Categories
NASIONAL

Philip Tan : Tuduhan Membuang Angpow Bermotifkan Politik Jahat

philip tan pc kaum 02

KUALA LANGAT, 3 MAC : Adun Teluk Datuk, Philip Tan Choon Swee menafikan membuang ‘angpow’ merata-rata untuk dikutip penduduk ketika sambutan Tahun Baru Cina di Bandar Mahkota pada 24 Februari lalu.

Menurutnya, beliau mengagihkan duit raya tersebut kepada kanak-kanak satu persatu di atas pentas dan bukannya membuangnya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

philip tan pc kaum 03“Saya mempunyai bukti dan gambar yang menunjukkan saya berbuat demikian, tuduhan ini adalah tidak benar dan bermotifkan politik jahat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang dibuat oleh Kumarayah Ponnayah seperti yang dilaporkan beberapa media milik Umno-BN baru-baru ini.

Kumarayah membuat dakwaan itu di dalam satu sidang media pada 27 Februari lalu dan berkata beliau berada di sambutan tersebut dan menyaksikan insiden itu sendiri.

Philip berkata, tuduhan itu hanya bertujuan mencemarkan nama baiknya khususnya di kalangan kaum India.

Ini kerana Kumarayah dan dua individu lain, John Paramasivam Veerasamy dan Saravanan Kaliannan menyatakan mereka berharap Philip tidak akan dicalonkan lagi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Susulan itu, Philip dan MP Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Banting semalam bagi menuntut siasatan segera dilakukan terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

Categories
SELANGOR

Semua Kaum Rasai Peruntukkan ADUN Teluk Datuk

philip tan pc kaum 04

KUALA LANGAT, 3 MAC : Penduduk Melayu, Cina dan India di kawasan Teluk Datuk di sini telah menikmati peruntukan sebanyak RM 500 ribu setahun yang diagihkan secara adil dan saksama oleh Adun mereka sepanjang lima tahun perkhidmatannya.

Setiap tahun kata Adun Teluk Datuk, Philip Tan Choon Swee, beliau membelanjakan RM 100 ribu untuk setiap komuniti di kawasannya. Pebelanjaan itu melibatkan projek memperbaiki rumah dan sumbangan ke rumah ibadat komuniti India dan Cina.

Manakala RM 200 ribu dibelanjakan dalam aktiviti yang melibatkan semua kaum seperti sumbangan ke PIBG dan membeli peralatan murid. Jumlah ini juga digunakan untuk memperbaiki infrastruktur seperti jalan raya dan parit.

Philip memberi penjelasan tersebut sebagai respons kepada bekas Ketua Komuniti India Teluk Datuk, John Paramasivam Veerasamy yang menuduhnya tidak menggunakan peruntukan ADUN untuk kaum India di kawasannya.

“Saya ada ‘figure-figure’ tunjukkan apa yang dia kata saya ‘racist’.

“Selain daripada saya menjaga kaum Cina, saya juga jaga India dan kaum Melayu, saya bukan cakap sahaja,” tegasnya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Telok-DatukMenurut Philip, peruntukan RM 100 ribu pada tahun lalu digunakan untuk membaikpulih 20 buah rumah dan surau di empat kampung Melayu tradisional.

“Lebih 20 rumah sudah siap dan ada tujuh rumah lagi yang saya beri bahan dan mereka buat sendiri,” katanya lagi.

Manakala majoriti peruntukkan RM 100 ribu untuk kaum India dan Cina disumbangkan ke rumah ibadat dan majlis perayaan kaum-kaum tersebut.

Baru-baru ini, John Paramasivam bersama-sama Kumarayah Ponnayah dan Saravanan Kaliannan telah mengadakan sidang media pada 27 Februari lalu dan menuduh Philip tidak menjaga komuniti India dan Melayu dan hanya mementingkan komuniti Cina sahaja.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kaum India Teluk Datuk, Muniandy Manirasu, berkata Philip sentiasa prihatin terhadap rakyat di kawasannya dan menafikan dakwaan bahawa kaum India di kawasan itu dianaktirikan.

“YB telah membelanjakan ratusan ribu sejak lima tahun ini untuk kaum India dan tuduhan yang dibuat oleh John Paramasivam adalah sangat tidak berasas,” katanya ketika ditemui.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Yap Lai Keng, pula menyatakan Philip seorang Adun yang bertanggungjawab kerana sentiasa turut serta dalam setiap program yang dianjurkannya.