Categories
NASIONAL

Mohamed Azmin bidas ‘U Turn’ Zahid Hamidi isu Jho Low

SHAH ALAM 24 OKT: Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan “U” terhadap kenyataannya mengenai Malaysia meminta bantuan daripada Interpol untuk mengesan Low Taek Jho, atau Jho Low dibidas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin di laman media sosial Twitter berkata cubaan Zahid memutarbelitkan fakta tidak berhasil.

Dalam tweet seterusnya, Mohamed Azmin juga bertanya sama ada Zahid “dimarahi” oleh “bosnya”.

Di Dewan Rakyat semalam, Zahid Hamidi berkata Polis Malaysia telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Low, yang dikenalpasti watak utama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menjawab soalan Mohamed Azmin, yang juga ahli Parlimen Gombak.

Bagaimanapun, Zahid Hamidi kemudian berkata ucapannya telah “dimanipulasi”, dan menjelaskan yang permintaan bantuan Interpol tidak lagi aktif kerana fail kes melibatkan Low sudah ditutup.

Penyiasat AS mendakwa bahawa Low adalah dalang penyelewengan wang daripada firma belaburan negara 1MDB. Lokasinya sekarang tidak diketahui.

Mohamed Azmin sebelum ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memaksa polis dan ketua polis negara menangkap Jho Low.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah awal bulan ini selepas membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara yang mewakili polis.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

IGP enggan respon, Azmin fail saman minggu depan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar minggu depan selepas Khalid tidak mahu memberi respon kepada notis tuntutan terhadap tindakan penangkapan dan ekstradisi Low Taek Jho atau Jho Low.

Selasa lalu, Mohamed Azmin memfailkan notis itu menerusi peguam, Latheefa Koya menyatakan, IGP diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh notis (1 Ogos 2017) untuk mengambil tindakan sewajarnya dan tindakan undang-undang akan diambil jika beliau gagal berbuat demikian.

Latheefa berkata anak guamnya itu tidak akan menunggu sehingga tamat tempoh 14 hari notis tuntutan itu, untuk mengambil tindakan seterusnya.

Latheefa Koya“Azmin memberikan IGP peluang untuk melaksanakan kewajipan berkanunnya untuk membawa balik Jho Low untuk siasatan.

“Tetapi kerana beliau tidak berminat, kita akan jumpanya di mahkamah,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Khalid semalam berkata siasatan ke atas 1MDB masih berterusan dan oleh itu, beliau tidak mahu respons kepada tuntutan Azmin untuk polis mencari Jho Low.

“Jadi, ambillah tindakan mahkamah. Saya tunggulah,” kata Khalid.

Notis tuntutan itu sebelum ini dimaklumkan oleh Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong dalam kenyataan.

Low disyaki terlibat dalam jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 406 atau Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Low yang tidak diketahui keberadaannya dikaitkan dengan skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion ringgit dana itu didakwa dilesapkan. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Awal bulan lepas, seorang jurucakap Low dipetik dalam laporan berita sebagai mendakwa bahawa percubaan untuk mengaitkannya dengan mereka yang mengaku bersalah dalam kes-kes mahkamah yang berkaitan dengan 1MDB di Singapura adalah “berasaskan kepada andaian yang tidak berasas”.

Ia sebagai respons kepada laporan bahawa pendakwa di Singapura telah memberitahu mahkamah bahawa Low adalah individu utama dalam siasatan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Categories
NASIONAL

Bekas model pulang barangan kemas USD8.1 juta babit 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah memuji bekas model Victoria Secret, Miranda Kerr yang memulangkan barangan kemas bernilai USD8.1 juta kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) selepas barangan tersebut didedahkan dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Izzah berkata, barangan kemas itu sebelum ini dilapokan dihadiahkan kepada Kerr oleh watak utama di sebalik skandal 1MDB, Jho Low sewaktu beliau cuba memikat model kelahiran Australia itu.

Nurul Izzah“Model ini lebih bermaruah berbanding pemerintah negara yang terlibat skandal merosakkan imej negara.

“Kita harap perompak dalam negara sendiri juga diberi kesedaran untuk memulangkan ‘permata’ yang dirampas hasil kepunyaan rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu kenyataan.

Menurut akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap Kerr yang memaklumkan bahawa model tersebut memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

“Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan.

“Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya,” katanya.

DoJTambah Nurul Izzah lagi, DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan rakannya Eric Tan membelanjakan USD200 juta untuk membeli kemas.

“Low dilapor membelanjakan sekurang-kurangnya USD9.9 juta untuk barang kemas buat Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.

“Menurut DOJ, pembelian pertama direkodkan ahli perniagaan itu menggunakan wang penyelewengan 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin dan anting-anting berlian untuk ibunya,” katanya.

Categories
NASIONAL

1MDB: Tiada siasatan, menteri mengaku tak tahu mana Jho Low

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Lokasi ahli perniagaan terkenal, Jho Low dan empat individu lain dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan skandal 1MDB tidak diketahui ke mana menghilang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata hal itu berikutan tiada siasatan dan permohonan dikemukakan kepada Polis Interpol untuk mengesan individu terbabit.

Katanya, dalam jawapan bertulis oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada beliau menyatakan selain Jho Low, inidividu lain turut tidak diketahui berada di mana adalah Nik Faisal Ariff Kamil, Suboh Md Yassin, Cassey Tang dan Jasmine Loo.

WONG CHEN“Interpol Polis DiRaja Malaysia tidak dapat mengesan dan menentukan di mana mereka berada ketika ini memandangkan tiada siasatan dibuat oleh polis terhadap mereka dan tiada permohonan kepada Interpol untuk membantu mengesan kedudukan mereka.

“Sejak 22 Julai, Jho Low, Nik Faisal dan Suboh dikenhendaki SPRM untuk disoal. Casey dan Jasmine pula dikehendaki BNM untuk tujuan sama di mana sudah menjadi pengetahuan umum mereka adalah lima kunci yang sudah tiada di Malaysia sejak Julai 2015 lagi,” kata Wong Chen pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wong Chen juga percaya individu terbabit boleh dikesan sekiranya pihak berkuasa berusaha mengesan mereka apabila dalam satu laporan New York Times menyatakan Jasmine dikesan mendiami salah satu apartment mewah di New York.

“Lima individu yang menjadi kunci siasatan 1MDB ini tidak menyorok di dalam Gua Tora Bora tetapi mereka tinggal di kawasan mewah dan menarik perhatian,” katanya.

Wong Chen turut menggesa BNM dan SPRM segera membuat permohonan kepada Interpol untuk mengesan kelima-lima individu terlibat.