Categories
SASTERA

Perang Pertama

Di sini

engkau berlari-lari ―

ketika hari pertama aku

melancarkan perang

dalam lembaran sajakku.

 

Engkau mengangkat senjata

lalu melaungkan:

Akan kuperangi setiap patah kata

yang menyatakan tentangan

padaku ―

 

― biarpun engkau tahu

kebenaran tidak pernah

menjadi peluru ―

pada muncung senapangmu.

 

Sajakku

adalah ratusan raung huruf

yang bercantum

melaung suara

pada bibir yang beku

pada bibirmu yang beku.

 

Muzaf Ahmad

Skudai

 

Categories
SASTERA

5 MINIT

Oleh Ariff Mustaffa Hamzah

 05.00 –

SIAPAKAH yang berjubah hitam aneh di lorong kecil itu? Seolah-olah sedang menanti dan memerhati sesuatu. Pandanganku dikembalikan ke laluan pejalan kaki yang dipenuhi manusia-manusia kota. Bagaikan peluru yang berkesiuran di padang perang, masing-masing bergerak laju menuju destinasi tersendiri sambil memikul beban generasi terdahulu di belakang.

Dompet kulit dipindahkan ke tangan kanan. Jam di pergelangan dilihat sekilas. Masih banyak masa. Ah, seorang budak kecil berpakaian sekolah nyaris melanggarku! Hampir sahaja ais krim coklatnya mengenai kemeja. Ibu budak kecil yang memimpin tangan anaknya segera meminta maaf. Aku kerutkan kening, memasamkan wajah supaya dia tahu kesalahan remeh itu tidak boleh diampunkan semudah ucapan maaf. Kaca mata hitam dibetulkan kedudukan dengan jari tengah. Langkah diteruskan. Aku mencelah dan menyusup di lalang keramaian.

Anak kecil itu mengembalikan ingatan aku ke usia kanak-kanak dahulu – bukan seperti anak kecil yang masih tersenyum selepas kesalahannya itu, tetapi sebagai seorang anak kecil yang terkurung di dalam sangkar. Jiwa dan minda terkongkong dengan desakan semasa. Tiada ruang untuk aku nikmati hidup sebagai anak yang bebas. Ibu bapa terlalu memaksaku menjadi manusia sempurna, tetapi tidak pernah memayungkan kasih sayang kepada satu-satunya anak mereka. Sibuk dengan kerja yang tidak berkesudahan.

Cukuplah dengan itu. Hidup sememangnya penjara, tidak kira di takah usia mana manusia berada. Segalanya aku telah tinggalkan sebagai silam. Aku percepatkan langkah, menyusuri laluan pejalan kaki ke tempat yang dijanjikan. Gumpalan awan sedikit membuncit di langit, menghijab sejenak wajah matahari.

 

04.00 –

AKU berdiri di tepi jalan bersama puluhan manusia pelbagai saiz, warna dan status. Lampu isyarat belum membenarkan para pejalan kaki melintas. Seperti kambing yang menanti arahan sang penggembala. Namun, ada juga beberapa ekor kambing yang tidak patuh, berlari deras di setiap kesempatan yang terhidang di atas jalan raya, disusuli bunyi bingit hon. Roda-roda kenderaan mengapungkan debu ke udara.

Di sebelah kiriku, berdiri sekumpulan remaja berfesyen kontemporari. Mereka berbual dalam bahasa bercampur-baur. Di hadapan, seorang gadis awal dua puluhan dengan tudung yang melilit batang tengkuk. Kepalanya ditundukkan. Jari-jemari gesit menaip pada skrin telefon. Di sebelah kanan pula, dua lelaki sedang berbicara tentang cuti semester yang bakal menjelang. Kedengarannya seperti mahasiswa universiti ternama.

Aku dikelilingi golongan muda remaja, tetapi keadaan ini sedikitpun tidak mengembalikan aku menjadi seperti dahulu. Aku terus terkenangkan United Kingdom serta pengalaman yang sempat dipungut selama beberapa tahun di situ. Suatu eskapisme daripada belenggu ibu bapa dan suasana masyarakat yang membusuk ketika itu.

Menanti perubahan warna pada lampu trafik sangat menyeksakan. Masa melebur begitu sahaja, melihat pergerakan kenderaan dan manusia yang melimpahi lorong dan jalan kota. Lampu bertukar hijau. Kenderaan beransur perlahan sebelum berhenti. Para pejalan kaki melintas. Sekilas terlihat lelaki berjubah aneh di antara orang ramai yang bersesakan itu, tetapi segera menghilang. Barangkali khayalan di tengah hari. Matahari akhirnya menerobos awan, memanah sinar tajamnya ke kulit bumi.

 

03.00 –

AKU melewati restoran makanan segera dan butik-butik berjenama antarabangsa. Dari kaca jernih yang mendindingi, terpamer perhiasan mewah. Terdapat beberapa utas beg tangan dengan corak yang elegan. Jujur aku tidak tahu apa sebenarnya cita rasa seorang wanita – tentang definisi kecantikan terhadap sesuatu.

Sedang aku mengimbas beg-beg itu, pantulan kaca memperlihatkan imej seorang lelaki korporat awal 40-an dengan pakaian berjenama. Kemeja buatan Eropah. Seluar hitam licin. Kasut kulit buaya. Cermin mata inspirasi selebriti Hollywood. Rambut tersisir rapi. Dilengkapkan dengan misai dan jambang yang dicukur kemas. Aku tersenyum keseorangan. Wajah ini selayaknya muncul di layar lebar sebagai watak utama. Wajah ini juga harus dikelilingi gadis-gadis jelita yang setia memuja.

Telefon bimbit berbunyi. Nada dering yang pastinya pendengar dapat mengecam jenama telefon yang dipakai. Tertera ‘Nadia’ di skrin. Butang hijau disentuh. Suara lembut wanita di hujung talian bertanya tentang keberadaanku.

“Sayang, sebentar lagi saya tiba,” kataku. Panggilan ditamatkan. Langkah disambung menyusuri laluan sepanjang kompleks beli-belah itu. Hadiah apakah yang bermakna untuk diberikan sempena hari lahirnya tidak lama lagi? Beg tangan itu? Tidak, itu kesukaan Jane. Rantai? Kasut? Pakaian? Aku terlupa kegilaan itu harus dipadankan kepada siapa antara Lynn, Alicia dan Tasya. Matahari jelas tersembul di langit.

 

02.00 –

40 tahun merupakan permulaan kehidupan – teringat aku kepada kenyataan yang entah daripada siapa. Pada usia ini, aku telah miliki segala-gala. Setelah beberapa siri perkahwinan dan penceraian, kini perkara itu tidak lagi mengganggu emosi. Aku tidak lagi perlukan perempuan sebagai tulang belakang. Bagiku, perempuan hanyalah persinggahan, bukanlah untuk berkampung selamanya. Ikatan yang kekal membunuh perjalanan karier, menutup setiap liang kebebasan.

Aku memperlahankan langkah dan menoleh. Sebongkah bangunan tinggi menjulang. Bibirku melengkungkan senyuman bangga melihat simbol kejayaan itu. Siapa sangka, dalam tempoh yang singkat aku miliki perusahaan besar. Menjadi salah seorang kapitalis yang menyerabuti dunia kini.

