Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantah cadangan haramkan import minyak sawit

NEW YORK, 28 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan bantahan Malaysia berhubung cubaan untuk mengharamkan import minyak sawit di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan ia merupakan kes yang jelas untuk menafikan perdagangan bebas.

Berucap pada Debat Umum Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini Jumaat, Perdana Menteri Malaysia itu menegaskan pendiriannya terhadap langkah seumpama itu, menyatakan minyak sawit masih penyumbang besar terhadap ekonomi negara.

“Tiada bukti yang ia berbahaya. Kami merayu kepada budi bicara golongan kaya untuk tidak memiskinkan kami, untuk tidak menghalang ratusan ribu pekerja kami daripada menyara kehidupan. Anda akan berbuat kebajikan dengan menggunakan minyak sawit,” katanya ketika beliau menyentuh mengenai pengharaman import minyak sawit yang dicadangkan oleh negara Eropah.

Beliau berpandangan bahawa berikutan tidak mampu mengekalkan daya saing minyak makan mereka sendiri, kempen dilancarkan untuk mengharamkan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit berbahaya kepada kesihatan, memusnahkan habitat monyet hidung panjang, mengurangkan penyerapan karbon dioksida dan lain-lain lagi.

Menegaskan bahawa Malaysia juga prihatin terhadap alam sekitar sepertimana masyarakat Eropah, beliau berkata liputan kawasan hutan negara ketika ini sebanyak 55.3 peratus, melebihi ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah yang diliputi hutan.

Mengenai perang perdagangan, beliau berkata ia adalah satu pembaziran dan akan mengekang potensi setiap orang untuk menjadi kaya.

Berhubung sekatan yang dikenakan terhadap negara tertentu, Dr Mahathir berkata tidak diketahui di bawah undang-undang mana sekatan seumpama itu dikenakan.

“Ia dilihat sebagai keistimewaan pihak yang kaya dan berkuasa. Jika kita mahu mengenakan sekatan, kita perlu ada undang-undang untuk mentadbirnya.

“Hakikatnya adalah apabila sekatan dikenakan ke atas sebuah negara, negara lain turut terkena sekatan itu. Malaysia dan banyak negara lain kehilangan pasaran besar apabila sekatan dikenakan ke atas Iran,” kata perdana menteri.

Beliau percaya semua negara di dunia ingin mengecapi kemakmuran dan dibenarkan membangunkan negara mereka sendiri, tetapi mereka dihalang daripada berbuat demikian.

Disebalik banyak cakap-cakap mengenai perdagangan bebas, beliau berkata peraturan baharu yang diperkenalkan pada setiap masa telah merencatkan pembangunan di negara-negara miskin.

“Ini kerana cadangan bagi peraturan dan kawal selia dibuat oleh pihak yang kaya, sering kali secara rahsia. Pihak yang miskin secara praktikalnya dipaksa untuk menerimanya,” katanya sambil memberikan contoh Perkongsian Trans Pasifik.

“Ia dibuat di Washington dengan input daripada perniagaan besar mereka. Dalam perjanjian itu, kerajaan negara-negara kecil akan dipaksa untuk membayar pampasan wang pada jumlah besar kepada syarikat besar asing, sekiranya keputusan mereka menjejaskan keuntungan syarikat besar berkenaan, termasuk keuntungan di masa depan,” katanya.

Nasib baik, Dr Mahathir berkata, kini negara berkuasa yang menyediakan perjanjian itu telah menolaknya.

“Dengan mengecualikan negara ini, perjanjian itu telah menjadi lebih boleh diterima. Tetapi perjanjian itu masih menetapkan syarat untuk perdagangan – yang menafikan perdagangan bebas. Kami diberitahu bahawa kami perlu memansuhkan duti import, atau mengurangkannya supaya produk asing boleh mengalahkan industri kami yang kecil.

“Kami dipaksa untuk hanya mengeksport bahan mentah. Macam mana kami hendak menjadi negara perindustrian dan mewujudkan kerja untuk rakyat kami?,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya dengan kapitalisme tetapi kapitalisme telah menjadi tidak keruan.

