Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelayakan Piala Dunia 2021, Piala Asia 2023 sambung 3 Jun

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan baki perlawanan peringkat kumpulan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan skuad Harimau Malaya akan bersambung pada 3 hingga 15 Jun depan.

Bagaimanapun, venue bagi setiap perlawanan masih belum ditentukan dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menurut laman web AFC, dalam aksi Kumpulan G, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, diikuti Vietnam pada 11 Jun.

Aksi penutup saingan peringkat kumpulan menyaksikan skuad kebangsaan akan menghadapi Thailand pada 15 Jun.

Malaysia setakat ini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya dibenar adakan kem latihan pusat secara kuarantin

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Skuad Harimau Malaya boleh menarik lafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan mereka mengadakan latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Mac ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (26 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 31 Mac ini.

“Setelah berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya melihat mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai pusat latihan mereka.

“MSN Bukit Jalil mempunyai fasiliti dan kemudahan serta mudah untuk dilakukan operasi berasaskan kepada model latihan secara kuarantin berbanding tempat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat latihan itu boleh menempatkan antara 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain, katanya.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 16 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata atlet kebangsaan yang menjalani latihan di bawah Program Podium termasuk atlet para dan pelapis kebangsaan akan meneruskan latihan menggunakan pendekatan kuarantin seperti biasa.

“Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan berpusat secara kuarantin dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya.

Setakat ini hampir 632 atlet, jurulatih dan anggota dalam 28 jenis sukan terlibat di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya buntu tanpa persediaan optimum hadapi kejohanan

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pasukan bola sepak negara tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meneruskan cabaran pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tanpa persediaan optimum seandainya ia diteruskan mengikut perancangan pada Mac depan.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui, skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berkemungkinan besar tidak dapat dikumpulkan untuk menjalani latihan berpasukan menjelang saingan itu, selepas kem latihan pusat yang dijadual diadakan pada bulan ini dibatalkan.

Malah beliau berkata dengan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang akan bermula hujung Februari depan, serta ketidaktentuan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, ia menambah kesukaran dalam usaha mengumpulkan pemain.

“Kita sudah tidak ada pilihan selepas kita tak dapat nak adakan (kem latihan pusat) pada bulan ini. Jika kita nak panggil pemain pada bulan dua (Februari), mereka pasti sibuk dengan persiapan pasukan masing-masing, menjelang Liga-M yang bermula 26 Februari.

“Jadi macam mana kita nak panggil mereka semua untuk sertai kem latihan pusat selama 10 hari, mana ada pasukan ingin lepaskan pemain ketika mereka sedang giat dalam persediaan pramusim,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Bernama, hari ini.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 dijadual bermula 15 hingga 26 Januari ini, namun terpaksa dibatalkan ekoran pelaksanaan PKP di enam negeri untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari.

Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung jadual saingan kelayakan itu, sama ada ia akan diteruskan pada Mac atau ditangguh untuk diadakan secara karnival pada Jun di lokasi terpilih.

Menurut beliau, pasukan negara boleh memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa dari 22 hingga 30 Mac depan untuk menjalani kem latihan pusat, sekiranya FIFA memutuskan untuk menunda saingan kelayakan itu pada Jun.

“Pada saya, mereka (FIFA) kena maklumkan cepat, kalau tidak susah semua negara dalam menentukan hala tuju musim ini. Namun apa saja keputusan mereka (FIFA) kita akan buat perancangan baharu atau ubah suai mengikut keadaan tertentu, bagi menghadapi saingan itu.

“Setakat ini, saya melihat kalau perlawanan pada Mac sukar untuk diadakan kem latihan pusat, tetapi sekiranya pada Jun kita masih berpeluang,” jelasnya.

