Categories
NASIONAL

Teresa Kok: Bukan DAP saja bangkitkan, Mahathir juga persoal 1MDB

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok mempersoalkan tindakan Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Al Habshee yang menggesanya tidak mempolitikkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kok berkata, Syed Ali sepatutnya menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempolitikkan isu 1MDB kerana turut mengkritik syarikat pelaburan negara itu.

“Adakah beliau (Syed Ali) akan menuduh Mahathir mempolitikkan isu 1MDB untuk memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.

Beliau berkata, Mahathir membangkitkan beberapa persoalan berkenaan lambakan hutang dan penggunaan dana 1MDB, pada September lalu.

“Isu berkenaan 1MDB dan dibangkitkan oleh DAP dan Mahathir adalah isu yang sangat serius dan memerlukan delegasi Umno untuk berani mengangkatnya dalam perbahasan mereka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Syed Ali yang mempersoalkan tindakan DAP yang menggesa Umno membincangkan isu 1MDB ketika perhimpunan agung parti itu, pada 21 November lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek IC PRU: Jangan Jadikan Selangor Seperti Sabah

azmizam luar pc 01

PELABUHAN KLANG, 28 APRIL: Kemunculan pendatang asing yang memiliki kad pengenalan biru di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke -12 lalu berada di tahap membimbangkan.

Menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri, sekiranya isu ini tidak ditangani segera, Selangor akan menghadapi masalah yang sama seperti dihadapi rakyat dan pasukan keselamatan di Sabah.

“Di Sabah masa isu pencerobohan Lahad Datu, pihak keselamatan tak dapat bezakan mana pendatang asing, mana warganegara sebab pendatang asing ini juga ada kad pengenalan biru.

“Sekarang di Selangor sudah mula menular sebab nak rampas Selangor.

“Saya menyeru supaya kita selamatkan Selangor jangan jadi seperti Sabah gara-gara Umno-BN nak mengekalkan kuasa mereka,” kata Azmizam dalam satu program ceramah di Taman Telok Gadong.

Azmizam berkata, beliau sendiri bertemu dengan empat warga Myanmar yang mendapat kad pengenalan biru secara mudah dan sempat membuat salinan dua daripadanya.

“Saya beri amaran kepada mereka, jangan sampai saya jumpa mereka di tempat mengundi, kalau jumpa siaplah,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah ketika tampil sebagai saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek IC mendakwa beliau dan beberapa kakitangan lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin bagi melicinkan operasi projek IC.

Abdul Aziz adalah Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Manakala seorang saksi lain turut mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir  berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin turut mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Pertikai Kerakyatan Kaum Cina, India : Aziz Bari Saran Polis Siasat Mahathir

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyarankan polis menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah bagi tujuan pilihan raya.

Malah, tindakan Dr Mahathir mengaitkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra memberikan kerakyatan kepada orang Cina, India dan bangsa lain ketika sebelum merdeka adalah tidak relevan serta mengarut.

Tegasnya, isu itu juga pasti menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.

“Ia macam mempertikaikan orang Cina dan India ini mendapat hak kerakyatan, macam ia tidak mengikut undang-undang.

“Seharusnya ada pihak yang membuat laporan kepada polis dan polis menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir,” katanya dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Dr Aziz berkata, apa dilakukan Tunku Abdul Rahman adalah secara telus dan terbuka berdasarkan syor dan rundingan serta tidak menipu.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menjalankan siasatan ketika ini perlu menyiasat penipuan dilakukan melibatkan Dr Mahathir.

“Sampai sekarang sesiapapun boleh memohon menjadi warganegara mengikut peraturan. Yang Dr Mahathir buat pada 1994 ialah dengan secara sembunyi-sembunyi – Projek M dengan ribuan diberikan kepada orang Filipina dan yang lain,” katanya.

Berhubung pendidikan percuma sepertimana dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya diberikan mandat mentadbir negara, Dr Aziz menjawab, pelbagai program dijalankan Kerajaan Negeri Selangor menjadi bukti bankrap tidak berlaku.

 

Categories
NASIONAL

PAS Cabar Umno Bentang Perincian Hudud

SHAH ALAM 29, OGOS: PAS mencabar Umno membentangkan sendiri perincian perlaksanaan perundangan hudud memandangkan parti berkenaan begitu lantang dan terus menerus memperlekeh hasrat berkenaan.

Cabaran ini dilontarkan sendiri oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang nyata dukacita dengan kenyataan ‘sumbang’ berhubung cadangan perlaksanaan syariat berkenaan terutamanya dari mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Presiden Umno.

Menyifatkan kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan tidak pernah menolak hudud seperti yang terkandung dalam Islam dan hanya menolak hudud yang akan dilaksanakan PAS sebagai bentuk pemikiran lama, katanya sehingga kini Umno masih gagal membentangkan perincian hudud sebenar seperti yang digariskan Islam.

