Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu memburuk di Lembah Klang

SHAH ALAM, 18 SEPT: Situasi jerebu di Lembah Klang semakin memburuk apabila beberapa lokasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 9 pagi tadi.

Empat lokasi di Selangor termasuk Petaling Jaya, Klang, Shah Alam dan Johan Setia (Klang) merekodkan peningkatan IPU sangat tidak sihat, pada pagi ini.

Johan Setia, Klang merekodkan bacaan IPU 260, Shah Alam (221), Petaling Jaya (205) dan Klang (202) sementara Kuala Selangor (198) dan Banting (187).

Putrajaya mencatatkan peningkatan IPU iaitu 203 (sangat tidak sihat), Cheras Wilayah Persekutuan (188) tidak sihat dan Batu Muda (196) tidak sihat.

Sebanyak 214 sekolah di Selangor membabitkan 231,921 pelajar ditutup hari ini kerana keadaan jerebu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah berkenaan menyaksikan pertambahan 99 sekolah di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama.

Bacaan IPU itu sebelum ini menunjukkan kualiti udara tidak sihat, namun semakin memburuk sejak 12 tengah malam tadi.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 100 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Lapan stesen mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat, 35 stesen tidak sihat dan 24 stesen sederhana.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu merebak, makin banyak kawasan sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima kawasan di empat negeri merekodkan bacaan kualiti udara sangat tidak sihat, tidak termasuk Sri Aman yang masih berada di paras bacaan berbahaya.

Keadaan jerebu di Perak kian serius apabila kualiti udara di banyak kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

Setakat jam 3 petang, Seri Manjung mencatatkan IPU sangat tidak sihat. Sementara Tasek di Ipoh, Pegoh (Ipoh) dan juga Taiping pula merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat.

Seri Manjung menunjukkan bacaan 217, Tasek (110), Pegoh (109) dan Taiping (104).

Sementara itu di Selangor pula, Johan Setia di Klang masih lagi berada pada kualiti udara sangat tidak sihat (233).

Lima lagi lokasi merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Kuala Selangor (179), Petaling Jaya (163), Shah Alam (171), Klang (194) dan Banting (183).

Di Negeri Sembilan, dua kawasan menunjukkan kualiti udara sangat tidak sihat: Port Dickson (208) dan Nilai (204).

IPU di Sri Aman, Sarawak terus mencatatkan paras berbahaya (386). Kuching pula menunjukkan bacaan sangat tidak sihat (214). Semua kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat kecuali Limbang, Miri dan Kuala Baram.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan dijangka Khamis atau Jumaat ini

SHAH ALAM, 17 SEPT: Operasi pembenihan awan (OPA) kali kedua dijangka dijalankan pada Khamis atau Jumaat ini bagi mengurangkan kesan jerebu di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, tindakan itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sangat tidak sihat, ketika ini.

Bagi Sarawak pula, beliau berkata, pihaknya menjangkakan operasi sama akan diadakan pada Jumaat atau Sabtu ini.

Katanya, menurut perancangan awal, MetMalaysia OPA kali kedua di sini akan dijalankan pada hari ini namun terpaksa dibatalkan kerana keadaan tidak sesuai.

“Pemantauan kami mendapati pada hari ini dan esok keadaan atmosfera adalah kering dan kuat berangin, jika kita jalankan juga pembenihan awan, awan tidak akan terbentuk.

“Jadi kemungkinan OPA seterusnya kami akan jalankan pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jailan berkata, pihaknya bagaimanapun akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan melakukan OPA jika keadaan mengizinkan.

“Untuk OPA ini, anggota dan alat kelengkapan kami sudah bersedia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dan boleh digerakkan pada bila-bila masa, bagi OPA di Sarawak pula kami mempunyai pangkalan operasi di Pangkalan TUDM Labuan,” katanya.

Semalam, MetMalaysia dalam kenyataan berkata, OPA sudah dijalankan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada tengah hari semalam.

