Categories
RENCANA WAWANCARA

Perlindungan Perkeso banyak manfaat buat penunggang e-panggilan

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 24 NOV: “Penganggur dia tu”! Pasti berdesing telinga jika ada yang melemparkan perkataan sedemikian, sama ada bernada kasihan apatah lagi sindiran, pun yang menjadi sasaran, berkelulusan tinggi mahupun sebaliknya.

Begitulah juga halnya dengan Ahmad Nazirul Azrie Ahmad Noh, 22.

Anak kelahiran Petaling Jaya ini menghabiskan masa hampir setahun mencari pekerjaan selepas tamat pengajian di Kolej Vokasional Sungai Buloh pada tahun 2018.

Akhirnya, beliau nekad menceburi dunia ekonomi gig sebagai penunggang perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (e-panggilan) selepas permohonannya mengisi jawatan kosong lebih 10 syarikat, gagal.

Biarpun mempunyai Diploma Kemahiran Malaysia Teknologi Automotif, namun anak ketiga daripada empat beradik ini tidak kisah untuk bekerja sedemikian rupa kerana yang penting baginya adalah sumber rezeki halal selain telinganya sudah tidak sanggup lagi dijengah panggilan serta sindiran, ‘penganggur’.

“Ramailah rakan mengejek. Ada yang kata belajar tinggi-tinggi, bertahun-tahun, tetapi tidak dapat pekerjaan. Bila dah asyik digelar penganggur, kita pun malu sebab ibu ayah masih tanggung. Jadi, akhirnya saya nekad memilih pekerjaan sebagai ‘rider’ walaupun tahu pekerjaan ini sangat berisiko,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Ahmad Nazirul Azrie, beliau tidak menafikan bahawa pada awalnya menganggap perkerjaan tersebut begitu ‘mudah’ kerana hanya memerlukan menunggang motosikal, mengambil serta menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

Selepas beberapa bulan melakukan pekerjaan itu, anak muda ini mengakui ia begitu mencabar dan banyak kali juga berhadapan situasi sangat mencemaskan yakni hampir terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Kelihatan seorang penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Malang sememangnya tidak berbau. Apa yang dibimbangkan menjadi kenyataan. Beliau terlibat dalam kemalangan yang agak teruk pada sekitar bulan November 2019. Motosikal yang ditunggang Ahmad Nazirul Azrie berlanggar dengan sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan makanan pelanggannya.

“Selepas empat bulan jadi ‘rider’, saya akhirnya terlibat kemalangan dan mengalami kecederaan sangat parah di mana tulang kaki kiri patah (tibia dan fibula) serta retak di bahagian kiri pelvis sehingga perlu dimasukkan besi. Ia kekal sehingga ke hari ini manakala motosikal pula memang remuk teruk.

“Berada dalam wad selama 10 hari dan dua bulan terlantar di rumah. Ketika itu, memang sangat takut. Yalah, risau juga sama ada kaki ini boleh lagi berjalan atau tidak kerana apabila saya cuba bangun mesti jatuh. Waktu itu, memang saya ingat akan lumpuh,” katanya.

Tiada perlindungan

Beliau yang kini sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan parah tersebut mengakui mula menyedari dan mempelajari akan beberapa perkara penting daripada kemalangan tersebut khususnya berkaitan dengan perlindungan keselamatan sosial.

Ini termasuklah kepentingan mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dianggapnya sebelum ini hanyalah untuk mereka yang bekerja tetap dan bukannya dalam kalangan penunggang e-panggilan yang diketahui umum sebagai golongan ‘Orang Bekerja Sendiri’ (OBS).

“Saya memang tidak mencarum Perkeso kerana tidak tahu mengenainya. Rupanya banyak faedah perlindungan apabila kita mencarum. Misalnya, saya boleh mendapat manfaat seperti faedah hilang upaya sementara, perubatan dan juga elaun layanan sentiasa bagi penjaga akibat kemalangan tersebut.

“Walaupun menyesal tidak mencarum, tetapi saya bersyukur kerana tidak terlibat kemalangan maut. Sebenarnya, ramai rakan ‘riders’ yang meninggal semasa kerja penghantaran tidak mencarum dan akhirnya kebajikan keluarga terumbang-ambing,” katanya yang kini sudah mula mencarum sejak Jun tahun ini (2020).

Tidak mahu menyaksikan lebih ramai lagi kebajikan penunggang e-panggilan terus kelam, beliau yang kini merupakan Setiausaha Agung Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) bersama yang lain komited menyedarkan golongan tersebut akan kepentingan caruman Perkeso.

“Dalam ekonomi gig, penunggang e-panggilan tidak dikategorikan sebagai pekerja manakala syarikat aplikasi penghantaran makanan, barangan tidak dikategorikan sebagai majikan di dalam undang-undang sedia ada.

“Jadi, pihak pengendali perkhidmatan tersebut tidak dianggap sebagai majikan dan tidak diwajibkan mereka mencarum Perkeso dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk pekerja. Kerana itulah, ia merupakan kesedaran penunggang e-panggilan untuk mencarum bagi menjamin kebajikan mereka.

