Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB bantu eratkan Kerajaan Negeri dengan swasta

PNSB

SHAH ALAM 29 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam mewujudkan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dengan sektor korporat khususnya pihak swasta di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sumber pendapatan negeri demi kebaikan rakyat.

“Tumpuan kerajaan negeri bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri membantu memajukan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi di Majlis Makan Malam sempena Pertandingan Golf Persahabatan anjuran PNSB baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, melalui peranan yang dimainkan PNSB, Kerajaan Negeri dapat mendekati sektor swasta dengan lebih berkesan.

“Kejayaan PNSB membantu Kerajaan Negeri melalui pertandingan begini merupakan laluan terbaik bagi membolehkan sektor swasta menyumbang ke arah meningkatkan aset Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Abdul Khalid berkata, selain membawa masej ketelusan dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri turut digalakkan mengambil peluang bagi meningkatkan imej serta membantu Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Pertandingan Golf Persahabatan yang dianjurkan PNSB buat kali keempat ini melibatkan Pejabat-pejabat Daerah di Selangor dan sektor swasta.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Kerajaan Umno-BN harus pertingkat prasarana sebelum wajib lulus BI

anwar - MB

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Umno-BN digesa mempertingkatkan prasarana pembelajaran Bahasa Inggeris yang mencukupi menjelang 2016 sebelum melaksanakan dasar wajib lulus matapelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketiadaan kemudahan pembelajaran yang mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar hanya menambahkan beban kepada pelajar dan pengajar.

“Wajib lulus dalam keadaan yang tidak sempurna antaranya dari segi mutu guru, kemudahan belajar dan kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah di desa termasuk di sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil. Dasar itu perlu diteliti terlebih dahulu,” jelas Anwar.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan subjek Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib SPM menjelang 2016 sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ini masalah Menteri dan pimpinan politik yang tidak mempunyai kesinambungan dengan realiti yang berlaku di bawah,” tegas Anwar.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Dunia Kebangkitan Islam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut bersama Anwar adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar turut mengulangi gesaan ramai pihak yang mahu Kerajaan Pusat agar mengangkat dan melestarikan Bahasa Melayu dengan memastikan pelajar menguasai bahasa rasmi itu dengan baik.

“Penguasaan Bahasa Melayu perlu terus dipertingkatkan mutu penguasaannya. Ini perlu jelas dalam dasar dan pelan induk yang harus diselesaikan,” tegas beliau.

Categories
SELANGOR

MB : Program jangka panjang untuk ringankan beban rakyat

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 01

 

SHAH ALAM 7 OGOS : Menyedari hakikat rakyat masih memerlukan bantuan bagi meringankan beban akibat kos sara hidup tinggi, kerajaan Selangor bertekad untuk menawarkan program yang memberi manfaat jangka panjang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia bagi menangani kesempitan hidup yang dialami penduduk di negeri ini ekoran kegagalan kerajaan Pusat menangani kenaikan harga barang saban hari.

Katanya, pelaksanaan program itu adalah kesinambungan terhadap agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang akan diperluaskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri sedar betapa penduduk Islam dan bukan Islam yang berjumlah 5.3 juta di Selangor memerlukan bantuan bagi meringankan beban hidup akibat kenaikan harga barangan yang tidak dapat ditangani Kerajaan Pusat,” katanya.

Sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri, Khalid berkata, berkata, antara usaha awal yang akan dilaksanakan ialah memperkasa pembangunan kampung tradisi dan kampung baru di seluruh negeri.

Walaupun lebih 55 tahun merdeka dan beberapa kementerian diwujud untuk pembangunan luar bandar, katanya, pembangunan di sembilan daerah di negeri ini jauh dari memuaskan.

“Penyediaan keperluan asas untuk kegunaan awam, pendidikan agama dan sumber pendapatan penduduk belum mencukupi hinggakan pembangunan di kampung tradisi dan kampung baru belum layak wujud di negeri yang diisytihar ‘negeri maju’ hampir 10 tahun lalu,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, selain menambah baik aspek keselamatan, bantuan pendidikan, pembinaan keluarga dan sebagainya.