“Mereka kini bercakap mengenai meraih bertrilion. Adalah bahaya bagi seorang individu atau sebuah syarikat untuk mempunyai begitu banyak wang. Ia boleh mempengaruhi perkara lain. Ia boleh beli kuasa. Sekalipun undang-undang anti-amanah. Kami melihat ini dalam Perkongsian Trans Pasifik – TPP, apabila syarikat-syarikat kaya memberikan diri mereka sendiri kuasa untuk menyaman kerajaan.

“Terma perjanjian dirumuskan oleh mereka. Dan mereka semua bukan seperti Bill Gates. Kebanyakannya cenderung untuk mengeksploitasi kuasa mereka dengan adanya wang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL NASIONAL

Ubah suai kuasa veto untuk elak salah guna kuasa – Dr Mahathir

NEW YORK, 28 SEPT: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sudah tiba masanya untuk kuasa veto diubah suai jika pun ia tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya serta menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

Beliau mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

“Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap diri mereka sentiasa tidak terkecuali daripada undang-undang dan norma antarabangsa,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan kenyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini Jumaat.

Beliau berkata lima negara mendakwa mencapai kemenangan dalam Perang Dunia Kedua tiga suku abad yang lalu, dan atas dasar itu, menegaskan hak untuk memerintah dunia, dengan memberikan diri mereka kuasa veto terhadap semua negara dunia dalam PBB.

“Berapa lama lagi kumpulan ini harus dibenarkan untuk menggunakan kuasa ini? Berapa lama, selama-lamanya? Jangka masa yang tidak dinyatakan itu nampaknya kekal,” kata beliau sambil merujuk kepada kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB-China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata bahawa kuasa veto itulah yang menyebabkan perlumbaan memiliki senjata, dengan setiap dari lima negara berkenaan menggunakan kekuatan tentera masing-masing bagi mencabar sebarang percubaan untuk melucutkan kuasa veto masing-masing.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sebenarnya kuasa veto adalah bertentangan dengan semua prinsip hak asasi manusia yang negara-negara itu sendiri sendiri mendakwa memperjuangkannya.

“Setiap daripada negara ini boleh menafikan kehendak hampir 200 negara lain. Ia benar-benar dan sama sekali tidak demokratik. Anehnya, ada di antara mereka yang menyelar negara-negara lain di dunia kerana kononnya tidak demokratik atau tidak cukup demokratik,” kata Dr Mahathir.

Beliau menyatakan bahawa ia menghapuskan tujuan asal PBB yang mereka wujudkan dan memastikan bahawa semua penyelesaian tehadap semua konflik boleh dinafikan oleh mana-mana daripada mereka, dan dengan itu menggagalkan semua usaha untuk menyelesaikan masalah.

“Kita mesti mengembalikan kepada tujuan asal organisasi yang hebat ini – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita mesti menghukum negara yang mencetuskan perang dan perlu menjadikan dunia aman untuk semua.

“Itu adalah misi asal kita dan ia harus dikekalkan sebagai misi kita. Hanya jika kita berjaya, kita boleh menganggap bahawa kita adalah masyarakat bertamadun,” kata Perdana Menteri.

“Tiga suku abad adalah sesuatu yang lama. Kita tidak boleh dijadikan tebusan disebabkan peristiwa-peristiwa yang telah berlalu lama,” tegasnya.

Beliau mengulangi pandangan bahawa struktur PBB sekarang menyebabkan ia tidak mampu untuk mencapai matlamat prinsipnya iaitu menghalang peperangan antara negara.

“Memang, struktur itu telah menggalakkan peperangan antara negara dan dengan negara,” kata beliau.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa PBB telah gagal melindungi negara miskin daripada terjerumus ke kancah perang tetapi telah mencapai hasil yang baik dalam bidang lain.

Beliau memuji peranan PBB dalam menyumbang terhadap bidang kesihatan yang lebih baik, meringankan penderitaan beberapa segmen golongan miskin dan yang memerlukan, dan menjamin tahap keselamatan dan kestabilan di kawasan-kawasan yang dilanda konflik dalaman.

“Badan dunia itu boleh melakukan lebih banyak lagi. Tetapi ia mengalami kekangan dana. Negara termasuk yang amat kaya tidak melunaskan sumbangan mereka. Ini amat memalukan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata negara-negara perlu menyokong PBB walaupun ia gagal menghalang peperangan kerana usaha badan dunia itu terhadap bidang kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial menjadikan kewujudan PBB sebagai relevan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas PBB atas kerja dan dedikasi mereka dalam bidang-bidang bidang ini, dan Perdana Menteri berkata Malaysia dapat menyumbang kepada badan dunia itu dengan melaksanakan misi-misi pengaman di kebanyakan negara.

