Categories
SELANGOR

Pengangkutan awam di Selangor lebih rancak tahun depan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: Kerajaan Negeri komited meneruskan agenda penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat di Selangor dengan mewujudkan lebih banyak inisiatif, pada tahun depan.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kajian sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti beberapa projek berasaskan basikal yang mendapat kejayaan di luar negara untuk diambil sebagai perintis, pada fasa seterusnya.

“Inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini bukan satu-satunya program dilakukan tetapi adalah titik permulaan kepada beberapa siri lain yang sedang dikaji.

“Justeru, saya minta kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya sentiasa bekerjasama bagi mencapai hasrat ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya ketika Majlis Perasmian Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu (PPASS) di Bangunan SUK, di sini.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, agenda itu bermula dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyediakan pengangkutan percuma kepada rakyat Selangor melalui perkhidmatan bas percuma Smart Selangor sejak 2015.

yb teng 5 (1)Katanya, ia disusuli penyediaan Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor bagi mewujudkan jaringan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dalam mencapai nisbah 60:40 (60 awam, 40 persendirian).

“Sehingga 30 November lalu, lebih empat juta penumpang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu yang kini beroperasi di 11 PBT lain.

“Jumlah laluan pula 16, jumlah bas 52 buah serta tambahan 22 bas percuma yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PPASS galak budaya hidup sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu (PPASS) yang dilancarkan dalam kalangan penjawat awam mampu mengurangkan kos sara hidup, sekali gus memupuk amalan budaya hidup sihat.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk berbasikal ke tempat kerja dengan kemudahan ‘connectivity’ pengangkutan awam yang lain seperti bas, komuter, LRT dan MRT.

Katanya, pemilihan basikal dibuat memandangkan kenderaan itu berpotensi sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Melalui program ini, 50 penjawat awam yang terpilih bersetuju untuk memberi komitmen berbasikal serta menggunakan pengangkutan awam ke pejabat.

“Ia dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seminggu sebagai langkah permulaan dalam memupuk semangat dan menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran PPASS di Bangunan SUK, di sini.

pc-11-of-28Chang Khim berkata, penyertaan untuk projek pengangkutan itu bukan hanya membabitkan sebahagian kumpulan perkhidmatan awam sahaja, sebaliknya merangkumi hampir keseluruhan gred perkhidmatan di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan peserta supaya tidak mengabaikan faktor keselamatan sebelum dan semasa perjalanan serta mengikuti arahan lalu lintas ditetapkan.

“Kita berharap dengan inisiatif ini, kehadiran dan ‘visibility’ mereka dalam kalangan masyarakat dapat dirasai dan diterima.

“Ia seterusnya mempengaruhi cara hidup dalam kalangan masyarakat sepenuhnya untuk berubah daripada penggunaan kereta individu kepada basikal.

“Itu adalah cabaran paling getir yang dipikul bersama kesemua peserta,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Turunkan tambang pengangkutan awam

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 15 DIS: Kerajaan Persekutuan disaran menurunkan tambang perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini termasuk Mass Rapid Transit (MRT).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, langkah itu mampu menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan kesesakan trafik terutama ketika waktu puncak.

“Saya tidak pasti sejauh mana penjimatan Kerajaan Persekutuan lakukan untuk projek MRT ini, namun jika benar, turunkanlah tambang untuk rakyat.

“Apalagi dalam keadaan kegawatan ekonomi, saya pasti langkah itu bakal melonjakkan jumlah pengguna pengangkutan awam,” katanya.

yb teng 5 (1)Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Fasa Pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Stesen MRT Kwasa Damansara, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, orang ramai juga perlu mempunyai inisiatif untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan dengan duit rakyat.

“Jangan asyik minta sahaja untuk buat itu ini tetapi tiada langsung inisiatif menggunakannya.

“Pada masa sama, perkhidmatan diberikan juga perlulah berada pada tahap terbaik dan diperkemas dari masa ke masa seperti kelajuan LRT (Light Rail Transit) yang boleh dipertingkatkan,” katanya.

Kos projek MRT didakwa menelan belanja RM21 bilion, iaitu kurang RM2 bilion daripada kos sasaran berjumlah RM23 bilion.

-AA-

Categories
SELANGOR

Exco seloroh cadang skim kesihatan haiwan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Penyelidikan, Dato’ Teng Chang Khim berseloroh mencadangkan pentadbiran negeri mewujudkan skim terbaharu bersifat mesra haiwan.

