Categories
NASIONAL

‘Sarawak Untuk Sarawak’ bertentangan semangat Malaysia Baharu – Hannah

SHAH ALAM, 2 OKT: Slogan ‘Sarawak Untuk Sarawak’ disifatkan sebagai tidak sesuai dalam semangat Malaysia Baharu yang memupuk perpaduan rakyat tanpa mengira wilayah, kaum dan agama.

Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh menafikan dakwaan yang menuduh beliau kononnya tidak menghormati kedaulatan negeri itu apabila mempertikaikan slogan tersebut dalam sebuah forum di Kuching minggu lalu.

“Negara ini telah lama dipisahkan dengan isu perkauman dan agama dan hari ini timbul pula sentimen seperti Sarawak untuk orang Sarawak sahaja. Kita memerlukan Malaysia Baharu yang menyatukan kita semua.

Media tempatan di Sarawak menyerang saya dengan mendakwa saya gagal menghormati Sarawak. Malangnya, serangan tersebut tersasar jauh dari kebenaran,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP memberi ucapan pada forum bertajuk “Apakah peranan kita dalam Malaysia Baharu?” di Kuching, Sarawak pada 29 September lepas.

Dalam ucapannya, beliau menekankan isu masa depan anak muda Malaysia terutamanya melibatkan isu kanak-kanak.

Beliau turut bertemu pihak berkepentingan di Sarawak bagi membincangkan mengenai kaedah menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkahwinan adat bagi memahaminya dengan lebih baik, di samping melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas.

Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Segambut itu juga berkata, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak serta Sabah dalam Malaysia menerusi penguatkuasaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Jika kita benar-benar berhasrat mahu melihat ia menjadi kenyataan dalam erti kata sebenar, maka setiap entiti dalam persekutuan ini harus memperlihatkan komitmen untuk menjayakannya.

“Sebarang sentimen atau retorik politik yang bertujuan mengasingkan antara satu entiti dan mengasingkan rakyatnya daripada sebuah negara yang lebih besar, slogan seperti Sarawak untuk orang Sarawak, Sabah untuk orang Sabah, atau Semenanjung Malaysia untuk pihak yang lain, bukanlah sesuatu yang sihat dalam pembinaan sesebuah negara,” katanya.

Hannah juga percaya, Malaysia Baharu yang dikecapi hari ini memerlukan strategi baharu bagi memperbaiki masalah lampau dan mengulangi kaedah lama yang sama pastinya tidak akan menghasilkan keputusan yang berbeza.

Categories
NASIONAL

Hannah Yeoh sasar wujudkan pusat kaunseling di PPR

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 20 SEPT: Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yakin usaha mewujudkan pusat perkhidmatan kaunseling di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) mampu direalisasikan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pusat seumpama itu diwujudkan bagi membantu mana-mana individu di kawasan terbabit berhadapan tekanan perasaan atau kemurungan yang boleh mengakibatkan mereka mengambil jalan salah.

“Bukan sahaja orang dewasa, malahan kanak-kanak juga boleh mengalami kemurungan disebabkan pelbagai faktor seperti masalah keluarga, kurang perhatian kerana kesibukan ibu bapa, lalu mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

“Kita juga harap suatu hari nanti pusat kaunseling lebih mudah ditemui seperti sebuah kaunter pertanyaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Forum Kesihatan Mental & Polisi Pencegahan Bunuh Diri di Universiti Sunway di sini, malam tadi.

Hannah Yeoh berkata, pihaknya memilih PPR berikutan terdapat beberapa kes membunuh diri disebabkan tidak tahan menanggung tekanan hidup di zaman serba mencabar ini.

Katanya lagi, pada masa ini pihak kementerian turut mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan bagi menjayakan rancangan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula berkata, isu tekanan perasaan dalam masyarakat bukanlah satu isu baru dan memerlukan perhatian semua pihak.

“Ini bukan satu isu luar biasa, kalau kita rasa tekanan perasaan tidak perlu malu, kita perlu berjumpa doktor untuk mengatasinya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Laraskan belanjawan untuk pusat jagaan kanak-kanak – Hannah Yeoh

PETALING JAYA 12 OGOS: Agensi kerajaan patut menyemak semula perbelanjaan mereka jika menghadapi masalah untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing seperti yang disasarkan pada tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata ada agensi kerajaan yang mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk menyediakan kemudahan itu kerana kekangan kewangan.

“Mereka akan selalu memberitahu kami bahawa mereka tiada peruntukan, tetapi kami memberitahu mereka untuk meneliti bajet sedia ada, bagaimana mereka boleh melakukan pelarasan bagi memastikan pusat jagaan kanak-kanak menjadi satu keutamaan.

