Categories
AGENDA SUKANKINI

Jordan benam Harimau Malaya 4-0 dalam aksi persahabatan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Tindakan gopoh barisan pertahanan skuad bola sepak kebangsaan mengundang padah apabila tewas 4-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan malam tadi.

Penyerang kelab Al-Jazeera Ali Olwan menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Malaya apabila meledak hatrik untuk membantu pasukan di ranking ke-93 dunia itu melebar rekod tanpa kalah pada lima perlawanan selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama berdepan Malaysia pada 1988.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe beraksi dengan baik pada 30 minit pertama perlawanan apabila berjaya mematahkan serangan tuan rumah yang dilihat lebih menguasai perlawanan.

Namun, situasi kucar kacir skuad negara mengundang padah apabila gawang Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dibolosi pada minit ke-34 hasil tolakan mudah Ali yang menerima hantaran cantik Ehsan Hadad dari sebelah kanan padang.

Masalah komunikasi berlaku antara kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Khairulazhan yang gagal membaca bola hasil tandukan dari tengah padang oleh pemain Jordan mengakibatkan bola singgah di kaki Odai Al-Saify, yang dengan tenang menguis masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-42.

Tuan rumah seperti mendapat suntikan moral ketika waktu rehat, kembali garang di babak kedua perlawanan dengan menghasilkan dua gol dalam masa dua minit menjadikan kedudukan 4-0.

Tandukan ke belakang oleh pertahanan Kuala Lumpur City FC, Muhammad Irfan Zakaria disambar oleh Ali untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-47 sebelum melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Adnan Hamad itu apabila mencipta hatrik pada minit ke-49 selepas menerima lorongan cantik oleh Mousa Suleiman.

Biarpun menunjukkan aksi positif dengan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah namun pasukan kebangsaan tidak berupaya untuk setidak-tidaknya menjaringkan gol sagu hati dan kedudukan 4-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia, akan menamatkan aksi perlawanan persahabatan di Jordan berdepan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, Sabtu ini (9 Okt).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Biasiswa zakat Selangor bantu anak asnaf lanjut pelajaran ke luar negara

SHAH ALAM, 16 SEPT: Impian seorang anak asnaf miskin melanjutkan pelajaran ke luar negara tercapai selepas mendapat tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Siti Saroh Shafie, 18, berkata impiannya untuk menimba ilmu di di bumi Jordan mungkin tidak tercapai tanpa tajaan itu memandangkan keluarganya bukan golongan senang.

Siti Saroh Shafie, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tanpa bantuan zakat (LZS) mungkin saya tidak akan pergi ke Jordan. Keluarga saya didaftarkan asnaf miskin setahun lalu selepas ayah tidak lagi mampu bekerja dan ibu pula suri rumah.

“Sekarang perbelanjaan bulanan keluarga mengharapkan wang pencen ayah serta sumbangan zakat. Ayah menjalani dialisis dan segala kos rawatan serta ubatan ditanggung zakat,” katanya.

Anak keenam daripada 11 beradik itu yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Yarmouk merupakan antara lima pelajar yang mendapat tajaan LZS.

Sementara itu Muhd Irsyad Hafizi Azhar, 18, yang turut belajar di universiti sama bersyukur terpilih sebagai penerima Biasiswa Dato’ Menteri Besar.

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu berkata anggaran perbelanjaan sepanjang empat tahun pengajian Ijazah Fiqh Usuluddin nanti hampir RM160,000.

Muhd Irsyad Hafizi Azhar, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini termasuk yuran, penginapan, wang persediaan, sara hidup dan kos membeli buku.

“Terima kasih Kerajaan Selangor yang menaja. Jumlah ini sangat besar dan bermakna kepada saya serta keluarga,” katanya yang tinggal di Sabak Bernam.

Dua pelajar itu ditemui bersama 63 pelajar lain di Program Penghantaran Pelajar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) malam tadi.

