Categories
NASIONAL SELANGOR

Minta TNB, TM Baiki Kabel Runtuh Punca Banjir Kilat

yb shuhaimiSHAH ALAM, 18 DIS : Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) digesa segera bertindak terhadap runtuhan jambatan kabel yang menyekat laluan air ke Sungai Kandis, di sini sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Sri Muda.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya membuat aduan kepada jabatan berkaitan pada 3 November lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, banjir kilat dilaporkan masih berlaku sehingga semalam di sekitar kawasan Bukit Naga, Kampung Sri Gambut, Kampung Batu Lapan, Taman Sri Meena, Sentosa, Taman Mewah Jaya dan Bukit Rimau.

“Punca utama berlakunya banjir sudah tentu disebabkan hujan lebat, namun ia turut membabitkan masalah saliran. Kita  banyak bersihkan saliran tetapi masih terdapat parit yang yang belum dibaiki salah satunya kabel voltan ke arah Sungai Kandis.

“Jadi itu antara punca yang menyebabkan air tersekat dan tidak boleh mengalir. Bila air banyak, saliran itu akan bergerak perlahan dan menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya lagi, insiden banjir kilat kawasan Sri Muda dilaporkan berlaku sejak 16 November lalu.

“Untuk kawasan yang teruk dilanda banjir seperti Kampung Johan Setia, pihak JPS telah mengambil tindakan membersihkan 11 parit sepenuhnya. Maka apabila hujan turun, air tidak masuk ke dalam rumah dan mengalir terus ke Sungai Air Hitam.

“Beberapa kawasan lain belum diatasi sepenuhnya ekoran utiliti masih belum dibaiki. Bagaimanapun, kita akan laksanakan tindakan segera,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Projek Takungan Air RM 20 juta Dijangka Atasi Masalah Banjir

SHAH ALAM, 20 OKT : Kolam takungan air di Sri Sentosa yang dijangka siap dalam masa 18 bulan mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Daerah Klang kata ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Projek RM 20 juta itu diharap dapat menampung limpahan air jika hujan lebat di kawasan Bukit Naga, Seri Gambut , Jalan Pendamar, Johan Setia, Bandar Putera dan Bandar Puteri.

“Mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah Klang, projek itu akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja,” kata Shuhaimi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata penduduk Johan Setia dan Bandar Puteri yang terjejas akibat banjir semalam sudah kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan ke Dewan Al-Munirah Rumah Anak-Anak Yatim.

Mereka dipindahkan selepas air ketinggian paras paha masuk ke rumah mereka semalam.

Katanya, Pejabat Daerah Klang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

“Kita sedang merekodkan dan meninjau dari rumah ke rumah di mana ada warga emas yang tidak berupaya membersihkan rumah dan kita akan membantunya.

“Dan sekarang ini sedang berlaku proses pembersihan rumah yang mengalami masalah banjir,” jelas Shuhaimi.

Kata Shuhaimi, punca berlakunya banjir itu adalah ekoran Fenomena Astromical Tide yang sudah dijangkakan akan berlaku.

Shuhaimi juga menolak tuduhan bahawa pihak Adun dan Ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir itu.

“Dalam berita di TV3 ada budak-budak daripada Umno membuat tuduhan mengatakan Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk membawa ekskavator untuk membersihkan laluan air.

“Tuduhan itu berniat jahat kerana orang-orang itu tidak pernah berjumpa dengan pihak saya.

“Mereka hanya mengambil kesempatan politik apabila berlaku masalah banjir untuk menyalahkan kerajaan negeri, ahli parlimen dan adun,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

‘Trauma’ Banjir Penduduk Kajang Bakal Berakhir

KAJANG 23 JUN : Penduduk Bandar Kajang yang ‘trauma’ apabila berlaku  hujan lebat luarbiasa yang menyebabkan banjir kilat bakal berakhir apabila projek penebatan banjir akan bermula secepat mungkin.

Adun Kajang, Lee Kim Sin berkata, mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), tender untuk projek naik taraf jambatan yang menghalang pengaliran air sungai itu di Pasar Kajang sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak kontraktor yang layak.

“Sepatutnya pihak kontraktor sudah memulakan kerja di tapak dan pihak Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) telah berunding dengan pihak penjaja yang terlibat sebanyak empat unit gerai untuk dipindahkan sementara bagi kerja-kerja naik taraf jambatan itu,” katanya.

Jelas beliau, kos projek itu dijangka kurang daripada RM500,000.

“Jangkamasa projek ini untuk disiapkan ialah dalam masa dua bulan iaitu pada September ini akan siap jambatan yang baru yang akan ditinggikan satu meter daripada paras tanah dan dijangka pengaliran air tidak akan tersekat seperti dahulu,”katanya.

Beliau berkata, satu lagi projek menaiktaraf pembentung di bawah landasan keretapi yang dilaksanakan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) sedang dijalankan iaitu pelebaran muara Sungai Jelok dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Selepas kedua-dua projek ini siap maka keberangkalian untuk berlakunya banjir di pusat Bandar Kajang ini akan dikurangkan pada tahap minima,” jelasnya.

Ujar beliau, naik taraf bahagian Sungai Jelok di bandar Kajang yang melibatkan kos RM1.5 juta akan bermula sebaik kedua-dua projek ini siap.

“Aktiviti pembuangan sampah ke sungai perlu dipantau oleh pihak berkuasa tempatan agar kejadian banjir yang disebabkan aliran tersekat tidak berlaku.

“MPKj juga perlu memantau penyelenggaraan kolam takungan air di dua tapak pembinaan di sebelah hulu Sungai Jelok,” katanya.

Pada Disember 2011, Kajang dilanda banjir kilat yang luarbiasa sehingga menenggelamkan kira-kira 200 buah kereta serta disifatkan terburuk sejak 1971 apabila tiga perempat bandar itu ditenggelami banjir.