Categories
AGENDA NASIONAL

Kes conteng mural pemimpin selesai dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Siasatan terhadap kes menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara akan diselesaikan dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata pihaknya telah mendapat beberapa petunjuk baharu dalam siasatan kes berkenaan.

“Saya tidak akan mendedahkan petunjuk baharu kerana masih dalam siasatan. Oleh itu, saya mohon berikan kami sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan kes ini.

“Selain itu, suspek juga telah dikenal pasti berdasarkan risikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang baharu di sini hari ini.

Mazlan berkata setakat ini hanya satu sahaja kertas siasatan telah dibuka berhubung kes terbabit dan beberapa laporan polis telah dilakukan.

Baru-baru ini, mural memaparkan potret antaranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam, Selangor.

Kejadian vandalisme itu disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis buka 10 kertas siasatan hina Agong di media sosial

GEORGE TOWN, 3 MAC: Polis membuka 10 kertas siasatan, berhubung kes memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata sehingga hari ini dua lagi individu ditahan, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini lima individu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan beberapa individu lagi, yang disyaki memuat naik status berkenaan.

“Ada di antara inidividu itu kita ambil reman dan polis sedang siapkan kertas siasatan, jadi kita tunggulah keputusan daripada pihak pendakwa raya.

Lima lagi individu (yang disyaki memuat naik status menghina) dipercayai masih berada dalam negara ini dan kami sedang kesan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang antara Datuk T. Narenasagaran yang bersara wajib dan Datuk Sahabudin Abdul Manan, yang sebelum ini Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Mengulas mengenai dakwaan seorang lelaki yang ditahan kerana menghina Yang di-Pertuan Agong memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai masalah mental, Mazlan berkata pihaknya menyerahkan kepada mahkamah, untuk menentukan sama ada benar individu itu mempunyai rekod sakit mental atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis dalam proses memanggil penganjur perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’, yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara, pada Ahad lepas kerana menerima laporan polis berhubung demonstrasi aman tersebut.

“Itu dalam tindakan dan proses untuk kita laksanakan (panggil) penganjur perhimpunan tersebut, sebab laporan polis berhubung (demonstrasi aman) telah dibuat,” katanya enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Sahabudin dalam ucapannya berkata beliau akan meneruskan usaha yang dilakukan Narenasagaran di Pulau Pinang, untuk mengekalkan keamananan dan mencegah serta membanteras kegiatan jenayah.

“Saya hargai usaha dan sumbangan Datuk Narenasagaran yang telah meninggalkan rekod cemerlang di negeri ini. Saya akan teruskan legasi kepimpinan beliau ke tahap terbaik, selain melakukan penambahbaikan serta menumpukan kepada usaha mendekatkan polis dengan masyarakat, bagi memastikan kejadian jenayah dapat dikekang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman audio berlaku kacau bilau perkauman tidak benar

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Rakaman beberapa audio yang tular di media sosial mendakwa akan berlaku kacau-bilau perkauman pada Sabtu dan Ahad ini adalah tidak benar, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, rakaman audio berkenaan adalah palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menakutkan serta membangkitkan kegusaran masyarakat.

“Oleh itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan platform media sosial serta lain-lain rangkaian komunikasi untuk menyebar maklumat palsu sehingga boleh membangkitkan sentimen perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi pihak polis bagi tujuan pengesahan jika terkesan dengan berita yang meragukan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mazlan berkata, polis memberi amaran dan melarang berkongsi serta menularkan berita-berita sedemikian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Baru-baru ini tular di media sosial, beberapa rakaman audio mendakwa akan berlaku kacau-bilau perkauman pada 7 dan 8 Disember ini dan meminta orang ramai untuk tidak keluar rumah pada dua hari berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PDRM terima laporan berunsur hasutan hina Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan berhubung penulisan berunsur menghasut yang dipercayai dikeluarkan pemilik akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, laporan berkenaan telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 11.15 pagi semalam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengiring Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atas arahan baginda dan polis telah menerimanya.