Malaysia dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Harimau Malaya kesuntukan masa persiap pasukan – pengurus

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Susulan tiada aksi antarabangsa sepanjang musim 2020 mewujudkan kebimbangan kepada skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi getir saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara kini memiliki tempoh terhad untuk melakukan persiapan bagi meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Turut menjadi kegusaran beliau adalah prestasi pasukan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, di samping aspek kombinasi pemain dalam skuad kebangsaan selepas lebih setahun tidak menjalani kem latihan pusat susulan penularan pandemik Covid-19.

Menyedari UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Mohd Yusoff berkata Cheng Hoe serta barisan pemain negara perlu memanfaatkan kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

“Sejujurnya, ada sedikit kerisauan tetapi saya mengharapkan jurulatih dapat merangka sesuatu perancangan yang lebih komprehensif serta menepati dan dapat menyediakan pasukan walaupun dalam masa singkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Barisan pemain juga perlu memainkan peranan, maknanya kali ini pemain juga kena berkorban dan memberi penumpuan lebih daripada 100 peratus kerana masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi kita menyediakan sebuah pasukan mantap,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Pada masa sama, Mohd Yusoff mengharapkan kerjasama pasukan dan kelab tempatan dapat melepaskan pemain masing-masing yang terpilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaaan meskipun dalam tempoh persediaan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 bermula hujung bulan depan.

“Tidak banyak ruang yang ada cuma bulan Januari, kita dapat peluang untuk mempersiapkan pemain dan Cheng Hoe dapat bersama pasukan setelah lebih setahun, jadi saya fikir ini perlu dihayati setiap pasukan.

“Beri beliau (Cheng Hoe) peluang mendapatkan pemain dikehendaki dalam kem latihan kali ini supaya dapat melihat prestasi pemain dalam usahanya menyediakan pasukan terbaik negara bagi menghadapi perlawanan penting bulan Mac nanti,” katanya.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jersi baharu Harimau Malaya dilancar, tampil lebih garang

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Nike Malaysia semalam melancarkan jersi baharu skuad Harimau Malaya edisi 2020-2022, dengan buat pertama kalinya dalam tempoh 13 tahun jersi utama pasukan kebangsaan tampil dengan rekaan berkolar.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), majlis pelancaran jersi berkenaan berlangsung secara maya menerusi video yang disiarkan serentak di kesemua platform media sosial rasmi badan induk bola sepak negara itu.

Video itu menampilkan beberapa tonggak utama skuad kebangsaan antaranya ketua pasukan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Brendan Gan dan Muhammad Syafiq Ahmad yang menggayakan kedua-dua rekaan baharu jersi utama dan ‘away’ atau tempat lawan selain penampilan istimewa ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Grafik Sumber: Facebook FAM

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata biarpun ringkas, rekaan jersi utama baharu itu tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi ‘away’ memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi utama, malah jersi ‘away’ juga menampilkan warna tradisi iaitu hitam dan kuning. Ini bermakna dalam kesemua aksi skuad negara nanti semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama pemain dan penyokong,” katanya.

Terdahulu, sebagai simbolik pelancaran jersi baharu itu, Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia Ernest Rodrigues menyerahkan kedua-dua jersi utama dan ‘away’ kepada Hamidin di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sementara itu, Ernest berkata dengan mengekalkan logo FAM di sebelah kiri dada, dan warna kuning ikonik jersi utama itu dipadankan dengan warna hitam pada kolar, lengan serta garis corak terkini Nike di bahagian sisi, adalah bagi menampakkan lagi kekemasannya.

Beliau berkata bentuk berjalur pada jersi ‘away’ diinspirasikan daripada Jalur Gemilang, namun kelainan ditampilkan adalah gabungan warna hitam dan kuning tanpa kehadiran warna biru, putih serta merah.

“Jersi ‘away’ ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan dan pada masa sama untuk memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya,” katanya.

Kedua-dua jersi baharu skuad kebangsaan Malaysia dijual pada harga RM299 dan boleh didapati mulai hari ini di cawangan Nike terpilih selain secara dalam talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com.