Menulis di Facebooknya, Chang Khim menyarankan perkara terbabit selepas mendapati kadar pemeriksaan kesihatan haiwan di negeri itu agak ‘tinggi’.

“Anjing saya sakit. Selepas pemeriksaan rapi, doktor haiwan kata tidak serius tetapi bayarannya RM300.

“Nampaknya kena mohon Dato’ Menteri Besar perkenalkan skim kesihatan untuk haiwan juga,” katanya.

Terdahulu di peringkat Kerajaan Persekutuan pernah diwujudkan kempen kesedaran penjagaan haiwan yang diadakan di sekolah seluruh negara.

untitledTujuannya bagi meningkatkan pendidikan dan kefahaman berkenaan penjagaan haiwan, khususnya binatang peliharaan.

Kempen anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pendidikan yang dikenali sebagai ‘Aktiviti Pendidikan Awal Kebajikan Haiwan’ itu menyasarkan penglibatan pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh negeri.

Hari Kebajikan Haiwan peringkat kebangsaan juga diwujudkan, pada 4 Oktober serentak dengan Hari Haiwan Sedunia untuk meningkatkan kesedaran kebajikan terhadap haiwan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM352.6 juta bangun industri aeroangkasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor menerima pelaburan RM352.6 juta bagi tiga projek perkilangan industri aeroangkasa bagi tempoh 2015 hingga Ogos lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia meliputi RM322 juta pelaburan tempatan dan baki RM30.6 juta adalah pelaburan asing.

“Daripada tiga projek ini, dijangkakan 237 peluang pekerjaan bakal dibuka,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

teng-dunBeliau merujuk soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berhubung pelaburan aeroangkasa di Selangor.

Berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat yang terlibat adalah UMW Aerospace Sdn Bhd, Blue Lines Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

“UMW bakal membuka ruang pekerjaan kepada 166 jawatan kosong, Blue Lines (61), manakala Global Turbine (10),” katanya.

Bertempat di Serendah, UMW dijangka membangunkan produk ‘fan case for aero engines’.

Sementara itu, Blue Lines dan Global Turbine memilih lokasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Blue Lines bakal membangunkan produk aircraft cabin refurbishment dan aircraft line maintenance sementara Global Turbine pula ‘design development’ dan ‘manufacturing of tooling and parts for aircraft’.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 3.15 juta penumpang sudah nikmati Bas Smart Selangor

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Lebih 3.15 juta penumpang menikmati manfaat dari kemudahan Bas Smart Selangor bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 30 September 2016.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatkan sebanyak 62 peratus.

Katanya, angka itu juga menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas sekaligus menepati sasaran Kerajaan Negeri meningkatkan kualiti perkhidmatan itu.

“Memandangkan populariti dan penumpang semakin meningkat, maka bagi 2017 sejumlah RM20 juta diperuntukan bagi memperluaskan perkhidmatan ini,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

teng-dunSelain itu, Chang Khim berkata perkhidmatan itu sentiasa dikaji dan dinilai bagi memastikan perkhidmatan bas ditambah baik dari masa ke masa.

“Sambutan sangat memberangsangkan ini memberikan isyarat positif kepada Kerajaan Negeri untuk sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 sehingga 30 September 2016, perkhidmatan itu sudah beroperasi di 11 daripada 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan jumlah sebanyak 34 buah bas.

bas-smart Manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga menyediakan perkhidmatan bas percuma iaitu PJ CityBus sebanyak 22 buah beroperasi di sekitar Petaling Jaya.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM8.82 juta setakat 15 Oktober 2016. Manakala 2015, Kerajaan Negeri membelanjakan RM6 juta bagi tujuan yang sama.

Jumlah terbabit merangkumi kos sewaan, wrapping, penyelenggaraan dan cukai barangan dan perkhidmatan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Guna perangkaan lama keliru DNS, Budiman dikecam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri mengecam sikap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang didakwa berniat jahat menggunakan perangkaan pelaburan lama untuk mengelirukan Dewan Negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Budiman menggunakan data penggal pertama yang berakhir Mac 2016 bagi memberi gambaran bahawa Selangor berada di tangga ke 5 dari segi jumlah pelaburan yang diperolehi.

“Sedangkan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengeluarkan perangkaan berakhir Jun dengan jumlah pelaburan RM30 bilion iaitu berada di tangga kedua selepas Johor.

