Categories
GLOBAL

Palu diancam penyakit, angka korban cecah 1,571 mangsa

PALU 6 OKT: Pasukan penyelamat hari ini, mengeluarkan amaran mengenai ancaman penyakit di kawasan dilanda gempa bumi dan tsunami di sini, selepas lebih banyak mayat mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan.

Menurut pihak berkuasa, ribuan penduduk dilaporkan masih hilang di kawasan tragedi di pulau Sulawesi akibat bencana berkenaan, yang setakat ini mengorbankan 1,571 mangsa.

Selepas tragedi malang itu masuk hari kelapan, harapan untuk menemui mangsa yang hidup tetap ada, walaupun ia semakin menipis.

Ketika ini, pihak berkuasa masih belum secara rasminya menamatkan operasi menjadi mangsa yang terselamat.

“Sebahagian besar mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, sekali gus mendedahkan ancaman kepada penyelamat.

“Kami perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang pencemaran.

“Walaupun kesemua anggota penyelamat sudah diberi suntikan vaksin, kami masih perlu berhati-hati kerana mereka terdedah kepada elemen yang boleh membahayakan kesihatan.

“Kebimbangan ini turut membabitkan orang awam, kerana sukar untuk mengawal kehadiran mereka. Mereka mungkin terdedah kepada bahaya,” kata jurucakap pasukan mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada AFP dari Palu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, memohon bantuan segera bernilai AS$50.5 juta (RM209.3 juta) bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Indonesia.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Ribuan mangsa gempa dan tsunami belum ditemui di Sulawesi

PALU, Indonesia 6 OKT: Lebih 1,000 orang dipercayai masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda Indonesia, kata pihak berkuasa semalam sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang belum ditemui selepas seminggu bencana berlaku.

Bandar Palu di Pulau Sulawesi musnah setelah dilanda gempa bumi kuat dan tembok air yang mengakibatkan rumah-rumah ranap dan kenderaan terbalik, manakala angka korban yang disahkan meningkat kepada 1,558 orang.

Kebimbangan juga semakin meningkat bahawa ramai mangsa masih tertimbus di bawah kompleks perumahan kerajaan di Balaroa di mana gempa tersebut mengubah struktur tanah menjadi lembik dan berair.

“Kami menganggarkan terdapat lebih 1,000 rumah tertimbus, jadi, mungkin lebih 1,000 orang masih hilang.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan angka tersebut kerana ada kemungkinan sebahagian mangsa mungkin berjaya menyelamatkan diri” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada agensi berita AFP.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan hanya sekitar 100 orang masih hilang.

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia, Acmad Ramadan sebagai berkata bahawa dianggarkan seramai 152,000 mangsa masih tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di bandar Palu, Sulawesi Tengah, Jumaat lepas. Pada masa yang sama katanya, sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas mengalami kelewatan selama beberapa hari, bantuan antarabangsa akhirnya mula tiba di zon bencana di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa hampir 200,000 orang amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Situasi di Palu tidak banyak berubah dengan penduduk terus menggeledah kedai dan lori bekalan bagi mendapatkan barangan keperluan asas. Aktiviti mencuri itu mendorong pasukan keselamatan menahan berpuluh-puluh orang dan memberi amaran bahawa mereka akan menembak pencuri.

Pihak berkuasa menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk mencari penduduk yang terperangkap walaupun peluang menemui mangsa yang terselamat hampir tiada.

SUMBER: AFP/ Bernama

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Gempa bumi lemah skala 3.7 magnitud di Kinabatangan

KINABATANGAN 16 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia melaporka satu gempa bumi lemah berlaku di kawasan pesisir pantai daerah ini, awal pagi tadi.

Gempa bumi 3.7 magnitud itu dikesan pada jam 3.19 pagi di koordinat 5.7 darjah Utara dan 119.2 darjah Timur pada 103 kilometer (km) di timur Kinabatangan serta pada kedalaman 101km.

