Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

41 kawasan di lima daerah terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebanyak 41 kawasan di lima daerah mengalami banjir kilat sejak petang semalam.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dalam kenyataan memaklumkan 22 kawasan terjejas ialah Hulu Langat, Sepang (14) Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu lokasi di Klang.

“Susulan itu, sebanyak tujuh pusat pemindahan banjir dibuka di daerah berkenaan dan setakat jam 10 pagi tadi seramai 265 mangsa dari 62 keluarga telah dipindahkan ke pusat terbabit,” lapor unit itu.

Menurut UPBN, 22 lokasi di Hulu Langat ialah Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak; Kampung Sri Jambu; Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras dan Sungai Raya, Batu 9.

Lokasi turut terjejas di Kampung Bangi; Taman Muhibbah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; kawasan Medan Satay Kajang; Taman Taming Jaya; SMK SAAS, Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan SRA Sungai Serai.

Manakala, 12 kawasan di Sepang ialah Taman Desa, Jenderam Hilir; Jalan Salam, Sungai Merab; Rancangan Revolusi Hijau, Dengkil; Taman Baiduri, Dengkil; Kampung OA Jenderam Hulu; Taman Lestari Mewah; Kampung Lalang; Kampung Cemperai; Kampung Sri Tanjong; Taman Mas; Taman Kristal dan Taman Permata.

Lokasi terjejas di Hulu Selangor pula di Kampung Sentosa, Batang Kali; Taman Seri Cahaya, Batang Kali; Taman Seri, Batang Kali dan Lorong 4B, Taman Lembah Damai, Kerling.

Sementara itu di Gombak melibatkan dua lokasi iaitu Lorong E5, Kampung Melayu, Sri Kundang dan Fasa 4, Taman Rahmat Jaya serta Klang di Taman Sri Muda.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Hulu Langat menempatkan 128 mangsa, manakala Sepang membuka empat pusat berkenaan dan sehingga kini seramai 137 mangsa dipindahkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Warga emas gembira petugas kesihatan sanggup datang rumah

KAJANG, 12 APRIL: Kalangan warga emas di Hulu Langat berasa gembira apabila pasukan perubatan sanggup datang ke rumah mereka untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Penduduk Sungai Ramal Dalam, Zubir Hakimi, 67, berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu disambut baik memandangkan golongan sepertinya berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit.

“Saya selalu terdengar ramai yang terkena Covid-19 adalah warga emas, kebetulan di kampung ini pula memang ramai seusia saya, memang takutlah.

“Bila ada doktor datang buat pemeriksaan, hati saya lebih lega dan sekurang-kurangnya tahu komuniti kampung di sini selamat,” katanya kepada SelangorKini ketika operasi saringan besar-besaran Covid-19 di Kampung Sungai Ramal Dalam.

Azlinah Suman, 43, pula berkata ibunya ternanti-nanti pasukan perubatan itu sejak semalam apabila Majlis Keselamatan Negara memaklumkan melalui sistem pesanan ringkas mengenai saringan akan dilakukan Kerajaan Negeri.

“Emak saya tidak sabar hendak buat ujian kerana tahu dirinya adalah kumpulan berisiko, saya juga berharap supaya dia diberikan kesihatan yang baik. Semoga usaha murni Kerajaan Negeri dan pasukan petugas perubatan beroleh kejayaan dan berharap ia diteruskan bagi membolehkan wabak ini terus lenyap,” katanya.

Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Ujian itu dilakukan selepas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menjalankan saringan besar – besaran di zon merah di seluruh Selangor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Fatimah Hassan, 68 pula berkata ujian saringan itu tidak perlu ditakuti kerana ia berlalu sekelip mata sahaja.

“Sebelum ini risau juga fikir macam mana ujian dibuat tetapi ia mudah sahaja dalam dua minit sudah siap. Makcik seronok kerana sudah buat ujian, bila doktor dan jururawat datang hendak tengok kita sihat atau tidak, kita kena hargai,” katanya.

Sejak semalam, Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare) melakukan ujian saringan besar-besaran di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Kajang dan Dusun Tua.

Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan tersebut di zon merah bagi memerangi wabak berkenaan dengan menyasarkan ujian terhadap 5,000 orang.

Categories
ADN SELANGOR

PKP fasa tiga diharap turunkan kes Covid-19 di Hulu Langat

SHAH ALAM, 12 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berharap lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan ke fasa tiga dapat menurunkan kes jangkitan Covid-19 di Hulu Langat.

Mazwan Johar berkata tindakan itu disambut baik dan wajar bagi memutuskan rantaian wabak dalam kalangan masyarakat di daerah itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 30 Mac lalu.