“Saya menaruh harapan apabila tiba masanya khidmat mereka tidak lagi diperlukan apabila negara-negara dapat memastikan keselamatan mereka sendiri,” kata beliau.

Dr Mahathir juga menggesa PBB memainkan peranan utama dalam memulihkan kerajaan yang gagal sambil menjelaskan bahawa banyak negara telah gagal kerana jentera pentadbiran tidak berfungsi dengan baik.

Teknologi moden boleh membantu tetapi ada keperluan untuk latihan yang baik, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permusuhan terhadap umat Islam berpunca daripada Israel

NEW YORK, 28 SEPT: Malaysia tidak boleh menerima tindakan Israel yang terang-terang merampas bumi Palestin secara zalim untuk mendirikan penempatan mereka serta pendudukan Baitulmaqdis oleh rejim zionis, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menarik perhatian mengenai nasib malang rakyat Palestin yang langsung tidak dapat memasuki penempatan yang dibina di atas tanah mereka.

Malaysia, katanya, menerima negara Israel sebagai ketentuan yang harus diterima tetapi menegaskan bahawa disebabkan tindakan Israel, kini terdapat sikap prasangka terhadap agama Islam dan umat Islam.

“Umat Islam dituduh melakukan keganasan walaupun mereka tidak berbuat demikian. Negara Islam mengalami ketidakstabilan melalui kempen untuk mengubah demokrasi dan pertukaran rejim. Umat Islam di mana-mana ditindas, diusir dari negara mereka dan dinafikan hak suaka,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam pernyataan semasa Perbahasan Umum pada Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat.

Beliau berkata, sesiapa tidak boleh menafikan bahawa pada masa lalu tiada migrasi berskala besar tetapi kini peperangan dan ketidakstabilan akibat perubahan rejim telah memaksa mereka melarikan diri dari negara asal mereka.

Dr Mahathir menegaskan bahawa peralihan semalaman kepada demokrasi menyebabkan ketidakstabilan dan perang saudara, sehingga beberapa negara kehilangan kuasa kerajaan, sementara yang lain kembali kepada rejim autoritarian yang lebih buruk daripada yang digantikan.

Oleh kerana menderita akibat peperangan dan keganasan, rakyat negara itu berpindah ke negara lain, kata beliau.

“Negara yang kononnya memperjuangkan prinsip demokrat membicarakan tentang kedaulatan undang-undang tetapi mereka bersikap pilih kasih. Rakan boleh melanggar mana-mana undang-undang dan terlepas begitu sahaja daripada hukuman.

“Justeru, Israel boleh mencabuli semua undang-undang dan norma antarabangsa di dunia dan ia akan terus disokong dan dipertahankan. Negara-negara tidak mesra tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak betul. Tidak ada keadilan di dunia,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perbuatan Israel merampas tanah Palestin dan mengusir 90 peratus penduduk Arab telah mencetuskan peperangan di banyak negara, kebanyakannya berkaitan dengan pembentukan negara Israel.

“Dan kini kita menghadapi ancaman keganasan sedangkan tidak sebelum ini atau sekurang-kurangnya tidak ada pada skala sekarang. Tindakan ketenteraan terhadap keganasan tidak akan berjaya. Kita perlu mengenal pasti puncanya dan mengatasinya.

“Tetapi kuasa-kuasa besar enggan menangani puncanya. Mereka lebih cenderung kepada tindakan ketenteraan dan sekatan, dan mereka akan terus gagal mengekang keganasan,” kata Dr Mahathir.

Sambil menyoroti nasib masyarakat Rohingya di Myanmar, Perdana Menteri berkata bahawa ketidakupayaan dunia dalam menghentikan kekejaman terhadap masyarakat etnik menyebabkan resolusi PBB kurang berkesan.

Akibatnya, mereka dipaksa berhijrah dan kini tidak berani kembali ke Myanmar walaupun diberi tawaran kerana mereka tidak dapat mempercayai tentera Myanmar melainkan ada beberapa bentuk perlindungan pihak ketiga.

