Categories
NASIONAL

PKR Tidak Gentar Tindakan KDN Rampas Suara Keadilan

saifuddin nasution

SHAH ALAM 23 MEI : PKR menegaskan pihaknya tidak gentar dengan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan.

Sebaliknya dalam satu kenyataan akhbar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan KDN dan menyifatkan ia sebagai bermotif politik.

Suara Keadilan dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.

“Merampas akhbar Suara Keadilan di beberapa negeri adalah cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) yang lalu.

“Ia satu lagi bukti kerajaan Umno-BN berterus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif  tentang politik negara yang boleh dinilai oleh rakyat,”katanya.

Tambahnya, belum pun baru menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali bertindak keras dan tidak demokratik.

“Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, pegawai-pegawai KDN  bertindak merampas dan mengancam menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara Keadilan di beberapa tempat,” katanya.

Saifuddin menjelaskan di Ipoh malam tadi, tujuh orang pegawai KDN  menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar tersebut di mana semua pegawai tersebut enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.

Sementara di Melaka, katanya, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara Keadilan dirampas dari seorang pengedar yang menyatakan pegawai KDN memberi alasan bahawa ia menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Kejadian yang sama juga berlaku hari ini di Johor Bahru, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan.

“PKR menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar serta 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada Adam Adli,” katanya.

Saifuddin berkata, PKR merasa kesal kerana kerajaan UMNO-BN masih dengan kesombongan mereka kerana gagal untuk mengubah sikap terhadap berita dan pandangan alternatif walaupun mereka telah menguasai sepenuhnya media di negara ini.

Categories
NASIONAL

Bubar Dun Sebelum Parlimen Beri Implikasi Kewangan

BN PRU-13 bom 01

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tarikh pembubaran Parlimen dilihat sebagai situasi pelik dan tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia.

Keadaan ini dikhuatiri akan memberikan implikasi kewangan terutama apabila beberapa keputusan besar dibuat meskipun mandat pemerintahan telah berakhir.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tempoh mandat pemerintahan diberikan rakyat melalui pilihan raya hanyalah lima tahun iaitu sejak 8 Mac 2008.

Keadaan ini turut disokong melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta rakyat memberikan mandat lima tahun lagi kepada Umno-BN.

“Bila habis mandat, hak rakyat adalah memberikan mandat baru.

“Keadaan sekarang saya sifatkan sebagai satu rampasan kuasa rakyat tanpa senjata,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PAS.

Menurutnya, sepanjang tempoh ‘tamat mandat’ sejak 8 Mac 2013, kerajaan perlu mengumumkan semua keputusan projek yang telah diberikan kelulusan selain beberapa perjanjian termasuk di dalam Pameran Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ’13).

Jelasnya, kerajaan sementara yang berkuasa selepas pembubaran Dun atau Parlimen bagi menguruskan urusan harian tidak boleh membuat keputusan yang melibatkan implikasi kewangan.

Dun Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama berhadpan pembubaran secara automatik pada tengah malam 27 Mac 2013.

Selain itu, Mahfuz turut mendesak agar pihak keselamatan terutama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk bertindak bagi mengawal ketat keselamatan sehingga pilihan raya berlangsung.

Ini ekoran dakwaan sebelum ini termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang menyatakan bakal wujud gangguan pihak tertentu bagi mengganggu kelancaran PRU-13.

“Kalau ada dokumen dan cukup maklumat, mengapa tidak ambil tindakan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu sedar sebelum ini ceramah PR diganggu.

“Saya berani katakan mereka ini mendapat perlindungan pihak tertentu termasuk ‘jaminan’ polis,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Ahli PBPM Dakwa Duit RM600,000 Pemberian KDN Lesap Dibawah Presiden Tidak Sah

bekas polis 3

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kesal di atas tindakan penyelewengan geran berjumlah RM600,000 oleh Shafie Bakri kononnya menjawat jawatan Presiden PBPM pada ketika ini secara tidak sah.

Ini kerana Shafie sebelum ini didapati terlibat perlanggaran fundamental peruntukkan undang-undang kerana terlibat mengatur kehadiran ‘Perwakilan Haram’ dari Pulau Pinang yang hadir ke Perhimpunan Agung pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan memilih beliau sebagai Presiden sedangkan Pendaftar Persatuan Pulau Pinang  dibubarkan oleh ROS pada 25 Jun 2008.

Menurut Naib Presiden PBPM, Nasiruddin Mohamad, geran berjumlah RM600,000  dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini diberikan hasil inisiatif mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mahmood Adam bertujuan menamatkan krisis PBPM tanpa melibatkan mahkamah

Keputusan yang dibuat ini dipersetujui oleh kedua-dua kumpulan bertelagah dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa J3P (Pemutihan, Pemilihan dan pemantauan) yang dipengerusikan mantan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Fuad Ab Aziz.

“Geran RM600,000 didapati lesap digunakan Shafie yang jelas tidak mematuhi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa J3P tanpa pemantauan KDN yang telah bermesyuarat pada 9 Mac 2010.

“Beberapa laporan polis dibuat oleh PBPM di peringkat negeri ekoran penyelewengan geran untuk tujuan diadakan Mesyuarat Agung di semua peringkat di seluruh negara.

“Memorandum turut dihantar ke KDN dan SPRM supaya siasatan dilakukan mengenai penyelewengan yang dimaklumkan disalahguna seperti membuka syarikat, mengadakan majlis makan malam untuk berkempen dan membayar yuran peguam sehingga mencecah ratusan ribu supaya Shafie mengekalkan kuasa menggunakan mahkamah,” katanya.

