Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mihas ke-17 ditunda ke tahun depan – Matrade

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunda Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 ke tahun depan dengan tarikh sebenarnya ditentukan kemudian.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 1-4 September depan.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandemik Covid-19 serta kesannya yang boleh menjejaskan reputasi acara tersebut sekiranya diteruskan.

“Mengikut maklum balas diterima oleh Matrade menerusi 46 pejabatnya di luar negara, sebahagian besar pempamer, pembeli dan pengunjung asing masih belum bersedia untuk melakukan perjalanan udara atau mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa di luar negara masing-masing.

“Satu tinjauan dalam kalangan pempamer Malaysia turut mengesahkan lagi kebimbangan disuarakan oleh pempamer asing mengenai kemungkinan jumlah pengunjung dan pembeli yang berkurangan di acara berkenaan susulan tindakan kebanyakan negara mengenakan sekatan pergerakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata penangguhan itu juga demi kepentingan pempamer serta pembeli dan agensi itu percaya Covid-19 akan menjejaskan kelancaran acara terbabit.

“Tarikh penganjuran bagi tahun depan akan ditentukan kemudian, bergantung kepada perkembangan pandemik tersebut.

“Langkah menangguhkannya ke 2021 juga membolehkan pempamer asing menyelaras strategi berikutan perubahan persekitaran yang berlaku,” katanya.

Sejak 16 tahun lepas, Mihas terbukti membina reputasi sebagai peneraju acara pameran halal di peringkat global menerusi kehadiran ramai penggiat industri dari serata dunia yang berhimpun bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovasi terbaharu.

Malah, acara itu juga menjadi tumpuan kalangan ahli akademik, pengamal serta pihak berkepentingan dalam sektor halal, kewangan Islam serta perniagaan berasaskan patuh Syariah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS halal perlu mahir e-dagang, ICT hadapi cabaran baharu

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) halal perlu membuat persediaan sewajarnya bagi menghadapi gelombang perniagaan baharu yang menyaksikan ekonomi digital menjadi trend ekonomi masa depan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan, Jaringan Korporat dan Komuniti), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Suhaimi Ab Rahman berkata ini termasuk memastikan mereka mahir dalam aspek perniagaan e-dagang selain cekap menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan.

“Data menunjukkan hanya 20 peratus PKS bumiputera menceburi bidang ekonomi digital. Ini bermakna PKS bumiputera termasuk PKS halal masih ketinggalan jauh dan perlu bertindak segera bagi memastikan mereka dapat menceburi bidang ekonomi digital ini,” katanya dalam kolum Tinta Minda di laman sesawang www.bernama.com.

Atas alasan itu, Suhaimi berkata agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan pelbagai latihan berkaitan ekonomi digital yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan PKS terbabit.

Malah, beliau berkata peluang tersebut wajar dimanfaatkan oleh kalangan usahawan PKS bagi memperkasakan ilmu ICT dalam perniagaan masing-masing ke arah platform digital.

“Selain itu, pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal turut menyediakan beberapa program latihan halal manakala Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Halal dengan kerjasama QSR Brands (M) Berhad bagi membimbing usahawan halal agar lebih kompeten,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 5 Jun lepas berkata sejumlah RM25 juta diperuntukan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (Glow) bagi membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.

Selain itu, Suhaimi berkata pandemik Covid-19 telah merubah persekitaran ekonomi dengan kewujudan transaksi tanpa sentuhan, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, mementingkan kebersihan dan keselamatan serta transaksi tanpa tunai.

“Covid-19 mencetus suasana baharu dalam perniagaan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan kini PKP Pemulihan, kebanyakan syarikat menggunakan persekitaran kerja pintar menggunakan teknologi digital dalam perniagaan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eksport produk halal ke Jepun dijangka catat pertumbuhan positif

TOKYO, 1 FEB: Eksport produk halal Malaysia ke Jepun dijangka mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini, dipacu kerjasama di antara Halal Development Corporation Bhd dengan AcrosX Japan Inc.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerjasama ini menggalakkan perniagaan Jepun memanfaatkan industri halal sebagai aliran pendapatan baharu seiring pertumbuhan pesat segmen mesra muslim di negara ini.