Beralih perhatian kepada isu Jammu dan Kashmir, Perdana Menteri berkata walaupun ada resolusi PBB, wilayah itu telah ditawan dan diduduki.

“Mungkin ada sebab untuk tindakan ini tetapi ia tetap salah,” katanya sambil menegaskan bahawa masalah itu harus diselesaikan secara aman.

Sehubungan itu, beliau menyeru India untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu tersebut, dengan memberi peringatan bahawa ketidakpatuhan resolusi PBB akan menyebabkan pengabaian bentuk lain kepada badan dunia itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia tidak boleh terima dengan mudah sebahagian penemuan MH17

VLADIVOSTOK (Rusia), 5 SEPT: Malaysia ada kesangsian dan tidak dapat menerima dengan mudah sebahagian daripada penemuan-penemuan pasukan penyiasat bersama (JIT) diketuai Belanda yang menyiasat insiden penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata terdapat keperluan kepada sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dari banyak negara yang biasa dengan kejadian pesawat terhempas seperti itu untuk menyiasatnya kerana pandangan JIT mungkin tidak adil dan berpihak.

“Pandangan mereka mungkin tidak adil dan berpihak, kita perlukan sebuah badan bebas untuk melakukan siasatan. Dan penemuan-penemuannya juga adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima dengan mudah.

“Hendak mengenal pasti siapa yang melepaskan tembakan adalah amat sukar (tetapi) untuk mengenal pasti jenis peluru berpandunya, ya…tapi kawasan di mana ia berlaku, itu boleh dipastikan tetapi untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” katanya semasa diwawancara oleh agensi berita Sputnik, yang ibu pejabatnya di Moscow, Rusia.

Dr Mahathir kini berada di Vladivostok untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF).

Perdana Menteri berkata beliau tidak mempertikaikan keikhlasan mereka tetapi ada perkara-perkara tertentu yang sukar bagi Malaysia hendak menerimanya terutama mengenai identiti orang yang sebenarnya melepaskan tembakan peluru berpandu itu.

“Adalah amat sukar hendak ditentukan kerana sebaik sahaja peluru berpandu itu dilepaskan, mereka boleh bergerak ke mana-mana sahaja dan perkara seumpama itu, tetapi anda boleh kenal pasti bahagian peluru berpandu itu dan menentukan jenis peluru berpandu berkenaan atau bahagian pesawat dan bahagian mana pesawat yang rosak.

“Tetapi untuk mengatakan anda tahu siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu, itu adalah sesuatu yang melampau dan amat sukar untuk kami menerimanya.

“…Saya tidak ada saudara-mara yang terbunuh di sana, saya tidak berhak ke atas mana-mana tuntutan insurans tetapi saya telah melihatnya sebagai seorang pemerhati dari luar dan sebahagian daripada penemuan-penemuan yang dibuat nampak kepada saya dan ramai orang di Malaysia macam tidak betul,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, Ukraine.

Pasukan penyiasat JIT menyimpulkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah yang pro-Rusia dalam konflik mereka dengan Ukraine.

Pada Jun, pasukan penyiasat JIT, yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, mengumumkan bahawa empat individu – tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko – akan didakwa kerana menembak jatuh pesawat MH17.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mencari bukti lain untuk mengenal pasti penjenayahnya dan dari negara mana yang terlibat dalam penembakan peluru berpandu itu.

“Jika mereka boleh menjumpainya dari bukti lain, maka ia menjadi bukti yang sahih dan saya fikir saudara-mara mangsa akan boleh membuat tuntutan,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir mulakan lawatan ke Vietnam hari ini

HANOI, 27 OGOS: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan lawatan tiga hari ke Vietnam hari ini disambut penuh penghormatan oleh negara republik sosialis itu dengan hamparan permaidani merah.

Dr Mahathir diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden di mana ketibaan beliau dialu-alukan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Dr Mahatahir memeriksa barisan penghormatan di mana lagu kebangsaaan Malaysia Negaraku dan lagu kebangsaan Vietnam didendangkan.

Kemudian, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat terhad dan diikuti mesyuarat delegasi di pejabat perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala serta menggalakkan inisiatif kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan serta isu-isu serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua belah pihak.