Mereka berlepas ke Jordan jam 2 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Categories
GLOBAL

Mesir kembali bekal gas asli kepada Jordan

AMMAN, 28 JAN: Jordan mula menerima separuh daripada keperluan harian gas aslinya dari Mesir bagi penjanaan elektrik, semalam.

Memetik laporan agensi berita China Xinhua, pegawai yang enggan dinamakan, memaklumkan Xinhua bahawa langkah itu dibuat selepas satu perjanjian antara Mesir dan Jordan dimeterai pada awal Januari.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan Mesir berjanji membekalkan separuh daripada keperluan gas Jordan bagi menjana pengeluaran tenaga pada 2019.

Pegawai itu berkata, perjanjian tersebut adalah penting bagi mengurangkan kos tenaga Jordan.

“Ini adalah satu langkah yang amat penting yang bakal menyokong ekonomi Jordan,” kata pakar ekonomi Hosam Ayesh kepada Xinhua.

“Gas Mesir akan membantu meningkatkan daya saing industri-industri di Jordan kerana kos tenaga merupakan halangan utama yang sering dihadapi oleh industri,” kata pakar ekonomi itu.

Jordan memerlukan sejumlah 330 juta kaki persegi gas asli setiap hari untuk menjana pengeluaran tenaga, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.

Jordan pernah menerima kira-kira 250 juta kaki persegi bekalan gas setiap hari dari Mesir pada 2004.

Jumlah itu dikurangkan pada 2009 sebelum dihentikan sepenuhnya pada 2011 selepas saluran paip di Sinai yang membekalkan gas ke Jordan diserang kumpulan pengganas.

Selepas Mesir menghentikan bekalan gasnya, Jordan terpaksa mengimport gas asli cecair yang lebih mahal.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jordan kutuk pencabulan berulang kali Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

AMMAN, 8 JAN: Jordan mengutuk pencabulan berulang kali rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Majed Qatarneh, pada semalam menyelar tindakan menteri pertanian dan puak radikal Israel yang menyerbu perkarangan masjid itu dengan perlindungan polis rejim.

“Tindakan sedemikian adalah provokatif terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia dan merupakan satu pencabulan terhadap komitmen Israel sebagai satu kuasa yang menduduki di Baitulmaqdis Timur seiring dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Para pegawai Jordan, yang menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab bagi tindakan sedemikian, menggesa agar provokasi itu segera dihentikan.

Jordan, yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, mengawasi tempat-tempat suci umat Islam dan penganut Kristian di Baitulmaqdis Timur, yang dianggap sebagai ibu kota Palestin.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pintu sempadan Jordan dengan Syria dibuka semula

LINTASAN SEMPADAN JABER, Jordan 16 OKT: Jordan membuka semula pintu sempadan utama dengan negara bergolak, Syria semalam selepas menutupnya selama tiga tahun, lapor wartawan agensi berita AFP.

Pintu pagar besi berwarna hitam itu dibuka di sebelah Jordan pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) dengan lebih 12 anggota polis dan kastam berada di lokasi tersebut.

Kereta-kereta dengan nombor pendaftaran Jordan beratur untuk memasuki Syria, manakala perantau-perantau meluahkan perasaan gembira kerana dapat kembali merentasi sempadan ke Syria.

Ahli perniagaan Syria, Hisham Falyoun yang tinggal di Jordan bersama isteri dan anaknya merupakan orang pertama melintasi pintu sempadan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenama Mercedes berwarna hitam.

“Saya sangat gembira. Saya tidak mampu meluahkan perasaan saya. Lintasan ini sepatutnya dibuka le­bih awal kerana ia merupakan laluan yang amat penting untuk semua negara Arab, bukan sahaja terhad kepada Jordan dan Syria,” katanya.

“Saya mahu menjadi orang pertama melintasi sempadan bagi membuktikan Syria selamat, Syria telah kembali,” kata Hisham yang mahu membuat kejutan kepada ibu bapanya di Damsyik.

