Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 catat lebih 6,000 kes tiga hari berturut-turut

SHAH ALAM, 21 MEI: Sebanyak 6,493 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara, sebahagian besar membabitkan kawasan Lembah Klang.

Angka melebihi 6,000 kes selama tiga hari berturut-turut mulai kelmarin turut menyaksikan 50 lagi pesakit maut akibat jangkitan virus.

Pada Khamis, Malaysia merekodkan 6,806 kes, tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik menular. Kelmarin, 6,075 kes dilaporkan.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor kekal mencatatkan jangkitan tertinggi membabitkan 2,163 kes diikuti Kuala Lumpur (641) dan Sarawak (612).

“Sebanyak 4,508 kes berjaya sembuh dan 643 dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah itu, 363 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Pecahan kes negeri lain seperti berikut:

Kelantan – 467
Kedah – 434
Johor – 406
Perak – 382
Negeri Sembilan – 370
Pulau Pinang -302
Sabah – 144
Melaka – 165
Pahang – 161
Terengganu – 139
WP Labuan -84
WP Putrajaya -20
Perlis – 3

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP kesihatan pesan ikut SOP, elak kluster baharu

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan atau semasa berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebooknya, hari ini berkata ia termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga seperti majlis keraian dan upacara keagamaan yang turut dihadiri individu yang bergejala.

Beliau memberi contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur) dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya merebak dalam komuniti.

Tambah Dr Noor Hisham Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian manakala Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan yang membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

“Orang ramai diminta supaya mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 kepada orang ramai.

“Adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan Covid-19. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa,” katanya.

Beliau berkata penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM pastikan kualiti vaksin Covid-19 ikut panduan WHO

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memastikan vaksin Covid-19 yang lulus didaftar dan dipasarkan di Malaysia adalah selamat, berkualiti dan mempunyai keberkesanan optimum mengikut keperluan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dokumen garis panduan yang diterbitkan WHO iaitu ‘WHO Target Product Profiles for Covid-19 Vaccines’ pada April lepas merangkumi aspek keberkesanan, keselamatan dan kualiti.

Beliau berkata berdasarkan garis panduan itu, vaksin tersebut haruslah menunjukkan tahap keberkesanan minimum dalam ujian klinikal sebanyak 50 peratus anggaran mata keberkesanan vaksin (VE) namun anggaran mata sebanyak 70 peratus amat digalakkan.

“Vaksin tersebut seharusnya menjana antibodi yang dapat kekal dalam badan seseorang untuk sekurang-kurangnya tempoh enam bulan namun VE adalah titik akhir dalam kajian klinikal fasa tiga.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya pada 27 November 2020. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, belum ada keputusan kajian klinikal fasa tiga diterbitkan bagi vaksin Covid-19 yang boleh dinilai oleh NPRA KKM. Justeru, maklumat VE bagi setiap calon vaksin belum dapat dipastikan,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Bagi aspek keselamatan, Dr Noor Hisham berkata vaksin itu harus memiliki profil keselamatan yang mencukupi supaya faedah diperoleh melebihi risiko (analisis nisbah faedah-risiko).

Jelasnya, vaksin tersebut perlu mempunyai kesan advers yang ringan dan bersifat sementara serta tiada kesan advers serius yang dilaporkan.

Dari segi kualiti, beliau berkata ia perlu mempunyai bukti pematuhan kepada Amalan Pengilangan Baik (APB).

“Data perkilangan perlu menunjukkan semua sumber bahan yang digunakan dalam proses perkilangan adalah dikawal secukupnya mengikut piawaian antarabangsa misalnya sejarah dan kelayakan bank sel, bank virus serta pengenalpastian semua bahan berasal daripada haiwan yang digunakan bagi kultur sel dan pertumbuhan virus.

“Data proses perkilangan yang perlu dikemukakan termasuk parameter proses kritikal, atribut kualiti kritikal (contohnya ketulenan, identiti dan kepotenan vaksin) dan rekod kumpulan ….selain spesifikasi bagi bahan ubat dan produk ubat perlu dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata data lain seperti proses perkilangan yang konsisten termasuk dokumen protokol, proses validasi dan laporan kajian diperlukan malah data stabiliti yang menyokong jangka luput vaksin dan suhu optimum juga penting agar dapat menjamin kualiti vaksin jika digunakan dalam lingkungan suhu yang disyorkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sudah laksana jujukan genom kesan punca jangkitan Covid-19

PUTRAJAYA, 23 OKT: Penjujukan genom virus Covid-19 membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam perancangan untuk meningkatkan kesiapsiagaan menangani pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia telah pun menjalankan jujukan genome tetapi bukan pada semua kes dikesan positif namun bergantung kepada kluster.

“Daripada awal lagi kita telah laksanakan, contohnya perhimpunan Sri Petaling didapati ada 692 jemaah dari Indonesia. Ketika itu andaian kita jangkitan itu mungkin datang dari Indonesia tetapi apabila kita melaksanakan penjujukan kita dapati sekarang jangkitan itu daripada strain Indonesia.