Selepas perbincangan itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis pertukaran surat bagi penubuhan Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia-Vietnam dan diikuti oleh sidang media bersama.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Kemudian pada hari ini juga Dr Mahathir akan mengadakan dialog dengan ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang melibatkan sebanyak 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam.

Dr Mahathir tiba di Hanoi Isnin malam bagi lawatan rasminya ke Vietnam atas undangan rakan sejawatannnya Nguyen Xuan Phuc.

Kali terakhir Dr Mahathir melakukan lawatan kerja ke Vietnam ialah dalam tahun 1998 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam terjalin sejak 1973.

Vietnam merupakan rakan kongsi ekonomi Malaysia yang penting. Malaysia dan Vietnam menyasarkan untuk mencapai nilai dagangan sebanyak US$15 bilion (RM63 bilion) tahun depan berbanding US$13.3 bilion (RM55.7 bilion) tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Zakir Naik bebas ceramah tentang Islam, tapi bukan politik perkauman

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini pendakwah Islam Dr Zakir Naik bebas mengajar dan bercakap tentang Islam, tetapi tidak mengenai politik perkauman yang boleh mengganggu dan merosakkan kebajikan dan ketenteraman rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu menyekatnya daripada bercakap mengenai agama dan perkara yang benar, … tetapi agak jelas beliau ingin berperanan dalam politik perkauman di Malaysia.

“Pertama sekali, saya tak tahu siapa yang memberikan beliau status Penduduk Tetap (PR), tetapi sebagai penduduk tetap, beliau tidak boleh menyertai politik.

“Beliau boleh berdakwah tetapi beliau tidak berbuat begitu… beliau bercakap mengenai soal menghantar orang Cina pulang ke China, orang India pulang ke India, itu bagi saya adalah satu langkah politik,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata sudah menjadi budaya rakyat negara ini yang begitu berhati-hati bila mereka bercakap mengenai perkara yang sensitif pada komuniti lain.

“Saya tak pernah sebut perkara sebegitu… tidak pernah meminta orang Cina pulang, tetapi beliau (Zakir) datang ke sini dan meminta mereka pulang (ke China).

Beliau berkata Zakir tersilap langkah, mengganggu perasaan perkauman, kerana itu polis perlu menyiasat beliau.

“Jadi apa juga tindakan yang kita ambil mestilah selaras dengan undang-undang … kerajaan ini menghormati kedaulatan undang-undang,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa ribut dibantu ikut kemampuan kerajaan

LANGKAWI, 12 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membantu mangsa bencana di negara ini termasuk ribut yang melanda beberapa kawasan di utara Semenanjung Jumaat lepas.

Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun berkata bantuan yang disalurkan perlu juga mengambil kira keadaan kewangan kerajaan.

“Kita tak ada duit jadi belanja setakat yang mampu sahaja. Kalau kita belanja duit yang tak ada, kita akan hadapi masalah kewangan. Macam dulu ni dia (kerajaan terdahulu) belanja duit banyak tetapi sekarang ni yang kena bayar hutang kita bukan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk sempena majlis korban di Masjid Al Huda, Padang Matsirat di sini hari ini.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat Juhari Bulat.

Mengenai kejadian ribut yang dipercayai berpunca oleh Taufan Lekima, Dr Mahathir memuji tindakan pantas yang disalurkan agensi terlibat kepada semua mangsa.

“Ribut kali ini terkena seluruh Langkawi, walaupun demikian, kita dapati tindakan awal telah diambil untuk pulihkan semula keadaan. Saya dapati bahawa responsnya cepat dan baik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tahan diri daripada tamak hingga lakukan rasuah – Dr Mahathir

MELAKA, 10 Jun : Penjawat awam perlu menahan diri daripada berasa tamak sehingga melakukan rasuah, sabar supaya tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ia satu amanah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu-isu yang melibatkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.

Katanya Pelan Antirasuah Nasional yang komprehensif telah diterbitkan baru-baru ini sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah sama sekali.

“Usaha ini tidak boleh tercapai dengan mudah dan cepat, tetapi ia harus dimulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, barisan exco dan penjawat awam negeri ini.

Dr Mahathir berkata antara langkah perlu diambil bagi menangani rasuah adalah mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan kerajaan, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman.

