Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: ADN Sungai Kandis sumbang pelitup muka, makanan kepada petugas

SHAH ALAM, 12 OKT: Wakil rakyat Sungai Kandis menyumbang 300 pelitup muka dan pek makanan serta minuman kepada petugas hadapan di pusat kawalan Taman Sri Andalas, Klang semalam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu bagi menghargai bakti dan menyuntik sokongan moral anggota yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya melihat petugas hadapan begitu bersemangat, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak boleh digunakan sepanjang berada di pusat kawalan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri meninjau situasi semasa PKPB dan bertemu petugas.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata semua 6,000 keluarga di Taman Sri Andalas yang terkesan dengan PKPB berada dalam keadaan aman serta terkawal.

“Penduduk masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa, cuma pada waktu malam tidak ramai yang keluar dan berada di rumah masing-masing.

“Kita berharap supaya keadaan ini (Covid-19) akan segera pulih dan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari,” kata beliau lagi.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula 9 hingga 23 Oktober.

Kawasan terbabit adalah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang serta Taman Suria.

Selain itu, Mutiara Bukit Raja, Bandar Klang, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken Jimbaran, Pangsapuri Palm Garden, Taman Andalas Permai, Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira Kampung Delek Kiri, Taman Kim, Batu Belah Kampung Sungai Udang, Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Dua lagi lokasi sekatan jalan raya di mukim Klang

SHAH ALAM, 11 OKT: Polis menambah dua lagi lokasi sekatan jalan raya di mukim Klang susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan berkata dua lokasi tambahan itu adalah di Taman Sentosa (jalan masuk ke Perdana Villa) dan Jalan Sungai Udang, Kampung Delek bermula pukul 4 petang ini.

Beliau berkata tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) PKPB.

Sejak penguatkuasaan PKPB di mukim Klang pada Jumaat, Polis Klang Selatan mengadakan sekatan jalan raya di Bukit Tinggi (Bayu Perdana), Taman Sri Andalas, Bandar Puteri dan Taman Suria Pendamar.

PKPB di mukim Klang yang melibatkan 36 kawasan perumahan dilaksanakan sehingga 23 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di lokasi itu.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Aktiviti ekonomi di mukim Klang seperti biasa, ikut SOP

KLANG, 11 OKT: Aktiviti ekonomi di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan seperti biasa dengan pematuhan sepenuhnya kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Bernama di sekitar Taman Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Klang dan Taman Bayu Perdana mendapati walaupun ada kawasan kelihatan agak lengang namun peniaga masih membuka premis masing-masing mengikut waktu ditetapkan bagi memenuhi keperluan harian masyarakat di situ.

Keadaan di restoran, kedai makan dan gerai di lokasi itu juga dilihat agak ‘sunyi’ susulan SOP PKPB hanya membenarkan makanan dibeli secara bungkus, menerusi khidmat penghantaran makanan atau pandu lalu.

Bagi pengusaha sebuah restoran nasi beriani di Taman Sri Andalas, Stellamary, 44, beliau akur dengan arahan kerajaan walaupun pendapatannya agak merosot pada hari pertama pelaksanaan PKPB.

“Disebabkan lokasi restoran ini di zon merah, kami memang patuh pada arahan kerajaan kerana tidak mahu wujud sebarang isu di kemudian hari dan bagi menjaga keselamatan semua.

“Pematuhan SOP PKPB memang memberi kesan kerana semalam, hanya dua sahaja pelanggan datang membeli makanan daripada kami. Jadi, untuk tempoh dua minggu ini, kami bergantung sepenuhnya kepada pembelian menerusi khidmat penghantaran makanan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Turut senada dengan beliau ialah pengusaha gerai tepi jalan iaitu Mohd Suffian Hairuddin, 36, yang berkata pendapatannya agak merosot berikutan orang ramai tidak keluar rumah seperti sebelum ini.