“Jika penurunan berlaku dan betul-betul berjaya di Hulu Langat, saya harap zon di bawah PKPD dapat diberi sedikit kelonggaran. Semua itu hanya boleh terjadi kalau penduduk mengikut saranan dan arahan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Namun menurut Mazwan, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat sama ada PKPD akan diteruskan lagi.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan negeri setakat jam 12 tengahari semalam, Hulu Langat mencatatkan 382 kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 3,900 penduduk di Hulu Langat jalani PKP diperketat

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, berkuat kuasa tengah malam ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Katanya, perintah kawalan sehingga 13 April itu membabitkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular dari kawasan itu, langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan media di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata selaras dengan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang sudah berada di kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pengunjung dibenarkan masuk selain semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pangkalan perubatan turut dibuka,” katanya

Ia adalah PKPD kedua dikeluarkan selepas arahan sama di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jepun taja RM2.8 juta geran laksana program atasi bencana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Jepun menaja RM2.8 juta geran bagi melaksanakan program mengatasi bencana dalam kalangan komuniti di negara ini dengan menjadikan Selangor selaku negeri perintis.

Program dinamakan “Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risk” (SeDAR) itu diadakan di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, program sebegini bagus dilaksanakan kerana ia sekali gus dapat mendidik komuniti untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana.

“Selangor dipilih sebagai perintis melaksanakan program itu adalah kerana negeri ini merupakan satu-satunya yang mempunyai unit pengurusan bencana tersendiri.

“Malah, Selangor juga menjadi pilihan Jepun sendiri untuk dijadikan selaku perintis dalam melaksanakan program ini,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, Muhammad Izzat berkata, program sebegini amat bagus dilaksanakan memandangkan Jepun merupakan antara negeri yang bersih, maju dan bijak menangani bencana yang melanda mereka.

“Pada program itu nanti, Jepun akan berkongsi ilmu pengetahuan mereka kepada komuniti di negeri ini dan dengan itu kita beroleh manfaat untuk diterapkan di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai daerah yang akan terpilih untuk diserap masuk dalam program itu adalah kawasan yang mempunyai bencana skala besar.

“Setakat ini, daerah yang kita rancang untuk melaksanakan program ini adalah di Klang yang seringkali berlaku banjir dan Hulu Klang selalu terjadinya tanah runtuh,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pembangunan pesat Hulu Langat beri kesan besar

OLEH HAFIZAN TAIB

SERI KEMBANGAN – Kepesatan pertumbuhan dan pembangunan bandar memberi kesan cukup besar kepada daerah Hulu Langat daripada segi pembangunan guna tanah dan pelaksanaan projek dijalankan, di kawasan itu.

Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani berkata, pelbagai projek dirangka untuk dilaksanakan di daerah itu sepanjang tahun ini dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM50 juta.

“Sebanyak 82 projek pembangunan sudah dilaksanakan dengan peruntukan RM4.2 juta berdasarkan data daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, sehingga Mei ini.

“Antara projek disiapkan ialah menaiktaraf balai raya dengan kos RM940,000, menaiktaraf jalan kampung dan longkang (RM855,000), penyelenggaraan jalan raya negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya RM2.5 juta) serta Tabung Wang Amanah Infra Perkuburan (RM655,000),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama rakyat serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada fakir, miskin dan saudara baharu juga perasmian masjid di Masjid Taman Taming Jaya, di sini, baru-baru ini.

Manakala pembangunan seterusnya, katanya, ia membabitkan pembangunan institusi agama seperti masjid dan sekolah agama yang akan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Antara pembinaan itu ialah masjid baharu di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, dengan kos RM9.2 juta dijangka siap pada Ogos dan masjid baharu di Bukit Belimbing, Balakong, (RM14 juta) dijangka siap. pada November ini.

“Ia termasuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Pandan Indah, Ampang, (RM29 juta) yang mula dibina, pada April lalu,” katanya.

Beliau berkata, perasmian Masjid Taman Taming Jaya bernilai RM5 juta dibiayai Kerajaan Negeri yang disempurnakan Sultan Sharafuddin memberi makna besar kepada masyarakat setempat, di kawasan itu.

“Diharapkan, ia dapat menarik umat Islam di sekelilingnya untuk beribadah, sekali gus dapat dijadikan tempat penyatuan ummah, di taman ini,” katanya.

Menyertai Sultan Sharafuddin dalam majlis itu ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud, Dato’ Abdul Rashid Asari dan Hee Loy Sian.