Menurut kenyataan itu, gegaran mungkin dirasai di sekitar Sandakan dan Kinabatangan serta tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Categories
NASIONAL

Gempa Hokkaido: 16 terkorban, 26 masih hilang

TOKYO, 7 SEPT: Sekurang-kurangnya 16 terkorban dalam kejadian gemba bumi di uatara pulau Hokkaido sementara 26 lagi masih hilang, kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini.

Lebih separuh daripada 5.3 juta penduduk pulau itu terputus bekalan elektrik selain berdepan ancaman tanah runtuh yang memusnahkan kediaman ekoran gempa berkekuatan 6.7 magnitud itu.

Terdahulu, Hokkaido Electric Power Co terpaksa menutup logi kuasanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, 1.31 juta daripada 2.95 juta pelanggannya sudah menerima bekalan elektrik, kata Kementerian Ekonomi Perdagangan dan Industri.

Menteri Industri, Hiroshige Seko berkata, kuasa elektrik akan kembali pulih sepenuhnya dalam masa sekurang-kurangnya seminggu.

Gempa bumi itu adalah bencana besar kedua melanda Jepun minggu ini selepas dipukul taufan, banjir dan gelombang haba.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai masih ditutup selepas Taufan Jebi membadai Osaka pada Selasa, namun beberapa penerbangan tempatan kendalian Japan Airlines (JAL) dan penerbangan tambang murah, Peach Aviation kendalian ANA kembali beroperasi hari ini.

Lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose sedang membuat persiapan untuk menggerakkan beberapa penerbangan sekitar jam 11 pagi hari ini, kata seorang jurucakap.

Operasi kereta api laju juga akan disambung semula tengah hari ini. Bagaimanapun, kebanyakan sektor perkilangan masih terjejas akibat gangguan bekalan elektrik. – Reuters

Foto Kredit : ABS-CBN News

Categories
GLOBAL

Korban gempa di Lombok meningkat kepada 555 mangsa, 1,500 cedera

JAKARTA 25 OGOS: Siri gempa bumi yang menggegarkan Pulau Lombok di Indonesia pada musim panas tahun ini membunuh seramai 555 orang dan mencederakan hampir 1,500 lain, manakala beratus-ratus ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Pulau yang terletak berdekatan destinasi percutian popular, Bali itu digegarkan dua gempa dahsyat pada 29 Julai dan 5 Ogos lepas. Pada Ahad lalu pula, Lombok dilanda gegaran baharu dan sejumlah gempa susulan dengan gegaran terkuat berukuran 6.9 magnitud.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata semalam bahawa keba­nyakan kematian berlaku di utara Lombok, sementara sebilangan penduduk juga maut di pulau berdekatan, Sumbawa.

Ramai mangsa mati akibat ditimpa serpihan ketika gempa menggegarkan seluruh pulau itu dan mengakibatkan kemusnahan meluas. Seluruh kampung ranap dengan jalan-jalan merekah, manakala banyak kediaman dan bangunan runtuh.

Menurut BNPB, kira-kira 390,000 orang hilang tempat tinggal selepas siri gempa bumi itu.

“Kami mengerahkan askar ke kampung-kampung yang sukar dimasuki,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.

“Terdapat banyak perkampungan yang sukar dimasuki walaupun menggunakan motosikal. Bantuan terpaksa dihantar dengan berjalan kaki,” tambahnya.

Kos pembinaan semula pula dianggarkan melepasi angka 7 trilion rupiah (RM1.9 bilion).

Indonesia berada dalam Lingkaran Api Pasifik di mana plat bumi berlanggar. Kawasan itu mencatatkan banyak kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Pada tahun 2004, gempa bumi kuat bermagnitud 9.1 melanda perairan Sumatera dan mencetuskan ombak besar tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau ber­kenaan termasuk 168,000 di Indonesia.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Jenazah Siti Nur Ditempatkan di Mataram sebelum dibawa pulang

JAKARTA, 30 JUL: Jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia kini ditempatkan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Provinsi NTB sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata usaha dan urusan proses berkaitan untuk membawa pulang jenazah masih dilakukan.