Sebuah kereta mewah berwarna merah meluncur di hadapanku. Hati segera tertawan. Aku mencongak-congak harganya di dalam kepala. Nanti jika ada masa terluang, aku ingin kunjungi pusat jualan kereta kegemaran di bahagian utara kota. Koleksi kereta di rumah perlu ditambah.

 

01.00 –

AH, lampu isyarat lagi. Entah berapa ribu lampu isyarat yang terpacak di kota ini. Menyesal pula tidak memandu kereta ke restoran yang dijanjikan. Aku memilih untuk berjalan kaki sahaja memandangkan jaraknya dengan syarikat tidaklah terlalu jauh. Kononnya untuk kesihatan.

Tangan diseluk ke dalam saku. Peluh mengalir di dahi. Aneh, tubuh terasa dingin dalam cuaca yang memanggang begini. Pandangan dibuang ke sekitar demi membunuh waktu yang tersia-sia di pinggir jalan. Skrin mega memaparkan model jelita sedang mempromosikan produk kecantikan yang mampu menunda penuaan. Tua – aku sebolehnya tidak mahu mendengar perkataan itu. Tua ialah simbol kematian. Aku belum bersedia untuk itu.

Di seberang jalan, lelaki misteri berjubah tadi tajam memandang ke arahku. Peluh semakin menguyupi tubuh. Dia menghampiri. Kenderaan yang silih berselisih di jalanan langsung tidak merempuhnya. Aku memandang manusia lain di sekeliling. Tidakkah mereka sedar tentangnya?

Semakin dia merapat, semakin dadaku terasa ditikam ribuan bilah pedang. Jantung seakan ingin meletup. Aku menekan-nekan rusuk. Kesakitan apakah ini? Pedihnya memanjat ke kerongkong. Nafas tersangkut. Aku rebah ke tanah, menggelepar menahan kesakitan yang amat. Orang ramai terkejut melihat tingkah lakuku. Beberapa orang mengerumuni untuk membantu, tetapi tiada apa yang boleh dilakukan. Kesakitan mengakar ke hujung kepala. Sekitarku menjadi retak, suara tidak lagi kedengaran. Lelaki berjubah itu berdiri di hadapan. Dia mengambil sesuatu dari ubun-ubunku.

00.00 –

MATAHARI sejengkal dari tengkorak. Aku ingin pulang, Tuhan.

Categories
SASTERA

Citra Realisme Magis Dalam Hujan Pagi

Oleh Iman Danial Hakim

MUNGKIN Franz Roh melihat dua bulan tergantung di dada langit sewaktu menulis Nach Expressionismus: Magischer Realimus sehingga beliau menggagaskan magic realism sebagai aliran seni yang realis tetapi memiliki unsur magis. Kemudian Gabriel Garcia Marquez tampil pula bersama One Hundred Years of Solitude, naskhah yang menyampaikan cerita-cerita aneh, ajaib dan penuh ketakjuban dengan cara bersahaja. Pemisah antara fantasi dan realiti sudah kabur. Fantasi tidak lagi tertera sebagai ajaib tetapi ditangani sebagai sesuatu yang lumrah dan menjadi sebahagian daripada realiti hidup kita. Itulah realisme magis.

Istilah realisme magis menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan ahli-ahli kesusasteraan kerana tiada kesepakatan tentang maksudnya. Istilah itu terlalu luas untuk ditakrifkan. Pada 1973, International Association of Iberoamericanists menganjurkan sebuah perjumpaan sekaligus menyarankan agar istilah itu dibuang sama sekali. Namun sehingga kini, realisme magis kekal hidup dan liat untuk dihapuskan. Mungkin dengan membekalkan unsur magis dan keajaiban pada perkara-perkara harian biasa, realisme magis menawarkan kepada kita perlindungan daripada dunia nyata yang kejam dan menghukum.

Dalam sebuah kertas kerja, Ungku Maimunah Mohd Tahir (2007) menyatakan bahawa Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) mengaku membaca One Hundred Years of Solitude dan menyenanginya. Bahkan beliau menelaah hasil nukilan penulis Amerika Latin yang lain. Menurut Pak Samad, karya Marquez istimewa, sesuai dengan cita rasanya sendiri dan dunia sastera Melayu atas beberapa sebab yang penting. Pertama, kedua-dua rantau ini menyaksikan jatuh bangun berbagai-bagai tamadun dan dihuni oleh bermacam-macam kelompok manusia bersama tradisi dan budaya tersendiri. Kedua, kesejajaran citra Melayu dan Amerika Latin yang tidak sepenuhnya menolak mitos, legenda dan hikayat sebagai akar budaya bangsa.

Sewaktu kecil, datuk Marquez sering menceritakan kepadanya tentang sejarah Colombia yang kaya dengan perjuangan dan revolusi. Neneknya pula sering berdongeng tentang hal-hal ajaib dan lipur lara yang intim dengan latar Amerika Latin. Peminat sastera patut terhutang budi kepada nenek Marquez yang telah menyampaikan cerita-cerita aneh dengan cara bersahaja dan tanpa sinis, sehingga Marquez mendapat pelajaran pertama tentang magis dan realiti.

Pendirian Marquez ketika menulis One Hundred Years of Solitude dapat dilihat lewat kata-kata beliau, “My most important problem was to destroy the line of demarcation that separates what seems real from what seems fantastic. Because in the world that I was trying to evoke, that barrier didn’t exist.”

Bertitik tolak daripada pemahaman sedemikian, Marquez menukang realisme magis dalam One Hundred Years of Solitude dengan berkesan. Pembaca dihidangkan dengan realiti kehidupan keluarga Buendia dikelilingi perkara magis – manusia berekor babi, gadis makan tanah, masyarakat yang tidak boleh tidur, kimia menukarkan besi menjadi emas dan kitab yang mencatat riwayat keluarga Buendia dari awal sehingga waris terakhir. Jelas Ungku Maimunah Mohd Tahir (2007), Marquez tidak menggunakan konsep linear dalam penceritaan, sebaliknya beliau memaparkan watak-wataknya dalam tempoh “kini” yang berterusan tanpa konsep “kelak” (akan datang) atau “kelmarin” (sudah berlalu).

Lantas, bertolak daripada penjelasan tentang realisme magis sepertimana yang dibawa oleh Marquez, kita akan melihat elemen realisme magis dalam novel Hujan Pagi kepada dua aspek iaitu dunia naratif novel dan realiti yang tersimpan di dalamnya.

Hujan Pagi mensejajarkan dua latar yang berasingan tetapi sama-sama berperanan sebagai lokasi untuk pembinaan cerita dan perkembangan watak. Dua latar tersebut adalah dunia halusinasi Lokman dan dunia nyata yang dihuni oleh beliau. Pembaca ditunjukkan peribadi watak-watak lengkap dengan kekuatan dan kelemahan masing-masing serta realiti sebenar yang mereka wakili.