Katanya produk halal RM2.5 bilion dieksport ke Jepun pada 2018, dengan 90 peratus terdiri daripada produk makanan halal dan bahan halal.

“Industri halal global dianggarkan mencecah nilai US$3.23 trilion pada 2018, dengan anggaran kadar pertumbuhan tahunan 7.49 peratus,” katanya.

Mohamed Azmin berkata landskap halal yang pesat juga melangkaui Sukan Olimpik 2020 apabila ia menyokong keperluan pengguna Islam berkembang di banyak wilayah dan bandar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pensijilan halal masih dibawah kuasa Jakim

KUANTAN, 14 SEPT: Pensijilan logo halal masih tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata isu pensijilan halal tidak pernah diuruskan oleh badan atau agensi lain sekaligus dakwaan bahawa perkara itu kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) adalah salah.

“Di bawah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, ia menguruskan aspek berkenaan pensijilan termasuk prosedur pensijilan, takrifan halal serta sistem jaminan halal,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Fuziah berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam, yang memetik Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai berkata pensijilan halal tidak lagi berada di bawah Jakim, sebaliknya MOF.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera didakwa berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara, yang mana Fuziah menyifatkan kenyataan itu sebagai menyeleweng, fakta yang salah dan berunsur fitnah.

“Kenyataan ini adalah berniat jahat demi menanam ketakutan dalam kalangan orang Melayu Islam kononnya kerajaan Malaysia baru dipimpin parti DAP. Saya menggesa beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan ini,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan juga menuntut supaya Ismail Sabri membetulkan semula kenyataan itu bagi mengelakkan salah faham berkaitan aspek halal atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Produk Halal Malaysia dapat permintaan tinggi di India

BENGALURU, 2 SEPT: Produk halal Malaysia, terutama barangan kosmetik dan penjagaan peribadi mendapat permintaan tinggi di India walaupun pertumbuhan jualan perlahan pada 2018, kata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC).

Pengurus Bahagian Antarabangsanya, Mohammad Shukur Sugumaran berkata, pengimport India menunjukkan minat tinggi untuk mendapatkan produk itu dari Malaysia ekoran kesedaran yang semakin meningkat untuk mencari produk bersih, organik, sihat dan selamat, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Permintaan amat besar di India sekarang, dan bukan hanya datang daripada orang Islam tetapi daripada bukan Islam,” katanya kepada Bernama di luar acara Global Halal India Expo 2019 di sini, semalam.

Perangkaan daripada HDC Halal Datawarehouse System menunjukkan eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion, pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, eksport produk kosmetik dan penjagaan peribadi halal susut kepada RM166.0 juta pada 2018 daripada RM172.93 juta.

Selain daripada produk kosmetik dan penjagaan peribadi, Mohammad Shukur, yang bertemu beberapa pengimport India bersempena dengan ekspo tiga hari itu di sini mendedahkan bahawa fesyen sederhana bercirikan Islam juga adalah produk yang semakin mendapat perhatian pengimport.

“Saya dimaklumkan bahawa semakin ramai generasi muda Muslim berminat untuk berpakaian mengikut cara Islam, iaitu bersederhana, tetapi dalam masa yang sama masih kekal moden,” katanya.

Selain itu, katanya, makanan dan minuman halal kekal sebagai produk pilihan dalam pasaran India, meskipun peraturan pelabelan ketat yang dikenakan oleh badan kawal selia makanan negara terbabit, Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI).

“Banyak produk makanan dan minuman Malaysia seperti biskut Hup Seng, sos cili Limgham dan makanan ringan Miaow Miaow mendapat sambutan baik di India,” katanya.

