Categories
KENYATAAN MEDIA

KPDNKK jangan sekadar ‘pantau’ tanpa tindakan

OLEH MANIVANAN GOWIN

Saya ambil maklum bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memperkenalkan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017 yang bermula dari 22 hingga 31 Mei 2017 ini.

Saya mengalu-alukan usaha pihak kementerian untuk mengawal kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga.

Namun, apakah yang akan berlaku selepas 31 Mei 2017 nanti? Adakah harga barangan tidak dikawal dan seterusnya memperlihatkan kenaikan? Bukankah kawalan harga barang satu mekanisme yang berterusan?

KPDNKK sepatutnya mengawal harga barangan mentah seperti yang dinyatakan sepanjang bulan Ramadan. Kawalan harga barangan mentah, secara langsung akan memberi impak kepada harga barang – barang lain. Ini bermaksud, dengan mengawal harga barang mentah, kita sebenarnya mampu mengawal harga barang – barang lain.

Seterusnya, persoalan yang timbul ialah – Adakah ini hanya sekadar ‘pantau’ sahaja seperti lazimnya tanpa ‘tindakan’ jika terdapat peniaga yang melanggar Akta sedia ada?

Manivanan-Gowin-4aSaya tidak mahu alasan jumlah pegawai penguatkuasa KPDNKK sedia ada yang tidak mencukupi dijadikan alasan untuk tidak memantau kawalan harga barangan di seluruh negara.

Tidak perlu tungggu rakyat membuat aduan kepada pihak KPDNKK baru terhegeh-hegeh untuk pegawai bertindak.

Peningkatan harga barang dapat dilihat menjelang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi dan pasti merunsingkan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian.

Kerajaan seharusnya memastikan juga 10 jenis barangan yang disenaraikan oleh KPDNKK mempunyai stok yang banyak kerana ianya merupakan barangan yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Isu kawalan harga barang wajar dilakukan sepanjang tahun, sepanjang masa. Jika kawalan harga dilakukan secara holistik, kita tidak akan menghadapi masalah sebegini setiap kali menjelang bulan Ramadan dan musim – musim perayaan.

*Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar dan Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN

Categories
NASIONAL

MP cadang JPM tubuh jabatan bantu kaum India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 FEB : Putrajaya disaran menubuhkan jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memberi tumpuan terhadap kebajikan masyarakat India di negara ini.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, pentadbiran Putrajaya didakwa tidak mempunyai kesungguhan menyelesaikan kemelut masyarakat India khususnya berkait isu kuil dan kebajikan kaum itu di Malaysia.

“Kegagalan dan ketidaksungguhan Kerajaan Barisan Nasional dalam mengurus dan mentadbir semua kuil di Malaysia di bawah satu badan untuk menyelaras dan menyelesaikan masalah – masalah berbangkit, adalah punca sebenar wujudnya pelbagai masalah kuil – kuil di Malaysia.

“‘Sewajarnya, satu jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri wajib diwujudkan untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan kuil.

Manivanan-Gowin-4a“Perakaunan, pengurusan, pentadbiran, isu tanah dan bantuan dana kuil – wajib dikawal selia oleh Kerajaan Persekutuan yang prihatin, bebas daripada fahaman dan ideologi politik,” katanya dalam kenyataan.

Sebaliknya katanya, kebajikan masyarakat India kini lebih terbela di bawah pentadbiran negeri-negeri ditadbir Kerajaan Pakatan.

“Ini dapat dibuktikan dengan sejarah baru yang dicipta di Pulau Pinang oleh Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani.

“Sejarah dan model ketelusan ini wajar diterap dan dipraktik semua jawatankuasa kuil di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Bajet 2017 bagi pembangunan masyarakat India seluruh negara.

Bagaimanapun, sehingga kini nasib kaum India masih berada di takuk lama antaranya masalah penempatan, milikan warganegara dan isu kemiskinan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Tiada program sendiri, PERMATA ‘lubuk’ peruntukan?

manivanan gowinKUALA LUMPUR, 24 SEPT : Seorang ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikaikan fungsi Permata Negara yang didakwa gagal memenuhi misi dan visi penubuhannya sebagai institusi mempelopori keperluan pelajar pintar.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, institusi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri itu menerima peruntukan RM150 juta tahun ini tetapi tidak menonjolkan program khusus yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Sebaliknya, dakwa beliau, sejumlah RM77 juta dari peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk projek menaiktaraf 313 tadika, RM16 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan RM9 juta kepada Kerajaan Sarawak.

RM20 juta lagi dipulangkan kepada Kerajaan Pusat.