“Jika mereka ada duit untuk menganjurkan rumah terbuka (sambutan perayaan), mereka juga boleh memikirkan untuk menyalurkan duit itu kepada pusat jagaan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah ‘TalentCorp Malaysia’s Life at Work’ 2018 di sini hari .

Beliau berkata kementerian juga sedang melihat kaedah untuk menggalakkan pendaftaran pengasuh bayi bagi menangani isu penjagaan kanak-kanak di dalam negara.

Media mendedahkan kes yang mengejutkan negara mengenai Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi lima bulan yang ditemukan mati di dalam sebuah penyejuk beku di rumah pengasuhnya pada 3 Julai lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kanak-kanak perlu kenyang di sekolah – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR 27 JUL: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, mahu memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan kenyang atau telah mengisi perut sebelum pulang ke rumah.

Susulan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut mencadangkan agar kerajaan memperkasa program makanan di sekolah memandangkan manfaat program seperti ini disalurkan secara khusus kepada kanak-kanak, pada masa sama menjamin tumbesaran dan kesihatan mereka.

“KPWKM akan menilai semula bantuan yang diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan tumbesaran kanak-kanak terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah tidak terjejas.

“KPWKM juga sedang mengadakan peta laluan kesejahteraan kanak-kanak dan saya harap kita dapat sampaikan bantuan secara spesifik untuk bantu kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dengan sihat,” jelasnya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Tambahnya, berdasarkan peta laluan berkenaan, pihak kementerian sedang mengadakan koordinasi dengan semua kementerian yang terlibat untuk memastikan bantuan sampai terus kepada golongan ini.

“Kebanyakan kanak-kanak ini tidak ke tadika dan tidak ke sekolah. Ada juga yang berhenti sekolah. Kalau mereka sakit, mereka juga tidak dirawat di klinik.

Hannah juga ambil maklum bahawa ada beberapa wakil rakyat yang mengadakan inisiatif sendiri untuk menyediakan baucar kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melalui pihak kantin sekolah.

“Program seperti ini ada nilainya supaya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah tidak kelaparan dan tidak menjejaskan fokus belajar,” katanya.

Hannah berkata demikian selepas ditanya mengenai cadanganya dalam membasmi masalah nutrisi kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah terutamanya di bandar.

Hannah merujuk kepada laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Laporan itu menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada bulan lalu memaklumkan lima kementerian bersama UNICEF bergabung bagi mewujudkan sebuah peta-laluan untuk menangani isu melibatkan kanak-kanak.

Inisiatif ini melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

SUMBER: ASTRO AWANI

 

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

KPWKM kaji Suruhanjaya Kanak-Kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak atau badan bebas kanak-kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, ia susulan kematian Adam Rayqal Mohd Sufi di rumah pengasuhnya, pada Selasa.

“Kes Adam Rayqal menunjukkan terdapat ruang yang boleh ditambah baik membabitkan pengasuh dalam dua akta yang sedang diguna pakai iaitu Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) untuk tujuan perlindungan kanak-kanak.

“Manakala Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) pula untuk mengawal selia Taman Asuhan Kanak-kanak,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata, KPWKM turut menetapkan sasaran supaya pusat penjagaan kanak-kanak dapat diwujudkan di agensi kerajaan tidak kira di bandar besar atau di peringkat daerah, menjelang 1 Januari 2019.

Katanya, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak perlu kerana KPWKM sedar kanak-kanak adalah aset paling penting buat masa depan negara.

Categories
NASIONAL

Hannah Yeoh nafi mesej tular kenyataannya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 MEI: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, hari ini menafikan beliau mengeluarkan kenyataan seperti mana disebarkan melalui kumpulan sembang whatsapp.

Sambil memaklumkan ia sebagai mesej palsu, beliau berkata, ia adalah percubaan pihak tertentu menyalahgunakan namanya bagi tujuan menularkan sesuatu kenyataan.

“Saya merujuk kepada mesej dikatakan oleh saya yang telah diedarkan melalui kumpulan sembang whatsapp dan ingin diulangi bahawa saya tidak menulisnya.

“Saya menggesa setiap orang untuk tidak mengambil bahagian dalam menyebarkan mesej palsu ini,” katanya dalam kenyataan.

Mantan Speaker Dewan Negeri Selangor itu berkata, kenyataan rasmi dikeluarkannya boleh disahkan melalui halaman rasmi miliknya – hannahyeoh / facebook.com.

