Categories
NASIONAL

Negara perlu 38,333 taska tampung kanak-kanak – Hannah

KUALA LUMPUR, 30 APR: Negara memerlukan 38,333 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi menampung jumlah kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata berdasarkan bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010, menganggarkan jumlah kanak-kanak berusia sehingga empat tahun pada 2018 ialah 2.3 juta orang.

“Sekiranya kita beranggapan bahawa 50 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia 0 hingga 4 tahun memerlukan TASKA, maka negara kita memerlukan 38,333 buah TASKA bagi menampung jumlah kanak-kanak berkenaan.

“Namun, jumlah TASKA berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Februari 2019 adalah 4,497 buah,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini, semalam.

Justeru, bagi memastikan keperluan perkhidmatan TASKA mencukupi, beberapa inisiatif dilaksanakan seperti subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang hadir ke TASKA berdaftar dengan JKM bagi keluarga yang layak mengikut pendapatan isi rumah RM800 per kapita di bandar dan RM500 per kapita di luar bandar.

Selain itu, langkah mengaudit keperluan penubuhan TASKA di tempat kerja telah diadakan pada tahun 2018 bagi mengenal pasti bilangan agensi kerajaan khususnya yang belum mempunyai TASKA.

Sementara itu, Hannah berkata kerajaan tidak berhasrat mewajibkan kursus pra-perkahwinan ke atas pasangan bukan Islam yang ingin berkahwin.

Hannah berkata keputusan itu dibuat selepas satu perbincangan bersama Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara yang diadakan pada 4 Mac lepas.

Sebelum ini terdapat cadangan daripada beberapa pihak supaya pasangan bukan Islam yang hendak mendirikan rumahtangga diwajibkan menghadiri kursus pra-perkahwinan seperti mana pasangan Islam.

Mengulas lanjut Hannah berkata, mesyuarat yang diadakan bersama exco-exco wanita negeri baru-baru ini juga sebulat suara bersetuju agar bakal pengantin bukan Islam digalakkan untuk menyertai kursus SMARTSTART sebagai pra-syarat mendapat insentif perkahwinan daripada negeri.

Bagi cadangan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun, Hannah berkata walaupun pelaksanaan perintah berkurung berjaya di negara lain, ia tidak semestinya sesuai dan boleh berjaya di negara ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Guru perlu buat laporan jika murid didera – Yeoh

KUALA LUMPUR, 13 APR: Guru perlu tampil membuat laporan kepada pihak-pihak berkaitan sekiranya mendapati murid mereka menjadi mangsa dera di rumah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Katanya, ini kerana kanak-kanak menghabiskan kebanyakan masa mereka di sekolah dan guru-guru berperanan untuk mengenal pasti kes penderaan menerusi penelitian tingkah laku mereka.

“Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk menangani kes penderaan kanak-kanak terutamanya di rumah (kerana) biasanya kanak-kanak sendiri tidak akan melaporkan kepada sesiapa kerana khuatir ibu bapa mereka akan dipanggil polis.

“Jika guru mendapati tingkah laku murid mereka agak berlainan dan pelik, mereka perlu segera mengenal pasti apa masalahnya dan jika didapati didera, mereka harus melaporkannya kepada Talian Nur 15999,” katanya.

Yeoh berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Gerakan Massa ‘Terima Kasih Cikgu’ Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, selain guru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga turut berperanan menggerakkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya tidak melepaskan tekanan mereka terhadap kanak-kanak di rumah.

“Tanggungjawab guru serta ibu bapa adalah penting untuk mengelak sebarang kecederaan ke atas kanak-kanak akibat tekanan oleh orang dewasa.

“Oleh itu, usaha pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah dengan ibu bapa adalah penting untuk kami di kementerian bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih efektif,” katanya.

Sebanyak 295 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam Gerakan Massa ‘Terima Kasih Cikgu’ yang diadakan sempena Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini.