Elemen realisme magis ditukang dengan seluas-luasnya di dalam dunia halusinasi Lokman. Segala kemungkinan – sama ada ia logik atau absurd – dimasukkan tanpa bimbang dipertikai. Aspek mistik, ghaib dan ajaib digembleng secara berkesan – pulau yang hanya dihuni oleh empat orang, kehadiran tiga ekor kijang yang tidak bertambah atau berkurangan walaupun ditembak mati, rumah api yang menjadi pusat keghaiban dan tempat puaka, peti yang menyimpan kitab ajaib yang hanya dapat dibaca oleh pembaca bersarung cincin kayu. Dunia halusinasi Lokman juga sudah tunggang terbalik konsep tempat dan kronologi sejarahnya dengan menemukan tokoh, makhluk ajaib dan manusia biasa daripada pelbagai era untuk berinteraksi dalam suatu pengalaman aneh. Kehadiran nama pegawai kolonial seperti Raffles, Farquhar, Crawford diadun bersama pujangga kesusasteraan Melayu lama seperti al-Raniri, Hamzah Fansuri dan Abdullah Munsyi menjadi paksi yang menaungi aktiviti dunia halusinasi Lokman.

Sementara di dunia nyata, logik dan rasional memainkan peranan utama. Kebijaksanaan akal tanpa bergantung kepada magis dan misteri dapat dilihat dalam situasi perdebatan Noriah, kerjaya Lajis sebagai arkeologis, kekacauan cakerawala yang boleh dicerap dengan ilmu astronomi dan penyakit Lokman yang mampu dikenal pasti melalui sains perubatan.

Pertembungan dua realiti berlegar kepada persoalan integriti akhbar sebagai suara rakyat. Dalam dunia halusinasi, Lokman mewarisi akhbar Hujan Pagi daripada datuknya sebagai alat perjuangan bangsa  Melayu. Beliau sanggup berkonfrontasi dengan kolonial agar Hujan Pagi  kekal hidup bersama misi menebus maruah Melayu, tidak rela menjadi bangsa yang sentiasa memberi dan menyerah. Pertembungan yang berat sebelah itu menonjolkan sisi perjuangan orang Melayu bergelut dengan tekanan kolonial.

Pada realiti lain pula, di dalam dunia nyata, wartawan – khususnya akhbar Sinar Pagi – menjadi pemakan gaji yang mengutamakan pulangan bulanan berbanding perjuangan dan masa depan bangsa. Akhbar tidak lebih dari sekadar pengekor, pelapor dan penghibur dan tidak membentuk pemikiran masyarakat. Dunia nyata ialah dunia yang akhbar telah menjadi bacul.

Realiti dunia nyata yang menyeksa memaksa Lokman untuk mencipta sebuah realiti baru yang bermaruah dan berprinsip. Sebuah dunia yang akhbar tidak dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk memuaskan nafsu serakah dan menjadi benteng utama kepada cita-cita murni bangsa. Dunia halusinasi menawarkan Lokman pilihan yang lebih bererti. Watak Lokman adalah satu sindiran kepada bidang kewartawanan yang rosak oleh tangan-tangan manusia berkepentingan.

Gambaran dunia halusinasi yang bermaruah dan berprinsip itu disejajarkan di samping dunia nyata yang kejam dan melemaskan. Watak Haji Winarto Musleh dalam hikmah usia tuanya menegaskan, “Kalau kaulihat dalam-dalam, kau akan perhatikan hidup nyata kurang waras, sementara hidup dalam legenda itu lebih bererti.” (halaman 183).

Begitulah bagaimana realisme magis sebagai satu fahaman sastera yang mewajarkan kemasukan unsur ajaib, takjub dan aneh dalam kehidupan seharian dimanfaatkan Pak Samad melalui Hujan Pagi untuk menyedarkan pembaca bahawa kita sentiasa mempunyai pilihan untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Categories
SASTERA

Jaga

dia cuma seorang jaga
yang menjual kudrat
dan mencairkan tenaga
di perut ibu kota.

dengan berdiri
ia belajar erti menunggu
meminjamkan mata
buat majikannya
tapi tak selalu
ia bertemu keajaiban
atau meraih terima kasih
orang-orang lalu melewatinya
seperti lalang berkaki.

di sini tak ada paya
tapi selut kesibukan
lumpurnya terpalit
pada betis peristiwa
si jaga sesekali
ditambat pekatnya
dan kasut pengalamannya
koyak di sana sini.

keluarganya di kampung
anak dua isteri seorang
di ibu kota
ia mengenal makna rindu
dan tahu menyorok perasaan
dengan topeng senyuman.

ia cuma seorang jaga
gajinya cukup makan
tak pernah lebih
sekali sebulan
ia pulang ke kampung
isteri dan anaknya
sudah mengenal huruf kesabaran
dan faham pelajaran menunggu

Abdullah Hussaini Mohd Ghazali
Pahang

Categories
SASTERA

Kangen bubur sum sum nenek

Oleh Nurimas SN

SAYA teruja sungguh hari ini. Ibu dan abah dah janji nak balik kampung. Nenek pun dah saya bagi tahu. Bukan main sukanya dia dengar saya dan keluarga nak balik. Sudah dua tahun kami tak balik beraya di kampung.

Kali ini abah dapat cuti panjang jadi kami balik awal. Sempatlah berpuasa seminggu di kampung nenek yang kuat dengan cara hidup tradisi. Saya tak ingat lain, melainkan makanannya yang pelbagai dan lazat-lazat itu. Satu saja rahsianya – nenek gunakan kaedah lama untuk buat kuih-muih dan makanannya.

Kami tiba menjelang waktu bebuka. Gembiranya hati bukan kepalang. Nenek awal-awal lagi turun tanah sambut kami. Aku kucup pipi nenek yang agak kedut tapi masih licin. Nenek dakap penuh kasih dan sayang, maklumlah cucu perempuannya.

“Nenek masak apa kat Noya hari ini?” Saya terus aju soalan yang lama terpendam. Dalam kepalaku terbayang senarai menu ‘mengancam’ yang nenek selalu hidangkan. Nenek tak pernah beli makanan macam orang sekarang. Semua dia masak sendiri. Biasanya dua tiga jenis juga.

Adat orang kampung ini, masa berbuka jarang makan nasi. Mereka makan juadah lain dulu seperti karipap, bubur candil, kolak ubi dan sebagainya. Kadang-kadang cendol pun nenek buat. Tapi yang paling saya mengidam ialah bubur sum sum. Hmm… menitik air liur bila bayangkan lembut bubur sum sum nenek.

“Tak cakap awal, tak adalah nenek buat apa-apa,” ujarnya. Saya cemberut, buat emoji comel, sengaja nak bermanja dengan nenek. Nenek jemput kami naik. Pak Su dan anak-anaknya pula riuh menyambut kami. Nenek tinggal bersama Pak Su, Mak Su, Ila dan Mimi, anak-anak mereka yang hampir sebaya dengan saya. Kami berbual-bual bertanya khabar dan cerita masing-masing sementara ibu membantu nenek di dapur. Ada setengah jam lagi sebelum saya dapat jamah air tangan nenek.