Beliau membuat kenyataan itu merujuk mesej disebarkan berkaitan isu pembentukan kerajaan baru dan tindakan perubahan yang ingin dilakukan bagi membina semula negara ini.

Categories
SELANGOR

Aplikasi ‘Be My Protector’ platform benteras pemerdagangan manusia

OLEH AFIX REDZUAN

PUCHONG, 19 APR: Organisasi Change Your World (CYW) dan Tenaganita berganding tenaga memperkenalkan aplikasi ‘Be My Protector’ untuk membantu masyarakat membenteras aktiviti pemerdagangan manusia.

Aplikasi pertama di Asia Tenggara itu dibangunkan bagi memudahkan orang awam melaporkan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia, keganasan pekerja dan penganiayaan kanak-kanak.

Pengasas Bersama Tenaganita, Aegile Fernandez berkata, Selangor merupakan antara lokasi tumpuan aktiviti pemerdagangan manusia khususnya melibatkan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Tegasnya, budaya rasuah berleluasa kini perlu dihapuskan kerana ia turut menjadi halangan membenteras pemerdagangan manusia.

“Pelancaran aplikasi ini satu kejayaan kerana menjadi tanggungjawab semua untuk menyelamatkan dan membebaskan manusia.

“Lebih banyak anak muda khususnya pelajar di IPT diperdagangkan. Kita tidak boleh biarkan ia berterusan,” katanya.

Majlis pelancaran aplikasi yang berlangsung di Pejabat CO3, Bandar Puchong Jaya itu turut disaksikan Pengerusi CYW, Datuk Pee Kang Seng.

Mula dibangunkan sejak dua tahun lalu, aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store selain mempunyai lapan bahasa bergantung kepada jenis bahasa digunakan di telefon bimbit.

Bagi Kelvin Lim selaku Pengasas Bersama CYW, pihaknya mensasarkan 100,000 muat turun aplikasi sehingga penghujung tahun ini dan 1,000,000 menjelang 2023.

Menurutnya, CYW bertanggungjawab mempromosikan aplikasi itu, sementara Tenaganita akan menyiasat kesemua laporan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh memuji langkah membangunkan aplikasi ini dan meminta orang ramai supaya memuat turun serta membantu membenteras pemerdagangan manusia.

 

 

Categories
SELANGOR

Sedia hadapi kemungkinan Parlimen bubar ketika DNS bersidang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Parlimen dibubarkan ketika Persidangan Penggal Keenam, DNS Yang Ke-13 Tahun 2018 sedang dijalankan.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, pembubaran Dewan Negeri Selangor bergantung kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sekiranya Parlimen bubar ketika persidangan DNS, kita sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Semua sudah bersedia.

“Kalau parlimen dibubarkan, di peringkat negeri pula bergantung kepada Dato’ Menteri Besar dan Sultan,” katanya kepada media selepas berlangsungnya Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, DNS Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika mengulas perjalanan persidangan DNS kali ini, Hannah menjangkakan persidangan kali ini tidak akan memakan masa yang panjang.

Jelasnya, walaupun beliau menjangkakan persidangan akan berakhir dalam tempoh satu minggu atau kurang daripada itu tetapi ia bergantung kepada perbahasan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

“Kali ini kita ada satu Rang Undang-undang Perhutanan, perbahasan untuk semua Adun dan kita ada lima penyata untuk dibentangkan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

SPLASH bertanggungjawab atas kegagalan mereka

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MAC: Pengurusan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) harus bertanggungjawab atas kegagalan mereka dan seharusnya mempersiapkan semua jangkaan termasuk kecederaan dialami kakitangan mereka, di tapak projek.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, tahap kecuaian dan ketidakcekapan harus diselidik dengan lebih teliti supaya kes seperti itu dapat dikurangkan.

“SPLASH pernah dianugerahkan konsesi selama 30 tahun oleh Kerajaan Negeri terdahulu untuk membina, mengendali dan menyelenggara Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

“Saya dimaklumkan gangguan air berjadual berlaku di beberapa kawasan terjejas bertujuan memudahkan kerja pembaikan peralatan kritikal di SSP3 selama 10 jam pada 6 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, letupan sistem kapal surut di loji rawatan air SSP3 menjadi punca kelewatan memulihkan bekalan air ke kawasan yang terjejas, pada 6 Mac lalu.

“SPLASH gagal memberikan pembaharuan tetap berhubung status kerja pembaikan yang mengakibatkan banyak gangguan terhadap rutin harian isi rumah dan operasi perniagaan.

Katanya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, meminta campur tangan segera Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Air Selangor untuk membantu SPLASH mempercepatkan kerja pembaikan, di loji itu.