“Kira-kira 50 peratus juga pendapatan saya berkurangan. Jalan raya di tempat saya berniaga ini ada sekatan oleh pihak polis, jadi tidak ramai orang melaluinya. Pembelian hanya mengharapkan kepada khidmat penghantar makanan sahaja,” katanya.

Bagi penghantar makanan, Abdul Rahim Samsuri, 39, pelaksanaan PKPB ibarat membuka ‘pintu rezeki’ kepadanya kerana setakat semalam sahaja, hampir 20 penghantaran dilakukan di sekitar lokasi zon merah.

Namun begitu, walaupun ingin ‘mengejar’ jumlah khidmat tempahan yang banyak, beliau sentiasa memastikan dirinya mematuhi SOP diitetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memeriksa suhu badan serta mengimbas kod aplikasi My Sejahtera di premis yang dikunjungi.

“Sebelum ini, jumlah tempahan penghantaran tidaklah banyak. Bagaimanapun, hari ini sahaja sejak saya mula bekerja pada kira-kira 11.30 pagi, sudah banyak tempahan yang masuk. Walaupun sibuk, saya sentiasa jaga SOP demi keselamatan diri,” katanya.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat dalam PKPB bermula semalam sehingga 23 Oktober ini susulan peningkatan kes pandemik Covid-19, namun kerajaan memutuskan bahawa aktiviti ekonomi di lokasi terlibat dibenarkan beroperasi dengan pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MKN kemas kini SOP PKPB di mukim Klang

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) berkait Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi 36 kawasan perumahan di mukim Klang.

SOP berkenaan bagi memudahkan penduduk menyemak aktiviti dan perkhidmatan yang dibenarkan sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah berkenaan mulai semalam hingga 23 Oktober.

Arahan meliputi perkhidmatan perubatan, pekerjaan, aktiviti sektor ekonomi, premis sosial dan pendidikan serta aktiviti rekreasi sukan dan budaya.

Berikut adalah SOP tersebut:

1. Aktiviti dalam kawasan lokaliti:

  • Hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar dari rumah bagi mendapatkan bekalan makanan atau keperluan rumah. Orang berisiko tinggi tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak
  • Perniagaan dan aktiviti harian berjalan seperti biasa
  • Restoran, kedai atau gerai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam
  • Pembelian makanan digalak menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran atau bungkus
  • Operasi stesyen minyak: 6 pagi hingga 11 malam
  • Operasi pasar harian: 6 pagi hingga 2 petang
  • Operasi pasar borong: 4 pagi hingga 2 petang
  • Operasi pasar tani: 6 pagi hingga 12.00 tengah hari
  • Operasi pasar malam tidak dibenarkan dalam tempoh ini

2. Perkhidmatan perubatan dan kesihatan:

  • Waktu operasi klinik dan hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam
  • Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam

3. Aktiviti pekerjaan:

  • Penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan lokaliti kecuali bagi tujuan bekerja dengan mengemukakan surat pengesahan dari majikan atau pas pekerja yang sah
  • Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah bagi aktiviti yang boleh dilaksanakan dari rumah

4. Ekonomi dan perkilangan:

  • Aktiviti sektor ekonomi dan perkilangan di kawasan lokaliti berjalan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan

5. Premis sosial dan pendidikan:

  • Masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak–kanak, taman awam, pusat rekreasi dan taman permainan ditutup dalam tempoh ini

6. Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya:

  • Semua aktiviti sukan, rekreasi dan budaya tidak dibenarkan
  • Aktiviti majlis sosial termasuk majlis perkahwinan dibenar berdasarkan SOP Am Pelaksanaan Majlis Sosial dengan penambahan kawalan keselamatan oleh anggota Rela atau pengurusan hotel

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi Jabatan Laut Malaysia di Klang ikut SOP ketat

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Laut Wilayah Tengah, Pelabuhan Klang, yang terletak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu yang diperketatkan.

