Categories
AGENDA NASIONAL

Rais Yatim dilantik speaker Dewan Negara ke-18

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini.

Rais, 78, merupakan antara tiga calon yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu selain Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.

Bagaimanapun, Theodore menarik diri pada saat akhir.

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Negara baharu dibuat bagi menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas, dilakukan menerusi undi bersurat.

Keputusan undian itu menyaksikan Rais memperoleh 45 undi manakala Mohd Yusmadi 19 undi dan seorang tidak hadir.

Keputusan undian diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad.

Terdahulu, usul pencalonan Rais dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul itu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahya manakala pencalonan Mohd Yusmadi dilakukan oleh Senator Dr Ahmad Azam Hamzah.

Berlaku sedikit perbahasan apabila pencalonan Rais dipertikai oleh Senator Nga Hock Cheh yang menganggap ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negara memandangkan Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara.

“Dinyatakan setiap Ahli Dewan Negara yang hendak mencadangkan ahlinya sebagai calon Yang Dipertua Dewan mestilah memastikannya suka berkhidmat dan cadangan perlulah diberikan dalam tempoh dua hari sebelum tempoh persidangan.

“Saya ingin berhujah bahawa Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara, maka Yang Amat Berhormat tidak berhak mencalonkan Tan Sri Rais Yatim sebagai calon untuk jawatan ini. Sehubungan itu, pencalonan ini harus ditolak,” katanya.

Bagaimanapun hujahan itu ditolak oleh Abdul Halim dan memutuskan Muhyiddin sememangnya berhak mencalonkan Rais.

“Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham, walaupun perdana menteri bukan Ahli Dewan Negara tetapi beliau merupakan Ketua Majlis yang bertindak dalam menentukan tarikh persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan Mesyuarat hanya Ahli Dewan Negara sahaja yang boleh mencalonkan seorang ahli yang lain sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya.

Perkara yang dinyatakan oleh Timbalan Speaker itu kemudiannya disokong oleh Takiyuddin.

Walaupun Nga cuba membantah, Abdul Hamid menyatakan keputusannya muktamad dan memutuskan untuk menjalankan pemilihan dengan undi bersurat memandangkan pencalonan lebih daripada seorang, bersesuaian dengan Peraturan Mesyuarat 2 (3).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Negara lulus mansuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Dewan Negara hari ini meluluskan pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) setelah kali kedua dibawa ke persidangan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin ketika sesi penggulungan RUU berkenaan berkata pemansuhan itu selaras komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

“Kezaliman ini sejarah dan kita tak mahu lagi berulang. Kita tidak boleh memperhambakan manusia menerusi undang-undang yang zalim kerana kebebasan adalah yang paling berharga,” katanya.

Akta 803 diluluskan pada 3 April 2018 sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.

Pemansuhan bagi akta tersebut diluluskan di Dewan Rakyat kali pertama pada 16 Ogos tahun lepas, namun tidak mendapat sokongan di Dewan Negara yang dibuat melalui undi belah bahagian pada 12 September 2018.

RUU itu kemudian sekali lagi dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat dan diluluskan pada 9 Oktober lepas.

Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Mohamed Hanipa berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan boleh dipinda, sekiranya ia tidak mampu untuk menangani isu berita palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas sistem e-dompet, tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kerajaan disaran mempergiatkan lagi inisiatif menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat seiring hala tuju majoriti negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Senator Datuk Lee Tian Sing berkata sebagai contoh di China, transaksi digital berkenaan digunakan secara meluas dengan bantuan pengendali perkhidmatan seperti Ali Pay.

“Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk meningkatkan industri e-dompet (dalam negara) memandangkan hanya lapan peratus sahaja transaksi digital ini digunakan dalam sektor pembayaran (di Malaysia),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020.

Tian Sing juga mencadangkan kerajaan membuat ketetapan berhubung pihak yang akan membangunkan sistem dan perisian e-dompet dalam memastikan keselamatan terjamin.

Sementara itu, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff turut menekankan kepentingan kerajaan mengangkat agenda digital yang memanfaatkan rakyat terutamanya di luar bandar.

“Bagi saya, agenda digital perlu diangkat dan ia akan menjadi pemangkin kepada agenda ekonomi yang dirancang selain menjadikannya sebagai perkara yang diraikan (memberi manfaat) semua rakyat,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan peruntuk RM28.5 juta baik pulih rumah daif di bandar

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kerajaan memperuntukkan RM28.5 juta bagi program bantuan membaik pulih rumah daif di bandar bagi tahun 2020, berbanding RM15 juta bagi tujuan sama pada tahun ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata program berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan menerusi Teras 1 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 iaitu membasmi kemiskinan.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang ingin tahu strategi kementerian itu mengatasi masalah penduduk golongan B40 di kawasan bandar yang tinggal di rumah usang dan perancangan kerajaan menambah jumlah peruntukan bagi program itu.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Mustafa mengenai cara permohonan bagi program itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata ia boleh dibuat melalui platform atas talian, ‘eKasih’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Negara zahir ucapan tahniah pertabalan Agong

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Dewan Negara hari ini merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Dewan Negara turut menzahirkan sembah tahniah kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran ketika berucap mewakili ahli Dewan Negara yang lain berkata, pertabalan yang berlangsung dengan penuh adat istiadat, selamat disempurnakan mengikut tradisi kesultanan Melayu pada tarikh yang amat istimewa iaitu pada hari keputeraan sebenar Seri Paduka sendiri.