Sampai masa berbuka. Lima enam jenis masakan nenek hidangkan. Mak Su pun pandai masak juga. Saya bilang-bilang, karipap putar, pengat keladi, air katira, ayam masak kicap, sayur bening pucuk paku dan kuih talam. Wah, sungguh menyelerakan! Tapi…erm, saya tak nampak pun bubur sum sum. Sedikit kecewa. Semua sudah menyuap ke mulut masing-masing. Saya tidak tahu nak mulakan dengan apa? Nenek pandang saya sedari tadi.

“Makanlah Noya, tak suka dah masakan nenek?” usik nenek. Saya paling ke muka nenek sambil memuncungkan bibir. Nenek senyum. Nenek walaupun agak tua tapi masih manis mukanya. Geram saya tengok.

“Nenek tau lah, kangen bubur sum sum kan?” Saya angguk-angguk manja. Ibu dan abah jeling-jeling saja. Mereka memang tahu juadah nenek kegemaran saya.

“Tu lah, tak bagi tau nak balik. Bubur sum sum bukan boleh buat sepuluh minit,” nenek tambah bumbu jengkel saya.

“Tak apa, hari ni makan pengat keladi dulu, esok nenek buat bubur sum sum,” janji nenek. Saya menjerit kegirangan macam budak kecil. Lalu ambil kuih talam dan suap ke mulut nenek tanda terima kasih. Riuh orang keliling lihat gelagat saya. Ha ha!

Saya rasa kuih talam nenek. Orang Jawa hidang kuih talam dengan bekas-bekas sekali. Lemak berkrim kuih talam nenek dengan aroma pandan asli menghuni hidung. Saya rasa pula pengat keladi minyak yang likat santannya. Memang terbaiklah masakan nenek. Walaupun bubur sum sum tak ada, tetapi menu hari ini memang sedap.

Apa lagi dengan air katira yang menyudahi diet saya, memang enak. Campuran pelbagai makanan seperti kurma dan kismis, susu, air mawar dan lain-lain cukup sebati. Saya jeling juga ayam masak kicap dan sayur bening pucuk paku, yang akan jadi sasaran selepas solat maghrib atau terawih nanti.

Tepat jam 4 petang, nenek memulakan urusan dapurnya. Kali ini saya turun padang membantu nenek. Rasanya saya kena belajar buat sendiri makanan turun-temurun kegemaran saya itu. Iyalah mana tahu, nenek pun sudah tua, ibu dan abah memang tak tahu buat masakan ini, desis saya dalam hati.

“Bubur sum sum ni kena guna beras terbaik,” nenek memulakan kerja. Dia ambil beras, mana yang ada bubuk nenek buang. Nenek letak dalam lesung kayu dan tumbuk perlahan-lahan dengan alu. Orang sekarang beli tepung beras siap di kedai saja, nenek tak.

“Biar Noya tumbuk, nek,” saya pelawa tenaga. Nenek acu alu dan saya mula buat seperti yang nenek ajar. Usai beras ditumbuk, nenek ayak dengan penapis untuk pastikan tepung benar-benar bersih.

“Ha, tepung beras kena bancuh dengan santan kelapa dan sedikit garam,” nenek tunjuk cara. Kelapa, nenek parut dan perah sendiri, bukan santan segera. Kemudian nenek panaskan di dapur. Saya tolong kacau apabila nenek sediakan kuahnya.

“Ni gula melaka, boleh guna juga gula merah. Campur gula pasir, air dan garam sedikit. Daun pandan ni untuk tambah harum,” nenek bercerita macam chef  selebriti pula. Mudah saya faham. Nenek tenggek adunan gula dan air atas dapur kompor. Aroma harum mula menjelajah pelipis hidung dan menggugah iman saya.

Lebih sejam juga kami siapkan juadah bubur sum sum. Kemudian Mak Su dan mama pula ambil giliran. Entah apa yang mereka nak masak, saya dah tak kisah. Bagi saya, ada satu ini pun dah cukup. Lama benar tak makan bubur sum sum nenek yang tidak kental sangat dan berasa di lidah. Menjelang azan maghrib, saya dah tak sabar nak jamah bubur sum sum idaman. Lepas mandi, saya dengar bunyi riuh. Saya lihat  Pak Su bergegas keluar. Saya menerpa ke ruang dapur. Saya lihat abah riba nenek yang pucat lesi.

“Nenek! Abah, apa yang terjadi?” Saya berteleku depan abah. Muka nenek saya belek-belek. Tiada respons. Dada nenek yang pipih pegun. Saya letak jari di hidung nenek. Tiada tanda-tanda pernafasan. Ya, Allah! Datang seorang lelaki bersama Pak Su. Saya kenal itu Dr Mushairi, jiran nenek. Dr Mushairi keluarkan stetoskop dan periksa nenek. Dia seakan-akan doktor peribadi nenek yang tahu sejarah sakit dadanya. Dia memang larang nenek berpuasa mulanya tapi nenek yang beriya.

Semua menanti penuh debaran. Hati saya luluh kerana hampir pasti apa yang berlaku. Saya ada sedikit pengetahuan tentang ilmu pernafasan. Air mata sudah jatuh menerjuni pipi.

“Inalillahi wa inalillahi rojiun…” Dr Mushairi geleng kepala, mengesahkan kebimbangan saya. Suasana penuh dengan tangisan semua ahli keluarga saya. Nenek pergi sebelum azan maghrib bergema. Kata Mak Su, nenek rebah tiba-tiba ketika nak tumbuk sambal. Nenek cuba angkat lesung batu lalu jatuh ke lantai bersama tubuhnya. Ibu terkilan kerana belum banyak dibualkan dengan nenek, tiba-tiba takdir sampai tanpa terlewat barang sedetik.

Saya lihat bubur sum sum terakhir nenek tanpa selera ketika azan maghrib bergema. Hilang kangen saya terhadap bubur sum sum tapi kangen untuk menatap wajah nenek buat selama-lamanya. Air mata masih berbekas di pipi ketika malam kian merangkak sepi. Tidak lama kemudian, orang kampung datang berduyun-duyun mengimarahkan pemergian nenek di hujung Ramadan ini.

Categories
SASTERA

Hujan Sengketa

Langit Rohingya berkerudung
dengan hitam awan
dan sang petir pula menyihir
dalam seribu getir dan sengketa
ini pula terukir dengan etnik bangsa
yang luhur mahu disingkir.

Sengketa jatuh ke tanah
meresap jiwa dengan keluh kesah
nilai kemanusian telah diracik belah
tanpa ada sekelumit rasa bersalah.

Rabb,
hujan sengketa ini
sanubari menjadi semakin bisu
telunjuk semakin tunduk
pada-Mu kupohon huraikanlah
segala ikatan yang membelenggu
ummahmu Rohingya!