“Jadi kita tahu pada permulaan gelombang kedua iaitu jangkitan adalah datang dari Indonesia,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri New Zealand Helen Clarke semalam yang menyatakan penjujukan genom pesakit yang dijangkiti Covid-19 memberikan kelebihan kepada New Zealand menangani penularan wabak itu.

Dr Noor Hisham berkata penjujukan genom tidak membantu untuk membendung penularan Covid-19 tetapi dapat mengenal pasti lokasi selain kesiapsiagaan dari segi tindakan dan perancangan untuk mengawal jika mutasi dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

Beliau berkata kaedah itu memakan masa lama iaitu sehingga tiga minggu untuk mengenal pasti sesuatu mutasi.

Katanya, kaedah itu juga melihat pada kluster dan strain tertentu dalam membantu KKM mendapat lebih maklumat mengenai sifat-sifat virus.

Dr Noor Hisham berkata pada peringkat awal terdapat tiga strain dikenal pasti iaitu A dari Amerika Syarikat, B dari Wuhan, China dan C dari Indonesia.

Beliau berkata jujukan genom juga dilaksanakan untuk kluster Sivagangga yang kemudiannya mendapati ia berkait kes balik dari India dan wujud mutasi D614G yang dikaitkan dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

Dr Noor Hisham berkata penjujukan genom juga antaranya dilaksanakan pada Kluster Tawar, Kluster Sungai dan Kluster Benteng di Lahad Datu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perjuangan barisan hadapan di Sabah capai tahap kritikal – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal.

Beliau berkata beberapa strategi dan pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.

“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti serta memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” katanya menerusi hantaran Twitter, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baharu di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor hargai pengorbanan petugas barisan hadapan – Noor Hisham

SHAH ALAM, 28 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang berkorban mengawal keselamatan dan kesihatan negara, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata penghargaan itu dizahirkan ketika pertemuannya dengan Sultan Selangor, hari ini.

“Sayu kelihatan baginda Sultan ketika menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang bersiap siaga mengawal keselamatan dan kesihatan negara.

“Titah-titah semangat daripada Tuanku sememangnya menyuntik semangat dan kekuatan khususnya kepada seluruh anggota petugas kesihatan dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Noor Hisham berkata beliau dan kakitangan KKM berterima kasih atas keprihatinan Tuanku yang sentiasa mengikuti perkembangan pandemik Covid-19.

“Dengan sokongan, semangat dan iringan doa daripada Tuanku, segala cabaran dan dugaan yang sedang dihadapi akan dipermudahkan.

“Seluruh warga KKM juga akan terus mendoakan baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin terus dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan, seterusnya kekal bertakhta dan berdaulat atas singgahsana Kerajaan Selangor. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

KP Kesihatan: Duduk di rumah, elak ‘tsunami’ Covid-19

SHAH ALAM, 18 MAC: Ketua pengarah kesihatan meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak keluar bagi mengelakkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peranan setiap individu penting berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya ada peluang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus itu.

Beliau berkata orang ramai perlu mengambil serius terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Sehingga 17 Mac lalu, dua rakyat tempatan disahkan mati akibat virus itu. Daripada keseluruhan 673 kes, 49 daripadanya pulih.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi warga China pulih, pesakit sembuh 13

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pasangan warga China masing-masing berusia 52 tahun dan 49 tahun yang disahkan positif koronavirus 2019 (Covid-19) sebelum ini, dibenarkan keluar hospital petang semalam, menjadikan jumlah terkini pesakit sembuh adalah 13.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru itu disahkan sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian Covid-19 ulangan kali kedua berturut-turut, didapati negatif.

“Kes ketujuh dimasukkan ke wad para 27 Januari, dan kesihatannya terus merosot disebabkan jangkitan teruk Hypoxia pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad.

“Pada hari kesembilan, pesakit menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat baik, sehingga dia menjalani ujian dua kali berturut-turut dengan keputusan negatif Covid-19, dan hari ini dia dibenarkan pulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Susulan berita gembira itu, Dr Noor Hisham berkata semua kes positif Covid-19 yang dirawat di hospital itu telah sembuh sepenuhnya dan telah benarkan pulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awal saringan kesihatan, isteri kepada pesakit kes ketujuh itu disahkan menghidap Asymptomatic, namun simptom Covid-19 pada wanita itu dikesan pada hari kedua rawatan.

“Sampel yang diambil pada 5 Februari lepas menunjukkan negatif Covid-19, namun dia tetap berhasrat untuk tinggal di hospital sehingga suaminya dibenarkan keluar. Kita jalankan ujian sampel sekali lagi semasa suaminya sembuh, dan keputusannya tetap negatif dalam dua ujian susulan itu,” tambahnya.

