Categories
NASIONAL

Najib digesa kembalikan peruntukan kesihatan

SHAH ALAM, 27 OKT: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak digesa mengembalikan semula dan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan supaya kesihatan rakyat terjamin dalam Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, Kerajaan sepatutnya menggunakan hasil kutipan cukai untuk menampung kos perubatan di negara ini, bukannya disalahgunakan dengan membina projek mega yang tidak memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Semua permasalahan ini akibat pemotongan peruntukan kesihatan oleh kerajaan di mana tahun lalu lebih kurang RM1 bilion telah dipotong.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi kesihatan merupakan hak kemanusiaan rakyat di bawah tanggungjawab kerajaan,”katanya dalam kenyataan.

Merujuk kepada beberapa laporan media, Dr Azman berkata terdapat beberapa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai-buang.

Katanya, ia termasuk peralatan pembedahan saraf kardiologi, pembedahan am seperti alat kateter jantung yang digunakan dalam saluran darah disebabkan kekurangan dana.

“Meskipun telah ada penjelasan dari Ketua Pengarah Kesihatan bahawa alat yang digunakan kembali itu di sterilkan sebelum digunakan kembali, praktik ini masih lagi bukan praktik yang paling selamat dari sudut pencegahan penyakit berjangkit.

“Ini sesuatu yang amat serius dan membimbangkan kerana ia melibatkan risiko nyawa kepada pesakit. Tugas doktor adalah merawat dan menyelamatkan pesakit tetapi bagaimana ingin dilakukan semua itu tanpa peralatan yang mencukupi?” katanya.

Dr Azman menambah, kebanyakan hospital kerajaan juga berdepan masalah membekalkan ubat kepada pesakit sehingga memaksa mereka membeli ubat di luar dan perkara tersebut diakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

“Bayangkan pesakit yang datang daripada keluarga susah dan tidak mampu membeli ubatan sendiri. Bagaimana?,” soalnya.

 

Categories
SELANGOR

Hospital Serdang perlu pemeriksaan menyeluruh

KUALA LUMPUR 10 DIS: Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail mendesak pemeriksaan menyeluruh dilakukan di Hospital Serdang selepas tujuh kali mengalami keruntuhan siling.

Katanya yang dipetik dalam halaman Keadilandaily, satu kumpulan perunding bebas pakar khusus berkenaan pembinaan hospital perlu ditubuhkan segera.

azman_bin_ismail_0“Seluruh kawasan hospital itu perlu diteliti dengan terperinci. Bukannya apabila berlaku kes keruntuhan baru hendak diperiksa.

“Kalau boleh tutup sementara dan beroperasi semula apabila keselamatan betul-betul terjamin,” katanya.

Dalam insiden terbaru 9 Disember lalu, siling kuarters hospital berkenaan runtuh hingga hampir mencederakan isteri dan empat anak kakitangan.

Lebih teruk lagi, kerosakan bukan hanya membabittkan siling tetapi beberapa bahagian lain seperti lantai yang mengelembung dan kerosakan paip air.

“Apakah kita hendak lihat kejadian yang meragut nyawa berlaku terlebih dahulu baru hendak bertindak dengan serius. Jaminan keselamatan yang diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam masih tidak mencukupi kerana kes ini masih berulang,” katanya.

Subramaniam sebelum ini menyatakan, kos kerja baik pulih keseluruhan Hospital Serdang dianggarkan menelan belanja RM30 juta.

Hospital Serdang mula beroperasi dengan kos pembinaan RM690 juta, pada Disember 2005.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan tubuh jawatankuasa kaji belanjawan 2014

MP

PETALING JAYA, 22 OGOS: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober nanti.

Jawatankuasa yang dikordinasikan institut rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

“Parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan memberikan pandangan mereka dalam isu tertentu di kementerian tertentu,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming di sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Penubuhan jawatankuasa kajian itu juga bagi memberi penekanan terhadap keberkesanan sesuatu projek kerajaan kepada rakyat terbanyak.

“Kita akan cuba jadikan bajet bukan sahaja efisyen habiskan bajet sahaja tetapi mesti efisyen mencapai objektif memberi manfaat secara maksima kepada rakyat.

“Kos yang begitu tinggi tidak mencapai matlamat sebenar tidak wajar diteruskan, juga dengan projek rundingan terus tanpa tender terbuka kerana banyak projek yang diberi secara terus mengalami kegagalan dan rakyat terpaksa menanggung kos dua, tiga kali ganda,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Kamarul Bahrin Shah dalam sidang media sama.

Selain Dr Kian Ming dan Kamarul Bahrin, Ahli Parlimen lain yang turut memainkan peranan masing-masing dalam jawatankuasa itu nanti, Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G. Manivanan (Kapar), Datuk Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan Kok Ping (Stampin, Sarawak) dan Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju). 12

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain juga akan turut menyumbang idea masing-masing bagi melahirkan satu belanjawan alternatif sekaligus mencabar Belanjawan 2014 Barisan Nasional.

Turut hadir dalam sidang media itu, pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang mewakili Institut Rakyat.

Setiap tahun sebelum belanjawan tahunan diumumkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat.

Pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat itu, turut menarik minat Najib yang juga Menteri Kewangan untuk menciplak samada idea dari Belanjawan Pakatan Rakyat, polisi yang diperkenalkan dalam manifesto Pakatan Rakyat mahupun Belanjawan Negeri Selangor.

Antaranya, penurunan harga kereta, skim pemeriksaan mamogram percuma, rumah mampu milik, skim tuisyen yang terlebih dahulu diperkenalkan Kerajaan Selangor dan lain-lain. -MZA