Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib dijangka beri keterangan di Bukit Aman hari ini

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir memberi keterangan di Bukit Aman, esok bagi membantu siasatan berhubung kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata Najib dijangka tiba di Bukit Aman pada sekitar 9 pagi.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lepas.

Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Nga berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 Sept lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Nga bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

BR1M masih belum cukup untuk tampung pengurangan subsidi

BR1M-Anwar

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) masih tidak mencukupi untuk mengimbangi pengurangan subsidi seperti yang dibentangkan Kerajaan Pusat, pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan potongan subsidi RM7.29 bilion, ia jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014.

Katanya, secara kesimpulannya perbezaan sebanyak RM5.6 bilion yang dikutip kerajaan masih kekal dibiayai penerima BR1M kerana pengurangan subsidi, walaupun jumlah bantuan itu ditambah.

“Jumlah penerima BR1M yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah 4.8 juta isi rumah, manakala angka Jabatan Perangkaan Negara adalah pada 2.56 juta isi rumah.

“Sekiranya jumlah sebenar isi rumah yang layak adalah benar lebih rendah, adakah ini satu lagi bentuk kebocoran yang bakal direstui Barisan Nasional (BN),” soalnya dalam sesi perbahasan, di Parlimen, di sini hari ini.

Sejumlah RM7.29 bilion subsidi dikurangkan untuk 2014 menjadikan jumlah sebenar RM39,408 bilion berbanding 2013 iaitu RM46.698 bilion dan penambahan bayaran BR1M dianggarkan bertambah RM1.7 bilion.

Anwar turut mempersoal tindakan kerajaan pusat yang masih belum menunaikan janji berhubung pemberian BR1M pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Kerajaan menjanjikan kenaikan BR1M untuk setiap isi rumah daripada RM500 kepada RM1200, tetapi hingga kini hanya RM650 diberi. Begitu juga dengan bantuan BR1M kepada warga bujang yang dijanjikan bakal diberi kenaikan daripada RM250 kepada RM600 dan setakat ini hanya RM300 diberi, inilah Barisan Nasional (BN) ‘janji ditepati’,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan perbahasan belanjawan 2014 yang dibahasnya hari ini sebagai ‘bercakap dengan orang pekak’ kerana tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

“Bila beliau (Najib) bentang belanjawan, saya hadir, saya dengar walaupun telinga ini sakit, tetapi bila sesi perbahasan belanjawan, beliau tidak hadir. Menteri Kewangan tiada, serupa saya bercakap dengan orang pekak dan inilah demokrasi yang diamalkan BN,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tiada Suami-Isteri Penjawat Awam Terpisah Jauh Di Bawah PR

PR

PUTRAJAYA 27 APRIL : Pakatan Rakyat(PR) akan melaksanakan konsep Al Mawaddah, iaitu pertukaran penempatan kakitangan kerajaan khususnya di kalangan guru-guru, sekiranya menerima mandat rakyat menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tidak ada lagi suami isteri penjawat awam yang terpaksa berpisah jauh, yang merencatkan pembinaan keluarga mereka.

“Kita akan satukan suami isteri di bawah konsep Mawaddah iaitu mendekatkan antara satu sama lain.

“Kalau Datuk Seri Najib mahu tidur dengan Datin Seri Rosmah, mengapa pula rakyat jelata tidak diberi pilihan untuk bersama ahli keluarga mereka di bawah satu bumbung dengan penempatan kerja yang dekat antara satu sama lain,” ucapnya di hadapan lebih 10, 000 hadirin dalam satu ceramah malam tadi.

Datuk Husam Musa

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga menjanjikan kebebasan bersuara kepada penjawat awam tanpa melibatkan sebarang campur tangan politik, sepertimana yang dipratikkan oleh Umno-BN ketika ini.

Begitu juga dengan kebebasan untuk berdakwah yang akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak asalkan konteks yang diketengahkan adalah selari dengan ajaran Al Quran dan Sunnah.

“Sekarang ini, kalau Ustaz Azhar Idrus hendak bagi ceramah di Masjid Mizan (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) tidak dibenarkan tetapi konsert K-Pop boleh pula diadakan di hadapan masjid.

“Jadi kita akan tukar ini, dan akan beri permit serta tidak akan sewenang-wenangnya pecat jawatankuasa masjid,” jelas calon PAS bagi Parlimen Putrajaya ini.