Antara aktiviti yang diadakan ialah larian, sukaneka dan pameran sains dan robotik yang turut disertai 473 pelajar dan guru.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

JKM salur lebih RM600 juta bantu warga emas, OKU

KUALA LUMPUR, 1 APR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan lebih RM600 juta bagi membantu 166,028 Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit kronik dan warga emas tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, mereka dibantu menerusi dua skim bantuan kewangan iaitu Bantuan Orang Tua dan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik serta OKU Terlantar.

Beliau berkata, JKM juga menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan kepada warga emas untuk mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan menerusi Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) dengan seramai 2,262 warga emas mendapat manfaat daripada program itu pada 2018.

“Selain itu, program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) atau Home Help Service juga dilaksana bagi meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas dan OKU,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam membantu golongan khususnya ibu tunggal dan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk mendapatkan rawatan lanjutan seperti hemodialisis.

Hannah berkata, sehingga Disember 2018, seramai 8,994 isi rumah iaitu 7,135 isi rumah warga emas dan 1,859 isi rumah OKU menerima perkhidmatan KBDR yang dilaksanakan JKM itu.

Sementara itu katanya, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperuntukkan anggaran RM4 juta bagi membiayai rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang yang terpilih di seluruh negara setiap tahun.

“Kesemua individu yang ditaja sepenuhnya itu terdiri pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200 sebulan dan sedang mendapatkan rawatan di pusat dialisis kelolaan YKN di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan salur bantuan awal kepada mangsa ribut

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 29 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghulurkan bantuan segera kepada 47 mangsa daripada 13 keluarga yang terjejas ekoran ribut di Batu 11, di sini.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bantuan diberikan dalam bentuk keperluan asas seperti khemah, perkakas mandian, selimut dan makanan kepada mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11.

Selain bantuan segera, pihaknya juga akan menilai kerosakan dialami mangsa sebelum menyalurkan bantuan membaiki rumah mereka.

“Saya akan minta Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar pegawai psikologi pagi esok (hari ini) untuk memberikan bantuan kaunseling terutama kepada mangsa yang trauma.

“Setakat malam ini (tadi), saya dimaklumkan seramai 13 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Asli ini,” katanya kepada media ketika melawat pusat pemindahan itu, malam tadi.

Sebelum itu, Hannah bersama Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham sempat meluangkan masa lebih satu jam melawat mangsa di pusat pemindahan terbabit.

Terdahulu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lima daripada lapan rumah terletak di Pondok Penyayang Raudah Batu 11 Jalan Lama Gombak itu terjejas dihempap pokok kerana hujan lebat dan angin kencang.

“Setakat 6 petang (semalam), mangsa yang cedera terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

“Kawasan itu ditutup sementara waktu bagi kerja pembersihan dan mangsa terbabit ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lebih 6,000 gelandangan daftar masuk ke Anjung Singgah

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Seramai 6,936 gelandangan mendaftar masuk secara sukarela ke lima buah fasiliti Anjung Singgah, di seluruh negara sejak ditubuhkan, pada 2011.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,022 orang sudah mendapat padanan kerjaya.

“Penekanan dalam aspek kaunseling, bimbingan dan motivasi dilaksanakan kepada penghuni bagi meningkatkan daya tahan dan daya juang dalam mengharungi cabaran kehidupan serta memangkin perubahan sikap juga tingkah laku,” katanya.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PAKATAN-Ledang) berhubung usaha kementerian dalam menangani dan memberi bantuan kepada gelandangan.

Pada masa sama, Yeoh berkata, sebanyak 799 gelandangan direkodkan di sekitar ibu negara, sehingga tahun lalu.

“Fokus kita untuk memberi mereka kerjaya dan dari Januari hingga Mac tahun ini di Anjung Singgah Kuala Lumpur, 67 orang sudah didaftar masuk dengan 38 orang mendapat padanan kerja, iaitu peratus kejayaan ialah 56.72 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkenaan jumlah gelandangan dan cerita kejayaan hasil program membantu golongan berkenaan.