Ismail Hashim
Seremban

Categories
SASTERA

Hari-hari Tanpa Mimpi (19)

Seorang lelaki pagi ini meninggalkan rumah
dengan mulut pintu ternganga,
pencuri masih cuba masuk melalui jendela.

hari telah malam
tapi kota tidak pernah tidur, bermimpi
atau mampir ke kasur. di jalanan aku menemukan
orang-orang lapar. apakah yang lebih sial:
menjadi daging dan berjalan di sana
atau menjadi benih mimpi dan tidak tumbuh
di kepala sesiapa?

aku tahu kau ada di antara mereka
mencari lubang paling dalam
semata agar dapat tidur nyenyak di dalamnya.

terlalu sukar menjadi pengungsi.
tanpa peta semua orang mencari
tetapi hilang terlalu besar
sehingga kita tidak tahu
untuk menamakannya apa.

hari hujan lagi dan kau tidak akan pernah dapat pulang ke rumah.

Karim Mohd

Categories
SASTERA

Marlina, Dalam Renungan Ke Luar Babak

Oleh Azrin Fauzi

AKU keluar dari panggung dengan fikirasa yang lapang. Selapang hamparan Sumba. Tetapi di tengah-tengah kelapangan itu muncul pula seorang perempuan berkuda yang membawa kepala laki-laki yang dipenggalnya.

Kita baru sahaja disuguhkan Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak oleh Mouly Surya, dikatakan “Satay Western” kerana yang ini merupakan air tangan wanita Indonesia, persis Tampopo (1985) bikinan Juzo Itami yang dipanggilnya “Ramen Western”. Barangkali supaya selera lebih membumi? Di tangan Mouly Surya, Marlina diperlihat sebagai suatu usaha pembebasan wanita daripada simpulan berselirat Spaghetti Western atau apa-apa genre Western yang sekian lama mengikat mereka. Meskipun masih berlegar-legar di sekitar samseng dan rompakan dan balas dendam, Marlina bolehlah dikatakan cubaan berani Mouly Surya mengambil (atau merampas?) genre yang sekian lama dimainkan oleh laki-laki – untuk tontonan laki-laki – lalu melenturnya kembali supaya naratif dapat dilepas keluar daripada konvensi genre; Marlina (Marsha Timothy) dilepaskan dengan harapan dia dapat mengatur gerak dan rentak kisahnya sendiri.

Tetapi filem dalam apa jua keadaan pun, jikalau digarap bagus, bukankah genre dan cita rasa itu akan tercerai juga akhirnya?

Dengan Marlina, benarlah Mouly Surya telah meletakkan sinema di tempatnya yang wajar. Syot-syot di dalam rumah dengan  ruang dapur – iaitu ruang yang dibina oleh patriarki untuk perempuan – dieksploitasi oleh Mouly Surya sebaik-baiknya. Ruang dapur bukan sahaja menjadi ruang kerja, malah ruang rahsia seorang wanita. Di sinilah Marlina pantas mengatur gerak untuk meracun mati lelaki-lelaki ‘lapar’ di ruang tamu dengan sup ayamnya. Dan syot sederhana (medium shot) pada Marlina sewaktu dia keluar ke ruang tamu berlatar belakang bunyi marak api dari dapur menjadi bunyi diegetik yang memendamkan semacam kerahsiaan dan kemarahan yang hangat ditahan-tahan.

Benarkah Marlina pembunuh? Untuk itu, kita simpan dahulu tukul moral di dalam laci. Cukuplah bayangan Markus (Egy Fedly) tak berkepala yang mengikut Marlina itu:

  1. Sebagai dosa masa lalu yang menghantuinya. Walaupun dia sendiri menegaskan yang dia tidak berbuat dosa. Dia tidak rasa bersalah. Langsung. Barangkali suatu tindak protes terhadap agama: Apakah keadilan?
  2. Kerana mayatnya belum diuruskan, sosok grotes Markus itu membeban sebagai urusan adat dan budaya yang tidak selesai.

Gerak kerja kamera oleh sinematografer Yunus Pasolang yang menangkap syot-syot jauh (long shot) advencer berkuda – yang sengaja dilesukan – di landskap lapang Sumba juga sudah cukup untuk memerikan betapa terasingnya hidup wanita-wanita ini. Betapa kontangnya kasih sayang buat mereka. Dan lambakan tangkapan lama (long take) pula seolah meregang waktu sehabis mungkin agar keadilan yang diburu Marlina terasa jerih pedihnya. Barangkali keadilan yang dicarinya tidak ada. Kerana melihatkan polis-polis lelaki di balai yang acuh tak acuh itu, keadilan tidak akan pernah ada, melantun-lantun di atas ketikan mesin taip dan meja pingpong sahaja.

Syot jauh dan tangkapan lama yang pegun ini – selain menarik kita ke dalamnya – juga menidakkan objektifikasi wanita. Tidak cukup di luar, apa-apa yang di dalam pun seperti adegan-adegan ranjang turut dikendurkan. Laura Mulvey dalam eseinya “Visual Pleasure and Narrative Cinema” ada mengatakan, “… filem telah bergantung pada mekanisme aktif/pasif voyeuristik. Wanita, di mana imejnya terus-menerus dicuri dan digunapakai untuk tujuan ini, tidak dapat melihat keruntuhan bentuk filem tradisional ini dengan apa-apa yang lebih dahsyat daripada penyesalan sentimental.

Dalam Marlina, renungan laki-laki (“male gaze”) dijulingkan sekali gus memberi kanta baharu untuk kita lihat sisi-sisi wanita yang lain kalaupun sempit. Ia berbalik kepada apa yang kukatakan pada awal tulisan ini: “Tetapi di tengah-tengah kelapangan itu muncul pula seorang perempuan berkuda” yang secara tidak langsung melarikan kecenderungan untuk memakukan pandangan pada sosok wanita sahaja atau apa yang disebutkan Laura Mulvey sebagai sosok yang “to-be-looked-at-ness”, justeru menidakkan objektifikasi wanita; dan “yang membawa kepala laki-laki yang dipenggalnya” itu pula langsung mematikan identifikasi penonton – lelaki khususnya – dengan mana-mana watak lelaki yang ‘memiliki’ wanita. Dalam erti kata lain, dek kerana rasa terancam, ghairah dicantas mati!

Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak ialah filem pertama sutradara wanita dari Indonesia yang kutonton. Ia langsung meluncurkan ingatanku terus kepada filem-filem Chantal Akerman yang pekat feminisme: Je Tu Il Elle (1974) dan Jeanne Dielman, 23, quai du Commerce, 1080 Bruxelles (1975) antaranya. Kerana kita diperkenalkan sosok Marlina ini pada babak pertama sewaktu dia sudah tidak terikat lagi dengan lelaki – suaminya telah mati, mayatnya diduduk-tinggungkan di sudut ruang tamu. Kita pun tidak pasti akan apa-apa yang berlaku sebelum itu, apa-apa yang terjadi sebelum filem ini mula berputar. Dan babak-babak lanjut menggerakkan Marlina untuk lari dari lelaki. Marlina diatur seiring – sebelum terpisah – dengan Novi (Dea Panendra) yang sedang sarat mengandung, perempuan yang mahu pulang kepada lelaki (itupun sebelum dia ditendang keluar daripada hidup suaminya sejurus selepas mereka berjumpa). Kedua-dua watak ini dipertemukan sekali lagi pada babak akhir, babak yang membentuk akan apa yang dikatakan “perempuan” lantas memulangkan kembali kekuatan kepada mereka – dengan kelahiran.

