Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan kontak rapat punca Hulu Langat rekod kes tertinggi Covid-19

SHAH ALAM, 16 JAN: Hulu Langat menjadi daerah paling tinggi merekodkan jangkitan harian Covid-19 dengan 536 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata majoriti kes berpunca dari saringan kontak rapat iaitu sebanyak 366.

“Mukim Kajang merekodkan 287 kes diikuti mukim Ampang (99), mukim Cheras (62), mukim Semenyih (56), mukim Hulu Langat (17) dan mukim Beranang (15).

“Sementara itu Klang berada di kedudukan kedua tertinggi dengan 441 kes apabila mukim Kapar merekodkan 370 kes dan mukim Klang (71),” katanya menerusi Facebook.

JKNS berkata Petaling dan Sepang masing-masing mencatat 146 kes yang mana mukim Damansara menjadi penyumbang tertinggi dengan 109 kes dan mukim Dengkil (94).

Tambahnya, Gombak merekodkan 104 kes diikuti Kuala Langat (53), Kuala Selangor (29), Sabak Bernam (tujuh) dan Hulu Selangor (empat).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Langat kekal catat kes Covid-19 paling tinggi

SHAH ALAM, 28 DIS: Hulu Langat merekodkan sebanyak 328 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi di Selangor selama dua hari berturut-turut.

Peningkatan sebanyak 209 kes berbanding semalam dikesan di mukim Semenyih (255 kes), Kajang (41), Ampang (26) dan Cheras (enam).

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan Klang kekal pada kedudukan kedua dengan mencatatkan 157 kes iaitu 127 di mukim Klang dan 30 kes di Kapar.

“Sementara Petaling melaporkan 89 kes meliputi mukim Petaling (45), Damansara (28), Sungai Buloh (13) dan Bukit Raja (tiga),” tulis agensi itu di Facebook.

“Kuala Selangor pula merekodkan 43 kes dengan 29 daripadanya di Tanjong Karang, Ijok (lima) dan masing-masing tiga di Bestari Jaya, Jeram serta mukim Kuala Selangor.”

Jabatan tersebut menambah Gombak mencatatkan 40 kes iaitu 22 di Batu, Rawang (14) dan Hulu Kelang (empat) manakala Sepang merekodkan 13 kes, Kuala Langat (12), Sabak Bernam (lapan) dan Hulu Selangor (tujuh).

Selangor mencatatkan 697 kes baharu hari ini dengan dua kematian membabitkan seorang wanita berusia 62 tahun dan seorang lelaki 90 tahun di Hospital Sungai Buloh.

Keseluruhannya, negeri itu mencatatkan 29,969 kes Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS: Hulu Langat sumbang kes Covid-19 tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 28 DIS: Hulu Langat menjadi penyumbang kes Covid-19 tertinggi di Selangor semalam apabila merekodkan 119 jangkitan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata 64 kes dikesan di mukim Semenyih, Kajang (28), Cheras (14), Ampang (12) dan Hulu Langat (satu).

Menurutnya, Klang pada kedudukan kedua mencatat 85 kes iaitu mukim Klang (59) dan Kapar (26).

“Sebanyak 56 kes di Petaling membabitkan mukim Petaling (23), Damansara (22), Sungai Buloh (tujuh) dan Bukit Raja (empat).

“Gombak merekodkan 42 jangkitan dengan 24 daripadanya di mukim Batu, Rawang (sembilan), Hulu Kelang dan Setapak masing-masing empat serta Kuang (satu),” katanya di Facebook.

Agensi menjelaskan sebanyak 36 kes dikenal pasti di Kuala Langat iaitu mukim Telok Panglima Garang (16), Tanjung Dua Belas 1 (10), Bandar (lima), Kelanang (empat) dan Morib (satu).

Katanya, Kuala Selangor mengumpul jumlah kes sama iaitu 11 di mukim Jeram, Tanjung Karang (10), Ijok (tujuh), Kuala Selangor (enam) dan Api-Api (dua).

“Sebanyak 10 kes dicatatkan di Sepang, tujuh jangkitan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam (satu),” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Langat paling banyak zon merah di Selangor

SHAH ALAM, 20 DIS: Lima mukim Hulu Langat berada dalam zon merah, tertinggi di negeri ini dalam tempoh dua minggu bermula 6 Disember.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mukim tersebut meliputi Ampang, Kajang, Cheras, Semenyih dan Hulu Langat.

Menurut kementerian, Petaling turut merekodkan bilangan zon merah yang tinggi iaitu Bukit Raja, Petaling, Sungai Buloh dan Damansara.