“Kami kini melakukan pelbagai cara untuk menyedarkan golongan ini mengenai kepentingan mencarum antaranya melalui pendekatan media sosial dan pengetahuan yang saya pelajari dahulu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa diploma turut diaplikasikan dalam aktiviti kesedaran ini,” katanya.

Wajar serius

Sememangnya, polemik masih ada penunggang e-panggilan tidak mencarum untuk perlindungan keselamatan mereka mahupun jaminan masa depan keluarga adalah wajar dipandang serius.

Perkara ini tidak boleh lagi dianggap enteng memandangkan pekerjaan tersebut sudah mula menjadi tumpuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19 di Malaysia.

Apatah lagi, kemalangan membabitkan komuniti ini yang turut digelar sebagai ‘barisan pasukan hadapan negara’ semasa pandemik Covid-19 berikutan pengorbanan besar mereka menghantar pesanan dalam keadaan baik walaupun berisiko dijangkiti wabak tersebut, adalah sangat tinggi semasa tempoh PKP.

Merujuk data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipetik dalam satu laporan media, 150 kemalangan jalan raya melibatkan golongan pekerjaan ini dengan 4 kematian direkodkan sepanjang tiga bulan sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas.

Justeru, bersandarkan kepada statistik berkenaan, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, adalah sangat membimbangkan sekiranya masih ramai penunggang e-panggilan tidak mencarum untuk kepentingan perlindungan sosial mereka mahupun keluarga.

“Situasi tidak mencarum ini adalah sangat serius dan berkemungkinan besar masih ada penunggang e-panggilan tidak mengetahui kewujudan dan kelebihan mencarum dengan Perkeso. Malah, saya difahamkan masih ada segelintir yang berpendapat caruman Perkeso ini tinggi bayarannya dan membebankan mereka.

“Kerana itu, amat penting bagi pihak berkenaan termasuk Perkeso membuat banyak program kesedaran mengenai faedah mahupun manfaat yang akan diperolehi sekiranya berlaku kecelakaan tidak diingini ketika bekerja, kadar pampasan diterima serta caruman yang perlu dibayar kepada Perkeso setiap bulan.

“Program kesedaran ini perlu dilakukan secara meluas dan bukannya dalam kalangan penunggang e-panggilan sahaja. Saya percaya masih ramai lagi pekerjaan yang menjadikan motosikal sebagai medium utama pekerjaan mereka sama ada bekerja sendiri mahupun syarikat tertentu yang belum mencarum,” kata aktivis sosial terkemuka ini.

Lee yang juga ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan sememangnya sudah sekian lama memberi peringatan mengenai kadar tinggi kematian melibatkan penunggang motosikal di negara ini.

Malah, beliau juga sebelum ini pernah mencadangkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas di bawah Kementerian Pengangkutan khusus bertujuan menangani kemelut permasalahan tersebut.

Ini memandangkan beberapa kajian sebelum ini mendapati kemalangan melibatkan motosikal agak tinggi di negara ini. Purata lebih 4,000 penunggang motosikal dan pembonceng maut dalam pelanggaran setiap tahun (data ini merujuk kemalangan motosikal secara keseluruhan dan bukannya tertumpu kepada penunggang e-panggilan).

Berdasarkan data agak tinggi membabitkan kemalangan motosikal, maka ada kewajarannya Lee untuk berasa bimbang dengan peningkatan golongan belia mahupun mereka yang hilang pekerjaan menceburi kerjaya e-panggilan tetapi tidak mencarum kepada Perkeso.

Penghantar makanan perlu mengimbas kod QR data peribadi sebelum mengambil makanan yang ditempah melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Perhatian kerajaan

Hakikatnya, isu kebajikan penunggang e-panggilan sudah semakin kerap didengari sejak mutakhir ini dan ia bukan sahaja mendapat perhatian Lee yang sebelum ini merupakan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), bahkan kerajaan turut mengambil maklum akan isu tersebut.

Justeru, bagi memastikan kebajikan golongan ini terus dioptimumkan, Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ yang dibentangkan pada 6 Nov lepas jelas tidak meminggirkan komuniti pekerjaan tersebut apabila rintihan mereka selama ini telah diambil perhatian jitu kerajaan.

Menerusi Skim Bencana Pekerjaan Perkeso, seramai 40,000 penunggang e-panggilan adalah antara kumpulan pekerja yang bakal dilindungi ataupun mendapat manfaat daripada skim jaringan keselamatan sosial tersebut.

Peruntukan RM24 juta bagi caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso ini adalah bertujuan menghargai sumbangan golongan berkenaan yang diiktiraf sebagai barisan sokongan semasa tempoh PKP, pastinya mewujudkan perlindungan dan kebajikan lebih baik buat komuniti tersebut.

Mengulas mengenainya, Lee berkata peruntukan tersebut jelas memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan semua masyarakat tidak tercicir termasuklah golongan penunggang e-panggilan mahupun turut dikenali sebagai pekerja penghantaran.