-FZL

Categories
SELANGOR

Khalid Ibrahim – Perutusan Hari Raya 1434H

Sinopsis:

Menteri Besar Tan Sri Dato Sri Abdul Khalid bin Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1434H kepada semua warga Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemberian Kupon Jom Shopping Perayaan Akan Diperluaskan

program jom shoping 01

KLANG 27 JULAI : Pemberian Kupon Membeli Belah bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan diperkembangkan untuk juga semasa perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, untuk program Jom Shopping untuk Perayaan Aidilfitri, setiap DUN diperuntukkan kira-kira 500 kupon membeli belah itu yang akan diberikan kepada keluarga berpendapatan bawah RM1,500.

Beliau berkata demikian semasa Program Jom Shopping yang diadakan di Pasaraya Econsave di sini.

Dalam program itu, seramai 300 keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500 terpilih untuk menerima kupon Jom Shopping itu yang bernilai RM100.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi program itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut.

Sementara itu, dalam sidang medianya Abdul Khalid menjelaskan beberapa projek untuk memperbaiki aliran trafik di kawasan daerah Klang.

“Untuk jangka panjang kita akan mempertingkatkan aliran trafik yang lebih baik melalui pembinaan jambatan ketiga Klang agar tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Kita juga akan meminta agar dipercepatkan pembinaan jalan yang menuju ke Pulau Indah yang akan siap tidak lama lagi dan juga pembinaan jalan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang Barat,” kata Abdul Khalid.

Ujar beliau, beberapa cadangan telah dibuat oleh pihak konsultan yang masih dalam perbincangan agar pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

Ia meliputi kemudahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan bas yang lebih berkesan untuk menangani masalah kesesakan jalan raya.

“Bagi mengatasi masalah banjir kita telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran parit dan longkang agar semasa hujan lebat maka banjir dapat dielakkan,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masjid dan Surau Lebih Aktif di Bawah Pakatan Rakyat

Faekah Husin bagi kurma

KLANG, 19 JULAI : Peranan masjid dan surau di sekitar kawasan negeri Selangor dilihat lebih aktif dalam menganjurkan program yang bukan hanya berbentuk keagamaan, malah turut merangkumi aktiviti kemasyarakatan sejak negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada Mac 2008.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya mengembalikan fungsi masjid dan surau sebagai tumpuan masyarakat Islam untuk beribadah dan mendapat ilmu.

Menurutnya, bagi merancakkan program Ihya Ramadan pada tahun ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk diagihkan kepada semua masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, bagi masjid peruntukan sebanyak RM1,650 akan diserahkan, sementara surau yang mengadakan solat Jumaat akan menerima sumbangan sejumlah RM1,250 dan RM1,000 pula akan diberikan kepada surau di seluruh Selangor.

“Masjid dan surau diamarahkan dengan begitu baik sekali sejak PR memerintah, malah jauh lebih baik daripada 10 tahun yang lalu.

“Saya menerima banyak respon positif daripada masyarakat setempat yang begitu berpusu-pusu untuk mengunjungi masjid di sekitar Selangor kerana teruja terhadap aktiviti dan program keagamaan serta ilmu yang dianjurkan,” katanya semasa menghadiri Majlis Penyerahan Kurma kepada Masjid di sekitar DUN Pelabuhan Klang, di sini.

Dalam majlis itu, Faekah yang mewakili Abdul Khalid menyerahkan kira-kira 2,000 pek buah kurma kepada setiap 10 buah masjid di sekitar DUN itu.

Antara masjid yang menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Bukit Tinggi, Masjid Pendamar, Masjid Kampung Idaman, Masjid Ar Rahman dan Masjid Ubudiah.

Agihan kurma telah dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi bagi beberapa kawasan di sekitar Selangor di mana tidak kurang 10,000 pek akan diagihkan kepada rakyat.

Faekah Husin bagi kurma 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Pulangkan Hasil Pelabuhan Klang Kepada Rakyat

MB Sumbangan SJKC April 15 03

PELABUHAN KLANG 22 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) akan memulangkan hasil diperoleh Lembaga Pelabuhan Klang setiap tahun kepada rakyat apabila berjaya mengambilalih pentadbiran Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) ini.

Calon PR bagi DUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Lembaga Pelabuhan Klang yang dikuasai Kerajaan Persekutuan menjana pendapatan lumayan pada setiap tahun.

Bagaimmanapun, katanya, segala hasil diperoleh itu tidak dipulangkan kepada rakyat khususnya rakyat Selangor.

“Pelabuhan Klang mendapat hasil yang banyak setiap tahun, kira-kira RM1 bilion sebulan, bukan sedikit dapat hasil daripada Kastam.

“Tak kan orang Klang tak dapat royalti. Bayangkan dengan duit sebanyak itu berapa ratus ribu rumah kita boleh buat,” katanya dalam majlis perasmian Bilik Gerakan Ranting Pulau Indah di sini.

Abdul Khalid berkata, seandainya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu beliau akan memastikan Pelabuhan Klang terus dibangunkan termasuk Pulau Indah yang lebih moden dengan kemajuan membanggakan.

“Menang di Selangor tak cukup tapi kena menang di Putrajaya untuk buat perubahan secara menyeluruh,” katanya yakin rakyat akan menyokong PR.

Categories
NASIONAL

MB Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Majid

takziah majid sultan khalid 01

SHAH ALAM, 25 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewakili Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail, yang meninggal dunia petang semalam.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang semalam di kediamannya di Taman Duta, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur kerana sakit tua.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam bagi mengenang jasa beliau yang pernah berkhidmat sebagai doktor peribadi kepada DYMM Sultan Selangor sekitar hujung tahun 70-an.

takziah majid sultan khalid 02

Menteri Besar turut mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke pengkebumian jenazah di Makam Diraja di Shah Alam selepas disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam, pagi tadi.

?Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau kepada rakyat Malaysia khususnya dalam bidang perubatan akan dikenang untuk selama-lamanya,? kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Abd Majid, 92, merupakan rakyat tempatan pertama yang menjadi pakar bedah orthopaedic pada 1958 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang kedua pada 1971 hingga 1976.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Bincang Tarikh Bubar DNS

 

Sidang Dun Selangor 08

SUBANG JAYA, 21 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan Kerajaan Negeri mempunyai beberapa tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi memberikan peluang kepada mandat baru dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut Abdul Khalid, perbincangan sentiasa diadakan namun pengumuman tarikh pembubaran akan dibuat dalam masa terdekat.

“Perbincangan itu sentiasa tapi strategi untuk menentukan PRU bila tidak ditetapkan sehingga bersetuju membubarkan Dewan Negeri Selangor.

“Tarikh pembubaran akan berlaku, satu jika Kerajaan Persekutuan umumkan pembubaran.

“Kalau Kerajaan Persekutuan bubarkan Parlimen esok (misalnya) jadi Kerajaan Negeri akan berbincang untuk buat keputusan sama ada bersama persekutuan atau tidak.

“Kita ada mempunyai tarikh tertentu.,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan akan membubarkan DNS lebih awal sekaligus PRU-13 di Selangor akan berlangsung tanpa Kerajaan Persekutuan.

 

Categories
SELANGOR

Harga Masjid Bawah BN Selangor – RM 10 Juta, Harga Pakatan Rakyat – RM 6.4 Juta

KUALA SELANGOR 12 OKT : Kawalan kos perbelanjaan dalam pembinaan masjid di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor telah membolehkan kerajaan negeri membina lebih banyak masjid.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sebelum Pakatan mentadbir, kos membina masjid seperti yang baru dibina di Jeram di sini boleh mencecah sehingga RM 10 juta sebuah.

Walhal masjid tersebut dibina oleh Kerajaan Selangor sekarang dengan kos M 6.4 juta.

Beliau berkata kawalan kos perbelanjaan dalam pembinaan masjid secara berhemah memberi keupayaan Kerajaan Selangor membina beberapa buah masjid lagi.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucapan di dalam majlis penyerahan masjid Jeram kepada jawatankuasanya.

Beliau menambah, kariah perlu mengimarahkan masjid dengan program yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat seperti program-program ceramah dan majlis ilmu.

“Justeru adalah menjadi tanggungjawab pegawai masjid agar dapat menjaga kebersihan dan memelihara kawasan persekitaran masjid ini dengan penanaman pokok untuk suasana yang lebih selesa.”

Beliau juga mencadangkan agar pihak masjid dapat mengadakan kemudahan seperti internet wifi percuma dan pemeriksaan kesihatan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Kata Abdul Khalid, masjid-masjid di negeri ini yang bersih dan selesa terutamanya tandasnya menjadi tarikan orang ramai daripada luar negeri untuk singgah berehat sebentar.

Turut hadir dalam majlis penyerahan itu MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Abdul Khalid turut bersama-sama penduduk kariah menunaikan Solat Jumaat dan memberikan ‘duit raya’ kepada kira-kira 100 orang kanak-kanak sambil bermesra dengan penduduk setempat.