Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas, individu berpenyakit disaran elak ke luar negara

PUTRAJAYA, 1 DIS: Warga emas dan individu dengan komorbiditi disaran tidak membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini dan mengelakkan kawasan awam yang sesak susulan kewujudan varian Omicron yang membimbangkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk sentiasa mematuhi amalan keselamatan Covid-19 terutamanya ke negara yang masih tidak melaporkan kewujudan varian berkenaan dan negara yang disenarai berisiko tinggi.

“Di Eropah contohnya, semakin longgar (tatacara operasi piawai Covid-19), warganegara Malaysia yang ingin ke destinasi luar disaran terus mematuhi peringatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun berada di luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai perkembangan dos penggalak, hairy berkata kehadiran untuk menerima dos penggalak menunjukkan perkembangan baik biarpun pada awalnya kehadiran janji temu tidak memberangsangkan.

Namun Khairy berkata ada warga emas yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai vaksin asal tidak hadir janji temu bagi dos penggalak.

“Diharap mereka segera dapat menerima dos penggalak, lebih-lebih lagi dengan perkembangan varian Omicron kini,” katanya.

Berdasarkan data KKM melalui laman COVIDNOW, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 2,457,510.

Khairy berkata kementerian juga dalam proses memuktamadkan sistem mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 dalam negara, selain mengemas kini Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan varian Omicron.

Mengenai penemuan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tentang kemunculan varian Omicron, Khairy berkata institut itu akan terus menerima data mengenai penjujukan genom dari negara lain mengenai varian itu.

“Jadi, dengan penjujukan genom ini, kita akan dapat mengesan Omicron dengan cepat melalui ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan membolehkan kita memberikan diagnosis yang lebih baik,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sirim bantu IMR, UPM bangunkan pelalian tempatan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sirim Bhd akan bekerjasama dengan institusi tempatan dalam kajian di peringkat permulaan pembangunan vaksin Covid-19 di Malaysia, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Ahmad Sabirin berkata tiga institut yang terlibat iaitu Institut Kajian Perubatan (IMR), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Veterinar di Ipoh, Perak serta Sirim berupaya melaksanakan pengujian bagi vaksin yang dibangunkan oleh tiga agensi ini.

“Sirim sedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan, agar mematuhi standard antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

“Sirim telah mengadakan perbincangan dengan pihak IMR untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin tersebut di peringkat pra-klinikal sebelum ‘clinical trials’ dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot,” katanya.

Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad bercakap pada sidang media selepas Program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim bersama Selvax di ibu pejabat Sirim, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim-Vaksin Selangor (Selvax) yang berlangsung selama satu hari di Ibu Pejabat Sirim, di sini yang dikendalikan oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ahmad Sabirin berkata Sirim juga mempunyai fasiliti untuk menjalankan ujian berkenaan di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Pengurusan (IBRC) yang telah memenuhi kriteria makmal ujian yang diperlukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kita punya fasiliti IBRC di Sirim ini…di mana kita mempunyai kelengkapan yang komprehensif di Malaysia bagi pengujian vaksin di negara ini, jadi kita cuba bekerja secara kolaboratif dengan semua agensi yang ada,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Sabirin berkata Sirim telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin itu adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

Ahmad Sabirin berkata ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada Sirim melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

Jelasnya, Sirim menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin ‘fill’ and ‘finish’, manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin ataupun tidak.

“Bagi ujian ketoksikan, Sirim menjalankan ujian Abnormal Toxicity di mana kumpulan vaksin yang telah ‘fill’ and ‘finish’ mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan, ujian ‘Immunoassay Relative Potency’ dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sirim Berhad Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali berkata Sirim menganjurkan program ini bagi memastikan anggota kerja selamat untuk keluar bekerja.

“Pada masa ini, pejabat Sirim di Sabah dan anak syarikat Sirim iaitu National Precision Tooling Sdn Bhd berjaya melengkapkan vaksinasi anggota kerjanya pada bulan ini. Program pandu lalu ini hari ini bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sidang media itu.

Terdahulu seramai 120 kakitangan Sirim Shah Alam dan keluarga mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang masih belum mendapat temujanji vaksin Covid-19, menerima dos pertama mereka hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19 mutasi D614G dikesan dalam negara – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan mutasi jenis D614G hasil ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia.

“Ia didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.

“Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas. Ujian awal ini dan beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, Ahad.

Mengulas lanjut, katanya mutasi D614G ini ditemui saintis pada Julai 2020 dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi ini.

Oleh itu, Dr Noor Hisham menyeru agar semua kekal mengaplikasikan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, pengamalan kebersihan kendiri dan memakai pelitup muka.

“Situasi terkini Covid-19 didapati masih terkawal dan Kementerian Kesihatan serta agensi lain masih berusaha membendung penularan Covid-19.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” jelasnya.

-BERNAMA