“Bagi pihak dewan yang mulia ini dan ahli-ahlinya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.

“Semoga tuhan yang Maha Kuasa melanjutkan usia baginda berdua serta memberi taufik dan hidayah untuk baginda berdua mencerminkan prinsip keadilan, kesaksamaan sepanjang pemerintahan lima tahun akan datang bagi memakmur dan mensejahterakan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Dirgahayu Tuanku,” katanya yang mengakhiri ucapan dengan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut menyeru ahli Dewan Negara yang lain bersama-sama memberi makna kepada titah Seri Pduka yang menggariskan pentingnya usaha dalam meningkatkan tadbir urus, integriti, memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran perlembagaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Dr Yaakob dan Suresh Singh dipilih Senator wakili Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Bekas Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan bekas pembantu Ahli Parlimen Puchong bagi sesi 1986-1990, Suresh Singh a/l Rashpal Singh dipilih sebagai Senator Dewan Negara mewakili Kerajaan Negeri.

Pemilihan Yaakob dan Suresh Singh dibuat bagi menggantikan Senator Chandra Mohan dan Senator Dr Muhammad Nur Manuty yang tamat tiga tahun tempoh perkhidmatan masing-masing.

Yaakob daripada KEADILAN yang pernah menyandang EXCO Kerajaan Negeri sebelum ini dicadangkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Sementara itu, pemilihan Suresh Singh daripada DAP pula dicadangkan oleh Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan penutup Persidangan Dewan Negeri Selangor berkata, beliau yakin Yaakob dan Suresh Singh mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Tahniah kepada Senator Yaakob dan Senator Suresh Singh dan saya percaya mereka akan mewakili Kerajaan Negeri dengan baik seperti ditpertanggungjawabkan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor cadang beberapa nama untuk jadi Senator OKU

rodziah-ismail okuSHAH ALAM 10 OKT: Kerajaan Selangor akan mencadangkan nama beberapa individu profesional dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang layak untuk dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, ia selaras dengan kehendak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mencadangkan beberapa nama untuk membawa suara golongan OKU ke Dewan Negara.

“Saya harap kementerian ambil kira pandangan rakyat Selangor kerana walaupun 10 peratus penduduk negara ini OKU, sejumlah besar datang dari Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan bersetuju melantik seorang Senator Dewan Negara daripada kalangan OKU.

Rodziah berkata, pelantikan Senator OKU wajar dan dinanti-nantikan sejak terhenti pada 2009 dan ia diterima sebagai usaha legislatif ke arah mengarus perdana golongan berkenaan.

Beliau berkata, ia membantu memberdayakan golongan OKU berikutan Ahli Dewan Negara di kalangan mereka dapat mengetengahkan sensitiviti dan isu dengan lebih berkesan.

Katanya, Senator OKU wajar disediakan kemudahan setimpal supaya boleh memainkan peranan dengan berkesan selain diberi peruntukan kakitangan mencukupi dan kenderaan sesuai.

“Isu pembelaan OKU selama ini hanya dalam kerangka memberi elaun saraan atau seumpamanya. Tentunya belum memadai untuk menjamin masa depan mereka.

“Walaupun ada peraturan dan akta yang menjaga kepentingan OKU, pelaksanaan dan penguatkuasaannya jauh dari memuaskan,” katanya.

Allahyarham Senator Datuk Dr Ismail Md Salleh, seorang pakar ekonomi lulusan Doktor Falsafah (PhD) yang cacat penglihatan adalah Senator Dewan Negara pertama yang dilantik dari kalangan OKU.

Beliau dilantik pada 18 Disember 2007 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan meninggal dunia pada 27 Ogos 2009

– FZL

Categories
NASIONAL

PKR Gesa Dewan Negara Tolak pindaan RUU PCA 2013

fahmi-fadzilSHAH ALAM, 7 OKTOBER: PKR menggesa Dewan Negara yang mula bersidang hari ini sehingga 10 Oktober menolak pindaan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013  (PCA).

Ini kerana Rang Undang-Undang ini bukan sahaja dibahaskan dalam masa yang amat singkat tetapi juga kerana pada dasarnya melanggar hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan satu kenyataan media berkata Senator yang dilantik perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada nusa dan bangsa, tetapi juga kepada semangat hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Tindakan anti-demokratik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ini amatlah ironis apabila kita diingatkan bahawa Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jelas Malaysia akan menjadi bahan ketawa masyarakat dunia apabila universal periodic review (UPR) status hak asasi manusia bagi ahli-ahli badan tersebut diadakan 24 Oktober ini, seperti yang diingatkan Pengerusi SUHAKAM, TS Hasmy Agam hari ini,” katanya.

Rang Undang-undang PCA telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Oktober lalu.