Hannah berkata, hal itu mengakibatkan penderitaan besar kepada lebih 500,000 isi rumah di Selangor untuk empat hari yang tidak diselesaikan.

“SPLASH menjadi konsesi dan pembekal air terawat untuk SYABAS seharusnya lebih bijak dalam menangani kejadian terbabit. Saya tidak dapat membayangkan impak melampaui Ahad ini jika campur tangan kerja pembaikan tidak diberikan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan terjejas gangguan air berterusan adalah di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Categories
SELANGOR

Campur tangan ADN, rungkai kemelut 24 tahun pembeli

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 FEB: Penantian 24 tahun buat 76 pembeli rumah Teres Dua Tingkat Bayu akhirnya terungkai selepas Pejabat Tanah Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah Petaling Jaya (PTD) dan wakil pemaju mencapai kata sepakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, perbincangan yang menemukan semua pihak itu diatur pihaknya setelah menerima aduan daripada pembeli berkenaan status pindah milik yang sekian lama membelenggu mereka.

“Melalui dua mesyuarat diadakan pada 27 Oktober dan 30 November lalu, akhirnya PTD berjaya menyelesaikan masalah berlarutan.

“Dokumen permohonan pindah milik dihantar ke peguam juga diluluskan Dato’ Menteri Besar sekali gus membolehkan pembeli yang telah berhubung dengan peguam dipindah milik secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pengumuman Status 76 Unit Rumah Teres Bayu, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, proses itu mengambil masa empat minggu sebelum pindahan dimuktamadkan.

Katanya, 11 pembeli telah menghantar dokumen dan kesemua yang hadir telah menghubungi peguam.

Terdahulu, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan agensi Kerajaan Negeri terlibat membantu menyelesaikan masalah itu.

Categories
SELANGOR

RM20,000 turap jalan, parkir surau Al-Mukminin

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 30 NOV: Sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi menurap jalan masuk dan parkir di kawasan Surau Al-Mukminin di Jalan PJS 9/5, Bandar Sunway di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu diberikan bagi memudahkan pengguna surau tersebut.

“Sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi kerja menurap semula permukaan jalan masuk dan menyediakan lapan petak parkir di kawasan surau ini.

“Ia siap sepenuhnya bagi kegunaan dan kemudahan komuniti dan pengunjung surau ini untuk beribadah dan melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu pengerusi dan ahli jawatankuasa Surau Al-Mukminin di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Mukminin, Datuk Sulaiman Mohd Hassan berkata, bantuan diberikan itu membantu penduduk dan komuniti surau untuk datang beribadah dan membuat aktiviti dengan lebih selesa.

“Walaupun tidak ramai penduduk Islam tinggal di sini, surau ini sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti dan turut menjadi kegunaan orang luar.

“Saya amat gembira dan bersyukur kerana dengan adanya penurapan jalan ini akan membuatkan mereka lebih selesa dan kerap datang ke sini,” katanya sambil menambah surau itu telah berusia kira-kira 17 tahun.

Sulaiman berkata, YB Hannah juga sering datang melawat ke surau itu untuk menghulurkan bantuan selain beramah mesra dengan komuniti.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai inisiatif yang diberikan beliau kepada ahli komuniti surau selama ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bawa isu tanah Kampung Sungai Yu ke SELCAT

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh disaran mempercepatkan siasatan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung isu pemberian tanah Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

ADN Permatang, Datuk Sulaiman Razak, berkata memandangkan Hannah adalah Pengerusi SELCAT, beliau mempunyai kuasa menjalankan siasatan serta mengadakan pendengaran awam mengenai maklumat diberikan Exco, pada Sidang DUN minggu lalu, berhubung perkara itu.

“Walaupun ada beberapa pihak sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, namun ia mungkin mengambil masa untuk menjalankan siasatan.

“Disebabkan hal berkenaan dibangkitkan di DNS, SELCAT boleh menjalankan siasatan lebih awal,” katanya.

Sulaiman berkata, surat rasmi sudah dihantar kepada Pejabat Speaker dan Pejabat DUN, pagi tadi serta satu salinan diserahkan kepada Menteri Besar.

Katanya, beliau turut bersedia menarik diri dari jawatankuasa SELCAT yang disandangan sekarang bagi menjadi saksi dalam isu penyelewengan berkenaan.

“Saya mahu SELCAT menyiasat dan melakukan pendengaran awam berkenaan kad pengenalan palsu milik 18 penerima dan penduduk luar termasuk dari luar Selangor,” katanya.