“Malah, MIDA juga mengeluarkan perangkaan bulan Ogos 2016 yang menunjukkan Selangor mendapat jumlah pelaburan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

teng-dunChang Khim mendakwa Budiman bersikap cuai dalam memperolehi perangkaan walaupun dipaparkan di laman rasmi MIDA dan Invest Selangor.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai memalukan bukan sahaja kedudukan sebagai wakil rakyat negeri bahkan di parlimen.

“Saya harus memberi peringatan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri, buat masa ini MIDA hanya mengumumkan perangkaan mengenai pelaburan dalam sektor pembuatan dan tidak ada perangkaan pelaburan dalam sektor lain.

“Harus juga diingat walaupun dari segi jumlah pelaburan, Selangor tidak menduduki tempat pertama namun Selangor sentiasa memperolehi jumlah projek tertinggi dan ini berterusan bertahun-tahun,” katanya.

Pada masa sama, Chang Khim berkata Selangor menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara pada 2015.

port-klang“Apabila kita menilai keupayaan ekonomi sesebuah negara atau negeri, kita tidak hanya melihat kepada input atau pelaburan yang ditarik tetapi harus meniliti jumlah KDNK yang dihasilkan.

“Walaupun Johor dalam beberapa tahun lalu memperolehi pelaburan khususnya pelaburan asing tertinggi tetapi sumbangan Johor kepada KDNK negara masih jauh lebih rendah lagi,” katanya.

Bagi 2016, Kerajaan Negeri menjangkakan jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion dan setakat Ogos 2016, jumlah yang diperolehi adalah sebanyak RM3.6 bilion.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan SUK naiki basikal ke pejabat

OLEH SYASYA SUFIAN

PUCHONG, 28 OKT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan proram Pengangkutan Awam Seminggu Sekali (PSS) bermula 2017 bagi menggalakkan penjawat awam di bangunan SUK menggunakan pengangkutan awam.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, 50 basikal akan diberikan kepada kakitangan awam terpilih yang bekerja di bangunan SUK sebagai peserta PASS.

“Program itu adalah sebagai inisiatif permulaan menggalakkan kakitangan awam yang kini memandu, menaiki basikal dari rumah ke stesen LRT sehingga ke stesen berdekatan kemudian menggunakan perkhidmatan Bas Selangorku KTM Stesen Seksyen 19 untuk ke pejabat sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk tempoh enam bulan.

teng02“Walaupun ia adalah program enam bulan, saya pasti kebanyakan peserta akan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam selepas tiga bulan tanpa galakan. Saya sendiri juga akan mengikuti program ini dan hari ini adalah hari pertama saya menaiki basikal dari rumah ke stesen LRT untuk ke ini,” katanya.

Chang Khim berkata, sehingga kini permohonan untuk basikal amat menggalakkan dan mencecah lebih 100 permohon, namun Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan 50 basikal sahaja.

“Walaupun kita mendapat sokongan yang menggalakkan daripada kakitangan, tetapi mereka perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

“Antara syaratnya, pemohon perlulah seorang yang memandu untuk bekerja, mereka perlu tinggal berhampiran LRT atau stesen komuter supaya mudah mereka berbasikal ke pejabat.

“Basikal yang akan diberikan adalah jenis basikal lipat dan 90 peratus daripada kos basikal tersebut dibiayai Kerajaan Negeri, manakala 10 peratus selebihnya datang daripada peserta sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bas Smart Selangor diperluas, kini di Puchong & Kinrara

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Dalam usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Selangor, Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menambah lapan buah Bas Smart Selangor dengan peruntukan lebih RM2.5 juta.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, penambahan itu melibatkan dua laluan dengan setiap laluan melibatkan empat buah bas.

“Kos keseluruhan adalah sebanyak RM2,505,840 termasuk enam peratus GST.

“Perkhidmatan bas di laluan dua menggunakan peruntukan dari Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan Pengangkutan Selangor berjumlah RM1,242,920.

“Manakala laluan tiga menggunakan peruntukan MPSJ dengan jumlah sama,” katanya.

 

b4ece1fa-f6db-4ef3-a276-6cf814096b32Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Bagi Laluan Baru di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, di sini, hari ini.

Teng berkata, memandangkan MPSJ menyumbang kepada pengguna tertinggi bagi bas Smart Selangor, maka perkhidmatannya diperluaskan ke kawasan Puchong dan Kinrara yang merangkumi laluan dua dan tiga.