Katanya nilai dan prinsip yang ditekankan pada bulan Ramadan dan Syawal itu amat berkait rapat dengan sikap dan tindak-tanduk sebagai penjawat awam, yang mana paling utama adalah menahan nafsu yang penting dalam melaksana tangungjawab dan amanah diberi.

“Saya bekerja kerana saya percaya ia adalah satu ibadah dan saya terus bekerja, walaupun semasa saya telah bersara dahulu, kerana ibadah tidak ada noktah. Jika kita terima kerja kita lakukan satu amanah dan tanggungjawab serta ibadah, maka kita akan bekerja dengan lebih kuat dan mengharap dapat keredaan Allah.

“Sebagai penjawat awam, nilai etika, jati diri dan integriti yang tinggi adalah perkara utama yang perlu kita sama-sama hayati dan amalkan. Walaupun pekerja swasta juga diharap mempunyai nilai yang sama tetapi beban ini lebih diletak di bahu penjawat awam,” katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya penjawat awam tidak menjaga amanah yang diberikan, maka jentera pentadbiran kerajaan akan pincang yang akhirnya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada penjawat awam dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata oleh sebab itu, kerajaan dan rakyat khususnya, mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap penjawat awam agar menjadi jentera pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.

“Kita juga perlu peka dan prihatin dengan segala undang-undang, peraturan mahupun pekeliling yang berkuat kuasa terutamanya yang berkaitan dengan bidang tugas kita. Ini adalah untuk mengelakkan daripada membuat keputusan di luar batasan,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Enam bulan untuk kerajaan kaji manfaat RTS – Dr Mahathir

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Kerajaan akan menjalankan kajian selama enam bulan terhadap projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura untuk menentukan sama ada ia bermanfaat kepada negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan terdahulu telah memeterai perjanjian tertentu berhubung beberapa projek di Malaysia.

“Kami berpendapat kontrak itu terlalu mahal dan terdapat bukti berlakunya rasuah dan kami telah lama membuat keputusan iaitu sebelum kami menjadi kerajaan lagi untuk tidak meneruskan projek-projek ini.

“Bagaimanapun, dengan tidak meneruskan projek-projek ini atau membatalkannya akan melibatkan bayaran pampasan amat tinggi,” katanya pada majlis di Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo, Jepun hari ini.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sekarang memutuskan untuk mengurangkan kos projek berkenaan dan berunding semula dengan kontraktor, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan kerajaan berjaya mengurangkan RM21 bilion daripada kos asal.

“Sekarang kami juga ada projek lain, yang kami mungkin menangguhkannya, sama ada menangguhkan atau mengurangkan skop atau kosnya. Inilah yang kami sedang lakukan, tetapi kami melakukannya menerusi rundingan,” katanya.

Antara lain, beliau berkata Malaysia memerlukan dua tahun untuk membuat keputusan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Semua ini diselesaikan secara baik antara kerajaan Malaysia dan kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perang perdagangan tindakan kurang bijak, kata Dr Mahathir

TOKYO, 30 Mei: Perang perdagangan adalah satu tindakan kurang bijak yang bukan setakat tidak mempunyai sebarang matlamat, tetapi turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara-negara lain termasuk Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Perdana Menteri turut menyifatkan sebarang bentuk hubungan perdagangan tidak sewajarnya dijadikan satu konfrontasi.

“(Jika diberi pilihan) kita sendiri tidak mahukan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China sekiranya perkara terbabit dapat dikendalikan oleh mereka yang lebih rasional. Malangnya, pada masa ini kita terpaksa akur bahawa perang perdagangan itu sedang berlaku dan ia menjejaskan kita.

“Kita mahukan China menjadi sebuah negara yang cukup kaya bagi membolehkan kewujudannya sebagai satu pasaran yang hebat untuk kita serta negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo, hari ini.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun.

Mengulas selanjutnya, Dr Mahathir berkata China mempunyai seramai 1.4 bilion penduduk yang sudah cukup untuk menjadikannya sebuah pasaran besar untuk seluruh dunia.

Justeru, sebarang kemakmuran yang dinikmati China turut memberi manfaat di peringkat global.

“Apabila China menjadi semakin kaya, dunia akan mendapat limpahan manfaat daripada pasaran sedemikian. Dari segi imbangan dagangan pula, kita ada AS dan mahu meneruskan (usaha tersebut). Saya percaya, sebarang bentuk hubungan dagangan tidak wajar dijadikan konfrontasi,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, negara-negara lain juga perlu menerima hakikat bahawa China semakin kaya dan menggunakan aspek itu bagi melonjakkan kedudukannya.