Cuma aku tertanya-tanya apabila Mouly Surya membingkaikan filemnya itu dalam empat babak: “Perampokan Setengah Jam Lagi”, “Perjalanan Juang Perempuan”, “Pengakuan Dosa” dan “Tangisan Bayi”. Aku teringat akan pembukaan filem Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) bikinan U-Wei Haji Saari iaitu gambar Zaleha terjatuh pecah dan fotonya terkeluar dari bingkai. Zaleha (Sofia Jane) kemudiannya dilepas bebas sebebas-bebasnya. Dan dalam empat babak filem Marlina pula kita tahu sedari awal babak pertama lagi, sememangnya Marlina mahu dan harus bebas daripada sebarang struktur yang mengongkong dirinya. Atau seperti Novi yang mahu melahirkan anak pada babak terakhir itu, asalkan di tangan wanita, dia merelakan sahaja. Mungkin ia suatu kemenangan. Sehingga mereka berdua pun tertawa.

*Azrin Fauzi, pemenang utama Hadiah Sastera Selangor (cerpen) selain menulis esei, dia juga fiksyenis dua kumpulan cerpen: Urban (Buku Fixi, 2015) dan Metaskandal (Roman Buku, 2018).

Categories
SASTERA

Untuk Hidup dan Mati Di Balik Warna Cat

Semalam aku tidak jejak

aku pilih hidup di dinding

(di balik warna cat)

 

Kau menenung anggun warna

aku merenung figuramu

kau merasa halus tekstur

aku meraba estetikmu

 

Hanya dengan warna

aku dapat mendengar kau membangkang dengan nada yang manja

hari ini kau memindahkan minat kepada kertas dinding

senyummu kepadaku tak lagi benar

debarku jadi pudar

ketika kau merapatiku dengan lembar kecuranganmu, aku berbisik kepada warna cat:

 

“Aku ingin sekali mati dilenyek kebohongan yang tersaksi.”

Lalu warna cat memanggil malaikat.

 

Khalil Zaini

Tanjong Malim

Categories
SASTERA

Pencopet Yang Melihat Petanda Akhir Dunia Lewat Dejavu

Oleh Shahril Anuar

SEMINGGU sebelum  bulan  di  langit  mula  mencair  seperti  ais;  sebaik  jatuh  ke  alam  tidur,  tiba-tiba  Pa’ie  terjaga  dalam  tubuh  dan  fikiran  seorang  pencopet  yang  bergelandangan  di  tengah  kota.  Dan  selain  namanya  sendiri,  segala  ingatan  tentang  dirinya  sebelum  terlena,  seolah-olah  hanya  mimpi  kabur  dan  jauh.  Seperti  tak  benar  sama  sekali.  Atau  berlaku  kepada  seseorang  yang  bukan  dirinya.

Sungguh.  Pa’ie  bukan  seorang  penyeluk  saku.  Paling  tidak,  itu  masih  diingatinya.  Namun  dia  tidak  bermimpi.  Dunia yang  dia  terjebak  adalah  dunia  sebenar. Seperti kelaparan   tak  pernah  belas  pada  perut  yang  tidak  diisi.  Terik  siang  juga  pasti  mengerontangkan  tekak.  Sementara  kedinginan  awal  subuh  kaki  lima  di  tengah  bandar raya  Kuala  Lumpur  yang  pongah,  tetap  menuntut  kehangatan  sehelai  gebar.  Pendeknya,  mimpi  atau  realiti,  buat  Pa’ie,  hidup  harus  terus.

Dalam  kekeliruan,  nalurinya  mendorong  Pa’ie  mencopet.

Setiap  kali  tidur,  Pa’ie  berharap  dirinya  kembali  seperti  sediakala  apabila  terjaga.  Tapi  itu  tidak  terjadi.  Sebaliknya,  dia  bermimpi  melihat  bulan  mencair.  Seluruh  dunia  gempar  dan  bingung.  Segala  urusan  kehidupan  tergendala.  Hanya  dia  yang  tahu  makna  petanda  itu.  Anehnya,  jasadnya  tak  lagi  wujud.  Hanya  sorot  matanya  seperti  lensa  kamera  menyaksikan  segalanya.

Dalam  kacau  tidurnya, Pa’ie  selalu  berharap  segera  tersedar.  Akhir  mimpi  itu  tak  kurang  menakutkan  daripada  realiti  yang  didepaninya.  Lebih  membingungkan, tiga hari lalu, mimpi yang tak pernah  dimengerti  itu  benar-benar  terjadi. Pertama  kali Pa’ie  melihat  kecairan  bulan  dan  kekecohan  orang  ramai;  dia  tambah  gayat,  segala-galanya  bagaikan  dejavu.

Selama  terpaksa  mencopet,  mimpi  dan  dejavu  terus  berulang  memomoknya.

“Bulan  mencair…  Itu  petanda  akhir  dunia.”

“Mana  kau  tahu?” soal  Pa’ie.

“Dah  dua-tiga  hari…  Idea  cerita  tu  terus  mengacau  fikiran  aku,”  jawabku,  gemas.

“Sama  macam  mimpi  aku.”

Aku  tak  tahu.  Idea  tentang  bulan  mencair  memang  mengganggu  fikiranku.  Tapi  aku  sendiri  tak  pernah  menyedari  ia  benar-benar  terjadi  sehinggalah  dimaklumkan  lelaki  serabai  di  sebelahku.

Tatapannya  membuatkan  aku  semakin  gelisah.

Cuba  melarikan  pandang,  aku  merenung  bulan  yang  semakin  malap  dan  berlekuk-lekuk  di  langit  gelap.  Retak sana-sini.  Sementara  lelehan  jasadnya  terjuntai  membeku  pada  garis  lengkung  bawahnya.

Sudah  tentu,  apa  yang  aku  lihat  benar-benar  menggangguku.  Persekitaranku  juga  sama  seperti  gambaran  cerita  yang  menghantuiku.

Sekeliling  perhentian  bas  Bangkok  Bank,  orang  ramai,  baik  yang  berdiri,  duduk,  berjalan  atau  memandu,  semuanya  tercengang  memanggungkan  kepala.  Tiada   sesiapa  peduli  pelanggaran  atau  kemalangan  yang  terjadi.  Mereka  lebih  bingung  melihat  fenomena  ganjil  yang  masih  mengamamkan saintis  dan  pengkaji.

Alangkah  baiknya  kalau  aku  tak  perlu  menyedari  semua  ini.

Semuanya  gara-gara  novel  Ghost,  hingga  aku  terlepas  bas  terakhir  untuk  pulang.  Jika  tidak,  aku  tak  perlu  bertemu  dengan  Pa’ie  dan  berdepan  semua  ini.  Mungkin  kerana  hairan  melihat  aku  seperti  dirinya  — langsung  tidak  mendongak  —  Pa’ie  datang  menegurku  yang  sedang  leka  membaca.

“Memang,  ada  sebab  aku  tegur  kau.”

Sigap  aku  merenung  Pa’ie.  Tapi  tampangnya  tetap  bersahaja,  meneruskan:

“Kau  tak  perlu  rungsing  sebab  ketinggalan  bas  terakhir.  Sesuatu  akan  berlaku…  Kau  terselamat.”