Pasangan itu adalah individu kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang masing-masing disahkan positif Covid-19 pada 28 Januari dan 30 Januari lepas.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Malaysia tidak pernah iktiraf sekolah pergigian Taiwan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Kelayakan asas pergigian daripada sekolah pergigian di Taiwan tidak pernah diperakui di bawah Akta Pergigian 1971, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang juga presiden Majlis Pergigian Malaysia (MPM), merujuk kepada laporan berita semalam yang menyebut MDC menarik balik pengiktirafan tujuh buah sekolah pergigian Taiwan daripada jadual kedua akta terbabit.

“MDC ingin menjelaskan bahawa ini tidak benar kerana kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan tidak pernah diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971.

“Oleh itu, ia tidak pernah disenaraikan di bawah jadual kedua akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan tidak diiktiraf termasuk dari institusi pergigian Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Seksyen 12(3) atau Seksyen 12(9) Akta Pergigian 1971 jika memenuhi kriteria ditetapkan MDC.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini, terdapat 139 graduan dari sekolah pergigian Taiwan yang tidak diiktiraf sudah didaftarkan dengan MDC selepas memenuhi kriteria.

Katanya, kesemua graduan itu juga dibenarkan mengamalkan profesion mereka di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM sentiasa komited tingkat keselamatan pesakit

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bekerjasama erat dengan organisasi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempertingkatkan keselamatan pesakit di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama erat itu melalui pelbagai strategi seperti promosi dan pembelajaran, penghasilan dasar keselamatan pesakit, pembangunan persekitaran serta reka bentuk fasiliti kesihatan yang selamat.

“Kerjasama lain adalah membabitkan kaedah rawatan yang selamat, pewujudan piawaian keselamatan, pemantauan dan penyelidikan. Pihak kementerian akan meneruskan kerjasama utuh ini bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, komitmen itu selaras dengan resolusi “Tindakan Global Mengenai Keselamatan Pesakit” yang dipersetujui untuk diterima pakai Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-72 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland, Sabtu lalu.

Beliau berkata resolusi itu menggesa negara ahli untuk menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan kesihatan dan mengambil tindakan bersepadu bagi mengelak kemudaratan pesakit semasa menerima rawatan.

“Resolusi itu turut menekankan bahawa keselamatan pesakit sebagai elemen kritikal Perlindungan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage) dan rakyat boleh berasa yakin bahawa sistem penjagaan kesihatan yang disediakan adalah selamat.

“Negara ahli juga perlu mengukuhkan aspek keselamatan dalam sistem penjagaan kesihatan berdasarkan sains di mana pengetahuan dan bukti-bukti diperoleh melalui kajian perlu digunakan dalam perancangan, pembentukan dasar kesihatan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata perhimpunan itu turut mengisytiharkan 17 September sebagai “Hari Keselamatan Pesakit Sedunia” dan Malaysia akan terus memberikan komitmen serta berusaha meningkatkan keselamatan pesakit.

“Marilah kita bekerjasama demi keselamatan pesakit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

1,622 kes denggi dilapor di seluruh Malaysia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Sejumlah 1,622 kes denggi dilaporkan di seluruh Malaysia, bagi minggu ke-17, iaitu pada tempoh 21 sehingga 27 April, tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik itu menunjukkan penurunan 1.0 peratus, berbanding 1,638 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi meningkat 122.6 peratus pada tahun ini, iaitu 43,065 kes berbanding 19,348 bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kumulatif kematian akibat denggi pula membabitkan 67 berbanding 36 bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan 86.1 peratus.

“Manakala, sejumlah 602 lokaliti wabak denggi dilaporkan di seluruh Malaysia pada minggu ke-17,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 lokaliti hotspot dilaporkan membabitkan empat negeri iaitu 94 di Selangor, lima di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya serta tiga di Sabah juga satu di Pulau Pinang.

Beliau turut menyarankan kepada umat Islam untuk menjaga kebersihan, terutama pada waktu Ramadan ketika berkunjung ke rumah ibadah.

“Ahli Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan lingkungan persekitaran rumah ibadah bebas daripada pembiakan Aedes dengan melaksanakan gotong-royong.

“Anda juga dinasihatkan untuk membuang segala bekas yang menjadi punca takungan air dan periksa bumbung masjid serta pastikan palong air tidak tersumbat oleh sampah sarap,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia perlu 200 pakar neurologi rawat strok

GEORGE TOWN, 20 APRIL: Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat akan mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Katanya, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruhan, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama di sini hari ini.

Katanya, rekod pada 2016 menunjukkan bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian adalah sebanyak RM180 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh empat hingga enam tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi ini mengambil masa yang panjang.

Katanya, pada masa ini, kementerian mengambil langkah mengembang tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada dan bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

“Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmatan strok di situ dulu sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.

“Sekarang ini perkhidmatan kita ‘cut across horizontal’, bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja, tetapi kita juga perkasakan pakar-pakar dalam bidang lain seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama dalam rawatan pesakit strok,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi kecuali Kedah dan Perlis yang mana mereka akan dibekal tidak lama lagi.

“Kita sedang melatih 11 pelatih neurologi dan mungkin dalam setahun dua lagi mereka akan menjadi pakar dan kita merancang untuk menempatkan mereka di kedua-dua negeri ini,” katanya. -BERNAMA