Produk halal lain seperti coklat, barangan dandanan diri, produk bayi, produk penjagaan kebersihan wanita, pakaian sukan Muslimah dan perabot bukan daripada kulit babi juga mendapat permintaan besar di negara itu, katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffien Sahari berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 180 juta penduduk Islam di India, yang kedua terbesar selepas Indonesia.

“Ditambah dengan lonjakan industri e-dagang di negara ini, syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk memanfaatkan negara yang memiliki antara jumlah penduduk paling padat di dunia ini,” katanya.

Hairol Ariffien yang memetik perangkaan daripada sumber utama maklumat mengenai industri halal, Salaam Gateway, berkata sejumlah US$43 bilion barangan kosmetik dijual di India pada 2015 dengan kira-kira US$4.2 bilion daripadanya membabitkan jualan kepada 180 juta orang Islam di negara itu.

“Kosmetik diperakui halal pada awalnya disasarkan kepada komuniti Islam, tetapi permintaan daripada pengguna bukan Islam juga semakin meningkat,” katanya.

Edisi kedua Global Halal India Expo 2019 yang berlangsung selama tiga hari yang berakhir Ahad, menarik penyertaan profesional industri seperti suruhanjaya perdagangan dan dewan perniagaan Islam India, pengimport, pengedar, pembeli, pengunjung serta agensi dan organisasi berkaitan halal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada keperluan perkenal akta baharu halal

PARIT BUNTAR, 24 OGOS: Tiada keperluan untuk menggubal akta baharu berkaitan pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ini kerana terdapat akta sedia ada bagi mengawal penggunaan label pensijilan logo halal ke atas pembekalan produk, sama ada makanan atau perubatan kepada pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sesiapa yang didapati bersalah dengan menggunakan tulisan jawi atau halal pada produk (tanpa pensijilan yang sah) boleh didakwa jadi tidak perlu ada satu akta baharu kerana isu halal sudah ada yang pelihara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Rahmah di Masjid Ubudiah, Taman Seri Tenggara di sini hari ini.

Dr Mujahid berkata, beliau difahamkan isu itu timbul berikutan kebimbangan pengguna tertipu dengan penyalahgunaan logo halal dan tulisan jawi pada produk.

“Yang dimaksudkan itu tertumpu kepada logo halal yang ditulis dalam tulisan jawi dan kata produk halal. Pengguna jangan tertipu, sebab sijil halal itu ada pensijilannya.

“Tidak timbul isu kerana setiap pensijilan halal akan dilabel setelah syarikat berkenaan berdaftar dan audit dilakukan untuk memastikan ia sah,” katanya.

Mujahid berkata, orang ramai boleh membuat semakan melalui talian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memeriksa status halal sesebuah produk kerana tiada pihak yang boleh meletakkan logo halal selain menerusi sistem berkenaan.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dilaporkan mencadangkan kepada Jakim supaya mengeluarkan sijil halal dalam tulisan mengikut bangsa pemilik produk.

Dalam perkembangan lain, Dr Mujahid berkata pihaknya menerima puluhan ribu aduan dalam talian khas yang diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyampaikan aduan berhubung penghinaan agama di negara ini.

Katanya aduan yang terdiri daripada kes penghinaan pelbagai agama terutama di laman media sosial dihantar kepada pihak berkuasa terbabit iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam majlis berasingan, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan Rakan Masjid Hospital atau dikenali sebagai Ramah untuk memenuhi matlamat tanggungjawab sosial korporat, di samping menjalinkan peranan masjid dan hospital.

Katanya melalui usaha itu, sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akan dilantik sebagai sukarelawan Ramah untuk melaksanakan segala aktiviti dan pengisian yang dirangka pihak masjid dengan kerjasama hospital selari dengan Standard Prosedur Operasi yang digariskan Kementerian Kesihatan.