Lebih mengejutkan dua Sijil Simpanan Tetap untuk Tabung Bangunan PBPM berjumlah RM221,418.07 turut hilang dan dicairkan sedangkan sijil asal berada di dalam simpanan PBPM.

Nasiruddin turut mempersoalkan apakah tindakan Shafie yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu ini mendapat ‘perlindungan politik dan campurtangan ghaib’ daripada agensi kerajaan atau dibenteng oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Penasihat Tabung Kebajikan Datuk Seri Utama Rais Yatim yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu.

“Mengapa wang rakyat RM500,000 untuk kegunaan kebajikan ahli PBPM diseleweng sebanyak RM200,000 yang kepimpinan mereka masih dipertikaikan kesahihannya sebagai peneraju PBPM tidak diambil tindakan segera oleh ROS? Jelas terbukti mereka menyalahi Undang-undang Persatuan dan Akta Pertubuhan 1966,” soal beliau.

Pendedahan RCI Sabah, Bukti Jabatan Kerajaan Diperkuda BN

mahathir azmin copy

PETALING JAYA 17 JAN : Pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah membuktikan jabatan serta agensi kerajaan diperkuda BN bagi menjamin kesinambungan hayat mereka dalam Pilihan Raya Umum.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media hari ini mendakwa, usaha itu melibatkan peranan institusi penting di bawah bidang kuasa Perdana Menteri seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Kita sedang meneliti keterangan beberapa saksi beberapa kejutan berlaku, nama-nama disebut, dan perkara ini sebenarnya tidak mengejutkan kita.

“Ini satu usaha terancang yang diketuai mantan PM dan bagi saya beliau pengkhianat negara kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk kekalkan kuasa politik Umno,” tegas Azmin.

Sehubungan itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu serius melibatkan kedaulatan negara ini.

“Usaha terancang ini sama sekali tidak boleh dimaafkan, tidak boleh diterima kerana memberi hak kepada warga asing untuk menentukan masa hadapan negara,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah mendakwa beliau dan beberapa orang menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Semalam, saksi lain pula mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah ketika memberi keterangan kepada RCI.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin juga mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Categories
SELANGOR

Rakyat Terpaksa Berdepan Dua Saman Polis, JPJ

KUALA LUMPUR, 5 NOV : Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar melahirkan kekecewaan ekoran rakyat terpaksa berhadapan dua bentuk saman.

Pertama saman yang dikeluarkan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kedua saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Reaksi ini sebagai mengulas jawapan Sesi Soal Jawab Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak akan memansuhkan saman postal (Notis Pol 170A) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan.

“Dua kementerian menjadikan aktiviti menyaman pengguna kenderaan sebagai agenda bersama. Sepatutnya PDRM kena tumpu kes jenayah.

“Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hampir separuh yang bayar saman ternyata tak faham, tapi terus bayar sahaja sebab takut kena naik turun mahkamah. Kerajaan kena jelaskan bagaima ia beroperasi, bukan terus saman,” katanya

Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman postal itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu jalan raya agar memandu secara berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Saman postal ialah notis yang dikeluarkan PDRM kpada pemilik kenderaan yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang gagal memberikan maklumat terhadap notis dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik dikenakan saman kerana melakukan kesalahan.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, sebanyak 180,062 saman postal dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 52,362 saman dapat diselesaikan.

Categories
NASIONAL

Tangguh Tayang Video BERSIH 3.0 Bukti KDN Hilang Punca

SHAH ALAM, 8 JUN : Kegagalan Kementerian Dalam Negeri(KDN) menyiarkan kompilasi video kononnya berlaku keganasan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 membuktikan KDN ada menyembunyikan sesuatu daripada masyarakat.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan yang menyifatkan usaha penyiaran video itu semakin tidak relevan kerana dua bulan kejadian itu berlalu.

Katanya, video itu mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan dan berkemungkinan terdapat unsur-unsur suntingan untuk meletakkan kesalahan di sebelah pihak sahaja.

“Lebih malang apabila desakan SAMM sebelum ini berkenaan rusuhan polis langsung tidak diberi perhatian seolah-olah aksi memukul demonstran itu adalah ‘SOP’ yang betul.

“Rakyat menunggu dengan sabar apakah klip keganasan polis akan dimuatkan dalam siaran tersebut ataupun tidak. Namun sehingga hari ini ‘suntingan’ masih tidak siap dan ia jelas membuktikan KDN hilang punca,” katanya.

Berbanding KDN, katanya, SAMM lebih komited memberi gambaran sebenar terhadap insiden yang berlaku semasa BERSIH 3.0 apabila hanya mengambil masa seminggu untuk menerbitkan dokumentari berdurasi 49 minit.

Jelasnya, dokumentari yang dihasilkan dalam bentuk DVD itu lengkap merangkumi peristiwa BERSIH 1.0, 2.0 dan 3.0, selain memberi fokus kepada tuntutan perhimpunan itu.

Beliau berkata, dokumentari bertajuk “Merdeka Rakyat” itu akan menjelaskan segala punca sehingga lahirnya perjuangan BERSIH sejak kali pertama ia dilancarkan pada 2006 sehingga 28 April 2012.

Tambahnya, tayangan video itu akan disiarkan pada malam Pidato Perdana Merdeka Rakyat peringkat Kelantan di Ketereh hari ini.

“Adalah menjadi peranan anak muda SAMM untuk berdepan dan memintas propaganda penuh helah oleh regim yang zalim. Selain itu, semua pihak juga perlu saling menyebarkan maklumat bagi mengambus penipuan,” ujarnya.