“Laporan itu merujuk kepada kenyataan menghasut dikeluarkan pemilik akaun berkenaan dalam bahasa Cina sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Kursus Program Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan, Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Sebelum ini, satu status pemilik akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang menulis kenyataan berunsur hasutan mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor tular pada Ahad lepas.

Tulisan kenyataan itu mengajak orang ramai supaya membenci Sultan Selangor susulan arahan baginda supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai dua bahasa di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan bahasa Melayu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Skuad Badar dinasihat tidak bertindak bertentangan undang-undang

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Kumpulan Skuad Badar dinasihatkan agar tidak bertindak dalam apa jua cara bertentangan dengan undang-undang negara kerana mereka bukan badan penguat kuasa agama yang sah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata kumpulan itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.

“Perlu ditegaskan bahawa mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad, yang menjelaskan skuad itu bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.

Azhar dilaporkan berkata gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini semakin membimbangkan. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tahniah Mohamed Azmin – Ketua Polis Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, beliau berharap Mohamed Azmin dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor dilaksanakan dalam suasana aman dan terkawal tanpa menggugat keselamatan dalam negeri.

“Semoga ummah di Selangor terus diperkasakan dan dapat membentuk ummah cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah maklum Majlis Berbuka Puasa bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut mencemar duli DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mazlan berkata, beliau berbesar hati apabila Sultan Selangor sanggup mencemar duli buat kali pertama berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor.

“Patik amat berbesar hati kerana ini kali pertama Tuanku Baginda berbuka puasa bersama kontijen polis Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL

17,852 laksana tanggungjawab mengundi awal

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Seramai 17,852 pegawai, anggota dan pesara polis kontijen Selangor menjalankan tanggungjawab mengundi awal hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau berpuas hati proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berjalan lancar di di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang bermula seawal 8 pagi tadi.

“17,852 pengundi merupakan anggota serta pegawai termasuklah 603 adalah pengundi pesara pasukan keselamatan itu.

“Manakala semalam seramai 614 anggota dan pegawai di seluruh negeri mengundi sebagai pengundi pos,” katanya dipetik Free Malaysia Today.

Mazlan berkata, dalam tempoh satu jam selepas pengundian awal dibuka, pihaknya dapati kira-kira enam peratus anggota dan pegawai melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Categories
SELANGOR

Walaupun hanya menunggu, polis tetap saman

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 16 JAN: Kenderaan awam atau persendirian yang diparkir secara haram dan menunggu di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak berhampiran susur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 akan ditunda ke balai polis, selain dikenakan saman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tindakan tegas itu berkuatkuasa serta-merta susulan masih ramai pemandu masih berdegil tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Malaysia Airport Berhad (MAB) sudah menyediakan tempat parkir kenderaan secara percuma untuk menunggu atau ambil penumpang, namun masih ramai menunggu di tepi jalan, khususnya berhampiran stesen minyak itu.

“Saya mengeluarkan arahan agar polis mengambil tindakan agresif menyaman dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara sulit di situ supaya tiada lagi pemandu yang menjejaskan keselamatan jalan raya pemandu lain.

“Selain saman ke atas pemandu yang menunggu di tepi jalan, mana-mana pemandu yang parkir kenderaan di tepi jalan terbabit akan terus ditunda dan dibawa ke balai polis,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pagi tadi.

Mazlan berkata, kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan ke atas pemandu yang didapati bersalah atas kesalahan menghalang lalu lintas dan meletakkan kenderaan secara haram.

“Sejak tahun lalu, setiap hari, kira-kira 30 saman dikeluarkan kepada pemandu yang meletakkan atau menunggu di situ dan penguatkuasaan akan ditingkatkan.

“Saman yang dikeluarkan ini membabitkan semua kenderaan termasuk pemandu teksi, pengendali perkhidmatan e-hailing serta kenderaan persendirian.

“Pemandu kenderaan yang hendak ke KLIA sepatutnya menggunakan kemudahan disediakan MAB kerana terdapat surau dan tempat makan berhampiran parkir itu,” katanya.