Anjung Singgah adalah pusat khidmat bantuan sosial yang ditubuhkan sebagai tempat perlindungan sementara bagi golongan itu yang tidak memiliki tempat tinggal dan pekerjaan tetap. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 50 lelaki direkod mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu merupakan 5.4 peratus daripada keseluruhan kes iaitu sebanyak 1,037 kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes itu, ia antaranya melibatkan 484 kes mencederakan mangsa secara fizikal dan 401 kes sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan.

“Manakala sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran sebanyak 30 kes,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM bagi tempoh 2017 hingga kini.

Yeoh berkata, kementerian telah melakukan pindaan berkenaan Akta Keganasan Rumah Tangga dan mempertingkatkan lagi usaha memberikan perlindungan kepada mangsa dengan cara memberi perintah perlindungan sementara, memindahkan mangsa supaya tinggal berasingan atau kembali ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPWKM terima 101 permohonan buka taska di premis kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima 101 permohonan daripada agensi kerajaan untuk membuka taman asuhan kanak-kanak (taska), di premis masing-masing.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu diterima sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 24 Januari hingga 7 Februari lalu bagi memanfaatkan peruntukan RM10 juta yang disediakan untuk mewujudkan tambahan 50 taska, di premis kerajaan.

“Kami dapati ada 501 agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai pusat asuhan di tempat kerja,” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga Januari lalu, sebanyak 4,466 taska berdaftar dengan kementeriannya.

Menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) berkenaan cadangan pembinaan taska di bangunan Parlimen, Yeoh berkata, pihaknya masih menunggu kertas cadangan permohonan daripada Parlimen.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada berjumpa Speaker dan menyatakan Parlimen ini tempat undang-undang digubal dan ini mesej penting untuk seluruh Malaysia melihat tempat penggubalan undang-undang ada infrastruktur bagi mengalakkan wanita menjadi wakil rakyat,” katanya.

Berhubung gaji minimum RM1,200 kepada pengasuh yang turut memberi kesan kepada kos bulanan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menghantar anak ke taska, Yeoh berkata, pihaknya sedar berkenaan perkara itu dan Kementerian Sumber Manusia sedang menelitinya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

RUU gangguan seksual tidak akan dibentang Mac depan

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Rang undang-undang mengenai gangguan seksual tidak dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen bulan depan berikutan kerajaan masih perlu meneliti hasil kajian impak yang baharu selesai dijalankan terhadap undang-undang itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, langkah itu bagi memastikan liputan undang-undang yang menyeluruh dengan skop lebih besar.

“Gangguan seksual bukan sahaja boleh berlaku di tempat kerja tetapi juga di institusi dan sektor lain termasuk di rumah, jadi kami mahu pastikan akta itu benar-benar bermanfaat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembaikan kemudahan di Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, untuk itu pihaknya akan memulakan konsultasi dengan badan bukan kerajaan dan mangsa gangguan seksual berdasarkan hasil kajian impak yang diterima.

Pada masa sama, Yeoh berkata, kerajaan tetap menyasarkan undang-undang terbabit dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Sementara itu, Yeoh yang juga Anggota Parlimen Segambut, berkata, beliau akan menulis surat kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan tapak sekolah berkenaan dikekalkan sebagai tapak sekolah susulan beberapa kes kawasan sekolah dijual untuk pembangunan.

“Contohnya Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang yang kini menjadi pusat beli-belah Pavilion.

“Sekolah Menengah Sains Seri Puteri ini bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell yang juga dalam Parlimen Segambut. Saya berharap tiada pihak yang menyasarkan untuk membangunkan kawasan strategik ini,” katanya.

Kerja pembaikan di sekolah itu yang menggunakan peruntukan Anggota Parlimen Segambut membabitkan penyelenggaraan tangki air dan rumah pam serta pemasangan 10 kipas siling dengan kos keseluruhan RM10,809.

Categories
NASIONAL

Hannah Yeoh tegur tajuk utama berita

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 FEB: Sebuah media arus perdana ditegur gara-gara memaparkan tajuk berita ‘Saya nak kahwin’ yang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sepatutnya media perlu memainkan peranan penting dan tidak perlu memilih tajuk sedemikian rupa.