“Sebelum ini, timbul isu dalam kalangan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan bahawa negara begitu fokus kepada penyelesaian masalah pengangguran dengan mengalakkan belia, mereka yang mencari pekerjaan menceburi ekonomi gig seperti penunggang e-panggilan tetapi aspek kebajikan komuniti ini tidak diberi penekanan jelas.

“Namun, dengan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk golongan berkenaan pada Belanjawan 2021 sekali gus menafikan persepsi tersebut. Nyata, kebajikan penunggang e-panggilan mendapat perhatian sewajarnya.

“Jadi, saya mengharapkan golongan ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan manfaat tersebut pada tahun hadapan bagi menjamin perlindungan masa depan lebih baik buat mereka dan juga keluarga,” katanya.

Peruntukan RM24 juta ini memberi manfaat kepada 100,000 pekerja di mana selain e-panggilan ia juga turut memberi perlindungan kepada anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera, Sukarelawan Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Maritim Malaysia di samping pekerja sektor awam berstatus “Kontrak Perkhidmatan’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Had operasi bas, teksi dan e-panggilan di mukim Klang

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi dalam waktu terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata perkhidmatan tersebut dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Mesyuarat juga bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa. Senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu e-panggilan mengaku salah hina Agong

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman sosial Twitter, Mac lepas.

Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy yang kemudiannya menetapkan 27 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Dia dituduh membuat empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong antara pukul 1.56 tengah hari dan 10.29 malam, pada 23 Mac dan 25 Mac lepas.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 7 malam, 28 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira hantaran OKS itu berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“OKS sebagai rakyat Malaysia seharusnya taat setia kepada raja dan negara. Saya mohon hukuman berbentuk pengajaran supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga susah dan ibunya bekerja sebagai penoreh getah.

“Saya telah insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantaran saya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

“Saya berjanji tidak akan mengaibkan atau menghina mana-mana pihak lagi,” katanya dalam nada sebak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M nasihat berniaga di rumah, guna e-panggilan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad menggalak pengusaha makanan berniaga dari rumah dengan menggunakan khidmat e-panggilan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri berkata alternatif itu boleh dipraktik susulan ada peniaga bimbang tidak dapat membuat bayaran sewa premis apabila tempoh moratorium tamat pada September.

“Mungkin mereka (peniaga) tidak mampu menjalankan perniagaan di bangunan kedai, oleh itu mereka boleh berniaga dari rumah sahaja dan gunakanlah perkhidmatan penghantaran seperti Food Panda dan Grab Food.

“Talian komunikasi kita masih berjalan baik walaupun pergerakan dihadkan, disebabkan itu ramai yang memilih untuk melakukan pembelian dalam talian. Oleh itu, sekarang adalah masa terbaik untuk melakukan pemasaran dengan cara berbeza dari sebelum ini,” katanya ketika siaran langsung di Facebook Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis), hari ini.

Pada 19 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April lalu.

Pada 8 April lalu, Selangor turut memperkenalkan program e-dapur dengan kerjasama Grab dan Platform Selangor yang mensasarkan penjaja dan peniaga kecil dalam industri makanan dan minuman di negeri ini.

Sehingga 13 Julai lalu, program berkenaan berjaya membantu 133 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerap langgar lampu isyarat, menteri tegur penunggang e-panggilan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Penunggang e-panggilan yang menghantar makanan diingatkan supaya mematuhi undang-undang meskipun diberi kelonggaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata laporan polis mendapati ramai penunggang mengingkari undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat.

“Polis minta saya sampaikan kepada mereka supaya patuhi undang-undang. Walaupun tidak langgar PKP tetapi mereka melakukan kesalahan lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penunggang yang menghantar makanan dan barangan ketika PKP sering melanggar lampu isyarat dan membahayakan nyawa serta pengguna jalan raya lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua syarikat e-panggilan boleh hantar makanan Ramadan ini

SHAH ALAM, 17 APRIL: Semua syarikat e-panggilan yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan beroperasi untuk menghantar makanan sepanjang bulan Ramadan ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan lebih 40 syarikat berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta penghantar di bawah rangkaian restoran makanan segera.

“Bagaimanapun kita faham, 40 syarikat ini mungkin tak ada di bandar kecil, di situ mungkin ada syarikat kecil atau individu yang diupah untuk menghantar makanan, mereka dibenarkan beroperasi.

“Penghantar di bandar kecil atau individu yang mengambil upah diminta berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang media harian berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat bagi menjawab kekeliruan sama ada perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi pada Ramadan ini, susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua penghantar makanan diwajibkan menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan awam dan swasta di kawasan masing-masing.

“Kita nak jaga kesihatan penghantar makanan kerana mereka akan bersemuka dengan pelanggan.

“MOT akan keluarkan arahan kepada lebih 40 syarikat pengendali operasi e-panggilan manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengarahkan syarikat makanan segera untuk memastikan penghantar makanan mereka menjalani saringan kesihatan,” katanya.