Pemandu teksi Jordan, Imad Sariheen pula menyifatkan pembukaan semula sempadan Jaber itu sebagai ‘punca kegembiraan untuk kami semua’ kerana ia dapat membantu meringankan kesusahan ekonomi yang ditanggung rakyat Jordan semasa penutupannya.

“Keadaan kami menjadi teruk sejak beberapa tahun lalu. Kerja kami terhenti akibat penutupan sempadan antara Jordan dan Syria,” tambahnya.

Lintasan sempadan itu yang dikenali sebagai Jaber di sebelah Jordan dan Nassib di sebelah Syria, merupakan laluan perdagangan utama sebelum Amman menutupnya selepas pos berkenaan dikuasai oleh pemberontak Syria pada April 2015.

Pembukaan semula pintu sempadan itu dilakukan selepas tentera kerajaan Syria mengambil alih lintasan tersebut pada Julai lalu menerusi satu perjanjian dengan pejuang pemberontak yang diaturkan oleh Moscow.

Perdagangan rentas sempadan antara Jordan dan Syria pada tahun 2010 adalah bernilai AS$615 juta (RM2.5 bilion). Perang saudara di Syria tercetus pada 2011.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Jordan tawar tempat untuk pelajar Selangor

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Jordan menawarkan beberapa bidang pengajian bagi membolehkan lebih ramai pelajar Selangor menyambung pengajian, di negara berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan, Prof Ahed Al-Wahadni, menawarkan tempat dalam pengajian tahfiz dan qiraat serta kejuruteraan kepada pelajar Selangor.

“Jadi, semua potensi ini perlu dilihat secara teliti oleh Kerajaan Negeri supaya kita boleh melebarkan penghantaran pelajar Selangor ke Timur Tengah yang tidak hanya terhad kepada beberapa universiti sedia ada seperti Al-Azhar dengan adanya pusat pengajian baru.

“Selain itu, kerjasama dengan pusat pengajian baru nanti mungkin menawarkan peluang pembelajaran lebih menarik dan baik, pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, pihaknya akan meneliti dan berbincang bersama agensi yang terbabit dengan pendidikan bagi mengadakan persidangan meja bulat khas begi membincangkan skop pengajian lebih meluas bagi pelajar Selangor, di Timur Tengah.

Pada lawatan kerja dua hari ke Jordan, Amirudin turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Jordan, Tuan Yang Terutama, Datuk Jilid Kuminding selain mengadakan sesi dialog bersama pelajar Selangor, di negara itu.

Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd turut menyumbang RM50,000 kepada Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) Jordan untuk aktiviti sosial dan kemasyarakatan pelajar.

Categories
GLOBAL

Perdana Menteri Jordan letak jawatan

AMMAN 5 JUN: Perdana Menteri Jordan, Hani Mulki meletak jawatan semalam selepas beliau dipanggil menghadap Raja Abdullah II berhubung bantahan rakyat yang semakin meningkat terhadap langkah penjimatan oleh pentadbirannya, kata sumber kerajaan.

“Hani Mulki menyerahkan peletakan jawatannya kepada Raja Abdullah II tengah hari ini (semalam) semasa satu pertemuan di Istana Husseiniyeh dan baginda menerima peletakan jawatan beliau,” kata sumber itu kepada agensi berita AFP.

Raja Abdullah II meminta Menteri Pendidikan, Omar Al-Razzaz untuk membentuk kerajaan baharu, tambah sumber itu.

Tunjuk perasaan menggegarkan ibu kota Jordan, Amman dan beberapa bandar lain sejak Rabu lalu selepas kerajaan meluluskan draf undang-undang cukai pendapatan baharu dan mengumumkan kenaikan harga baharu berdasarkan saranan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Penunjuk perasaan itu mendesak Mulki berundur dan berikrar tidak akan berundur. Mereka mendapat sokongan daripada kesatuan-kesatuan sekerja dan majoriti wakil rakyat yang membantah cukai baharu itu.