“Gombak, Klang dan Kuala Langat masing-masing memiliki dua mukim zon merah manakala Kuala Selangor dan Sepang mempunyai satu zon merah,” tulis KKM melalui Twitter.

Semalam, kes baharu Covid-19 di Selangor turun kepada 401 jangkitan berbanding 692 kelmarin dengan keseluruhan kes 24,024.

Sebanyak 130 kes daripada kluster sedia ada, 119 kes saringan kontak rapat kepada kes positif manakala 126 kes lagi melalui lain-lain saringan Covid-19.

Baki 26 kes disumbangkan melalui kluster baharu iaitu kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah yang dikesan di Petaling dengan kesemua kes dilaporkan positif sejak 14 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Hulu Langat paling banyak zon merah

SHAH ALAM, 15 DIS: Hulu Langat menjadi daerah paling banyak zon merah berikutan terdapat lima mukim merekodkan kes Covid-19, setakat semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata ia membabitkan mukim Ampang, Kajang, Cheras, Semenyih dan Hulu Langat.

Menurutnya, Petaling juga merekodkan zon merah yang tinggi iaitu Bukit Raja, Damansara, Petaling dan Sungai Buloh.

“Sementara Klang, Gombak dan Kuala Langat masing-masing mencatatkan dua mukim zon merah. Bagi Kuala Selangor dan Sepang pula masing-masing hanya mempunyai satu zon merah,” katanya menerusi Twitter.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor terus menjadi penyumbang kes tertinggi Covid-19 selepas merekodkan 532 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 303 kes dikesan dari kluster sedia ada serta lapan kes dari kluster baharu, kluster Solar Ria.

Sebanyak 109 kes dicatatkan dari saringan kontak rapat manakala 111 dari lain-lain saringan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba pantau banjir Hulu Langat, bantu pindah mangsa

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor memantau keadaan sekitar Dengkil dan Batu 10, Hulu Langat bagi memastikan mangsa banjir pantas mendapat bantuan.

Penolong pengarahnya berkata aliran air dari Hulu Langat kini sudah memasuki dua kawasan berkenaan dan berkemungkinan akan menjejaskan beberapa kawasan perumahan.

“Anggota kini ditempatkan di pusat pemindahan di Hulu Langat bagi memudahkan sebarang urusan dan tindakan dibuat segera.

“Setakat ini kita lihat air sudah memasuki dua kawasan berkenaan malah difahamkan dua pusat pemindahan sudah dibuka di Dengkil sebagai persediaan,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini malam ini.

Beliau berkata sepanjang kejadian banjir di Hulu Langat hari ini, seramai 37 anggota digerakkan seawal jam 4 pagi selain beberapa aset seperti van unit bantuan perkhidmatan kecemasan, bot alumanium dan lori.

Hujan lebat bermula jam 3 pagi itu menyebabkan rumah 60 keluarga ditenggelami air dan kini semua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Kampung terlibat ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Projek tebatan banjir tahan 100 tahun elak kejadian berulang

HULU LANGAT, 4 NOV: Kerajaan Negeri merangka pelan Projek Tebatan Banjir (RTB) bagi jangka masa panjang sehingga 100 tahun  bagi mengatasi masalah banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia termasuk pembesaran Sungai Langat bertujuan menampung kapasiti air sekali gus mengelak banjir berulang.

“Dalam sidang dewan negeri tadi, kita nyatakan bahawa selepas ini perancangan kita bukan lagi 50 tahun, tetapi akan dipanjangkan ke 100 tahun.

“Maknanya dalam tempoh 100 tahun kita mahu mengelakkan banjir (dan) projek ini mampu tampung kapasiti air selama tempoh itu,” kata Dato’ Menteri Besar ditemui selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai hari ini.

Beliau berkata banjir kilat di sekitar Hulu Langat malam tadi berpunca daripada hujan yang turun pada kadar 164 milimeter (mm), melebihi kapasiti Sungai Langat.

Katanya limpahan air dari Empangan Langat juga mengakibatkan beberapa kawasan di sepanjang Sungai Langat ditenggelami air.

“Kita percaya masalah ini berlaku disebabkan kadar turun hujan yang tinggi dan kali terakhir kadar tersebut (164 mm) adalah pada 2010. Jadi, ia tertinggi dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Sungai Langat berkapasiti sekitar 85-90 mm dan sudah pasti ia melimpah seterusnya menyebabkan banjir di kawasan berkaitan,” katanya.