Tambahnya, sebanyak 3.15 juta rakyat Selangor menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di semua laluan sejak dilancarkan pada Julai 2015 hingga 30 September tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, MPSJ antara kawasan paling popular menggunakan perkhidmatan bas percuma itu dengan catatan angka seramai 590,000 pengguna.

“MPSJ merupakan kawasan yang berjaya menarik minat orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya penggunaan Bas Smart Selangor.

“Dengan kejayaan itu, kita memperluaskan usaha ini bagi memberi keselesaan di samping menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan sendiri,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Selangor terima RM3.8 bilion pelaburan setakat Ogos

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 OKT: Selangor menerima sejumlah RM3.8 bilion pelaburan modal setakat Ogos lalu, kata Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus meletakkan Selangor di tempat kedua di belakang Johor dan satu tangga di atas Pulau Pinang.

“Ini adalah berita baik buat Selangor dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan ketika ini.

“Melihat kepada perkembangan terbaru ini, kita optimis sasaran RM6 bilion menjelang hujung tahun ini masih mampu dicapai,” katanya dalam sidang media.

img_20161020_165351_812Terdahulu, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin merasmikan Selangor International Expo 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri juga terus progresif menarik pelabur luar menerusi siri lawatan ke 29 bandar utama dunia dalam tempoh empat bulan lalu.

“Antaranya bandar utama di Australia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Jepun.

“Negara lain termasuk India, China, Indonesia dan terbaru United Kingdom,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SIE 2016 sasar pulangan RM100 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 OKT: Sejumlah RM100 juta pulangan disasarkan Kerajaan Negeri menerusi penganjuran Selangor International Expo 2016.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia berdasarkan kepada penambahan 40 peratus gerai pameran tempatan dan antarabangsa berbanding 2015.

Katanya, penambahan itu diyakini mampu memberi pulangan lebih tinggi berbanding RM50 juta diperolehi tahun lalu.

img_20161020_164749_407“Bilangan pempamer meningkat, secara logiknya jumlah pulangan juga pastinya meningkat.

“Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, pertambahan itu dikira amat baik dan diharap sasaran sekali ganda daripada tahun lalu juga mampu dicapai,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2015, SIE disertai sebanyak 410 gerai pameran termasuk 167 gerai dari luar negara.

Chang Khim berkata, tahun ini SIE menerima penyertaan 565 gerai pameran termasuk 130 gerai dari luar negara.

“Antara yang mengambil bahagian adalah China, Indonesia, Thailand, Jepun, Turki, Britain, Taiwan, Jerman, Palestin dan Libya.

img_20161020_164921_142“Kita juga ada penyertaan dari Negara Kesatuan Arab (UAE), Belanda, Hong Kong, Perancis, Iran dan Pakistan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Selangor International Expo 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman.

-nR-

Categories
SELANGOR

Selangor tingkat peluang pelaburan rentas sempadan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT : Peluang pelaburan rentas negara antara Selangor dan luar giat dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, tumpuannya terarah kepada gerak kerja organisasi dari dalam dan luar negara.

“Kita tertumpu kepada gerak kerja rentas sempadan termasuklah menjalankan kerjasama serantau bersama syarikat atas talian dan E-Dagang yang akan membantu usahawan tempatan untuk lebih berdaya saing di peringkat global.

“Sebagaimana tahun lalu, kerjasama ini berhasil memberikan pulangan positif dan untuk tahun ini penglibatan syarikat E-Dagang utama dari negara Asia Tenggara diyakini keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Hassan Azhari di Selangor Digital Creative Centre I-City, di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) Yong Kai Ping.

teng01Bercakap lanjut Chang Khim berkata, jalinan kerjasama itu diperkukuh menerusi penganjuran Selangor International Expo di The Mines Seri Kembangan, 22 Oktober ini.

Dalam penganjuran itu, seramai 500 usahawan dan peniaga atas talian dari dalam dan luar negara bakal terlibat secara langsung untuk mempromosikan produk masing-masing.

Dijangka, pengusaha dan penggiat industri dari China, Indonesia, Taiwan, dan negara serantau lain turut terlibat dalam penganjuran karnival terbesar ini.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada Selangor memperkenalkan produk tempatan misalnya ‘Durian King’ yang menjadi daya penarik pelabur dari luar,” katanya.

-nR-