“Ahli-ahli kumpulan yang lain (17 lagi ahli kumpulan dengan Allahyarham) ditempatkan di beberapa hotel di Mataram dan kedutaan sedang berusaha untuk membolehkan mereka menaiki pesawat penerbangan pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Siti Nur Ismawida terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan, manakala enam lagi cedera dalam kejadian gempa bumi kuat di Lombok semalam.

Allahyarham dalam program mendaki gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Zamshari berkata mereka yang cedera juga kini menerima rawatan susulan di RSUD Provinsi NTB di Mataram.

Beliau berkata pihak kedutaan juga dihubungi satu lagi kumpulan pelancong dari Malaysia iaitu seramai 11 orang.

“Kumpulan seramai 11 orang itu kini berada dalam keadaan selamat di Pulau Gili Trawangan, Lombok Utara,” katanya.

Semalam, satu lagi kumpulan pendaki gunung Rinjani dari Malaysia seramai 19 orang dilaporkan selamat di Senaru, Lombok Utara dan pihak berkuasa Indonesia membawa membawa mereka ke Senggigi di Barat Lombok.

“Kedutaan masih terus berusaha untuk mendapatkan maklumat rakyat Malaysia lain yang terjejas susulan gempa bumi ini,” katanya.

Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular atau keluarga mereka diminta menghubungi pihak kedutaan menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tambah baik pusat operasi cuaca dan gempa bumi Sabah

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah ditambah baik bagi mengesan kejadian gempa bumi bermagnitud serendah 1.0 skala richter, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, sebanyak 15 lagi stesen seismik ditambah kepada komponen pengumpulan data dan maklumat pusat berkenaan baru-baru ini dengan kos sebanyak RM12.1 juta.

“Pusat ini mampu mengesan kejadian gempa bumi dengan lebih cekap dalam usaha mengesan kejadian gempa bumi.

“Melalui penambahan stesen ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 28 stesyen seismik di Sabah,” katanya ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Wilfred berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang mengenai inisiatif dilakukan kerajaan dalam menambah baik sistem pengesanan gempa bumi dan tsunami negeri Sabah.

Pada bulan ini, Sabah merekodkan tiga gempa bumi di Ranau dalam tempoh seminggu dengan magnitud tertinggi dicatatkan pada 5.2 pada skala richter, 8 Mac lepas, diikuti 3.1 skala richter sehari berikutnya dan pada 11 Mac.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Gempa bumi lemah 3.1 magnitud landa Ranau

KUALA LUMPUR 12 MAC: Gempa bumi kecil berukuran 3.1 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.46 malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, gempa berlaku di 6.0 darjah utara dan 116.6 darjah timur.

“Gegaran dirasakan di Ranau,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis, daerah berbukit itu dilanda gempa sederhana 5.2, diikuti oleh satu lagi berukuran 3.1 pada skala Richter sehari kemudian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pulau Pasifik dilanda tsunami kecil

SYDNEY, 20 NOV : Gelombang tsunami kecil dilapor berlaku di New Caledonia dan Vanuatu selepas gempa bumi 7.0 magnitud melanda kawasan antara Pulau Pasifik, lapor Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Sumber berkata, gelombang satu meter dijangka melanda New Caledonia manakala gelombang lebih kecil melanda Vanuatu, lapor REUTERS.

Saiz gelombang pula berbeza-beza bergantung pada garisan pantai namun setakat ini belum ada laporan berkenaan sebarang kerosakan.

Gempa bumi bawah laut pada kekuatan 7.0 magnitud pada kedudukan 82 kilometer di timur Kepulauan Loyalty New Caledonia, melanda jam 9.43 pagi waktu tempatan.