Mahu  saja  aku  bangun  meninggalkan  pencopet  itu.  Atau  menyuruhnya  diam  sahaja.  Tapi  itu  tidak  aku  lakukan.

“Makin  aku  tengok  kau,  aku  rasa,  aku  macam  tengok  diri  aku.  Lagipun,  rasanya,  sebelum  ini,  aku  pun  suka  membaca.”

Aku  makin  terkejut.  Memang  aku  sendiri  masih  bingung.  Lebih  seminggu  lalu,  tiba-tiba  aku  terjaga  dari  tidur  dengan  novel  Cesar  Aira  di  tangan.  Tiada  lagi  yang  aku  ingat  tentang  diriku  sebelum  itu.  Yang  pasti,  aku  bukanlah  seorang  yang  suka  menelaah.

Kerana  bingung,  aku  mula  membaca  novel  yang terus  aku  ulang  baca  kerana  tak  pernah  memahami  realiti  yang  aku  hadapi.

Entah  dari  mana  datangnya,  tiga  hari  lalu,  aku  mula  didesak  ilham,  layaknya  seorang  penulis  cereka.

“Ketika  itulah  bulan  benar-benar  mencair.”

Aku  semakin  terdorong  percaya  bahawa  lelaki  yang  mungkin  dipandang  sampah  masyarakat  ini  benar-benar  dapat  membaca  fikiranku.

“Tapi,  kau  bukan  penulis  fiksyen,  kan?”  Pa’ie  sempat  mengekek  sebelum  bangkit  berlalu  tanpa  menagih  jawapan.  Aku  hanya  mampu  tercengang  melihat  sosoknya  menjauh.

Memang.  Perbualan  itu  lebih  menakutkan  daripada  kecairan  bulan  atau  akhir  dunia  sekalipun.  Bahkan,  aku  mungkin  lebih  bingung  daripada  orang  ramai  yang  melangut  takjub  ke  arah  langit.

Malam  itu,  aku  tertidur  di  pondok  hentian  bas.

Setelah  tiga  minggu  mencair,  bulan  akhirnya  lenyap  dari  langit.  Bersungguh-sungguh  aku  cuba  menerangkan  kepada  orang  ramai  yang  berpapasan  bahawa  itu  petanda  akhir  dunia,  dan  aku  harus  mencari  Pa’ie.  Namun  tiada  siapa  mengendahkan  aku  —  yang  sepertinya  kurang  siuman.  Akhirnya  aku  ditangkap  kerana  dituduh  sengaja  menimbulkan  ketakutan  orang  ramai.

Nyaring  hon  bas  Rapid  KL  dari  Jalan  Silang  awal  pagi  itu  menyedarkan  aku.  Seketika,  aku  terkebil  mengingatkan  mimpiku.  Tapi  perutku  yang  berkeruk  mengerah  aku  bangun.

Serentak  itu  aku  tersedar,  buku  yang  aku  pegang  sejak  semalam  tiada  lagi  di  tangan.  Terlintas  wajah  Pa’ie;  aku terdorong  untuk  memeriksa  poket  belakang  seluarku.

Ternyata  dompetku  juga  lesap.

Tanpa  sesen  wang  di  tengah  kota,  tentu  tiada  apa  yang  dapat  aku  lakukan.  Awalnya  aku  bercadang  untuk  menapak  pulang  sahaja.  Tapi  ketika  itulah  aku  mula  tersedar:  selain pertemuan  dengan  Pa’ie,  dan  idea  cerita  yang  belum  aku  tulis  sedang  benar-benar  terjadi  di  dunia  realiti,  tiada  apa-apa  yang  aku  ingat  tentang  diriku  lagi.

Aku  cuba  bertanya  tentang  Pa’ie  kepada  sesiapa  sahaja  yang  berselisih  denganku, namun tiada siapa  peduli  untuk  menganjakkan  pandangan  dari  langit —  meskipun  pada siang  hari.  Dan  jika  ada  beberapa  gelandangan  yang  mahu  menjawab,  tiada  sesiapa  pernah  melihat  atau  mengenali  Pa’ie.  Bahkan  ada  yang berkata  bahawa  lelaki  yang  aku  gambarkan  itu  lebih  menyerupai  diriku.

Aku  mula  mencurigai  kewujudan  Pa’ie.  Semalaman,  mungkin  aku  hanya  berhalusinasi.  Tapi  ketika  melintasi  kedai  menjual  majalah  di  sekitar  Jalan  Petaling,  aku  terbaca  berita  muka  depan  beberapa  akhbar  tentang  semua  bas  yang  terbabas  ke  gaung  hingga  mengorbankan  semua  penumpangnya,  bahana  kecuaian  pemandu  yang  lebih  sibuk  mendongak.  Serta-merta  aku  teringat  apa  yang  diramal  Pa’ie.  Mungkin  dia  benar-benar  wujud.

Melihatkan  orang  ramai  yang  semakin  kalut,  ingin  saja  aku  khabarkan  bahawa  itulah  petanda  akhir  dunia.  Namun  mengingatkan  akhir  mimpiku,  aku  jadi  takut.  Jika  tertangkap,  mustahil  aku  dapat  menjejaki  Pa’ie  lagi.

Di  celah  kegemparan  manusia  melihat  bulan  yang  semakin  kecut,  aku  terus  merayau  mencari  Pa’ie.

Sementara  itu,  untuk  meneruskan  hidup,  aku  terpaksa  melupakan  idea  untuk  menulis  cerita  kecairan  bulan  dan  terpaksa  mencopet.  Tapi  aku  tak  peduli.  Masa  semakin  suntuk.  Aku  mesti  mencari  Pa’ie  sebelum  dunia  benar-benar  berakhir.  Kerana  aku  percaya,  dia  tidak  saja  mencopet  dompetku,  tapi  juga  hidupku.

Categories
SASTERA

Saya Bukan Nak Bercerita Tentang Minyak

Oleh Khairil Idham Ismail

SAYA bukan nak bercerita tentang minyak. Dahulu, saya pernah mengirimkan sebuah cerpen kepada editor sebuah majalah. Lama saya menunggu tetapi tidak mendengar sebarang khabar berita sehinggalah saya meyakini dengan perasaan yang was-was bahawa cerpen itu tidak mendapat hati editor. Seperti tidak berjayanya seorang pria menyunting bunga di taman hati seorang gadis.

Begitulah saya menyakini bukan jodoh saya dan editor tersebut untuk bertautnya kami melalui cerpen yang dikirmkan lewat e-mel. Saya reda. Sementelahan cerpen itu adalah cerpen terawal yang saya tulis, saya maklum tentu sahaja banyak kelemahan atau barangkali dinilai klise dan tiada nilai penerbitan.

