

“Pengisian bagi kompleks ini merangkumi pengurusan dan aktiviti agensi di peringkat daerah termasuk pengurusan pendaftaran perkahwinan, pengurusan sekolah yang berada di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Juga pengurusan masjid dan surau, penerimaan aduan dan urusan lain yang melibatkan hal ehwal agama islam di peringkat daerah,” katanya yang turut menganggarkan kos pembinaannya menelan belanja sekitar RM30 juta.

-nR-

Categories
SELANGOR

Muzium perlu pendekatan multimedia

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 1 OKT: Landskap muzium terutama di Selangor perlu diperbaharui menerusi pendekatan berkonsepkan multimedia dan teknologi pintar.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pendekatan itu diyakini mampu menghasilkan bahan pameran menarik untuk masyarakat.

“Mereka ingin berinteraksi secara langsung dengan pelbagai artifak yang ada.

“Bawalah mereka merasa seperti kembali ke zaman silam melalui pendekatan multimedia di dalam muzium,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Selangor di Bukit Malawati di sini, hari ini.

yunuskhairi-web4Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat), Mohd Faizul Fitri Muslil.

Ahmad Yunus berkata, warga muzium juga perlu dilengkapi ilmu berkenaan teknologi.

“Dengan ini, kita berharap ia mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk ke muzium.

“Banyak potensi muzium yang boleh diterokai seperti aspek pendidikan mahupun pelancongan,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Gasing pangkah bakal dijadikan identiti Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 15 OGOS: Permainan tradisional gasing pangkah bakal diangkat sebagai identiti Selangor jika terbukti ia adalah tradisi dan berasal dari negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kajian lanjut berkenaan perkara itu akan dijalankan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

“Kerajaan Negeri dan Padat ingin melihat apakah tradisi yang boleh diidentitikan untuk Selangor dalam permainan gasing ini.

“Saya menceduk sedikit sebanyak ilmu orang di sini yang mengatakan gasing wau jantung seperti replika dibina adalah identiti Selangor, maka kajian berkenaannya akan dibuat,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Beliau berkata, permainan gasing pangkah di kampung tradisi mendapat sambutan baik tahun lalu ekoran ia begitu sinonim dengan masyarakat di kawasan terbabit.

YUNUS HAIRIKatanya, Kerajaan Negeri akan melihat kemungkinan ia diadakan sebagai acara tahunan bagi menarik masyarakat untuk terbabit sama.

“Sebenarnya di Selangor ada gelanggang gasing yang tersedia (di daerah lain), cuma mungkin promosinya tidak menonjol kepada rakyat.

“Ia seolah-olah bermusim dan inisiatif ini perlu dibongkar semula,” katanya menyentuh gelanggang gasing pangkah di Kampung Bukit Kapar masih dijaga dengan baik.

-AA-

Categories
SELANGOR

RM992,500 diperuntuk jayakan Pembangunan Usahawan Komuniti Kampung

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sejumlah RM992,500 diperuntukkan bagi menjayakan Program Pembangunan Usahawan Industri Komuniti Kampung 2016, berbanding RM793,300 pada 2015.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia bertujuan membangunkan industri dan ekonomi luar bandar seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk.

Katanya, program ini merupakan usahasama Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kulinari Anjung Utara (ITKAU).

“Kita mahu memberi peluang kepada rakyat berminat memulakan pernigaan tetapi tidak mempunyai kemahiran dan modal.

“Peluang juga terbuka kepada mereka yang berminat dan beriltizam menjadikan usahawan bidang kerjaya sepenuh masa,” katanya kepada SelangorKini.

Terdapat empat kursus ditawarkan iaitu Program Pembangunan Usahawan Gunting Rambut, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan Minumam, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Sebagai Juruterapi Komplimentari Berdaftar dan Program Pembangunan Usahawan Membaiki Kasut.

Seramai 170 menyertai temuduga dijalankan namun hanya 105 peserta layak menghadiri kursus berkenaan.

Untuk Program Pembangunan Usahawan Gunting Rambut, seramai 29 layak, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan Minumam (98), Program Pembangunan Usahawan Penjaja Sebagai Juruterapi Komplimentari Berdaftar (34) dan Program Pembangunan Usahawan Membaiki Kasut (9).

EZY

Categories
SELANGOR

Nafi sokong POTA dan POCA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan menyokong penggunaan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata keadilan seharusnya dicapai menerusi perbicaraan.

Katanya, prinsip itu ternyata tidak terpakai dalam POTA dan POCA.

“Pendirian Kerajaan Negeri jelas tidak menyokong penggunaan POTA dan POCA untuk menangani militan.

“Kita tidak mahu akta sebegini digunakan secara umum untuk tujuan politik dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Terdahulu, beberapa akhbar arus perdana melaporkan Kerajaan Negeri menyokong POTA dan POCA dengan memetik jawapan Ahmad Yunus di DNS semalam.

yunuskhairi-web4Ahmad Yunus berkata, kenyataannya yang menjawab soalan daripada beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) secara bersekali mungkin disalah tafsir media.

“Terdapat juga perkongsian di media sosial berhubung jawapan di DNS yang menyelitkan perkataan ‘sokong’ tetapi itu tidak menjadi prinsip Kerajaan Negeri.

“Mungkin saya terlepas pandang jawapan dihantar kepada DNS tetapi jelas saya katakan prinsip keadilan melalui perbicaraan harus ada,” katanya.

-nR-