Menurutnya lagi, sehingga kini Umno-BN masih membisu berhubung cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat ditambah kenyataan lantang yang dilemparkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

“Mahathir masih dalam pemikiran lama. Kita minta enakmen hudud ini dibentangkan di seluruh negara. Bagi kita (PAS) tidak mengapa dia (Mahathir) mengatakan ini hudud PAS tapi kita mahu dengar mana hudud dari Umno.

“Kita mencabar bentangkan hudud Umno atau yang didakwa oleh Dr Mahathir di dalam atau luar parlimen kerana sehingga kini tidak ada sepatah pun hudud yang dikatakan betul seperti mana dakwaan Dr Mahathir,” katanya.

Dr Mahathir dalam kenyataannya kepada media semalam menyatakan hudud yang ingin dilaksanakan Pakatan Rakyat mirip kepada hukuman lebih berat dan tiada dalam al-Quran.

Jelasnya, enakmen hudud yang dibuat di Kelantan hasil perbincangan cendakiawan agama yang tidak mempunyai latar belakang politik antaranya Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Datuk Daud Muhammad.

Beliau menambah, PAS akan tetap memberikan sokongan kepada mana-mana pihak yang ingin melaksanakan perundangan berkenaan dan beliau percaya dunia memerlukan undangan ciptaan Allah SWT dikala kadar jenayah semakin meningkat.

Categories
NASIONAL

Tunku Harmy : Umno Punca Raja-Raja Hilang Kuasa

SHAH ALAM 25 JUN : Krisis Perlembagaan Institusi Diraja berlaku berpunca dari sikap gila kuasa pentadbiran Umno-BN bagi memastikan segala khazanah negara berligar dikalangan para kroni sejak zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri bukannya disebabkan oleh Pakatan Rakyat (PR).

Kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hannan berkata kesan dari tindakan tersebut menyebabkan rakyat pelbagai kaum di nagara ini telah sedar yang akhirnya bertindak menolak Umno-BN.

Sehubungan itu Umno tidak mempunyai pilihan selain dakwaan menuduh PR menjadi berpunca kepada gelombang perubahan kebangkitan rakyat dan menjadikan isu penyingkiran raja-raja melayu sebagai agenda tersembunyi PR.

“Saya berpolitik sejak awal umur 20an, niat jahat Umno-BN saya cukup kenal. Saya bergaul dengan mereka dari pemimpin bawah hingga pemimpin atasan. Itu merupakan rancangan awal mereka dahulu sehinggalah sekarang.

“Gelombang itu mereka sudah rasainya. Jadi sekarang merekalah kononnya yang mempertahankan Raja-Raja dan menuduh PR yang cuba jatuhkan Raja-Raja. Ini merupakan satu pembohongan dan temberang yang cuba dimainkan oleh Umno-BN kerana mereka tahu niat itu datang dari mereka jadi mereka campakkan niat itu kepada PR pula,” katanya dalam Program Terus Terang oleh Selangorku.

Malah, dakwanya, usaha bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir cukup jelas memperalat institusi raja-raja bagi merealisasikan cita-citanya menguasai pelbagai kuasa pentadbiran.

Jelasnya, beliau memburukkan raja-raja untuk merampas kuasa raja kerana itulah beliau mengurangkan imuniti kuasa raja-raja.

“Salah satunya beliau memburukkan raja-raja dengan menfitnah dan apabila raja-raja menjawab dengan memfaxkan surat kepada media massa seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times, tiada langsung maklum balas.

“Contohnya, Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja?afar Tuanku Abdul Rahman pernah menerima panggilan ugutan dari seorang menteri kanan Umno pada tahun 1993, ketika isu pemindaan Perlembagaan terhadap kuasa Raja-raja Melayu bermula.

“Menteri itu berkata, Tuanku ? kalau Tuanku tak hendak sain isu (pindaan) perlembagaan ini, saya akan tiupkan seruling pemberontakan di seluruh negara dan raja-raja akan diseret ke jalan raya,” katanya yang merupakan anak saudara kepada Bekas Yang Dipertuan Agung ke-10 itu.

Tambahnya, oleh kerana hal itu, kini pemimpin Umno-BN sudah tidak relevan dalam banyak perkara kerana pemimpin parti terlalu rakus serta tidak bertanggungjawab.

“Sebabnya mereka ini perasuah, semua orang tahu. Lihat sahaja media, akhbar, isu scorpene di luar negara pun banyak hanya media massa negara ini sahaja yang tidak mahu siarkannya bagaimana penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

“Dalam banyak kempen yang saya kunjungi, semua orang mengatakan pemimpin bawahan hinggalah pemimpin atasan parti itu adalah perompak. Saya rasa sebab itu mereka ini sudah tidak relevan kerana pemimpin mereka terlalu rakus,” katanya dalam rancangan Terus Terang yang akan di siarkan di www.Selangorku.com pada 29 Jun jam 9.00 malam nanti.