Pertemuan di Istana Husseiniyeh itu berlaku beberapa jam selepas kira-kira 5,000 orang berhimpun di luar pejabat Mulki di Amman pada hari kelima tunjuk perasaan diadakan di Jordan.

Rakyat berang terhadap langkah penjimatan kerajaan yang disokong IMF termasuk menaikkan cukai pendapatan dan barangan asas di samping memansuhkan subsidi roti untuk golongan miskin.

Langkah penjimatan terbaharu itu dibuat selepas Amman memuktamadkan pinjaman berjumlah AS$723 juta (RM2.87 bilion) selama tiga tahun daripada IMF pada 2016.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Arab Saudi, Jordan, Maghribi bantah hasrat Trump jadikan Baitul Maqdis ibu negara Israel

RIYADH 6 DIS: Raja Salman dari Arab Saudi, semalam memberi amaran tindakan Presiden Donald Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat di Israel ke Baitulmaqdis adalah ‘langkah bahaya’ yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

“Memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (ke Baitulmaqdis) adalah langkah bahaya yang akan memprovokasi perasaan umat Islam seluruh dunia,” lapor Al-Ekhbariya TV memetik Raja Salman sebagai memberitahu Trump dalam panggilan telefon.

Trump memaklumkan Presiden Mahmud Abbas mengenai hasratnya memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pengumuman itu mencetuskan kritikan daripada pemimpin Arab.

Sementara itu di Amman, nada sama dilontarkan Raja Abdullah dari Jordan yang menyifatkan langkah itu memberi kesan bahaya kepada kestabilan rantau itu.

Trump menyatakan hasrat meneruskan keputusan memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis dalam panggilan telefon kepada Raja Abdullah, kata kenyataan istana.

Raja Abdullah dipetik sebagai membalas sebarang keputusan seumpama itu bahaya kepada kestabilan dan keselamatan rantau berkenaan serta menghalang usaha AS menyambung semula rundingan damai Arab – Israel.

Turut menyatakan bantahan terhadap tindakan Trump itu adalah Raja Mohammed VI dari Maghribi.

Dalam surat terbuka kepada Trump, Raja Mohammed meluahkan ‘kebimbangan mendalam’ dan ‘kebimbangan dirasakan negara Arab dan Islam dan penganutnya’ berhubung langkah mengiktiraf bandar raya itu sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke situ.

SUMBER: AFP/Reuters

Categories
SELANGOR

Selangor bertukar pandangan dengan ahli akademik dunia

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 10 APR: Kerajaan Selangor menjalin hubungan rapat dengan ahli akademik universiti terkenal dunia bagi memantapkan pendidikan strategik di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia membantu perancangan strategik program pendidikan peringkat pengajian tinggi.

“Ini satu peluang menukar pandangan dan idea dengan universiti terbaik dunia,” katanya pada kenyataan media.

Beliau mengetuai lawatan kerja enam hari bermula 24 Mac lalu bersama Presiden Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad dan penasihatnya, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim.

Dalam lawatan itu, Unisel memperbaharuai Memorandum Persafahaman (MoU) University of Petra, Jordan bagi meneruskan kerjasama dan disaksikan bekas Perdana Menteri Jordan, Dr Adnan Badran.

Mereka turut melawat ibu pejabat Islamic World Academy of Sciences (IAS) di Amman, Jordan.

Nik Nazmi juga memberi ucaptama dalam World Affairs Council (Majlis Shu’un Dawliyya).

Beliau juga menyampai sumbangan Kerajaan Selangor RM10,000 kepada Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan (BKASJ) dan bertemu 133 mahasiwa Selangor.

Pada akhir lawatan, delegasi turut melawat sekolah dan kem pelarian Syria di Irbid dan Mafraq, Jordan.