Pelanggan digalakkan berurusan secara sidang video/suara, e-mel atau panggilan telefon serta melayari sistem Jabatan Laut Malaysia secara dalam talian bagi perkhidmatan seperti perkapalan, pelaut dan pelabuhan melalui laman sesawang di pautan www.marine.gov.my

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Institut Latihan Pengangkutan Laut (Matrain), Pulau Indah Klang bagaimanapun beroperasi seperti biasa kerana terletak di luar kawasan PKPB mukim Klang.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Ibu Pejabat Jabatan Laut, Jabatan Laut Malaysia di talian 03-33467620, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (03-31695100) dan Matrain (03-33265555) atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB Klang: Rumah ibadat, institusi pendidikan dan taman ditutup

SHAH ALAM, 8 OKT: Masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang yang berkuat kuasa jam 12.01 pagi esok.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata turut ditutup institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz serta pusat jagaan kanak-kanak.

“Penutupan juga melibatkan taman awam, pusat rekreasi, taman permainan. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan bermula 9 Oktober hingga 23 Oktober,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Had operasi bas, teksi dan e-panggilan di mukim Klang

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi dalam waktu terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata perkhidmatan tersebut dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Mesyuarat juga bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa. Senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat PKPB

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 36 kawasan perumahan terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang yang berkuat kuasa jam 12.01 pagi esok.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata tatacara operasi piawai (SOP) dilaksanakan di kawasan terbabit untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Kawasan terlibat seperti berikut:

  • Bandar Bukit Tinggi
  • Kampung Johan Setia
  • Kampung Bukit Naga
  • Kampung Perigi Nenas
  • Kampung Kuantan
  • Kampung Serdang
  • Bandar Puteri
  • Kampung Sungai Kandis
  • Taman Sri Andalas
  • Lorong Sungai Udang
  • Taman Suria
  • Mutiara Bukit Raja
  • Bandar Klang
  • Pangsapuri Bukit Kuda
  • Ken Jimbaran
  • Pangsapuri Palm Garden
  • Taman Andalas Permai
  • Taman Desa Meru
  • Taman Seri Lembayung
  • Taman Gembira
  • Kampung Delek Kiri
  • Taman Kim Batu Belah
  • Kampung Sungai Udang
  • Taman Klang Perdana
  • Taman Bayu Perdana
  • Taman Klang Utama
  • Taman Sentosa
  • Taman Pendam
  • Jalan Dato’ Dagang
  • Taman Sejati
  • Jalan Haji Tarmizi
  • Taman Setia
  • Jalan Kebun
  • Taman Sri Muda
  • Jalan Muhibbah
  • Taman Tenaga Bakti
Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada pasar malam, had waktu operasi pasar di mukim Klang

SHAH ALAM, 8 OKT: Pasar malam tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang manakala operasi pasar borong, pasar biasa dan pasar tani dibenarkan secara terhad.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata waktu operasi pasar borong bermula jam 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa (6 pagi hingga 2 petang) dan pasar tani (6 pagi hingga 12 tengah hari).

“Kedai makan, gerai dan warung pula dibenar bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun hanya untuk pembelian secara pandu lalu dan penghantaran,” katanya.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja di mukim Klang tidak wajib jalani ujian Covid-19

SHAH ALAM, 8 OKT: Pekerja sektor ekonomi yang dibenar beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang tidak perlu melakukan ujian Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan bersasar terhadap individu yang mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19.

“KKM akan melakukan saringan berdasarkan keperluan terutama di kawasan tertentu yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasakan di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB hanya di mukim Klang, bukan seluruh daerah

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dikuatkuasakan di mukim Klang bukan seluruh daerah berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata kawasan Kapar dikecualikan daripada pelaksanaan PKPB.

“Keputusan ini dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di mukim Klang dan kita sentiasa berhubung dengan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Daerah Klang mempunyai dua mukim iaitu mukim Klang dan Kapar.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Semalam kerajaan mengumumkan PKPB dikenakan di daerah Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Selain Klang beberapa kawasan turut dikenakan PKPB iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah.