Categories
NASIONAL

Polis serbu pusat panggilan judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Taktik sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan rumah kedai sebagai pusat panggilan kegiatan itu terbongkar, selepas polis menahan lima individu termasuk penganjurnya dalam serbuan di Jalan Sentul, di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/ Gangsterism Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 23 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan pukul 4.30 petang itu.

“Antara barang yang dirampas adalah tiga komputer dan tujuh telefon bimbit. Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak April,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata sindiket itu akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rawak dan meminta pelanggan memuat naik aplikasi tertentu untuk bermain judi.

“Kebanyakan pelanggan, warga tempatan dan sindiket ini mampu mengaut keuntungan RM100,000 sebulan,” katanya.

Rohaimi berkata kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hentikan hubungan dengan tauke judi – KPN

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Beliau secara sinis berkata pegawai dan anggota masih mempunyai peluang untuk menghentikan sebarang hubungan dengan sindiket haram sebelum ditahan.

Katanya pasukan tidak akan bersubahat atau melindungi mereka yang menjalankan kegiatan haram di negara ini.

“Nasihat saya, hentikan segera connection (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dan akan berusaha hapuskan gejala rasuah dalam pasukan.

“Selagi mereka (anggota polis) belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan, ia masih belum terlambat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata kegiatan judi yang berleluasa ketika ini hanya akan merosakkan tamadun.

“Saya seru tauke judi ini lakukan perniagaan yang halal kerana Malaysia banyak sumber,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kenaikan pangkat dan surat penghargaan akan diberi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah.

“Kepada orang ramai jangan sesekali menawarkan rasuah kepada polis dan agensi penguat kuasa yang lain, jika berdegil mereka akan ditangkap oleh pegawai dan anggota polis,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan beberapa anggota dalam perlakuan jenayah akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu adalah menyedihkan apabila ia turut berlaku dalam bulan Ramadan.

“Anggota yang melakukan jenayah telah ditahan serta-merta dan disiasat sebelum tindakan lanjut dikenakan kepada mereka…ini memberikan mesej jelas yang kelakuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes samun seorang ahli perniagaan pada 19 Mei. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Berjudi di tempat awam, 5 lelaki didenda RM1,500

PETALING JAYA, 19 FEB: Lima lelaki dijatuhi hukuman denda, masing-masing RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bermain judi daun terup di tempat awam, pada Ogos tahun lalu.

Majistret Nurshahirah Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap L. Baret, 25; Chia Kok Wong, 26; Devin George Gregory, 21; M. Ravi Kumar, 35; dan S. Mathavan, 24, selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Tingkat 8, Blok C, Flat Impian Baiduri, Sungai Way, di sini, pada jam 11.30 malam, 7 Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, dua lagi rakan mereka, K. Thayalan, 24, dan S. Nagandren, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama, di tempat dan masa sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal terhadap lima lelaki terbabit dan menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap K. Thayalan dan S. Nagandren. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, ketika membuat rondaan, pihak polis telah melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul sambil bermain judi di tempat awam sebelum membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki tersebut dan merampas 52 keping kad daun terup, beberapa buah kerusi lipat serta meja.

Di mahkamah sama, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan kerana memiliki tiket loteri awam.

Nurshahirah menjatuhkan hukuman itu terhadap Yang King Hun, 32, selepas dia mengaku bersalah memiliki tiga keping tiket loteri awam di AU-00-05, Subang Perdana Court 10, Subang Jaya, di sini, pada 3.30 petang, 10 Feb lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM5,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Muhammad Hairuliqram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh manakala lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pondok ‘kasino’ diserbu, sekumpulan lelaki leka berjudi diberkas

BUKIT MERTAJAM, 7 FEB: Kegiatan sembilan lelaki yang menjadikan sebuah pondok di Perkampungan Juru di sini, sebagai ‘kasino’ untuk berjudi terbongkar apabila mereka diserbu polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kesemua lelaki berumur antara 33 dan 69 tahun itu dipercayai menggunakan pondok berkenaan untuk berjudi sejak seminggu lepas.

“Pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT yang menyerbu pondok itu turut merampas wang tunai berjumlah RM950 dipercayai wang pertaruhan dan 52 keping daun terup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa lelaki terbabit cuba melarikan diri semasa serbuan kira-kira 4.15 petang itu, namun gagal meloloskan diri apabila pasukan polis telah mengepung kawasan berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka kini direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan perjudian secara haram,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

D7 serbu premis judi, tahan 151 individu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 109 pemain mesin judi dalam talian dan 42 penjaga premis ditahan dalam serbuan ke atas 15 premis di sekitar Serdang, malam tadi.

Memetik Astro Awani, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Kongsi Gelap, D7 Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Polis Daerah Serdang.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berdasarkan maklumat orang awam sejak seminggu lalu.

Hasil siasatan awal mendapati sebahagian premis yang diserbu tidak memiliki lesen.

Mereka juga beroperasi secara haram, manakala sebahagian lagi berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Turut dirampas dalam operasi sama ialah 276 komputer riba yang diaktifkan bagi tujuan judi dalam talian serta 36 mesin simulator.

Selain itu, pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM12,936.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor tegas tangani isu judi, rumah urut

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri tidak akan berkrompomi dan melindungi mana-mana individu yang menjalankan aktiviti perjudian serta rumah urut di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertanggungjawabkan mengambil tindakan menghalang penularan aktiviti terbabit.

“Kerajaan Negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti haram seperti ini berleluasa di Selangor.

azmin-parlimen“PBT memainkan peranan cukup berkesan untuk pastikan aktiviti ini tidak berkembang. Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya ia dikesan,” katanya di Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di Dewan Parit Baru, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komitmen Kerajaan Negeri menangani isu kebanjiran pusat judi dan rumah urut di Selangor.

Media melaporkan, terdapat lebih 4,00 premis rumah urut di Selangor dengan sebahagian besarnya didakwa menjalankan operasi sekitar Ampang, Klang, Kuchai Lama dan Damansara.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak dapat dipastikan angka sebenar jumlah premis berkenaan.

Pada masa sama, polis dan PBT seluruh negeri konsisten menjalankan operasi dengan mengadakan serbuan di premis berkenaan.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bukan lokasi tumpuan judi, MPK sangkal dakwaan tak berasas NGO

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyangkal dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan pihak berkuasa tempatan itu sebagai pusat tumpuan perjudian di Selangor.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan NGO terbabit, jumlahnya terlalu tinggi sedangkan MPK tidak pernah berkompromi dalam isu itu.

“MPK mengalu-alukan sebarang info berkaitan dakwaan berkenaan dan tampil kepada kami bagi memberikan secara jelas berhubung dakwaan itu,” katanya dalam kenyataan.

photo-1Beliau berkata, 118 operasi ke premis perjudian dijalankan dan 168 premis disita dari Januari hingga Disember tahun ini.

Manakala, 7,067 peralatan disita MPK termasuk peralatan komputer.

“MPK turut menyita 142 unit komputer di sekitar Bandar Parklands dalam operasi baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, warga Klang mempersoalkan statistik berkenaan yang dianggap tidak profesional.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Yusof berkata, statistik yang dikeluarkan mungkin hanya berdasarkan dakwaan NGO terbabit.

“Tiada lokasi hotspot dari daerah Klang. Statistik itu tidak profesional dan cacamarba,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Ops Dadu: 3,900 set komputer kafe judi bernilai RM200,000 dirampas MPSp

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 1 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) berjaya merampas lebih 3,900 set komputer dan pelbagai perkakasan lain seperti perabot dengan anggaran nilai lebih RM200,000 dalam Ops Dadu yang dijalankan hari ini.

Operasi melibatkan 60 anggota penguatkuasa pelbagai pangkat itu menyerbu 19 cyber cafe perjudian yang beroperasi sekitar Bandar Baru Salak Tinggi.

Operasi yang diketuai Pegawai Penguatluasa MPSp, Hairol Azman Razali itu diadakan hasil sumber risikan dan maklumat orang ramai.

20141001_095414

Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhamad Hafiz Shaari berkata, operasi itu diadakan setiap hari bermula awal September lalu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus kegiatan ini dapat dihapuskan.

DSC_9331 Yo“Kita lancarkan di semua premis judi haram ini walaupun ada sesetengah mereka beroperasi semula.

“Bagaimanapun pihak MPSp sedar memang sukar nak hapus 100 peratus kerana wujudnya permintaan berterusan dari orang ramai dan kami harap dapat minimakan dengan menghapuskan sekurang-kurangnya sehingga 80 peratus,” kata Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhamad Hafiz Shaari.

MPSp sudah mengenal pasti kira-kira 60 lokasi yang menjalankan kegiatan ini di seluruh Sepang.

Jelas beliau kegiatan ini dapat dihapuskan secara menyeluruh dengan adanya kesedaran masyarakat awam agar tidak mengunjungi pusat judi yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha terbabit.

Muhamad Hafiz berkata lagi, sebelum ini pihak MPSp sudah mengadakan lebih 24 serbuan.

“Bagi cyber cafe yang mempunyai lesen operasi perniagaan, akan ditarik dan manakala cyber cafe yang tidak memiliki perniagaan barangan mereka dirampas,” tegas beliau.

HM

Categories
NASIONAL

DAP selar tindakan kerajaan pusat lulus 22 permit cabutan khas 4D

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 7 JAN: DAP menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan 22 permit Cabutan Khas 4D kepada setiap syarikat nombor ramalan (NFO) di Semenanjung Malaysia untuk tahun 2014.

Kelulusan itu membabitkan 22 hari Selasa sepanjang tahun ini, yang mana syarikat perjudian akan mengadakan cabutan khas secara serentak bagi tiga syarikat besar.

Tiga syarikat itu adalah Magnum, Dmacai dan Sports Toto, sekali gus menyaksikan pertambahan 66 hari cabutan khas untuk Semenanjung Malaysia.

Bagi Sabah dan Sarawak, jumlah cabutan adalah lebih banyak kerana terdapat tiga lagi syarikat perjudian NFO yang beroperasi.

Anthony LokeAhli Parlimen Seremban, Anthony Loke menegaskan, kerajaan pusat perlu membatalkan semua permit itu bagi membuktikan tidak bergantung kepada hasil aktiviti perjudian.

Beliau turut mempersoalkan adakah tindakan tidak rasional itu adalah langkah ketandusan idea kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menambahkan hasil cukai.

“Adakah pertambahan permit cabutan khas ini adalah salah satu langkah pentadbiran Najib untuk menambah hasil cukai negara.

“Tahun demi tahun permit cabutan khas bertambah walaupun dibantah berulang kali oleh saya dan Ahli Parlimen lain di Dewan Rakyat. Saya membantah penambahan 22 hari cabutan kerana tiga kali cabutan setiap minggu sedia ada sudah keterlaluan dan ia perlu dikurangkan bukan ditambah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAp, di sini, hari ini.

judi totoKatanya, pertambahan hari perjudian hanya akan menambahkan tempoh kerugian pelanggan dan mendorong kepada peningkatan kes hutang Ah Long dengan jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor 178 hari tahun ini.

Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan pada sidang Parlimen September lalu, kerajaan mengutip RM70.8 juta untuk cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun 2013.

Beliau berkata, jumlah cukai pertaruhan daripada enam syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 adalah RM6.3 bilion, merujuk jawapan Parlimen, pada 31 Oktober lalu.

“Secara purata kerajaan mengutip RM1.26 bilion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan tidak termasuk daripada Kasino Genting Highlands dan mesin slot di kelab persatuan atau persendirian.

“Untuk mesin slot, cukai yang dikutip kerajaan RM73.6 juta, pada tahun 2010, RM77.3 juta (2011) dan RM82.4 juta (2012). Pendapatan yang dianggap sebagai ‘Sin tax’ perlu diasingkan dalam satu akaun khas demi menjaga sensitiviti umat Islam seperti yang didesak Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Cukai perjudian ini harus disalurkan untuk tujuan peruntukan masyarakat bukan Islam seperti sekolah vernakular dan mengadakan pusat pemulihan untuk mereka yang berjudi,” katanya.

-NFN-