Categories
SELANGOR

MB : Tender terbuka pengurusan sampah dikekalkan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Proses tender terbuka untuk pengurusan sisa pepejal di Selangor akan diteruskan bagi memastikan ia tidak dimonopoli satu pihak sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya bersedia mengkaji semula harga kontrak ditawarkan bersesuaian dengan kerja pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat.

markshort mb4“Selangor menghasilkan 8,000 tan sisa pepejal sehari, namun hanya separuh dikutip dan dihantar ke tapak pengurusan sampah.

“Kita harus bersedia untuk mengurus peningkatan sampah yang berterusan dalam usaha menjayakan agenda makmur selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata tanda aras atau piawaian penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal bertaraf dunia perlu diwujudkan di Selangor.

Katanya, Selangor memerlukan visi jangka panjang memandangkan negeri itu bakal menjadi tuan rumah kepada beberapa bandar raya mega dengan alam sekitar bersih dan jaringan bertaraf dunia.

“Dalam sesi dialog Belanjawan 2016, beberapa perkara dibincangkan dan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sudah melihat beberapa cadangan.

“Saya berharap usaha Kerajaan Negeri akan mendapat sokongan semua pihak untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Selangor belum putus guna insinerator

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Selangor belum memutuskan penggunaan insinerator bagi mengantikan kepada kaedah penimbusan untuk pelupusan sampah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan semua pihak untuk menilai pilihan lain yang ada.

azmin-pc-DNS-01“Kita perlu dengar pandangan semua pihak dan komited memastikan isu sampah ditangani secara bijak.

“Setakat ini belum ada keputusan (menggunakan insinerator) kerana ia bergantung kepada perbincangan dan pilihan untuk dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri bertekad menjadikan Selangor sebagai negeri bersih, di samping memiliki pengurusan sisa pepejal yang efektif.

Katanya, cabaran terbesar hari ini adalah untuk memberi didikan kepada masyarakat untuk bersama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan.

Seminar Beyond 3R SACC Elizabeth Wong dan MB (3)“Apa yang lebih mencabar adalah bagaimana untuk mengurus pencipta sampah kerana ia wujud disebabkan ada orang yang membuang sampah.

“Undang-undang sahaja tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah, namun manusia itu perlu dibina melalui pendidikan dan kesedaran bahawa kebersihan adalah penting dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran seminar itu, beliau menyifatkan ia sebagai mencetuskan anjakan paradgima dalam usaha mencari penyelesaian holistik dan mampan mengenai sisa pepejal.

Katanya, kesedaran sivik perlu ditanam di dalam jiwa masyarakat untuk memastikan amalan pengurusan sampah secara teratur dapat dituruti.

“Jika elemen itu berjaya diterapkan, maka rakyat mempunyai motivasi untuk mengurus serta mengurangkan penghasilan sampah,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Teroka kaedah baru capai 80% perkhidmatan sampah pada 2016

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Kualiti pungutan sampah terutama perkhidmatan dan sasaran kutipan di Selangor perlu ditingkatkan kepada 80 peratus menjelang 2016.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kaedah baru yang lebih efektif perlu diteroka bagi menjamin kesuburan dan nilai tanah yang sangat bernilai di Selangor.

Katanya, kaedah konvensional dengan membuang sampah di tapak pelupusan hanya  menyumbang kepada kerosakan alam sekitar dan kemusnahan kesuburan tanah berkenaan.

markshort mb4“Ini boleh menjadi satu kerugian ekonomi kekal, saya sarankan untuk kita melihat semula usaha menggunapakai teknologi baru yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Memandangkan sampah terdiri daripada pelbagai kategori, Mohamed Azmin menyarankan ia perlu ditangani secara berbeza dengan keterlibatan semua pihak untuk menjayakannya.

“Kaedah khas pengurusan sisa pepejal memerlukan pengurusan bermutu oleh Kerajaan Negeri maka kita harus mempertimbangkan teknologi lebih canggih.

“Teknologi menjana tenaga daripada sampah organik harus dibincangkan kerana buat masa ini kita sering merosakkan dan memusnahkan kesuburan bahkan nilai tanah di tapak pelupusan itu sendiri,” katanya.

Jelas beliau, tanggapan lapuk terhadap sampah juga harus diperbetulkan kerana ia boleh menjadi sumber tenaga dan mempunyai nilai ekonomi tinggi.

-NR-

Categories
SELANGOR

MB antara 6,000 peserta sertai PJ Half Marathon 2015

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEP: Kemeriahan Petaling Jaya Half Marathon 2015 diserikan dengan penyertaan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mengambil peluang berlari sejauh satu kilometer bermula daripada pekarangan Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mohamed Azmin berbuat demikian sejurus melepaskan peserta larian bagi kategori 3 km Family Fun Run sekitar jam 7.00 pagi bersama-sama Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain.

PJ HALF MARATHON 1Beliau sebelum itu mengambil kesempatan beramah mesra bersama peserta hadir bersama keluarga dan orang kelainan upaya (OKU) serta merakamkan foto kenangan sambil memegang Jalur Gemilang.

Petaling Jaya Half Marathon 2015 menyaksikan penyertaan hampir 6,000 peserta yang dibahagikan kepada empat kategori, Larian 21 km, 10 km, 7 km dan 3 km Family Fun Run bermula jam 5 pagi.

Turut kelihatan mengambil bahagian adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang menyertai kategori larian 21 km untuk tahun ketiga.

Meskipun sibuk menguruskan kerjaya sebagai ahli politik, beliau tetap meluangkan masa untuk berlari sekurang-kurangnya tiga hingga 40 km seminggu bagi mengekalkan stamina selain menyertai beberapa pertandingan larian terbuka.

Beliau yang ditemui Selangor Kini mengakui acara larian dianjurkan tahun ini lebih menarik berbanding tahun sebelumnya terutama penetapan jajaran perjalanan.

“Jajaran baru diaturkan lebih menarik melalui NPE dan masuk ke PJ Old Town. Ia memberi sedikit kelainan berbanding sebelum ini ke arah LDP menuju Ara Damansara yang sedikit bosan,” katanya sejurus menamatkan larian dalam masa 1 jam 55 minit.

EZY

Categories
SELANGOR

40,000 banjiri Bon Odori, MB pukul gong

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEP: Hampir 40,000 penonton membanjiri Kompleks Sukan Negara di sini bagi menyaksikan Festival Tarian Bon Odori dari Jepun, malam tadi .

Festival tarian negara matahari terbit itu memasuki ulangtahun ke 39 tahun ini dianjurkan bersama Kelab Jepun Kuala Lumpur, Tourism Selangor, Kedutaan Jepun di Malaysia dan beberapa persatuan Jepun di Malaysia.

Ia adalah festival tarian utama dan terbesar diadakan di Jepun dan di luar dengan persembahan pelbagai variasi tarian dan muzik tradisional Jepun.

IMG_3111Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang hadir dalam majlis malam tadi mengambil kesempatan turun ke padang bermesra dan berkongsi pengalaman bersama peserta dan hadirin.

Beliau turut serta memukul gong dalam festival berkenaan.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Pengerusi penganjur, Toshihiko Todokoro.

bon odori aBon Odori adalah tarian rakyat Jepun iaitu Odori bermakna tarian manakala Bon adalah nama singkatan teks Buddha, Ullambana Sutra, di mana sebutan Urabon dipendekkan kepada Bon.

Perayaan ini disambut setiap tahun sebagai acara musim panas paling popular diadakan di setiap bandar di Jepun.

Ia selalu disertai dengan menyanyi dan menari selaras dengan irama yang meriah diiringi paluan gendang, gong dan seruling.

-NR-

Categories
SELANGOR

Bon Odori erat hubungan Jepun – Malaysia, rancakkan pelancongan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEP: Kerajaan Negeri memberi kerjasama penuh terhadap penganjuran Festival Tarian Bon Odori di sini ke arah merancakkan industri pelancongan negara.

Ia juga mengeratkan hubungan mesra antara Jepun dan Malaysia kerana festival terbabit antara yang terbesar dengan penganjurannya sudah menjangkau 39 tahun.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata penganjuran festival tahun ini amat penting dan bersesuaian dengan Tahun Melawat Selangor 2015.
IMG_2537“Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor menyokong penuh acara ini saban tahun dan ia memberi impak besar dengan kehadiran antara 35,000 ke 40,000 pelancong termasuk kira-kira 2,000 rakyat Jepun pada setiap tahun.