Walaupun hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak di Selangor selain Seremban, Tampin dan Jelebu di Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Jasin di Melaka, keadaan jerebu bertambah serius pada petangnya dengan ratusan sekolah di seluruh negara ditutup hari ini ekoran IPU memasuki tahap sangat tidak sihat.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian ketika dihubungi berkata, Kerajaan Negeri negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Selangor sudah membuat permohonan supaya OPA dijalankan di kawasan yang mempunyai IPU melebihi 200, iaitu tahap sangat tidak sihat.

Di Selangor, sebanyak 201 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran IPU direkodkan melebihi 200 semalam dan pagi tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: Pesakit luar di hospital kerajaan meningkat

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Terdapat peningkatan antara 20 hingga 30 peratus pesakit luar di hospital kerajaan ekoran situasi jerebu yang melanda negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, terdapat peningkatan 30 peratus pesakit di perkhidmatan oftalmologi membabitkan kes mata kering dan alergi konjunktivitis.

“Kami ingin tegaskan fasiliti kesihatan khususnya klinik Kementerian Kesihatan bersiap siaga untuk menangani peningkatan mendadak (kes) akibat jerebu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di sini hari ini.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di 42 hospital kerajaan mengalami alergi konjungtivitis yang tidak berjangkit.

Tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan seperti mata merah, berair dan menyebabkan kes mata kering meningkat, katanya.

“Kita nasihati pesakit pakai artificial tears yang sesuai dan kurangkan pendedahan kepada aktiviti luaran,” katanya yang juga pakar perunding mata di Hospital Shah Alam.

Beliau menegaskan hospital Kementerian Kesihatan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi terutama untuk menghadapi situasi bermusim sedemikian dan belajar daripada musim jerebu lalu supaya lebih bersedia.

Dr Nor Fariza berkata, pesakit yang mendapatkan rawatan mata di Hospital Shah Alam berganda daripada 40 orang sehari kepada 80 orang sehari berikutan jerebu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Jerebu: Lima sekolah swasta di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima sekolah swasta di negeri ini ditutup susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat sehingga hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan berkata, sekolah terbabit ialah Straits International School, Rawang; Tenbi International School Setia Ecohill, Semenyih dan Tanarata International School di Kajang.

Turut ditutup ialah Cempaka International School Cheras dan King Henry VIII School di Cyberjaya.

“Penutupan itu membabitkan 1,843 murid secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu.

Selain Selangor, empat sekolah swasta di Kuala Lumpur turut ditutup antaranya Sri Utama School, Garden International School dan Eaton International School.

Sementara Putrajaya pula ialah International Modern Arabic School dan Nexus International School, di Negeri Sembilan pula hanya satu sekolah swasta ditutup.

Terdahulu, laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia, Klang didapati semakin meningkat iaitu 238 sehingga 12 tengahari ini.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 197 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor pula 191, Banting mencatatkan bacaan 183, Shah Alam 173 dan Petaling Jaya 163, sekali gus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar nasihat warga Port Dickson had aktiviti luar

SEREMBAN, 17 SEPT: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan penduduk di daerah berkenaan menghadkan aktiviti di luar premis ekoran bacaaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sangat tidak sihat.

Beliau juga turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga terutama kepada mereka yang bekerja.

“Kegiatan fizikal di luar juga terutama untuk warga emas dan kanak-kanak harus dikurangkan sehingga jerebu kembali pulih.

“Orang ramai juga disaran menggunakan topeng muka yang sesuai untuk mengurangkan kesan kepada kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anwar berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson pada tengah hari ini akan juga mengedarkan topeng muka N95 kepada orang ramai.

Setakat 10 pagi ini, dua daerah di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Port Dickson dan Nilai.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Port Dickson merekodkan bacaan IPU 213, Nilai (205), manakala Seremban (177).

Setakat ini, 63 sekolah di Port Dickson ditutup susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu melebihi 200.

Di Nilai, setakat ini menurut Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali, sesi persekolahan di sebelah pagi berjalan seperti biasa manakala sesi pembelajaran di sebelah petang, ditutup.

“Bagaimana pun, ibu bapa dibenarkan mengambil anak mereka,” katanya kepada Bernama.

Sebanyak sembilan sekolah di Nilai ditutup untuk sesi petang, menjadikan kesemuanya 72 sekolah ditutup di negeri ini setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

298 sekolah ditutup di Sarawak ekoran jerebu

KUCHING, 17 SEPT: Sebanyak 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup hari ini ekoran jerebu dengan Sri Aman merekodkan kualiti udara tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata, ia membabitkan 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Seramai 128,291 pelajar terjejas ekoran penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Kualiti udara di Sri Aman mencapai tahap bahaya secara mendadak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 352 pada 6 pagi dan meningkat kepada 365 dua jam kemudian, berbanding 214 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri berkata setakat 8 pagi, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 219, berbanding 215, dua jam sebelumnya.

Katanya lapan daerah kekal mencatatkan bacaan IPU tidak Sihat iaitu Samarahan (160), Sarikei (148), Sibu (166), Bintulu (129), Mukah (140), Samalaju (113), ILP Miri (107) dan Miri (126).

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Aktivis kritik Indonesia tidak serius tangani kebakaran

JAKARTA, 17 SEPT: Aktivis alam sekitar Indonesia mengkritik pemerintah yang dilihat tidak serius menangani kebakaran, sehingga berlaku jerebu teruk dan menjejaskan keselamatan awam.

Memetik laporan media tempatan, jerebu itu bukan sahaja menyusahkan rakyat tempatan, malah kini merentasi sempadan dan menjejaskan negara jiran.

Ketua Sumber Daya Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) Khalisah Khalid mendakwa jangankan tindakan tegas dilakukan terhadap mereka atau syarikat yang sengaja membakar hutan ketika ini, malah 10 syarikat yang didapati bersalah dalam kebakaran hutan pada 2012 hingga 2015 juga belum dikenakan tindakan.

Direktur Eksekutif WALHI di Jambi, Rudiansyah pula mendakwa pemerintah hanya mengambil tindakan terpilih kepada pelaku pembakaran hutan.

“Lebih 11,000 hekatar kawasan hutan terbakar di Jambi dan tiada apa apa pun tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik agensi berita Antara, turut melahirkan kekesalannya terhadap pemerintah daerah dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk di provinsi Kalimantan, Riau dan Jambi.

“Pasukan (pemadam api) kita tambahkan. Tetapi sekali lagi, kalau tidak ada dukungan dari pemerintah daerah, ini adalah pekerjaan besar yang sulit diselesaikan.

“Kita memiliki semuanya, tapi tidak ditertibkan secara baik. Kalau infrastruktur ini diaktifkan secara baik, saya yakin, kebakaran hutan akan dapat ditangani,” kata Jokowi.

Menurut laporan Antara, masyarakat juga kesal kerana Gabernor Riau, Syamsuar dan Wali Kota Pekanbaru, Firdaus kini berada di luar negara ketika masalah jerebu kian memburuk.

Sejak Januari lepas, lebih 42,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa provinsi di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: Semua sekolah di Port Dickson ditutup

SEREMBAN, 17 SEPT: Kesemua 63 sekolah di Port Dickson ditutup hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu melebihi 200.

Setakat pukul 8 pagi ini, IPU di Port Dickson merekodkan bacaan 211 iaitu sangat tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata semua pelajar terbabit tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

“Manakala guru masih perlu hadir ke sekolah tetapi perlu memakai penutup hidung dan mulut untuk melindungi daripada jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan negeri akan terus memantau keadaan dan akan membuat makluman dari semasa ke semasa.

Setakat 8 pagi ini, IPU di dua lagi daerah di negeri ini merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Nilai (199) dan Seremban (174).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ASEAN perlu tangani punca fizikal, politik isu kebakaran hutan, jerebu

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey berkata, visi ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada iltizam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.

“Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran yang sedang berlaku dipadamkan sepenuhnya.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutanya juga akan bebas jerebu,” katanya dalam temuramah dengan Bernama menerusi e-mel.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawsan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini.

Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka.

Sementara itu, jerebu rentas sempadan daripada kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera telah menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak dan Johor ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di beberapa daerah di dua negeri itu mencatatkan paras sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia sekali lagi enggan menerima kesalahan itu, mendakwa asap jerebu yang menjejaskan Kuala Lumpur berpunca dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ia menolak aduan Malaysia berhubung asap bahaya yang berpunca daripada kebakaran hutannya yang merebak merentas sempadan, menyatakan kebakaran turut berlaku di bahagian Malaysia dan ladang milik Malaysia di Indonesia.

Varkkey berkata, saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan membantu, berikutan Presiden Joko Widodo, sejak beberapa tahun lepas, menyatakan bahawa walaupun berlaku kebakaran hutan di Indonesia, ini tidak menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Namun, Malaysia bergantung pada data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan kebanyakan asap itu datang dari Indonesia.

“Bagaimanapun, kita juga perlu mengakui bahawa kita juga mempunyai beberapa kejadian kebakaran di kawsan kita, walaupun ia tidak sebesar yang berlaku (di Indonesia’s) – ini tidak patut diketepikan.

“Juga terdapat isu berterusan mengenai latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia yang juga mungkin mempunyai peranan dalam pembersihan hutan yang secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kebakaran,” kata Varkkey.

Beliau berkata, kedua-dua negara perlu melihat lebih jauh daripada saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung puncanya, dan sebaliknya perlu memberi tumpuan pada mencari penyelesaiannya – melaksanakan kerjasama berkesan dalam aktiviti pencegahan, dan segera menyelaraskan bantuan rentas sempadan pada peringkat awal kebakaran.

Satu contoh aktiviti pencegahan itu adalah melaksanakan semula inisiatif dalam memorandum persefahaman lama antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran, kata Varkkey.

Beliau berkata, keadaan di kawasan terbabit juga amat bergantung pada keadaan cuaca seperti El Nino dan angin Monsun yang menyebabkan kemarau dan angin yang meniupkan asap ke jarak jauh dan meluas dan pada tahun tertentu cuaca adalah baik.

Untuk mencapai rantau bebas jerebu, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan, kekal berair dan tidak mudah terbakar; melindungi hutan sensitif daripada ditebang; dan mengawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian dan perladangan.

Varkkey berkata, penyelesaian jangka pendek seperti penggunaan penutup mulut dan hidung mungkin membantu dalam mengurangkan kerengsaan dan mungkin menjadikan orang lebih berani untuk keluar bekerja dan menjalankan aktiviti seperti biasa, tetapi kebanyakan penutup mulut dan hidung tidak mampu menghalang zarah kecil daripada menyerap masuk yang berbahaya kepada kesihatan untuk jangka panjang.

“Dari segi lebih menyeluruh, kos kesihatan semakin meningkat dalam kalangan populasi. Lebih banyak perbelanjaan tidak dijangka digunakan untuk pergi ke klinik dan hospital, serta untuk mendapatkan ubat di farmasi.

“Hari bekerja tenaga kerja hilang kerana cuti sakit yang diambil, atau jika kanak-kanak sakit, ibu bapa perlu mengambil cuti untuk menjaga mereka. Ini bermakna penurunan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Secara menyeluruh, Varkkey berkata, kesan terhadap ekonomi akan bergantung kepada betapa teruknya jerebu, dan berapa lama ia berlarutan.

Beliau menegaskan kesannya tidak mudah untuk ditaksirkan dan biasanya kuantitinya hanya dapat diketahui selepas masalah jerebu berakhir.

Sektor pertanian mungkin turut terjejas, sekiranya jerebu berpanjangan untuk tempoh lama, kerana tanaman akan terjejas berikutan kadar fotosintesis berkurangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jerebu: Bahagian barat Singapura masuk peringkat ‘tidak sihat’

SINGAPURA, 14 SEPT: Kualiti udara di Singapura memasuki tahap “Tidak Sihat” dengan bacaan Pollutant Standard Index (PSI) 24-jam mencecah 106 di bahagian barat Pulau Kota Raya ini hari ini.

Pada catatan 5 petang, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) berkata bacaan itu adalah antara 87 dan 106 dengan catatan terendah di bahagian timur republik ini.

Pada bacaan 101 dan 200, PSI 24-jam berada pada tahap “Tidak Sihat”.

“Bila berlaku PSI di tahap Tidak Sihat, mengurangkan aktiviti luar dan gerakan fizikal yang berat boleh membantu mengurangkan gangguan penyakit dari pendedahan jerebu,” nasihat NEA.

NEA menyatakan ia memantau keadaan secara dekat dan akan menyampaikan maklumat terkini bila perlu.

Menurut agensi itu, angin utama yang bertiup dari selatan dan barat daya akan meningkatkan keadaan jerebu di Singapura.

Agensi itu berkata cuaca terus kering di kebanyakan bahagian rantau ini termasuk Sumatra dan Kalimantan.

NEA berkata, sejumlah 156 tompok panas dikesan di Sumatra, kebanyakannya di bahagian tengah dan selatan pulau itu pada Jumaat.

Jerebu sederhana dan tebal terus berlaku dari tompok panas di sana dan keadaan berjerebu terus berlaku di Singapura dan beberapa bahagian Semenanjung Malaysia, katanya.

Di Kalimantan, sejumlah 1,043 tompok panas dikesan semalam. Jerebu yang tersebar meluas terus muncul di banyak kawasan di Kalimantan, dan sebahagian jerebu ditiup angin utama ke bahagian barat Sarawak dan kawasan laut sekitarnya.

Untuk beberapa hari akan datang, hujan sekejap-sekejap diramalkan di Singapura tetapi cuaca di Sumatra dan Kalimantan diramalkan kering pada umumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantu Indonesia tangani masalah jerebu

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Malaysia akan membantu Indonesia dengan apa cara yang mungkin dan sesuai dalam menangani masalah jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Seklitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Beliau berkata Malaysia telahpun menyampaikan mesej itu kepada Indonesia, bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

“Pihak Malaysia melalui Kedutaan kita telah (menyatakan) untuk menghulurkan apa-apa sokongan atau bantuan yang diperlukan bagi memadam kebakaran, kita akan hulurkan bantuan kepada mereka (Indonesia).

“Kita siap sedia jika dan bila mereka menerima tawaran kita,” kata beliau ketika ditemui selepas mesyuarat khas Kabinet mengenai Kemakmuran Bersama di Perdana Putra di sini hari ini.

Yeo berkata oleh kerana ASEAN ketika ini tidak mempunyai akta jerebu rentas sempadan di peringkat serantau, penguatkuasaan berhubungn masalah jerebu perlu ditangani mengikuti negara individu itu sendiri.

“Oleh itu Indonesia hendaklah melakukan apa yang perlu bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah bertindak melanggar undang-undang,” kata beliau.

Dalam pada itu, Yeo berkata beberapa prosedur pembenihan awan akan dilakukan dalam bebereapa hari ini.

“Kita akan tumpukan untuk mencari masa yang sesuai untuk buat pembenihan awan di Selangor sebab kualiti udara telah pun merosot tapi kena tengok awan dan situasi awan.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang penting sekarang ialah memadamkan kebakaran hutan di Indonesia.

Katanya, menurut laporan, terdapat 30 syarikat bertanggung terhadap kebakaran hutan di Indeonsia.

-BERNAMA