Categories
NASIONAL

Jangan mudah keliru, GST kad prabayar masih ada

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 OKT: Pengguna kad prabayar telco di negara ini diingatkan supaya tidak terkeliru dengan menyangka Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan seperti disarankan banyak pihak sebelum ini.

Bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata langkah memberi rebat kepada pengguna seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Baje Persekutuan 2016 baru-baru ini hanyalah sementara sebelum mengenakan semula GST pada kadar enam peratus seperti sebelumnya.

Dr Rosli Yaakop“Kerajaan bercadang membayar rebat enam peratus kepada pengguna pada 2016 dan mengapa tidak sahaja jadikan sifar GST untuk kad prabayar ini. Bukankah lebih mudah?

“GST prabayar sepatutnya tak dikenakan tetapi kerajaan kenakan juga selepas itu Najib umum pembayaran rebat bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

“Ini bermakna tidak ada jaminan GST kas prabayar tidak dikena selepas 2016,” kata Dr Rosli kepada Selangor Kini, hari ini.

April lalu, kerajaan memperkenalkan GST ekoran hutang negara meningkat dengan mendadak khususnya sejak Najib mula dilantik sebagai Perdana Menteri.

Langkah itu dipertikaikan dan rakyat berpendapat hutang kerajaan meningkat ekoran sikap tidak bertanggungjawab pemimpin dalam menguruskan ekonomi negara.

Pada pembentangan Belanjawan 2016, 23 Oktober lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan membayar rebat enam peratus GST kepada pengguna.

Bagaimanapun, bayaran rebat tersebut hanya berkuatkuasa bermula 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016 sahaja.

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2015: Hasrat MB tumpu isu perumahan disambut baik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 OKT: Hasrat Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengutamakan isu perumahan dalam Belanjawan 2015 disambut baik berikutan harga hartanah di negeri itu semakin tinggi dan menyukarkan golongan berpendapatan rendah sederhana.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, langkah itu dapat membantu rakyat negeri itu menghadapi tekanan peningkatan kos sara hidup yang semakin melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

rosli“Kos sara yang ditanggung rakyat semakin tinggi bukan sahaja disebabkan harga barangan keperluan semakin tinggi tetapi rumah yang merupakan keperluan asasi juga meningkat semakin tinggi berbanding pendapatan majoriti rakyatnya di bawah RM5,000 sebulan.

“Belanjawan Selangor perlu ambil berat hal ini dan langkah Menteri Besar untuk fokus dalam isu ini satu langkah yang wajar dan sangat dialu-alukan,” kata Dr Rosli.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri perlu menumpukan usaha membangunkan rumah-rumah kediaman mampu milik berharga bawah RM150,000 bagi menampung keperluan rakyat negeri itu.

“Perkara ini bukan mudah kerana nilai tanah semakin tinggi, harga bahan binaan dan kos buruh juga tinggi. Maka sebab ini Kerajaan Negeri tidak boleh mengharapkan pemaju swasta sahaja,” kata beliau lagi.

Selain isu perumahan, Dr Rosli juga mencadangkan agar Mohamed Azmin memberi tumpuan mengatasi isu kekurangan bekalan air sewaktu kemarau panjang melanda dan meningkatkan prasarana awam di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri perlu fikirkan idea bagaimana mengelakkan kekurangan bekalan air di masa akan datang dengan lebih berkesan sekiranya berlaku kemarau yang panjang seperti sebelum ini dan manakala jalan di kampung-kampung juga perlu diperbesarkan, tidak terlalu kecil hingga dua kereta tak boleh berselisih,” ujar beliau lagi.

HM

Categories
NASIONAL

Pemberian bonus kakitangan awam perlu ditaut prestasi kerja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OKT: Pemberian bonus kepada kakitangan sektor awam ketika ini dianggap tidak memberi kesan signifikan keatas produktiviti dan mutu perkhidmatan.

Mantan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakob berkata pemberian yang lazimnya diumum dalam belanjawan tahunan atau menjelang musim perayaan diberi sama-rata tanpa mengambil-kira prestasi kerja, lantas menyebabkan perbelanjaan Kerajaan meningkat tanpa timbal-balik untuk rakyat.

rosli“Pertama, pada masa sekarang, kalau umum sebulan, semua dapat sebulan. Kedua jumlah bonus sebulan bukanlah suatu jumlah yang besar sebenarnya dan ketiga tak dikaitkan dengan prestasi.

“Sudah tiba masanya bayaran bonus dibuat berdasarkan prestasi semasa kakitangan awam ini. Contohnya wujudkan jumlah minima sebulan gaji dan maksima mungkin sehingga dua bulan gaji.

“Ini bermakna semua orang dapat bonus tetapi jumlah bayarannya bergantung kepada prestasi masing-masing. Kalau dia kerja bagus dia dapat bayaran bonus lebih,” kata Dr Rosli.

Beliau bagaimanapun menyarankan Kerajaan mewujudkan satu mekanisma penilaian permarkahan yang telus terlebih dahulu bagi mengelakkan budaya membodek dikalangan penjawat awam.

Tanpa mekanisma itu, prestasi sesetengah penjawat awam akan kekal di takuk lama walaupun menerima bayaran bonus dan juga pelbagai insentif lain daripada Kerajaan dengan menggunakan dana awam.

Categories
NASIONAL

GST : Idris Jala cuba kelirukan rakyat

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 11 NOV :  Mantan Timbalan Gabenor Negara, Dr Rosli Yaakob menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah mengelirukan.

Katanya, orang miskin membayar cukai lebih tinggi berbanding orang kaya kerana perkiraannya adalah mengikut peratusan bahagian pendapatan.

Dr Rosli YaakopRosli berkata, sebagai contoh adalah orang miskin dengan pendapatan RM1,000 sebulan berbelanja sebanyak RM160 dikenakan cukai sebanyak 16 peratus, manakala orang kaya yang berbelanja pada kadar sama dengan pendapatan RM10,000 hanya membayar cukai sebanyak 1.6 peratus sahaja.

“Daripada jumlah mutlak, kita tidak sangkal kebenaran kenyataan beliau tetapi kenyataan itu amat mengelirukan jika mengambil kira peratusannya, bahagian pendapatan yang dibayar orang kaya adalah lebih kecil daripada keseluruhan pendapatan mereka.

“Kita boleh lihat bahagian pendapatan orang miskin yang digunakan untuk membayar cukai GST lebih tinggi, berbanding pendapatan mereka,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cara mengukur beban cukai adalah melalui peratusan daripada cukai yang dibayar berbanding jumlah pendapatan yang menjadi punca GST jatuh lebih berat kepada orang miskin.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Penang Institute berpendapat, hujah Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih GST tidak sepadan dengan standard ukuran percukaian antarabangsa,

Felonya, Lim Kim Hwa menyatakan amalan antarabangsa untuk mengukur kesan cukai terhadap kumpulan pendapatan dibuat dengan melihat cukai dibayar sebagai sebahagian pendapatan dan bukan cukai yang dibayar secara mutlak dan kaedah itu turut diguna pentadbir cukai Amerika Syarikat, IRS.

-NFN-