Categories
NASIONAL

Kastam ketatkan pemeriksaan kontena

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan terhadap kontena di semua pelabuhan bagi memastikan tiada bahan sisa plastik yang dilarang lepas masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Paddy Abdul Halim berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membanteras kegiatan haram itu.

“Kami melakukan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap kontena-kontena yang masuk ke dalam negara terutama di Pelabuhan Klang.

“Kastam juga menyertai pasukan khas yang diwujudkan oleh kerajaan dan memandang serius kegiatan membawa masuk sisa plastik ke dalam negara,” katanya kepada Bernama.

Isu sisa plastik mendapat perhatian apabila media melaporkan beratus-ratus kontena di Pelabuhan Klang yang diperiksa dalam 10 operasi pihak berkuasa mengandungi sampah haram yang dibawa masuk ke dalam negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 28 Mei lepas dilapor berkata sejumlah 60 kontena sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini secara haram akan dihantar semula ke negara asal.

Beliau berkata 10 daripada 60 kotena yang keseluruhannya seberat 450 tan metrik merupakan sisa plastik daripada pelbagai negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Kanada, Arab Saudi dan United Kingdom.

Malaysia adalah antara negara yang mengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula dan setakat ini sejumlah 62 syarikat mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di negara ini.

Bagaimanapun, syarat-syarat ketat dikenakan untuk membawa masuk dan memproses sisa plastik itu antaranya kebenaran import hanya diberi kepada pengimport yang mempunyai premis dan menjalankan aktiviti pemprosesan/kitar semula sisa plastik import

Mengikut syarat premis pemprosesan skrap plastik kod tarif 3915, pemegang AP yang diluluskan untuk mengimport skrap plastik hanya dibenar menyimpan dan memproses skrap plastik yang diluluskan di premis yang dinyatakan di surat kelulusan pengeksport (pembekal) skrap plastik sahaja.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik yang dilapor beroperasi tanpa lesen di Jenjarom, Kuala Langat, dekat sini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani berkata laporan berhubung perkara itu diterima tahun lepas.

“Hasil siasatan dan kajian SPRM mendapati pembukaan kilang berkenaan yang dilapor beroperasi secara haram tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan rasuah.

“Ya, SPRM ada menerima laporan berhubung perkara itu tetapi siasatan kes ini seharusnya diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak-pihak berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga kini, SPRM tidak menerima sebarang laporan baharu (tahun ini) berhubung perkara itu daripada mana-mana pihak.

Media, pada 3 Jun lepas melaporkan 10 daripada 41 kilang haram yang memproses sisa plastik di Selangor telah tutup, dan bakinya dijangka ditutup selewat-lewatnya Julai ini.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki yang disyaki menerima rasuah berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik tahun lepas dan lelaki itu telah dibebaskan.

“Kes ini (pembukaan kilang haram) masih dalam siasatan kami sehingga kini,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM ada menerima laporan berhubung salah guna kuasa dan rasuah dengan kemasukan kontena-kontena yang membawa sisa plastik di Pelabuhan Klang, Alias berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kastam tumpas sindiket seludup minuman keras bernilai RM1.8 juta

 

PETALING JAYA, 30 Mei: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan penyeludupan 60,000 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai keseluruhan rampasan dan cukai sebanyak RM1.8 juta dalam pemeriksaan pada dua kontena di Pelabuhan Klang dekat sini, Isnin lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata nilai rampasan berkenaan dianggarkan RM188,760 manakala jumlah cukai RM1.6 juta.

Beliau berkata minuman keras itu dimasukkan ke dalam kontena dan sindiket tersebut membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam 1 (Import) sebagai perkakasan isi rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berikutan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 55 tahun yang merupakan ejen perkapalan kontena itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak duti Kastam secara penipuan dan Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, 25.5 tan produk hasil tembakau serbuk berwarna kelabu, dry snuff dirampas yang dianggarkan berjumlah RM1.2 juta, dengan jumlah cukai RM2.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah gudang berhampiran Seri Kembangan pada 9 Mei lepas.

“Bagaimanapun, syarikat dan pengurus lelaki warga Pakistan berumur 35 tahun telah dituduh pada 23 Mei lepas di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Tertuduh menggunakan modus operandi dengan membawa masuk dry snuff dari negara luar dan membuat pengikraran palsu pada borang Kastam,” katanya.

Zulkurnain berkata produk hasilan tembakau tersebut dihantar ke gudang yang diserbu sebelum dijual kepada pekerja asing di sekitar Lembah Klang.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan tidak berkastam dan jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kastam rampas syabu RM5 juta di Penampang

KOTA KINABALU, 6 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 100 kilogram syabu bernilai kira-kira RM5 juta dan menahan seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Penampang, pada 21 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lelaki berumur lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu, kira-kira jam 2.15 petang.

“Ketika ditangkap, lelaki berkenaan sedang berdiri di luar sebuah premis bersama beberapa kotak mengandungi plastik yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan mendapati dadah berkenaan akan disorokkan di dalam botol ‘protein’ yang kemudiannya diposkan di Kota Kinabalu ke satu lokasi yang belum dikenal pasti menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar oleh Kastam Sabah, sejak tiga tahun lalu.

“Kini kita sedang membuat siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Abdul Latif berkata, pihaknya menahan seorang wanita berumur lingkungan 20-an bersama lima kilogram syabu, di balai ketibaan domestik Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pada 1 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan bagasi suspek berkenaan yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mendapati mengandungi plastik berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat lima kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kastam turut menahan seorang lelaki berumur 40-an kerana memiliki 4,900 pil disyaki pil ekstasi dianggarkan bernilai RM122,500, di Pejabat Pos Sandakan, pada 27 Februari lalu.

“Lelaki berkenaan ditahan ketika membuat tuntutan bungkusan pil ekstasi yang sebelum itu didapati dadah melalui hasil imbasan kastam di pejabat pos berkenaan,” katanya.- BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kastam fokus banteras aktiviti seludup rokok, minuman keras

SEREMBAN, 22 JAN: Jabatan Kastam memberi fokus utama kepada membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tahun ini.

engarah Kastam Negeri Sembilan, Zaida Hussin berkata, komitmen itu bersandarkan kepada penguatkuasaan pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976, pada 2 Jan lalu.

Katanya, pindaan yang mengenakan hukuman lebih tinggi bagi penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras tidak lulus Kastam itu diharap dapat membendung penyeludupan dan penjualan bahan itu secara haram di pasaran di negara ini.

“Kami amat mengalu-alukan maklumat yang boleh disampaikan untuk kami mengambil tindakan segera ke atas mereka yang didapati menjual rokok dan minuman keras tanpa kelulusan kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari Bertemu Pelanggan sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-37 tahun 2019 di sini, hari ini.

Katanya pada tahun ini juga, Jabatan Kastam lebih fokus kepada peranannya dalam meningkatkan kelancaran dan kepantasan pergerakan barang, orang dan pengangkutan merentasi sempadan dengan bantuan dan kerjasama erat bersama agensi lain di sempadan dengan tujuan dapat memacu ekonomi negara dan mengelakkan kebocoran hasil.

Categories
SELANGOR

Kastam saran masyarakat jadi ‘mata dan telinga’

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 23 DIS: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia amat memerlukan kerjasama dan hubungan baik orang awam dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah penyeludupan.

Pengarah Operasi Penguatkuasa Kastam Zon Tengah, Dato’ Abdul Wahabi Abdullah berkata, menerusi kerjasama itu, orang awam boleh menjadi ‘mata dan telinga’ sekali gus dapat menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti terlarang itu.

Katanya, aktiviti jualan barangan larangan terutamanya rokok meningkat sehingga majoriti penduduk di negara ini kini menjadi perokok seludup tegar.

“Rokok seludup yang dikilangkan di negara luar tidak menjamin tahap kualiti kesihatannya kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.

“Rokok seludup ini dijual dengan harga yang lebih murah sekitar RM5 hingga RM7, berbanding RM15 hingga RM17 rokok di pasaran.

“Oleh itu, kerajaan bersungguh-sungguh membanteras kegiatan ini. Walaupun murah, tetapi jangan merisikokan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pencegahan Penyeludupan dan Khidmat Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tanjong Sepat, di Kampung Batu Laut, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri, Borhan Aman Shah.

Pada masa sama, Abdul Wahab berkata, langkah kerajaan meluluskan undang-undang ke atas premis yang menjual rokok seludup adalah tepat.

“Justeru, semua pihak diharapkan supaya tidak terbabit dengan urusan menjual, membeli atau memiliki apa-apa membabitkan barangan terlarang,” katanya.

Difahamkan, Malaysia adalah antara pengguna rokok seludup tertinggi antara 11 negara Asia.

Terdahulu, seramai 80 peratus daripada 114 orang yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor kerana menyeludup rokok dari Januari hingga November tahun ini, adalah warga asing.

Daripada jumlah itu 35 dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Sepanjang tempoh berkenaan juga, jabatan merampas rokok putih dan rokok kretek bernilai RM4.9 juta melibatkan cukai RM28.5 juta dalam 313 serbuan.

Tahun lalu, Kastam melakukan 226 serbuan dan merampas rokok putih dan kretek bernilai RM8.4 juta membabitkan cukai bernilai RM26.6 juta.

 

Categories
NASIONAL

Kastam tuntut RM19.4 bilion bayaran balik GST tapi tak lulus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak RM19.4 bilion sudah dituntut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi tidak diluluskan Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang dilaporkan, hanya RM63.5 bilion dibayar melalui Tabung Amanah, sepanjang tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion, pada 31 Mei lalu.

“Tabung Amanah adalah satu kumpulan wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST di bawah Seksyen 54, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014).

“Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media.

Subromaniam berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang difailkan ke dalam sistem GST Kastam oleh pembayar cukai.

“Oleh itu, pada 31 Mei lalu, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kastam minta peniaga turunkan harga barang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Peniaga digesa menurunkan harga barang mulai 1 Jun 2018 selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan penurunan kadar cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pada kadar sifar (0%) daripada enam peratus sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasi berkata Kerajaan tidak melaksanakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) bermula 1 Jun ini dan tarikh perlaksanaan akan diumumkan kemudian.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada kadar standard enam peratus kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sebelum ini, Kerajaan mengumumkan penurunan kadar enam peratus GST kepada sifar berkuatkuasa 1 Jun 2018 dan terpakai di seluruh negara sehingga diumumkan kelak.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kastam batalkan GSt lebih 60 makanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) membatalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk lebih 60 bahan makanan yang dijangkakan berkuatkuasa, pada 1 Julai ini.

Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, perkara itu merujuk Perintah Cukai GST (Pembekalan Kadar Sifar) (pindaan (No.2) 2017 yang diwartakan, pada 6 Jun tahun ini.

Katanya, implikasi pewartaan perintah itu akan menyebabkan lebih dari 60 bahan makanan seperti ikan belut, todak, jagung, sayuran sejuk beku dan beberapa jenis buah-buahan import serta marjerin tertakluk kepada cukai terbabit.

“JDTM merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan membuat keputusan supaya (ia) dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan media berkenaan cadangan pelaksanaan GST ke atas lebih 60 bahan makanan, mulai bulan depan.

GSTAntara barangan baru yang akan dikenakan GST termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.

Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis pula dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.

Jika rancangan itu dilaksanakan, barangan lain termasuk bihun, kuetiau, mi laksa dan minyak kelapa juga akan dikenakan cukai enam peratus.

Subromaniam berkata, JKDM memohon kerjasama semua pihak semua mengambil maklum berkenaan pembatalan itu.

Senarai lengkap barangan dan perkhidmatan berkadar sifar, sila lawat gst.customs.gov.my atau www.federalgazette.agc.gov.my.