“Ya, China banyak melakukan eksport…tapi (bagaimana pula) anda boleh berasa terancam apabila China miskin dan terus berpendirian sama apabila China kaya. Jadi, apa yang harus mereka (China) lakukan? Mereka tidak mungkin dapat berada di tengah-tengah (dua keadaan),” kata beliau dalam nada berseloroh.

Perdana Menteri berkata, Malaysia misalnya mahu melihat sikap AS dan China yang tenang dan kurang bersifat konfrontasi.

“Sama ada AS suka atau tidak, China akan muncul sebagai sebuah negara yang berkuasa. China mempunyai populasi yang jauh lebih besar daripada keseluruhan Eropah dan Amerika Utara.

“China juga boleh menjadi dunianya tersendiri dengan hanya melakukan dagangan dalam negara itu. Inilah caranya mereka berkembang pada awalnya,” kata beliau.

Sambil mengakui bahawa persaingan dengan China merupakan sesuatu yang sukar, Dr Mahathir bagaimanapun yakin dengan kekuatan positif yang dimiliki AS.

Malah, AS misalnya cukup dikenali kerana kepakarannya termasuk membuat pesawat serta enjin.

“Mereka sepatutnya berharap China untuk berusaha menandingi mereka tetapi rakyat AS juga amat inovatif dan pakar daya cipta dan mereka boleh bersaing dalam bidang yang menjadi kepakaran mereka.

“Tumpukan kepada apa yang anda boleh lakukan dengan terbaik, cuba dan bersaing tetapi bukanlah untuk menguasai atau menakluk. Diplomasi (mengancam) menggunakan senjata kini sudah lapuk,” tegas Perdana Menteri. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Skim mySalam beri manfaat kepada 3.69 juta rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 24 JAN: Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Malaysia, berumur 18 hingga 55 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Skim mySalam itu adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

“Kita akan berusaha sedaya upaya menjana dana bagi meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu. Kita turut mengambil langkah inovatif dan alternatif.

“Usaha kami ini mula membuahkan hasil dan skim mySalam ini membuktikan langkah inovatif dan alternatif terbabit mampu membantu mencapai matlamat membantu rakyat.

“Skim mySalam ini diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan Putrajaya, di sini, hari ini.

Foto:BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Matahir berkata, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer di bawah skim itu.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

“Skim ini akan menyediakan perlindungan takaful kepada isi rumah dalam kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR),” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir percaya, skim itu akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada tabung mySalam daripada Great Eastern dan semua penanggung insurans serta pengendali takaful, di negara ini.

“Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa gembira melihat kerjasama yang kukuh di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan taraf serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya, selain Skim mySalam, inisiatif lain yang berkait rapat dan akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan ialah Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

“Skim PeKa B40 ini akan dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada minggu hadapan untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas. Ianya adalah projek perintis tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta,” katanya.

Pada tahun 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3 peratus berbanding dengan kadar 50.4 peratus bagi semua rakyat bekerja.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan yakin kedudukan fiskal pulih menjelang akhir 2020

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan pada akhir 2020 dengan mensasarkan perkembangan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2018-2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun Kerajaan mengamalkan langkah berjimat cermat sepanjang tempoh berkenaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi ia hanya bersifat sementara, di samping mensasarkan defisit tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri terutama permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia.

“Permintaan swasta dijangka kekal menerajui pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta dijangka berkembang 5.7 peratus setahun.

“Dengan penambahbaikan tadbir urus dan peningkatan hasil, kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan, pada akhir tahun 2020.

“Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berhubung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Berbanding tempoh dua tahun pertama Rancangan 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dalam suasana inflasi pada kadar purata 2.9 peratus.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.

Dr Mahathir berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan semula menerusi perbelanjaan secara cermat kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional dahulu berbelanja dengan boros dan tidak berhemat.

“Amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.

“Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah.

“Namun, projek pembangunan sosioekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan,” katanya.

Katanya, antara langkah proaktif yang berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan High Speed Rail (HSR).

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu memastikan pengurangan perbelanjaan awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.