=EZY=

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Semua daerah di Sabah berisiko jadi pusat gempa

KOTA KINABALU 10 SEPT: Hampir semua kawasan di Sabah berdepan risiko gempa bumi dengan pusat gegaran boleh berlaku di mana-mana daerah termasuk di pedalaman dan pantai barat negeri ini.

Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata tahap risiko berbeza mengikut kawasan berdasarkan keaktifan aktiviti seismik atau pergerakan dalam bumi di setiap kawasan, lapor BH ONLINE.

“Aktiviti seismik di Sabah bukan hanya tertumpu di kawasan Ranau dan Lahad Datu seperti yang diketahui sebelum ini, tetapi sebenarnya berlaku di semua kawasan.

“Jadi sebenarnya, hampir seluruh Sabah ada risiko gempa bumi, ada yang tinggi (tahap risiko) dan ada yang rendah.

Gempa-2“Cuma, risiko gempa bumi di kawasan Ranau-Kundasang dan Lahad Datu-Kunak adalah lebih tinggi berbanding di tempat lain,” katanya kepada BH.

Pada 31 Ogos lalu, satu gempa bumi lemah berskala 3.0 skala Richter dikesan berpusat di Sapulut, Nabawan, kira-kira 250 kilometer (km) dari sini, dipercayai kejadian gempa bumi pertama berpusat di kawasan itu.

Kejadian gempa bumi sebelum ini kebanyakannya berpusat di Ranau, Lahad Datu dan Kunak, selain Kudat.

Dr Felix berkata, gempa bumi yang berpusat di Sapulut tiada kaitan dengan gempa bumi berpusat di Ranau, Lahad Datu atau Kunak.

“Gempa bumi bermagnitud kecil ini dijangka terus berlaku di masa hadapan tetapi gegarannya tidak cukup kuat untuk merosakkan bangunan,” katanya.

Selain di Sapulut, satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.9 pada skala Richter turut dikesan di Ranau, iaitu kira-kira 16 km di barat laut pekan Ranau pada 1 September lalu.

Gempa bumi di Ranau itu dipercayai antara gempa susulan akibat gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 yang sehingga kini menghasilkan lebih 100 gempa susulan.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gempa 7.3 gegar Lautan Sulawesi, gegaran dirasai di Sabah

SHAH ALAM 10 JAN: Gempa bumi kuat pada skala 7.3 magnitud menggegar Lautan Sulawesi pada jam 2.13 petang tadi. Gegaran itu berlaku di lokasi 4.4 Utara 122.7 Timur di kedalaman 622 km di Laut Sulawesi.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata kawasan gegaran itu 466 km Timur Laut Semporna,Sabah. Gegaran itu turut dirasai di Sabah. Tiada ancaman tsunami.

Sementara itu,  orang ramai yang berada di dalam beberapa buah bangunan merasai gegaran ketika kejadian berlaku pukul 2.13 petang, kira-kira 466 kilometer dari timur Semporna.

Gegaran turut dirasai di beberapa di kawasan timur ibu negeri ini, termasuk Sandakan dan Tawau.

“Kepala saya pening ketika gegaran berlaku,” jelas salah seorang pekerja di Sembulan.

Manakala seorang lagi penjawat awam, Cleophas John Gordon yang berada di pejabat tingkat ketiga berkata, kerusinya bergoyang dan apabila berdiri dia mengalami sakit kepala.

“Perkara pertama yang datang ke fikiran adalah untuk keluar dari pejabat, dan saya menggunakan tangga untuk turun dari tingkat tiga,” katanya dipetik MStar.

 

intensity

 

gempa-seismik

=EZY=

Categories
GLOBAL

Gempa gegar Laut Banda 6.6 magnitud

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia pada jam 8.17 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan pusat gempa terletak 456 kilometer dari barat daya Ambon, Indonesia, dan 1,718 kilometer dari tenggara Semporna, Sabah.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

=EZY=