Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jumlah kes di Arab Saudi 132,048, korban lepasi 1,000

RIYADH, 16 JUN: Jumlah korban akibat Covid-19 di Arab Saudi melebihi 1,000 kes semalam, manakala jumlah jangkitan meningkat kepada 132,048 kes.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan negara itu, angka kematian meningkat kepada 1,011 orang ketika beberapa minggu lagi menjelang musim haji, lapor AFP.

Jumlah jangkitan meningkat selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut bermula Isnin.

Unit Rawatan Intensif di hospital Riyadh dan Jeddah penuh dengan pesakit Covid-19, yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara itu.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penutupan semula Jeddah, pintu masuk khas untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji ke Makkah.

Langkah itu termasuk larangan pergerakan bermula 3 petang hingga 6 pagi, penangguhan solat di masjid dan perintah tinggal di rumah untuk pekerja sektor awam dan swasta.

Pihak berkuasa belum mengumumkan penangguhan haji tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tetapi, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk sementara waktu menangguhkan persiapan untuk menunaikan haji tahunan.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta menunaikan haji dari seluruh dunia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua penerbangan pulang jemaah umrah berjalan biasa

PUTRAJAYA, 29 FEB: Semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Menurutnya, pihak konsulat telah membuat lawatan konsular ke lapangan terbang antarabangsa Jeddah dan Madinah semalam dan hari ini berikutan arahan sekatan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi bermula Khamis lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung penerbangan pulang ke Malaysia, wakil ejen jemaah umrah atau penumpang diminta berhubung dengan pihak konsulat untuk bantuan dan panduan sewajarnya,” kata konsulat itu.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permaidani merah sambut Agong di Jeddah

JEDDAH, 13 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Jeddah hari ini dari Madinah untuk mengerjakan umrah di Makkah.

Ketibaan Seri Paduka Baginda di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di sini pukul 11.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia), diberi sambutan hamparan permaidani merah oleh Gabenor Jeddah Putera Mishaal bin Majed bin AbdulAziz.

Seri Paduka Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat setempat, yang terdiri daripada 28 pegawai sebelum diteruskan dengan mesyuarat peribadi dengan Putera Mishaal.

Turut mengiringi Seri Paduka dalam penerbangan ialah Putera Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sultan Abdullah dan delegasi dijadual menuju ke Makkah dengan menaiki kereta, dengan tempoh perjalanan mengambil masa kira-kira sejam sebelum pulang semula ke Jeddah selepas menyempurnakan umrah.

Seri Paduka mendarat di Madinah semalam untuk lawatan khas tiga hari atas jemputan Raja Salman Salman bin Abdulaziz Al Saud, penjaga Dua Masjid Suci itu.

Jadual lawatan Seri Paduka Baginda pada Jumaat dimulakan dengan lawatan ke makam Nabi Muhammad di Masjid Nabawi, di mana Baginda menunaikan sembahyang Jumaat. Di sana Seri Paduka Baginda diiringi oleh Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Kemudian Seri Paduka Baginda menemui kira-kira 200 jemaah haji Malaysia, pelajar dan pekerja pada resepsi minum petang di mana Seri Paduka Baginda berharap rakyat Malaysia di sana akan terus membantu memelihara dan mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Jeddah banjir kilat, sekolah & universiti ditutup

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 22 NOV: Hujan lebat dan ribut petir menyebabkan beberapa kawasan di Jeddah, Arab Saudi mengalami banjir kilat memaksa pihak berkuasa menutup sekolah dan universiti serta ramai pemandu terkandas.

Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi melaporkan hujan lebat sehingga Rabu.

Penduduk tempatan yang terlibat banjir kilat itu memuat naik video menunjukkan seorang pemandu terpaksa keluar daripada kenderaan apabila jalan dilalui digenangi air.

Dibimbangi hujan berterusan di kawasan lain di Arab Saudi menyebabkan jabatan pendidikan menutup sekolah sementara bagi tujuan keselamatan pelajar.

Sementara itu sekolah dan universiti di Makkah turut ditutup ekoran hujan lebat.

Buletin dikeluarkan Pihak Berkuasa Umum Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar pada hari Isnin memperingatkan cuaca buruk di pelbagai bahagian wilayah dengan ribut pasir meniup di seluruh Qassim dan bahagian barat rantau Riyadh.

Pegawai pendidikan di Taif dan Jeddah mengeluarkan pengumuman berasingan menangguhkan sekolah-sekolah di semua peringkat, juga memetik buletin kuasa cuaca, menurut Badan Penerbitan Saudi (SPA).

Ia berkata hujan dan ribut petir dijangka di wilayah Madinah dan Makkah, termasuk kawasan pesisir serta kawasan pergunungan Jazan, Asir dan Baha.

Hujan lebat untuk hujan yang sederhana yang dikaitkan dengan debu dan ribut pasir juga berlaku di kawasan Tabuk, Sempadan Utara, Al Jouf dan Hail, kata agensi cuaca itu.

Dalam kejadian 2009, tragedi banjir menyebabkan seramai 123 terkorban dan 10 lagi terkorban dalam kejadian sama dua tahun kemudian.

SUMBER FOTO: ARAB NEWS

=EZY=