“Kalau nak Malaysia Baharu, media juga perlu mainkan peranan penting.

“Kenapa pilih tajuk seperti ini?. Kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan kebenaran.

“Tidak relevan sama ada mereka mempunyai niat atau hasrat untuk berkahwin,” tulisnya menerusi laman twitter.

 

Menerusi artikel berita berkenaan, seorang kanak-kanak perempuan Rohingya berusia 11 tahun meluahkan rasa kecewa apabila perkahwinannya dengan lelaki berusia 21 tahun dibatalkan selepas majlis akad nikahnya diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.

Hannah sebelum ini lantang menyuarakan had umur perkahwinan lelaki dan wanita bagi menangani masalah perkahwinan di bawah umur.

Categories
NASIONAL

Dengar maklum balas ketika rai Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 FEB: Bertemu saudara mara dan sahabat handai ketika perayaan Tahun Baharu Cina memang sesuatu yang menyeronokkan.

Namun, bagi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, sambutan kali ini turut memberi peluang kepada beliau mendengar sendiri maklum balas rakyat terhadap program dan dasar Kerajaan Pakatan Harapan.

“Ini kali pertama saya menyambutnya sebagai Timbalan Menteri dalam kerajaan baru yang ada sekarang.

“Saya dapat dengar banyak maklum balas daripada saudara mara berkenaan isu membabitkan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya berkata, selain saudara mara, pendapat rakan berbangsa Melayu dan India, turut didengari.

Katanya, setiap maklum balas yang diterima adalah sangat penting bagi memastikan dasar dan program kerajaan memberi impak positif kepada rakyat.

Categories
NASIONAL

Perinci mekanisme permohonan tambah taska

PUTRAJAYA, 5 NOV: Mekanisme permohonan penambahan taska di bangunan kerajaan akan diperincikan selepas Belanjawan 2019 diluluskan, di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, peruntukan RM10 juta untuk menambah 50 taska akan memberi dorongan kepada agensi kerajaan untuk menyediakan taska, di pejabat serta mengalakkan lebih ramai wanita terus bekerja.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas terdapat agensi kerajaan yang mendakwa menghadapi kesukaran menyediakan kemudahan taska berikutan kekangan bajet dan kekurangan tempat.

“Dengan pengumuman bajet ini, kita ada peruntukan khas oleh Kementerian Kewangan untuk tujuan ini,” katanya lapor BERNAMA.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kementeriannya memandang serius keperluan taska di tempat kerja ekoran kes kematian bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, yang ditemukan di bahagian sejuk beku peti ais, di rumah pengasuhnya, di Batu Caves, pada Julai tahun ini.

Categories
NASIONAL

Kelahiran autisme negara 1:68

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan mendedahkan kadar nisbah kelahiran kanak-kanak autisme di Malaysia dianggar satu bagi setiap 68.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, nisbah itu berdasarkan kelahiran 9,000 kanak-kanak autisme yang direkodkan setiap tahun.

Katanya, seramai 20,339 Orang Kelainan Upaya (OKU) mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 30 September lalu.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa kanak-kanak autisme untuk mendaftar dengan JKM bagi membolehkan mereka menerima manfaat disediakan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Katanya, kempen pendaftaran OKU dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun mengikut negeri atau zon melalui program kerajaan dengan membuka ‘booth’ pendaftaran bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berhubung perkara itu.

Hannah berkata, kerajaan juga menyokong Kempen #LightItUpBlue sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia, pada 2 April setiap tahun.

“Selain itu, kewujudan Pusat Permata Kurnia membantu menyediakan program intervensi sepenuh masa untuk kanak-kanak autisme berusia antara 4 hingga 6 tahun sebagai persediaan memasuki sekolah aliran perdana.

“Kerajaan juga menyediakan program Disability Equality Training (DET) dan Disability Related Services Training yang merupakan antara program bulanan utama dan berkala JKM kepada OKU, majikan serta orang awam.

“Sehingga September lalu, seramai 805 peserta menyertai DET menerusi 18 kursus di seluruh negara dan pelbagai agensi.