Categories
SELANGOR

Tapak sampah haram punca tasik tercemar diambil tindakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan drastik ke atas tapak pembuangan sampah haram yang dipercayai menjadi punca pencemaran tasik di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, tindakan segera MPKj itu membolehkan kerja pembersihan tasik dilakasana segera.

“MPKj sudah bertindak kerana ada saliran pada tapak pembuangan sampah yang berdekatan dengan perumahan itu mengalir ke dalam tasik dan pihak kontraktor MPKj juga sedang giat membersihkan tasik itu,” katanya.

Sayuthi berkata, pihaknya turut mengeluarkan arahan supaya aktiviti pelupusan sisa binaan di kawasan itu dihentikan serta-merta.

Malah, katanya, kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan tuan tanah.

“Kita kenal pasti punca bau itu dari tapak pelupusan sampah terbabit yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan proses rawatan air bagi mengurangkan bau busuk sudah dilakukan,” katanya.

Terdahulu, penduduk mengadu tasik terbabit mengeluarkan bau busuk selain airnya bertukar kehitaman dan berminyak.

Mereka mendakwa terdapat segelintir penduduk muntah dan bau busuk terbabit melekat pada pakaian.

Selain itu, banyak ikan turut mati di tasik terbabit.

Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah supaya memulihkan tanah berkenaan.

Categories
SELANGOR

MB: Giat laksana pelan tindakan tangani banjir Hulu Langat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

HULU LANGAT, 15 JULAI: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan tindakan bagi mengelakkan berlakunya masalah banjir berulang khususnya di kawasan pinggir bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen pentadbiran negeri memastikan aspek keselamatan penduduk terjamin.

“Pelan tindakan ini dilaksanakan menerusi kerjasama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana saya tidak mahu banjir ini berulang kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat dan kesan ekonomi negeri.

“Jika penyelenggaraan perparitan baik dan pemaju diberikan amaran keras supaya garis panduan ditetapkan, saya percaya masalah ini mampu ditangani secara bijaksana.

MB Azmin“Pastinya Kerajaan Negeri tidak akan berkrompomi dengan pemaju yang menyebabkan punca banjir berlaku kerana kita tidak mahu pemaju ini fikir untung sahaja tetapi aspek keselamatan itu perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Hulu Langat di Dataran Nanding Batu 13 Kampung Dusun Nanding, hari ini.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin turut menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir Hulu Langat yang terkesan akibat bencana itu, Jun lalu.

Terdahulu, beberapa kawasan di Hulu Langat dinaiki air melibatkan kediaman di Batu 13 hingga Batu 19.

Kejadian banjir itu turut mengorbankan seorang penduduk apabila lemas dihanyutkan arus deras.

Bantuan Banjir

 

BANTU BANJIR

 

BANTU1

 

 

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir bersyukur terima bantuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

HULU LANGAT, 24 JUN: Mangsa banjir yang menerima sumbangan bantuan dari Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), di sini, melahirkan rasa syukur atas keprihatian yang dihulurkan bagi meringankan beban.

Mangsa, Siti Azura Abdullah, 44, berkata, mereka rasa bersyukur kerana mempunyai pentadbiran negeri yang sentiasa peka dengan masalah rakyat.

“Sedikit sebanyak, bantuan ini dapat membantu kami menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri khususnya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Azlina YaminSeorang lagi penerima bantuan, Azlina Yamin, 36, berkata, beliau sangat bersyukur apabila nasib keluarganya yang terjejas akibat musibah itu mendapat perhatian segera Kerajaan Negeri.

“Saya gembira sangat kerana Kerajaan Negeri membantu kami meringankan beban apabila perlu menanggung lebih 80 peratus kerosakan.

“Banjir kali ini antara terburuk yang kami hadapi dan kawasan rumah saya iaitu di Sungai Serai antara paling teruk terjejas sehingga rumah ditenggelami air,” katanya dengan penuh sebak.

Azlina berkata, duit sumbangan itu akan digunakan untuk membaiki motosikal dan keretanya yang rosak ditenggelami air kerana itu antara keperluan utama buat beliau sekeluarga untuk keluar mencari rezeki.

Manakala bagi Maizan Shazren Ahmad Sharifuddin, 37, keprihatinan Kerajaan Negeri amat menyentuh perasaannya dan gembira dengan sumbangan itu.

“Saya bersyukur tak terhingga sehingga rasa sebak apabila Kerajaan Negeri dan MBI sudi menghulurkan sumbangan berjumlah RM1,000.