Categories
NASIONAL

Subromaniam dilantik Ketua Pengarah Kastam baru

SHAH ALAM, 24 MAC: Datuk T Subromaniam dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baru, berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Subromaniam, 58, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan/Penguatkuasaan) menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad yang bersara.

Subromaniam berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam, pada 29 Julai 1984.

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Sebelum ini, Subromaniam pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kastam Siasatan (Bahagian Penguatkuasaan) dan Ketua Penolong Pengarah Kastam Cawangan Siasatan.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki akan membolehkan beliau (Subromaniam) melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta mampu meneruskan visi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia,” katanya.

Ali bagi pihak kerajaan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Khazali di atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara, selama lebih 36 tahun.

-AA-

Categories
SELANGOR

Kastam Selangor berjaya tumpas cubaan seludup 37 kontena

PELABUHAN KLANG 25 DIS: Cubaan seledup sebanyak 37 kontena berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Jeti Bukit Gombak, Pulau Carey kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/ Pematuhan) Datuk Subromaniam Tholasy berkata, serbuan itu dilakukan berpandukan maklumat kapal bernama ‘Prelude Port Smouth’ dalam mencurigakan berada di jeti itu, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Katanya, bertindak berdasarkan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Kastam Marin yang sedang menjalankan rondaan di pesisir pantai pergi melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lima daripada 37 kontena, pasukan serbuan menemui sejumlah rokok dan minuman keras yang disyaki belum lulus Kastam berjumlah RM10.5 juta.

“Nilai anggaran cukai dianggarkan antara RM60 juta hingga RM80 juta dan semuanya dibawa ke Pengkalan Marin untuk tindakan lanjut,” katanya lapor BH Online.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang belum lulus Kastam.

“Kami juga sedang mengesan kapten kapal dan seorang individu lain yang berjaya meloloskan diri ketika serbuan itu,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Keluarga Allahyarham Penolong Pengarah Kastam Selangor saman kerajaan, SPRM RM8 juta

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Keluarga Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mengemukakan tuntutan saman ganti kepada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM8 juta.

Jumlah ganti rugi berkenaan termasuk berkenaan kecuaian dan pembunuhan menyalahi undang-undang.

Mereka memfailkan saman itu melalui peguam N Surendran di pejabat pendaftar awam Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

ahmad sarbaniAhmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM di Jalan Cochrane, di sini, pada 6 April 2011.

Beliau dilaporkan pergi ke pejabat suruhanjaya itu untuk menemui pegawai penyiasat bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 orang pegawai.

Mahkamah Koroner, pada September 26 2011 menyampaikan keputusan nasib malang atas kematian beliau yang tidak ada unsur bunuh diri, homisid atau pembabitan pihak ketiga.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Pulangkan Hasil Pelabuhan Klang Kepada Rakyat

MB Sumbangan SJKC April 15 03

PELABUHAN KLANG 22 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) akan memulangkan hasil diperoleh Lembaga Pelabuhan Klang setiap tahun kepada rakyat apabila berjaya mengambilalih pentadbiran Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) ini.

Calon PR bagi DUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Lembaga Pelabuhan Klang yang dikuasai Kerajaan Persekutuan menjana pendapatan lumayan pada setiap tahun.

Bagaimmanapun, katanya, segala hasil diperoleh itu tidak dipulangkan kepada rakyat khususnya rakyat Selangor.

“Pelabuhan Klang mendapat hasil yang banyak setiap tahun, kira-kira RM1 bilion sebulan, bukan sedikit dapat hasil daripada Kastam.

“Tak kan orang Klang tak dapat royalti. Bayangkan dengan duit sebanyak itu berapa ratus ribu rumah kita boleh buat,” katanya dalam majlis perasmian Bilik Gerakan Ranting Pulau Indah di sini.

Abdul Khalid berkata, seandainya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu beliau akan memastikan Pelabuhan Klang terus dibangunkan termasuk Pulau Indah yang lebih moden dengan kemajuan membanggakan.

“Menang di Selangor tak cukup tapi kena menang di Putrajaya untuk buat perubahan secara menyeluruh,” katanya yakin rakyat akan menyokong PR.