“Mereka secara konsisten akan dilatih dan didedahkan dengan kemahiran untuk menyantuni pesakit di samping membantu mereka dalam hal-hal ibadah, ” katanya ketika berucap pada Program Rakan Masjid Hospital (Ramah) peringkat negeri Perak di Dewan Mutiara Hospital Parit Buntar di sini hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pembangunan Usahawan cadang pembangunan industri halal dibawahnya

KOTA BHARU, 17 OGOS: Kementerian Pembangunan Usahawan mencadangkan pembangunan industri halal diletakkan di bawah kementerian itu untuk menyelaraskan usaha dalam membangunkan industri tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat perbincangan yang diadakan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya urusan pensijilan halal terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan piawaian standard Malaysia oleh MITI.

“Apa sahaja bentuk keputusan selepas perbincangan itu, kementerian akan terus fokus mengenal pasti usahawan dari sudut membangunkan mereka dalam industri halal,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan Hab Pemborongan Tekun Nasional di Platinum Mall, Jalan Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata beliau telah mengarahkan pegawai di kementeriannya membuat senarai menggunakan data daripada TEKUN, SME Bank dan Bank Rakyat untuk melihat sama ada usahawan luar bandar telah memperoleh sijil halal.

Katanya beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat dengan Majlis Halal Malaysia untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan usahawan luar bandar diberikan kemudahan untuk mendapat sijil halal.

Beliau juga berkata TEKUN Nasional sedang berbincang dengan JAKIM untuk memudahkan pengeluar makanan di negara ini mendapat sijil halal.

Katanya langkah itu akan dapat membantu menambah pengeluaran produk halal tempatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rebut peluang kembang produk halal ke Jepun

Categories
AGAMA SELANGOR

Restoran kelirukan pelanggan dengan ayat Al-Quran dan gantung azimat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JAN: Pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah premis makanan di Seksyen 25, di sini, mendapati premis terbabit melakukan beberapa kesalahan termasuk mengelirukan orang ramai dengan menggantung ayat al-Quran, di premis terbabit.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, pemeriksaan membabitkan Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna di premis yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) itu mendapati premis terbabit turut menggantung bungkusan kain berwarna kuning yang dipercayai tangkal atau azimat.

“Pemeriksaan ini dijalankan ekoran terdapatnya aduan awam yang tular di laman sosial Whatsapp dan Facebook kerana mengelirukan masyarakat beragama Islam dengan menggantung ayat al-Quran di dalam premis dan tulisan jawi, pada papan tanda perniagaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa di dalam sijil pendaftaran syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, maka premis itu adalah pemilikan perkongsian antara dua individu dengan seorang beragama Islam dan seorang lagi bukan Islam,” katanya pada satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Salwana berkata, JAIS juga mendapati hanya dua pekerja premis terbabit beragama Islam.

Katanya, premis itu turut memperoleh bekalan bahan mentah seperti daging kambing daripada pembekal yang tidak memiliki SPHM yang sah.

Premis itu turut menjual makanan daripada pembekal luar yang menggunakan logo halal ‘generic’ yang tidak diiktiraf pada pembungkus produk.

Selain itu, tahap kebersihan premis itu juga berada pada tahap yang sangat tidak memuaskan seperti meletakkan bahan mentah di atas lantai dan tidak menggunakan perangkap minyak (gris trap) seperti yang diisyaratkan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Tindakan sudah diambil oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS di bawah peruntukan Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dan pemilik diarah hadir memberi keterangan, di ibu pejabat JAIS.

“Pemilik juga diarah untuk tidak menggantung ayat al-Quran di dalam premis dan tidak menjual makanan yang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf,” katanya.

Kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan pemilik boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) Akta Perihal Dagangan 2011.

Categories
AGAMA SELANGOR

Promosi buffet Ramadan hanya untuk pemegang sijil halal

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan hanya hotel yang memiliki sijil halal dibenar mempromosikan buffet makanan berkaitan Ramadan disepanjang bulan puasa ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohd Ali berkata, sehingga kini sebanyak 46 hotel di negeri ini mempunyai sijil halal.

“Hanya pemegang sijil sahaja boleh menggunakan perkataan Buffet Ramadan, Iftar Ramadan, sahur atau promosi berbuka puasa.