“Bagi saya, itu membuktikan ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan masyarakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Banjir Hulu Langat: Mangsa lemas ditemui

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 JUN: Mayat mangsa lemas seorang lelaki Taufik Alias, 24 yang hilang dibawa arus deras ketika banjir di Hulu Langat di temui sekitar jam 2.54 petang tadi.

Penolong Penguasa Bomba Zon Hulu Langat, Zafiruddin Mohd Nasir berkata, mangsa ditemui tidak jauh dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dimana tempat kali terakhir beliau ditemui hanyut dibawa arus dua hari lalu.

“Mayat mangsa ditemui orang awam di sekitar Tanjung Niah iaitu kira-kira 1 km dari IKBN Dusun Tua selepas dua hari dilaporkan hilang.

“Mayat ditemukan dalam keadaan sempurna fizikalnya,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Zafiruddin berkata, mayat mangsa akan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar kepada pihak hospital bagi siasat.

Beliau juga menegaskan bahawa mangsa bukan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kami dimaklumkan abang mangsa bahawa Taufik hanya mengalami sedikit masalah pembelajaran kerana gegaran otak yang berlaku selepas mengalami kemalangan beberapa tahun lalu. Tetapi beliau bukan golongan OKU,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jumlah mangsa banjir Hulu Langat turun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 JUN: Jumlah terkini mangsa banjir di Hulu Langat adalah seramai 358 mangsa daripada 87 keluarga setakat 10 pagi tadi.

Jumlah itu dilihat menurun berbanding 440 orang daripada 111 keluarga semalam apabila keadaan banjir semakin surut dan mangsa mula pulang kerumah masing-masing.

Sebanyak empat pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir tersebut antaranya di Dewan Wanita Kg Bestari Sg Michu, SK Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Taman Seri Nanding dan Kompleks Penghulu Batu 10.

IMG_4629Terdahulu dilaporkan, kira-kira 190 orang terperangkap dalam banjir yang berlaku di Sungai Serai, Batu 14 dan Kampung Dusun Tua akibat hujan lebat sejak 2 petang, 17 Jun lalu.

Komander Operasi Bomba, Mohd Syafiq Ramli berkata, taburan hujan lebat tanpa henti di Hulu Langat sejak petang semalam mengakibatkan beberapa tempat di kawasan itu dinaiki air.

“Sungai Serai merupakan kawasan paling tinggi dinaiki air iaitu melebihi satu meter.

“Setakat ini seramai 167 mangsa daripaa 37 keluarga mangsa yang terlibat di kawasan Kampung Sungai Serai,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat, semalam.

Categories
SELANGOR

Denggi meningkat di Hulu Langat, langkah segera dikerah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JUN: Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah kumulatif kes daftar denggi 5,702 setakat 27 Mei lalu iaitu peningkatan 420 kes berbanding 5,282 dalam tempoh sama, tahun lalu.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, daerah itu juga mencatatkan 16 kumulatif kes kematian berbanding 13 kes dalam tempoh sama, pada 2016.

“Daerah Hulu Langat sejak empat minggu lalu (minggu epid ke-18) bukan sahaja memintas Petaling daripada segi bilangan jumlah kes daftar denggi mingguan, malahan turut mencatatkan bilangan kes kematian tertinggi di Selangor.

“Angka di atas adalah sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan jumlah kes daftar dan kematian ketara,” katanya dalam kenyataan.

daroyah01Setakat 27 Mei lalu, jumlah kumulatif kes daftar denggi dilaporkan di seluruh Selangor adalah 20,910 kes, berbanding 26,449 pada tempoh sama, tahun lalu.

Daroyah berkata, statistik minggu epid ke-21 memperlihatkan penurunan 5,539 kes atau 23.4 peratus, namun peningkatan daftar kes di daerah Hulu Langat adalah fokus utama ketika ini.

Katanya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sudah dikerah untuk mempergiatkan program kawalan juga pencegahan denggi di lokasi hotspot.

“MPAJ antara lain menubuhkan ‘task force’ untuk aktiviti kawalan di kawasan hotspot, melaksanakan kempen ‘0’ Zero Larva (0ZEL) dan Lorong Belakang Bebas Aedes (LOBBA) selain memperketat penguatkuasaan terhadap kontraktor pembersihan.

“MPKj pula menyediakan racun ‘larvaciding’ secara percuma kepada kontraktor pembersihan terpilih untuk memberi semburan ‘larvaciding’ di kawasan seliaan masing-masing. Sebagai pelaksana, mereka dilihat lebih mahir berkenaan lokasi takungan berpotensi di kawasan tertentu,” katanya.