Sementara, penjualan secara fizikal di 24 cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua cawangan Football Republic di seluruh negara akan bermula 11 Disember ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Harimau Malaya hadapi saingan kelayakan tahun depan

MELAKA, 10 OKT: Pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, aksi itu dijangka berlangsung pada Mac dan Mei tahun depan di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.

“Walaupun tiada sebarang aksi kompetitif di peringkat antarabangsa tahun ini, namun penangguhan itu membolehkan skuad kebangsaan membuat persediaan bagi mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

“Mungkin mereka sudah lama tidak berlatih bersama tetapi kalau kita lihat, pemain-pemain kini bermain dengan kelab masing-masing dalam Liga Malaysia dan lebih bersedia untuk kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, Hamidin dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G, dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober sebelum menyambut Vietnam, disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

Bagaimanapun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen tersebut ke tahun depan.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, penganjuran pertandingan Piala Malaysia musim ini tetap akan diteruskan biarpun negara berdepan peningkatan kes Covid-19 ketika ini, namun pihaknya akan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 12 Oktober ditunda kepada 19 Oktober, sebelum kejohanan tertua di Asia Tenggara itu membuka tiranyai pada 25 dan 26 Oktober ini berbanding jadual asal pada 16 hingga 18 Oktober.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiga dekad berlalu, aura jersi kebangsaan masih dirasai Chin Aun

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Lebih tiga dekad sudah berlalu, namun memori dan aura setiap kali menyarung jersi kebangsaan masih segar dalam ingatan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun.

Mana tidaknya, pada era beliau, mewakili negara bukan perkara mudah dan ia menjadi satu kebanggaan buat setiap pemain Malaysia, yang ketika itu digeruni oleh gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan, terutama dalam saingan bola sepak tertua Asia, Pestabola Merdeka.

“Memang susah hendak mewakili negara dan bukan semua orang dapat, kena bekerja keras dan banyak berkorban untuk dapat tempat dalam pasukan. Ia satu kebanggaan, setiap kali memakai jersi kebangsaan dengan lencana negara di dada, bulu roma akan naik, ianya satu perasaan tidak dapat dilupakan,” katanya kepada Bernama.

Chin Aun, 70, yang dikenali sebagai ‘tauke’ kerana ketegasan dan kepimpinannya di dalam padang, adalah satu-satunya pemain yang membantu negara layak ke dua Sukan Olimpik, iaitu Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Pada edisi 1972, ketika berusia 23 tahun, pemain kelahiran Alor Gajah itu membantu skuad negara menewaskan Amerika Syarikat 3-0, namun gagal melepasi peringkat Kumpulan A apabila tewas 0-3 kepada tuan rumah, Jerman Barat pada pembukaan Olimpik dan 0-6 kepada Morocco, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 16 pasukan terbaik dunia ketika itu.

Beliau mengetuai pasukan negara untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 – kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu, namun, Malaysia memboikot temasya berkenaan sebagai bantahan kepada pencerobohan rejim Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

Chin Aun yang mewakili negara dari 1969 hingga 1984, membentuk kubu pertahanan negara yang kebal bersama-sama gandingan Datuk Santokh Singh, Datuk Namat Abdullah, mendiang Datuk M. Chandran dan Harun Jusoh untuk meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Ia menyamai pencapaian terbaik negara selepas meraih gangsa pertama pada Sukan Asia 1962 di Jakarta.

Ditanya mengapa pemain pada masa ini sukar mencapai kejayaan di peringkat tinggi seperti eranya, Chin Aun yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor (1970-1980) dan Melaka (1981-1989) berkata terlalu banyak perkara seperti hiburan, gajet dan gaji yang tinggi sering mengganggu fokus pemain zaman ini.

“Dulu tidak ada apa-apa, kami hanya bermain bola, sekarang ada banyak hiburan. Kami kerja separuh masa dan bermain bola, berbanding pemain sekarang yang profesional (pemain sepenuh masa).