“Manakala bagi yang tidak memiliki sijil halal, mereka dilarang sama sekali membuat promosi yang membawa maksud Ramadan,” katanya ketika Majlis berbuka puasa JAIS bersama media di Pusat Konvensyen Sha Alam (SACC), baru-baru ini.

Wan Najmiah berkata, antara beberapa hotel di Shah Alam yang dibenar membuat promosi buffet Ramadan adalah Hotel Concorde, Hotel Grand Bluewave, Hotel Holiday Inn Glenmarie, Hotel Alami Garden, Hotel Accapella Suite, Hotel De Palma (Shah Alam), Carlton Holiday Hotel and Suites, Laman Green The Boutique Hotel dan Hotel Geno.

“JAIS kini dalam proses memantau 30 hotel yang disyaki tidak mempunyai sijil halal tetapi menawarkan pakej bufet sepanjang Ramadan ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada tindakan diambil terhadap hotel yang tidak ada pensijilan halal tetapi menasihati pengurusan hotel supaya memohon sijil berkenaan.

“Namun pengurusan hotel yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Pada masa sama, JAIS turut menasihatkan umat Islam supaya membuat pemeriksaan memilih restoran yang memiliki sijil halal yang sah bagi menjamin kebersihan dan keselamatan makanannya.

=EZY=

Categories
AGAMA EKONOMI SELANGOR

RM50 juta jayakan hab halal, lahir tenaga mahir industri

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 11 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM50 juta ke arah menjayakan Hab Halal termasuk melahirkan tenaga mahir bagi kemajuan industri berkaitan di Selangor.

Sehubungan itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata disasarkan lebih kurang 200 tenaga mahir dilahirkan menerusi Program Halal Technical Competent Person (HTCP) diadakan pada tahun ini.

“Ia adalah program sangat besar dijalankan dan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri sebahagiannya bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan KUISCELL Sdn Bhd (KUISCELL) diharap mengukuhkan lagi kemahiran diperlukan dalam industri ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Latihan Pembangunan dan Kapasiti Industri Dagangan Halal serta penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara HIS dan KUISCELL.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Kerajaan Negeri merancang penyertaan pegawai di beberapa jabatan yang terbabit dengan industri halal bagi mengikuti latihan berkenaan seterusnya di peringkat pihak berkuasa tempatan dan lainnya.

“Industri ini berpotensi besar dengan pasaran luas di peringkat global.

“Bagi tujuan itu, kita juga mewujudkan Majlis Halal Selangor serta Central Spectrum (M) Sdn Bhd,” katanya.

Turut sama, Pengarah HIS, Dato’ Mahmud Abbas dan Timbalan Rektor (Akademik & Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mokmin Basri.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Keropok udang viral ada logo halal sah

SHAH ALAM, 11 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengesahkan keropok udang yang dijual di pasaran sekitar Perak mempunyai sijil dan penandaan logo halal sah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan terhadap 65 premis di sepanjang hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam sehingga Alor Pongsu serta kawasan tumpuan orang ramai mendapati produk itu mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Perak.

“Hasil daripada pemeriksaan terbabit terdapat enam keluaran syarikat berbeza turut dipasarkan dalam pasaran ketika ini.

“Pemeriksaan juga mendapati pembungkusan keropok udang juga hampir sama seperti yang dirampas pada 4 Januari lalu terdapat seekor gambar udang di hadapan pembungkusan.

“Hasil pemeriksaan mendapati produk berkenaan menggunakan logo halal yang mendapat pensijilan daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam negeri, hasil pemeriksaan juga mendapati produk keropok udang yang diambil tindakan pada 4 Januari lalu tiada lagi dijual di pasaran,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pemeriksaan susulan terhadap penjualan keropok udang di Perak, di Pejabat KPDNKK Perak, di Ipoh, semalam.

Pada masa sama, Shamsul Nizam turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak meletakkan logo halal pada produk mereka sehingga mendapat perakuan daripada pihak berkuasa.

Syarikat yang meletakkan logo halal palsu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara.