Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Mizan anggap Jho Low watak tidak menyenangkan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin menganggap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, sebagai watak yang tidak menyenangkan.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, bersetuju dengan cadangan itu oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-10 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee: Menurut minit-minit tersebut, Jho Low menyalahgambarkan Sultan. Anda tahu bagaimana Sultan Terengganu menganggap Jho Low, dan baginda bertitah Jho Low adalah watak yang tidak menyenangkan?

Amhari Efendi: Ya, berdasarkan minit.

Saksi juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa negeri Terengganu tidak senang hati dengan Jho Low kerana dia memanipulasi Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA). TIA dinamakan semula sebagai 1MDB pada September 2009.

Muhammad Shafee: Saya katakan anda tahu (gambaran salah), tetapi anda gagal memaklumkan ini kepada ketua anda mahupun kepada Najib.

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju

Saksi pendakwaan kelapan itu sekali lagi bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Jho Low mempunyai cita-cita untuk mempunyai perkongsian dengan syarikat Mubadala Development di sektor minyak dan gas Terengganu tanpa pengetahuan TIA.

Apabila ditanya sama ada Jho Low telah menyebut tentang ‘cita-cita utama’ (perkongsian dengan Mubadala) kepadanya, saksi itu berkata “Tidak”.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kempat-empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan branch, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan 21 pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low berminat idea penubuhan TIA sejak 2008

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low menunjukkan minat dengan idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sejak ia dicadangkan pada 2008.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 Disember 2008 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelapan perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amhari Efendi, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkata beliau mengetahui dari awal lagi pembabitan Jho Low dalam projek TIA serta pembabitannya dalam membentangkan deraf cadangan projek berkenaan.

Muhammad Shafee turut mencadangkan kepada saksi bahawa idea penubuhan TIA diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata, beliau mengetahui bahawa Jho Low terbabit pada peringkat awal (cadangan penubuhan TIA) dan tidak tahu ia adalah idea Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, TIA yang kemudiannya ditukar kepada 1MDB merupakan ‘baby’ Najib.

Ketika disoal Muhammad Shafee apa yang dimaksudkan bahawa projek TIA itu ‘baby’ Najib, Amhari Efendi berkata ‘baby’ dalam konteks itu adalah sesuatu yang penting, dilahirkan dan diinspirasikan seperti projek 1MDB.

“Pada waktu itu, dalam konteks Najib akan menjadi perdana menteri (PM), jadi ‘baby’ adalah sesuatu perkara yang ingin beliau lakukan sebelum jadi PM…sesuatu yang sangat rapat dengannya seperti 1MDB atau dasar…sesuatu yang beliau ingin ‘carry’ yang ‘important’ untuknya.

“Ini adalah ‘baby’ dia dan ia sangat penting bagi dia,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee: Saya katakan bahawa kamu telah mengetahui lebih awal TIA bukan ‘baby’ kepada Najib tetapi ia idea dari Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin)

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Semasa dirujuk kepada Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Dis 2008, Amhari Efendi mengesahkan cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan bagi negeri itu.

Dalam minit mesyuarat itu turut menyatakan dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pengeluaran bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan sebanyak RM5 bilion bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu.

Saksi itu turut mengesahkan minit mesyuarat itu juga menyatakan penubuhan TIA adalah satu cadangan yang baik bertujuan memastikan pendapatan negeri Terengganu mencukupi untuk menjana pembangunan generasi akan datang bagi menghadapi keadaan di mana satu hari kelak negeri itu akan kehabisan sumber minyak dan gas.

Dalam pada itu, Amhari Efendi mengesahkan bahawa beliau menghadiri Mesyuarat TIA sebagai sekretariat pada 5 Mac 2009.

Namun, Amhari Efendi berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada minit mesyuarat itu dicatit olehnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jho Low penasihat khas tidak rasmi Najib

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat khas tidak rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menjalankan tugas khas belakang tabir termasuk menguruskan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin berkata, selain menguruskan syarikat itu, Jho Low turut menjalankan tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui pihak luar.

Katanya, ia membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan dan dasar serta kerja kebajikan.

“Setiap arahan diberikan Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib.

“Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu, namun ada kalanya dan bila perlu, Datuk Azlin Alias, yang ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib atau saya sendiri pernah bertanya semula kepadanya (Najib) berhubung arahan itu untuk mendapatkan kepastian.

“Pada kebanyakan masa, saya dimaklumkan Najib bahawa arahan yang diberikan Jho Low dipersetujui olehnya dan Datuk Azlin juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa setelah diperiksa, arahan yang Jho Low berikan sentiasa dipersetujui Najib dan kami diminta membuat tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi, 43, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Jho Low juga adalah pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau G to G serta pencatur politik Najib termasuk dana yang diperoleh bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau yang kini tidak bekerja memaklumkan bahawa Jho Low akan mengarahkannya dan Datuk Azlin dalam melaksanakan arahan Najib.

“Selain itu, ada juga individu lain yang turut dikenali Jho Low di PMO yang akan mengambil tindakan terhadap arahannya serta kebanyakan arahan ini akan dilaksanakan,” katanya yang turut memaklumkan walaupun Jho Low masih muda, tetapi beliau mempunyai karisma dan kuasa luar biasa.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan sepanjang berkhidmat dengan Najib, beliau selalu berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perkara sulit.

“Ada masa, arahan khas membabitkan perkara sulit kepada Datuk Azlin atau saya turut datang daripada Jho Low dan saya pasti arahan itu kebanyakannya disampaikan atau diketahui serta dipersetujui Najib sendiri.

“Saya katakan begitu kerana kebanyakan masa, Datuk Azlin atau saya akan semak semula arahan diterima daripada Jho Low dan Najib, kami dapati beliau (Najib) sedia maklum serta mengetahuinya dan ada masanya beliau bersetuju serta mengarahkan kami untuk melaksanakannya,” katanya.

Amhari Efendi, yang juga seorang daripada saksi penting berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPN: Proses rundingan bawa Jho Low sedang berlangsung

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses rundingan dengan pihak berkuasa sebuah negara untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, usaha dan rundingan itu perlu dijalankan dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan usaha berkenaan tidak tersilap langkah.

Beliau berkata, PDRM tidak mahu pihak berkuasa di negara yang Jho Low sedang bersembunyi berasa seolah-olah PDRM sedang memberi tekanan kepada mereka.

“Bagaimanapun, proses rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkuasa di negara berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pulapol, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya berharap pihak berkuasa yang mana Jho Low tengah bersembunyi itu faham bahawa keperluan PDRM untuk membawa dia balik menghadapi proses pertuduhan dan undang-undang di negara ini.

“InsyaAllah, kami sedang menunggu kes ini (Jho Low) yang telah berlarutan selama empat tahun, kalau saya cakap sebulan atau dua bulan..mungkin pendek lagi pasal kes ini yang sudah lama berlaku,” katanya.

Pada Mei lepas, Abdul Hamid berkata, PDRM mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes membabitkan skandal 1MDB.

Selain itu, PDRM juga memberi jaminan keselamatan kepada Jho Low untuk pulang ke tanah air bagi melalui proses undang-undang. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPN nafi mesej tular tentang penahanan Jho Low

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini menafikan mesej yang tular di media sosial mendakwa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, telah ditahan.

“Kami sedang berusaha ke arah itu tetapi tiada apa yang dimuktamadkan lagi. Mesej itu tidak betul,” katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.

Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditahan pihak berkuasa China dan akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi jaminan kepada Jho Low bahawa adalah selamat baginya untuk kembali ke Malaysia bagi menjalani proses perundangan.

Pada Khamis (30 Mei) Abdul Hamid berkata Jho Low dijangka ditahan tidak lama lagi dan polis yakin dapat membawanya pulang ke tanah air untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata polis mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan Jho Low. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jho Low akan ditahan dalam tempoh terdekat – Abdul Hamid

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dijangka ditahan dalam tempoh terdekat, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata pihaknya yakin dapat membawa Jho Low pulang ke negara ini untuk dibicarakan ke muka keadilan.

“Insya-Allah bila saya kata saya yakin kami boleh bawa dia (Jho Low) balik dalam masa terdekat maka dalam masa terdekatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Jho Low selepas program kepolisan berprofil tinggi di tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, di sini, hari ini

Rabu lepas, Abdul Hamid berkata, polis mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis ada petunjuk positif lokasi Jho Low

PASIR MAS, 22 MEI: Polis mempunyai petunjuk positif berhubung keberadaan Low Taek Jho atau Jho Low, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, polis akan cuba membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ke Malaysia dalam masa terdekat kerana ‘mempunyai beberapa petunjuk baharu’.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan petunjuk baharu yang dikumpul polis ketika ini berhubung ahli perniagaan terbabit.

“Saya serius ni (ada petunjuk baharu), tapi sabar. Mana dia nak menyorok… tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di sini, hari ini.

Ditanya adakah Jho Low berada di China, beliau berkata:” saya tak cakap,”

Katanya, tindakan yang dilakukan Jho Low menyebabkan negara berhutang dengan kadar tinggi dan ahli perniagaan itu sepatutnya menerima balasan terhadap perbuatannya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu yang sering membuat kenyataan melalui peguamnya dari Macau dan Hong Kong sebagai pengecut.

“Rompakan yang dibuat Jho Low menyebabkan negara berhutang. Bila dia dibawa ke mahkamah, insyaAllah akan keluar segala penipuan yang dia lakukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes babit akaun bapa Jho Low didengar pada 19 Julai

KUALA LUMPUR, 19 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Julai bagi mana-mana pihak ketiga yang berhasrat menentang perlucuthakan wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, untuk hadir di mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan itu untuk pihak-pihak berkenaan hadir menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucuthakkan kepada kerajaan.

Mohamed Zaini juga bersetuju dengan permohonan pendakwaan supaya mewartakan notis yang mempelawa pihak ketiga hadir mengemukakan alasan terhadap tindakan pelucuthakan itu beberapa hari atau minggu sebelum perbicaraan.

“Terdapat keperluan mewartakan notis supaya sebarang tuntutan diketahui oleh mahkamah sebelum mahkamah dapat mempertimbangan perlucuthakan aset berkenaan,” kata hakim.

Wang yang dibekukan oleh pihak berkuasa dalam akaun Larry Low dipercayai sebahagian daripada penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abilash Paul Chelliah memberitahu mahkamah bahawa pihak berkuasa tidak mengetahui di mana responden (Larry Low) berada sebagaimana disahkan dalam afidavit pegawai penyiasat Supt Foo Wei Min, yang menunjukkan beliau tidak berada di Malaysia.

“Polis juga memfailkan tuduhan terhadap beliau dan waran tangkap telah dikeluarkan. Kami memohon bantuan Interpol untuk mengesan beliau tetapi setakat ini tidak berjaya,” katanya dan memohon supaya notis berkenaan dikeluarkan.

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.

Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PDRM, INTERPOL terus kesan Jho Low

GENTING HIGHLANDS, 13 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih aktif berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pihak berkuasa China, bagi mengesan lokasi terkini Jho Low.

“Kita masih berhubung dengan INTERPOL. Ada juga bermesyuarat dengan pihak berkuasa China (membincangkan isu berbangkit),” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Mesyuarat Peringkat Tertinggi PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kali Ke-4, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Jho Low menjadi perhatian dunia kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB, menyebabkan dia masih diburu pihak berkuasa di negara ini.

Sehingga kini, beberapa tindakan diambil untuk menjejakinya seperti membatalkan pasport antarabangsa milik ahli perniagaan itu oleh Jabatan Imigresen.

Categories
NASIONAL

Jho Low didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low Teck atau Jho Low bersama empat individu lain bakal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

Memetik BHOnline, Jho Low akan didakwa tanpa kehadirannya (absentia), di empat Mahkamah Sesyen berbeza. termasuk empat individu lagi.

Difahamkan mereka akan didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

Skandal terbabit turut dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehingga kini Jho Low masih bersembunyi dan dikehendaki di seluruh dunia.

Categories
NASIONAL

PM: Dakwaan Jho Low tidak berasas

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menafikan dakwaan jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang mengaitkannya dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan isu penyerahan kapal layar mewah, Equanimity.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan sekiranya benar dirinya boleh dianggap lebih hebat berbanding Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Kalau begitu, saya bangga kerana boleh bercakap bagi pihak kerajaan AS.

“Seharusnya Jho Low tanya kepada DOJ berhubung perkara itu,” katanya kepada media selepas melawat pameran seni, Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir berkata demikian berhubung dakwaan Jho Low melalui jurucakapnya, menyatakan rampasan dilakukan Malaysia ke atas kapal layar mewah, Equanimity bernilai kira-kira AS$250 juta itu sebagai tidak sah dan ‘merampas’ prosiding undang-undang negara lain.

Beliau turut mendakwa pembabitan pihak berkuasa AS berkaitan penyerahan kapal dikaitkan menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Indonesia ke Malaysia, yang sampai di Pelabuhan Klang, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan berusaha mendapatkan semula jet persendirian, Bombardier Global 5000 dikaitkan Jho Low yang dikatakan dirampas kerajaan Singapura.

“Saya kira kerajaan harus juga membawa jet itu kembali ke Malaysia,” katanya.

Jet bernilai lebih AS$5 juta turut dikaitkan dengan dana 1MDB dikatakan dimiliki Jho Loe dilaporkan ketika ini berada dalam simpanan kerajaan Singapura.

Categories
NASIONAL

1MDB : Apa tindakan pihak berkuasa Malaysia?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Pendedahan mengenai dakwaan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berunding dengan ahli perniagaan Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” supaya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digugurkan kini kembali menjadi tumpuan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kes besar itu.

“Pendedahan ini dibuat selepas rampasan kapal layar Equanimity di Bali ini membawa skandal 1MDB kembali dalam tumpuan.

“Apabila pihak berkuasa seluruh dunia memberi fokus kepada skandal ini, kita wajib bertanya, apa yang dibuat pihak berkuasa Malaysia?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Wall Street Journal (WSJ) pernah menerbitkan tuduhan baru berkaitan skandal 1MDB.

“Menurut WSJ, penyumbang utama Parti Republikan Elliott Broidy dan isterinya, peguam Robin Rosenweig mengadakan perbincangan dengan Jho Low mengenai kontrak perundingan.

“Broidy dilaporkan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Artikel WSJ mendakwa bahawa salah satu terma kontrak adalah yuran 75 juta dolar Amerika (RM295 juta) sekiranya Jabatan Kehakiman (DOJ) menghentikan siasatan skandal 1MDB,” katanya.

Malah, Nik Nazmi dalam kenyataanya berkata, Broidy juga pernah menyediakan nota percakapan (talking point) untuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Washington DC pada 2017 untuk bertemu dengan Presiden Trump.

Beliau berkata, Broidy di samping firma guaman Rosenweig, Colfax Law Office Inc., kedua-duanya menafikan mewakili Malaysia atau pemimpinnya atas sebarang kapasiti.

“Mereka mengakui firma mereka dilantik Pras Michel, sahabat Low bertujuan memberikan nasihat strategik sebagai pasukan yang lebih besar kepada Low,” katanya.