 

 

Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat jejaskan tujuh kampung di Hulu Langat

SHAH ALAM, 4 NOV: Hujan lebat berterusan hampir lima jam sejak jam 2 pagi tadi menyebabkan tujuh kampung di mukim Hulu Langat dilanda banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua berkata lokasi terjejas ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.

“Hujan sudah berhenti namun keadaan belum surut dan rumah penduduk masih lagi digenangi air tetapi difahamkan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” kata Edry Faizal Eddy Yusof ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga berharap mangsa banjir supaya bersabar dan berdoa ketika berdepan musibah.

“Pastikan sentiasa menjaga keselamatan diri dan berhubung dengan ketua kampung masing-masing sekiranya memerlukan apa-apa bantuan tambahan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor catat 76 kes, satu kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu dinamakan kluster Bah Kenangan di Hulu Langat selepas Selangor merekodkan 76 kes positif Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster ke-11,802 dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 2 Oktober lalu.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengesan 17 lagi kes positif.

“Sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 38 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif, 15 individu negatif dan lima individu masih menunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media secara maya menerusi Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan bagi 75 kes positif lain, 45 membabitkan kluster sedia ada dan 16 kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

Selain itu, sembilan kes dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah manakala lima kes daripada saringan bergejala.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif wabak di Selangor sebanyak 2,746 kes.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gangguan bekalan air pulih 97 peratus

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebanyak 266 dari 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya menerima bekalan air penuh dengan peratusan pemulihan pada tahap 97 peratus sehingga 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Basri, dalam kenyataan hari ini, menyebut Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem bagi memulihkan lapan lagi kawasan yang masih terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Langat.

Air Selangor menyarankan agar para pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasminya dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas selepas berlaku pencemaran sumber air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hulu Langat daerah tertinggi catat kes denggi

SHAH ALAM, 7 OKT: Hulu Langat merekodkan 147 kes denggi antara 27 September hingga 3 Oktober, tertinggi di negeri ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes tertinggi di daerah itu ialah di Pangsapuri Sri Ria Taman Sepakat Indah sebanyak 26 kes.

Petaling, yang mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu 85, paling banyak dikesan di Seksyen 7, Jalan 7/29-7/35 dengan 23 kes.

“Tiada vaksin dan rawatan khusus untuk denggi, pencegahan adalah langkah terbaik,” tulis KKM di Twitter hari ini.

Laporan kementerian itu juga mengesan 30 lokasi panas denggi di seluruh negara dengan 19 daripadanya di Selangor. Seramai 127 individu meninggal dunia setakat 3 Oktober.

“Jumlah ini termasuk dua kematian terbaharu di Johor dalam tempoh sama,” tulis KKM lagi.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PBT, agensi digerak bantu bersih kesan banjir, bantu mangsa

KAJANG, 19 JULAI: Kerja pembersihan pascabanjir di semua kawasan terjejas di Kajang dan Hulu Langat bermula tengah hari ini, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menggerakkan lori tangki air untuk mempercepatkan kerja pembersihan terutama di jalan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Anggota bomba dan penyelamat juga dipanggil untuk bersama-sama mencuci kawasan berkenaan,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Jalan Mandaling di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri Kajang itu berkata semua mangsa di pusat pemindahan sementara sudah kembali ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah.

“Cuma ada penduduk yang minta kita dapatkan bantuan makanan sementara kerana peralatan memasak rosak akibat kejadian tersebut.

Hee Loy Sian menunjukkan kesan paras air pada dinding di sebuah kediaman di Taman hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita cuba bantu dengan pihak sukarelawan bagi memenuhi keperluan ini malah pejabat saya tengah mendapatkan maklumat berkaitan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Hijau, Jalan Reko Muhammad Nadzirun Nordin, 28, berkata beliau sekeluarga menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kejadian banjir kilat tersebut.

“Sebelum ini, kalau hujan turun air terus surut dan kerosakan barang juga tidak banyak, namun kali ini sangat luar biasa. Banyak barang elektrik rosak, malah air naik dengan cepat ,” katanya.

Dalam kejadian banjir kilat petang semalam kawasan Taman Indah, Sungai Chua, Jalan Mendaling, Kajang, Jalan Reko, Taman Sri Indah, Taman Sri Reko, Taman Pasir Emas, Desa Bunga Raya, Taman Kajang Baru dan Sri Kajang dinaiki air.

Turut terjejas ialah kawasan Taman Seri Emas, Taman Sepakat Indah dan Taman Sri Kajang di Sungai Chua serta Simpang Balak.