“Elaun latihan sebagai pemain pun hanya RM10 sehari, manakala gaji dari majikan pun tidak banyak (sepenuh masa) dalam RM200-300, tapi cukup untuk tampung kehidupan kerana kos sara hidup pun rendah.

“Saya harap pemain muda sekarang bekerja keras dan tunjukkan semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan maruah negara di persada antarabangsa,” katanya.

Chin Aun yang menjadi kapten skuad negara dari 1975 hingga 1984, turut berasa sedih kerana masih wujud sentimen perkauman di negara ini, yang mana perpaduan jelas lebih baik pada zamannya bergelar pemain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya fokus baki perlawanan kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Skuad Harimau Malaya akan memberi tumpuan kepada baki tiga perlawanan pusingan kedua Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata pembatalan Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki pada tahun ini susulan pandemik Covid-19, memudahkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk merangka persiapan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan berkenaan.

Beliau memaklumkan Cheng Hoe dijangka memanggil pemain terlibat untuk mengikuti sesi latihan pusat pada pertengahan September ini, sebelum berdepan Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada awal Oktober.

“Selepas aksi pemanas badan menentang Bahrain, skuad kebangsaan akan terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk berdepan pasukan tuan rumah dalam pusingan kedua kelayakan pada 8 Oktober di tempat lawan.

“Kita akan kembali ke tanah air untuk aksi persahabatan menentang Kuwait di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November nanti, namun saya dimaklumkan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih memantau situasi semasa pandemik Covid-19 sebelum membuat keputusan lanjut berhubung kebenaran mengadakan aksi persahabatan berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memandangkan penangguhan saingan Piala AFF Suzuki bakal memberi kesan kepada kepadatan jadual kalendar bola sepak tempatan pada musim hadapan.

Berdasarkan perancangan asal, AFF bercadang menganjurkan saingan Piala AFF Suzuki dari 23 November hingga 31 Disember ini dan masih mengekalkan format timbal balik yang diperkenalkan pada 2018.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala AFF Suzuki yang mengadakan mesyuarat secara dalam talian pada Jumaat, memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada 2021 susulan peningkatan kes Covid-19 di peringkat rantau ASEAN serta global.

Selepas aksi berdepan UAE di Dubai, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya uji Bahrain aksi persahabatan antarabangsa 2 Okt

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan, 2 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata perlawanan persahabatan berkenaan merupakan medan persediaan skuad kebangsaan sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi keenam kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan pada 8 Oktober nanti.

Beliau berkata bagaimanapun, badan induk itu perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk terbang ke Bahrain memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Baru-baru ini, FAM dan Bahrain FA sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengadakan aksi persahabatan di tempat lawan, namun kita perlu menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum terbang ke sana.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka memanggil beberapa pemain bagi menjalani latihan pusat, seminggu sebelum mereka terbang ke Bahrain,” jelas Stuart kepada Bernama, baru-baru ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di tempat lawan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Selepas aksi berdepan UAE, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini menangguhkan kesemua perlawanan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sejak Mac lepas susulan penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada aksi persahabatan menjelang kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tiada perlawanan persahabatan buat skuad Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Oktober depan, susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingan berkata walaupun ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan beberapa aksi persahabatan, namun pelbagai aspek perlu diambil kira badan induk termasuk sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk membendung jangkitan wabak itu.

“Kami merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan, tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan kami untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

“Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan Covid-19, dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan jadual terkini yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini, Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Sebelum ini, AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menangguhkan perlawanan kelayakan Asia kempen Piala Dunia Qatar 2022 semasa jendela antarabangsa pada 23-31 Mac dan 1-9 Jun kerana wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cheng Hoe dijangka kekal pemain untuk kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan awal beliau akan mengekalkan sebahagian besar pemain bagi menghadapi baki beberapa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini.

Jurulatih kelahiran Kedah itu berkata beliau juga akan memantau perkembangan pemain lain yang mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk dipanggil menyertai sesi latihan pusat bagi menghadapi pusingan kelayakan tersebut.

“Berikutan sudah lama mereka tidak dikumpulkan dengan kali terakhir pada November tahun lepas, saya harap mereka semua masih ada persefahaman yang baik antara satu sama lain.

“Perkara itu juga menjadi sebab kenapa saya rancang kekalkan ramai pemain utama demi memudahkan perancangan, namun saya masih melihat mana-mana pemain lain yang beraksi dengan baik bagi membolehkan saya menilai prestasi semasa mereka,” kata Cheng Hoe dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan beberapa baki perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan perancangan terbaharu AFC, sekiranya mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai, dan Vietnam pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik Covid-19, perlu diteruskan bagi memastikan pemain yang akan dipanggil ke sesi latihan pusat nanti dapat mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.

Beliau menegaskan kecergasan fizikal serta motivasi pemain yang akan dipanggil bakal terjejas sekiranya saingan Liga-M dibatalkan.

“Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.

“Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan,” jelas Cheng Hoe.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 mungkin terjejas

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Peluang terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya dalam melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 mungkin terjejas sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 hanya dibenarkan bersambung semula antara Oktober dan November depan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhasrat menyambung semula saingan kelayakan yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19 dalam kalendar perlawanan antarabangsa pada November, maka peluang Malaysia untuk mara dilihat agak sukar.

“Macam mana nasib Malaysia dalam kempen kelayakan, skuad kebangsaan sekarang berada di kedudukan kedua. Saya risau boleh atau tidak kita bermain menentang UAE dan Vietnam kalau persediaan hanya bermula Oktober,” jelas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan kepada Bernama.

“Kebiasaannya, kita akan ada dua atau tiga perlawanan persahabatan sebelum aksi sebenar tetapi kalau kebenaran hanya selepas bulan Oktober, bukan sahaja sukar nak aturkan perlawanan malah tahap prestasi pemain juga perlu diberi perhatian.

“Bayangkan selama enam hingga tujuh bulan pemain tidak mempunyai program latihan dan perlawanan berintensiti tinggi dan dalam tempoh yang singkat perlu bermain perlawanan yang kompetitif? Saya tidak nampak ia akan memberi kebaikan kepada pasukan kebangsaan,” tambah beliau.

Malaysia dijadual berdepan UAE di Dubai sebelum melayani kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, Mac lepas, namun terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu susulan penularan Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedia memberi kebenaran untuk saingan Liga-M 2020 berlangsung selepas PKP ditamatkan, dan mungkin boleh disambung semula selewat-lewatnya pada November dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti aksi dijalankan tanpa penonton.

Meskipun tiada keputusan muktamad mengenai kenyataan Ismail Sabri itu, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) berharap satu keputusan baharu yang lebih baik dapat dicapai.

Beliau percaya Malaysia yang menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan sepanjang kempen kelayakan itu mempunyai peluang cerah mara ke pusingan ketiga kelayakan sekali gus mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Aksi berdepan UAE dan Vietnam merupakan dua pertembungan yang penting dan pada masa sama dengan kedudukan kita, Malaysia mempunyai peluang cerah. Jika bulan Oktober baru boleh bermain, jurulatih akan hadapi masalah untuk kumpulkan pemain yang cergas,” tegas pengendali berusia 61 tahun itu.

Sathianathan yang juga jurulatih pasukan Selangor berkata antara eleman terpenting dalam sesuatu perancangan seseorang jurulatih adalah kecergasan pemain.

“Untuk hadapi perlawanan getir, penting untuk jurulatih ialah memiliki barisan pemain yang aktif dan cergas. Bermakna pemain itu sedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif. Kalau kita bertemu UAE dalam keadaan tidak bersedia, kita pasti dibelasah,” tambahnya.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

-BERNAMA