“Saya terkejut kerana Permata tiada program sendiri tetapi perlu menumpang KEMAS, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan sebagainya,” soal Manivanan.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana situasi ini seolah-olah Permata dijadikan lubuk untuk mengambil peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Saya nampak Permata digunakan sebagai saluran untuk ambil peruntukan daripada kerajaan dan beri kepada badan lain. Bukankah KEMAS sepatutnya mendapat peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk membaiki, menaik taraf dan sebagainya?” soal Manivanan.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat yang menempatkan Permata di bawah JPM dan bukannya di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia berikutan penubuhannya terarah kepada pendidikan.

“Ini sudah jelas bahawa Kerajaan seharusnya memansuhkan Permata dan memindahkan fungsinya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atau pun memindahkan terus Permata kepada pihak kementerian,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Klinik Kesihatan Kapar Daif, Manivanan Tuntut Penjelasan KKM

Klinik Kapar 02

KLANG 18 JUN : Karenah kakitangan kurang sopan dan keadaan klinik yang didakwa tidak mementingkan aspek keselamatan dan kesihatan, adalah antara masalah yang dihadapi penduduk jika mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Kapar.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, beliau mendapat maklum-balas kurang menyenangkan ini daripada penduduk tempatan berkenaan perkhidmatan klinik yang berusia lebih 30 tahun itu.

Menurutnya seorang penduduk Kapar, Mohd Akhir Othman yang mengalami ‘lumpuh sementara’ pada 9 Jun lalu untuk mendapat rawatan, malangnya kakitangan yang bertugas didakwa bersikap kurang sopan.

“Ada khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh saksi iaitu Ketua Kampung Kapar, Jamlus Hasan yang mendakwa kakitangan klinik berkenaan mengeluarkan kata-kata seperti, ‘jangan ganggu kami, awak pergi tempat lain, apa pasal pagi-pagi sudah kacau,” ujarnya.

Selain itu, Manivanan mendapati klinik berkenaan mengambil sikap sambil lewa mengenai aspek keselamatan dan kesihatan apabila tidak menutup sepenuhnya kawasan yang sedang dibaikpulih sehingga menyebabkan habuk memenuhi ruang menunggu pesakit.

“Ini bukan tapak pembinaan, ini adalah klinik kesihatan, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.

Justeru, beliau akan menghantar surat kepada klinik berkenaan supaya masalah berkenaan di atasi secepat mungkin.

Klinik Kapar 01

Manivanan mencadangkan supaya sebarang penambahbaikan boleh dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad kerana klinik berkenaan ditutup.

Dalam pada itu, sepucuk surat juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meminta penjelasan berkenaan infrastruktur klinik yang didakwa tidak mampu lagi berfungsi dan menyediakan perkhidmatan dengan baik.

Manivanan juga membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan membina hospital di Kapar sekiranya berjaya menawan Selangor dalam pilihan raya umum lalu.

“Pada saya ini tidak adil, dia dah kalah, dia tak nak tubuhkan hospital.

“70,000 orang telah undi saya, manakala 50,000 orang undi BN, saya juga menuntut untuk 50,000 orang yang mengharapkan hospital, Najib tak boleh cakap ‘kalau menang’, dia masih ada orang yang undi BN,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Kebangkitan Pelajar Menandakan Kebangkitan Rakyat

KUALA LUMPUR 14 APR : Kebangkitan mahasiswa mengadakan demonstrasi menuntut kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini disifatkan satu kebangkitan yang bakal memberi impak besar kepada negara.

Menurut Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Subang, Manivanan Gowin, kebangkitan rakyat kebiasaannya bermula daripada kebangkitan golongan terpelajar.

“Ini termaktub dalam sejarah kebanyakan negara di mana kuasa kebangkitan rakyat yang memberi impak digeruni adalah gerakan golongan mahasiswa.

“Dari situ maka bermulalah gerakan gergasi menentang mana-mana kerajaan korup yang merugikan negara.

“Jadi, tidak salah kiranya jika kebangkitan mahasiswa hari ini disifatkan sebagai pencetus kebangkitan rakyat yang lebih menyeluruh selepas ini,” ujar Manivanan yang turut hadir memberi sokongan terhadap demonstrasi tersebut.

Mengulas lanjut, Manivanan berkata, kebangkitan mahasiswa juga menandakan rakyat secara kolektif sudah jemu dengan prestasi yang menjengkelkan daripada kerajaan.

“Ini golongan terpelajar, yang mampu berfikir secara rasional dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Jika mereka ini yang menjadi harapan pemimpin negara juga tidak percayakan kerajaan, apatah lagi rakyat yang lainnya,” ujar Manivanan ketika ditemui TV Selangor.