“Walaupun hujan malam ini (semalam) tetapi bukan penghalang untuk ramai orang hadir untuk sama-sama bergembira menikmati muzik dan kesenian Jepun,” katanya dalam sidang media di Kompleks Sukan Negara, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap festival anjuran bersama Kelab Jepun Kuala Lumpur, Tourism Selangor, Kedutaan Jepun dan beberapa persatuan Jepun di Malaysia itu diadakan lebih besar tahun hadapan bersesuaian dengan sambutan 40 tahun.

IMG_2889Festival Bon Odori turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Pengerusi Penganjur, Toshihiko Todokoro.

Bon Odori adalah pesta tarian Jepun yang penting dan utama termasuk di Malaysia malah di seluruh dunia dengan diadakan secara besar-besaran.

Sementara itu, Dr Makio Miyagawa menzahirkan rasa bangga dengan sambutan hebat rakyat Malaysia terhadap acara itu dengan kehadiran ribuan penonton ke kompleks berkenaan.

“Kita gembira dengan kehadiran ramai penonton tidak hanya orang Jepun tetapi juga Malaysia untuk sama-sama menikmati kesenian dan muzik Jepun.

“Saya menjangkakan pesta itu akan berlangsung lebih meriah pada tahun hadapan.” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

RM100 ribu untuk pembangunan prasarana Masjid Al-Ansar

Oleh: SYASYA SUFIAN

HULU KELANG, 5 SEP: Masjid Al-Ansar, Taman Keramat , di sini, menerima sumbangan RM100 ribu dari Kerajaan Negeri bagi penambahbaikan prasarana dan rumah imam, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri berhasrat melihat institusi masjid dan surau di Selangor terus dimartabatkan bukan sahaja daripada aspek kemudahan pembangunan, bahkan pengisian mengimarahkan institusi itu.

MB MASJID“Kerajaan Negeri berharap, bantuan ini memberi manfaat besar buat jemaah dan ahli kariah.

“Ahli jawatankuasa juga diseru terus memainkan peranan lebih efektif bagi mengajak orang ramai mengimarahkan masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri optimis memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar madrasah dan maahad tahfiz.

Katanya, pelbagai bentuk pembangunan sedang dirangka dan bakal dilaksanakan menjelang tahun hadapan.

“Memandangkan keadaan ekonomi negara agak gentir, saya sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai perbendaharaan untuk menyusun perbelajaan secara berhemah dengan simpanan yang kukuh.

“Ia bagi memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan di madrasah dan maahad tahfiz.

“Kerajaan Negeri bercadang membangunkan maahad tahfiz baru dan kemudahan asrama yang lebih selesa di beberapa daerah selain membangunkan semula surau serta kampung tradisional,” katanya.

-NR-

#BERSIH4 : MB, keluarga turut sama berdemo

Tanggungjawab yang berat tidak menghalang Dato’ Menteri Besar untuk sama berdemo menuntut reformasi pilihanraya dan ekonomi.

MB : Walau kos meningkat, Air Percuma 20m3 diteruskan

Program pemberian air percuma 20 meter padu yang dinikmati rakyat selangor sejak 2008 tidak akan dimansuhkan kata Dato Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

DIARI RAMADHAN 6 JUL 10 JUL

Aktiviti Ramadhan DYMM Sultan Selangor dan Dato’ Menteri Besar bersama rakyat.

Diari Ramadhan 19-26 JUN

Aktiviti Ramadhan DYMM Sultan Selangor dan Dato’ Menteri Besar bersama rakyat.

MB: Umat Islam terbesar dunia 2100 bererti bila maju pelbagai bidang

Populasi umat Islam terbesar dunia pada 80 tahun akan datang lebih bererti jika mereka berjaya dalam ekonomi, pendidikan dan keterlibatan wanita dalam pembangunan.Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata untuk itu usaha melahirkan lebih ramai ulama mempunyai kepakaran ilmu agama dan kontemporari perlu diperhebatkan.