Saya bukan nak bercerita tentang minyak. Namun pada suatu hari, saat langit menjadi jingga dan bulan berdiri tanpa kaki berubah warna biru, kantung mel elektronik saya dimasuki epistel daripada seseorang. Ya, itulah suatu hari yang sangat tidak diduga antara hari-hari kehidupan yang biasa, pergi-kerja, balik-kerja dan perihal lain yang tidak perlu dituliskan di sini, saya dihubungi oleh editor majalah berkenaan. Antara teruja dan cemas. Saya mengusung kursor tetikus kepada pautan e-mel dan membuka epistel tersebut. Katanya, dia meminta saya agar membuang frasa yang bertulis ‘dua puluh sen’ dan mengolah semula rangkap di bahagian yang dibuang tadi daripada cerpen yang saya kirimkan kepadanya.

Sungguh, saya bukan nak bercerita tentang minyak. Namun, kesediaan editor menghubungi saya dan tidak membuang cerpen begitu sahaja amatlah saya hargai apatah lagi itulah cubaan pertama dan terawal menulis cerpen ke ruangan majalah tersebut. Saya tidak bertanya lanjut mengapa editor meminta saya unutuk membuang terus perkataan ‘dua puluh sen’ itu tetapi saya sendiri maklum dan jelas ketika itu bahawa isu dua puluh sen adalah amat sensitif untuk dibicarakan di mana-mana. Zahir ataupun batin, ia seperti melakukan dosa yang amat besar walaupun dalam wacana ataupun diskusi ilmiah. Tabu. Sebagaimana ia dilihat sebagai najis jenis mughallazah begitulah ungkapan dua puluh sen itu tidak boleh dilihat, dibaca apatah lagi diperkatakan di mana-mana.

Saya bukan nak bercerita tentang minyak. Entah berapa kali telah saya tegaskan bahawa saya bukan nak bercerita tentang minyak. Sungguh, gerak hati yang kecil tetapi sangat signifikan daripada editor ini membuatkan saya sangat hormat kepadanya. Saya amat tersentuh. Hati saya pula jika diibaratkan seorang gadis; kini telah disunting bunganya dengan perilaku editor. Barangkali, dia boleh sahaja tidak menghiraukan saya. Apatah lagi, saya bukanlah siapa-siapa melainkan penulis yang baru ingin mula menulis. Dia boleh sahaja juga tidak menerbitkan cerpen saya atau tidak menghubungi saya semula tetapi sikapnya itu buat saya benar-benar terharu dan bersetuju untuk membuang perkataan ‘dua puluh sen’ itu. Tambahan lagi, dia tidak mengubah langsung jalan cerita cerpen tersebut atau menukar kata ganti diri saya kepada aku, aku kepada saya sesuka hatinya dan mengubah keseluruhan penyampaian cerita yang ingin saya sampaikan.

Bermula jam 0001 tengah malam nanti, minyak Research Octane Number (RON) akan naik sebanyak dua puluh sen (lagi). Sungguh, ketika saya menuliskan perihal ini, saya bukan nak bercerita tentang minyak. Bahkan telah berkali-kali saya tegaskan bukan tentang minyak yang ingin saya ceritakan. Sedangkan sudah terlalu ramai yang bercerita tentangnya. Ramai yang membentangkan aspek kalkulatif, harga satu tong minyak, pasaran harga minyak dunia, saham yang pelbagai malahan termasuklah bagaimana struktur minyak kenderaan digunapakaikan secara biokimia dan kejuruteraan serta perbandingan harga minyak dengan pelbagai negara di dunia secara relatif dan tidak-relatif. Apatah lagi, jika diceritakan perihal minyak ini, ia akan menjadi terlalu sensitif buat ramai orang yang barangkali jika diceritakan di sini juga, mesti ramai juga yang mahu saya membuangnya dan mendatangkan pelbagai teori tentang kewajaran harga minyak yang ditetapkan.

Kesekian kalinya, saya menegaskan bahawa saya bukan nak bercerita tentang minyak. Apa yang sebenarnya nak saya ceritakan ialah keluhuran peribadi seorang editor yang kerananya jugalah cerpen tersebut telah memenangi anugerah sastera suatu ketika dahulu. Tidak pernah terduga oleh saya, betapa cerpen terawal dan sederhana saya itu turut telah memenangi hati juri penganugerahan.  Jika tidak cerpen itu diterbitkan, masakan ia dapat terdahulu diadili oleh juri dan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang. Maka, saya bertambah hormat kepada dirinya apabila berjaya mengutip permata antara kaca atau barangkali membuang kaca untuk mengutip permata.

Bercakap tentang minyak walaupun bukan minyak yang saya ingin ceritakan, kata orang dahulu, bagai pelita kehabisan minyak begitulah saya dahulu hampir berputus-asa apabila menyangkakan bahawa cerpen saya telah pun dibakar bersama longgokan sampah semua kiriman cerpen kepada editor tersebut. Masakan tidak, apabila lama tidak saya mendengar sebarang khabar berita. Bahkan pada saat itu, saya sudah berfikir-fikir untuk mengirimkan surat penarikan balik kiriman karya sehinggalah sebaliknya saya dihubungi. Sebaliknya, gerak hati editor yang menghubungi saya, berbincang dan mengutarakan saranan dalam editorial yang diselenggarakannya telah menjadi minyak pula yang membakar semangat saya untuk terus menuliskan cerita walaupun hanya untuk bacaan saya sendiri sahaja.

Ya. Setiap penulisan itu ada khalayak pembacanya. Bila serta bagaimana ia menemui pembacanya bukanlah urusan kita.

Sungguh, dengan kesungguhan yang sungguh-sungguh, saya bukan nak bercerita tentang minyak tetapi ingin mengucapkan terima kasih kepada editor tersebut yang telah menghubungi saya, meminta saya membuang perkataan yang boleh menjadi minyak kepada marak api berbeza (mengikut kecenderungan masing-masing) dan akhirnya menyiarkan cerpen kecil saya sementelahan saya hanyalah orang yang baru belajar bagaimana menyusun ayat menjadi cerita. Cerita adalah wahana kepada wacana. Wacana adalah pemikiran yang membentuk masyarakat ke arah yang sentiasa berfikir melalui setiap cerita kecil yang luhur dan bijaksana.

Sungguh, tuan. Saya bukan nak bercerita tentang minyak! <END>

 

Categories
SASTERA

Ahli Mesyuarat dan Seekor Kucing

Malam itu, heboh
langit berdarah
dan serigala dibaham
ayam-ayam kampung.

Pagi esoknya,
penggawa mengarah
anak buahnya berkumpul
(namakan sahaja —
kongres, perhimpunan,
muktamar, kolokium;
apa-apa sahaja,
asalkan gagah didengar)

“Apa harus kita lakukan?”
tanya seorang tua.

Lalu bangkit satu pemuda,
“Kita tubuhkan jawatankuasa!”

Seisi ahli langsung
melaung setuju
kecuali seekor kucing
peliharaan pemuda itu.

Maka bermulalah
tugas jawatankuasa
mengembali fitrah
biar langit kembali gelap;
ayam-ayam jinak semula
namun malam-malam
berikut, masih sama.

Kucing itu tertawa sinis
dan berbisik sendiri —
Apa mereka fikir
gunung akan berganjak
dengan hanya ditiup angin?

Sayang, dia hanyalah kucing
dan bukan harimau liar.

Muhd Firdaus
Ampang