Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, polis giat pantau SOP tempat awam

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu-individu yang didapati mengingkari peraturan berkenaan.

“Mengambil kira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat-tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.

Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan ‘3S’ (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak ini.

“Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak kompromi anggota langgar peraturan, terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan rasuah atau pelanggaran undang-undang melibatkan warga pasukan keselamatan itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berdepan dengan persepsi negatif di mata masyarakat akibat tangkapan demi tangkapan yang dilakukan terhadap anggota polis atas kesalahan jenayah rasuah.

“Disebabkan segelintir pasukan yang tidak bermaruah dan mementingkan diri maka keseluruhan warga PDRM dicaci serta dituduh oleh masyarakat, ia ibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Tindakan penamatan perkhidmatan akan diambil ke atas mereka terlibat dalam rasuah serta salah laku serius yang berulang,” katanya ketika merasmikan majlis Pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM di Bukit Aman, disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM hari ini.

Abdul Hamid berkata pembangunan Pelan Antirasuah PDRM yang menetapkan enam bidang keutamaan, adalah bukti komitmen pasukan keselamatan itu dalam menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan.

“Perkara yang diberikan tumpuan adalah tadbir urus organisasi dan sumber manusia; risikan dan keselamatan; risikan dan penguatkuasaan undang-undang; siasatan dan pendakwaan; ketenteraman awam, serta pengurusan kewangan dan perolehan PDRM,” katanya.

Abdul Hamid yakin pelan anti rasuah itu dapat membentuk satu hala tuju ke arah menetapkan PDRM atas landasan yang betul dan menjadi panduan untuk seluruh warga polis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

Katanya beliau berharap usaha itu dapat memulihkan imej polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti pihak polis sebagai agensi penguatkuasa utama negara.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilapor berkata Pelan Tindakan AntiRasuah PDRM adalah sebagai usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Pelan berkenaan akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan itu dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

KPN: Anggota PGA terbunuh berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Seorang anggota polis terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi ini.

Kejadian pada 2.30 pagi itu melibatkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Kpl Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terkena tembakan di bahagian kiri perut, mati di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Kpl Norihan a/l Tari dari Pos Kawalan Sempadan, berada dalam keadaan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Norihan, 39, selesai menjalani pembedahan di HTF petang tadi dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mayat mendiang Baharuddin, dari suku kaum Semelai, akan dibawa pulang ke kampung isterinya di Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media khas di Bukit Aman petang tadi berkata kejadian dilaporkan berlaku di kawasan belukar di kebun getah yang dijadikan kawasan laluan penyeludupan, kurang 600 meter dari kawasan sempadan.

Berikutan kejadian itu, enam ditahan iaitu empat orang ditahan polis Thailand manakala dua lagi rakyat Thailand ditahan polis Malaysia.

“Saya dimaklumkan polis Thailand berjaya menahan tiga lelaki dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan dua cedera parah,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai kejadian berkenaan, Abdul Hamid berkata kedua-dua anggota PGA itu menunggang motosikal untuk menjalankan pemantauan kawasan tersebut dan selepas meletakkan motosikal, mereka berjalan kira-kira 400 meter melalui kawasan denai.

“Mereka terserempak dengan sekumpulan berbelas orang dan berlaku tembak menembak antara mereka… anggota PGA hanya bersenjatakan pistol kerana mereka bertugas sebagai peninjau.

“Kpl Baharuddin kehabisan peluru dan berundur sebelum rebah manakala Norihan berjaya bergerak ke motosikal mereka dan pulang ke pos kawalan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan 13 penyeludup yang ketika itu dipercayai membawa 12 bungkus daun ketum (anggaran 400-500 kilogram) dan seguni ubat batuk.

“Seorang (penyeludup) ditangkap oleh pasukan komando VAT 69 selepas kejadian dan seorang ditahan PGA Batalion 3… (namun) senjata tidak dijumpai,” kata beliau.

Sementara itu, penahanan tiga lelaki yang cedera di Thailand disahkan Komander Divisyen ke-5 Infantri Thailand, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak.

Terdahulu, Abdul Hamid yang bergegas ke lokasi kejadian pagi tadi berkata keadaan keselamatan di kawasan sempadan setakat ini adalah terkawal dan beliau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Baharuddin.

“Sesungguhnya, pemergian mendiang Baharuddin merupakan satu kehilangan yang besar buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook PDRM.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan Malaysia memandang serius insiden itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN arah siasatan terperinci anggota terlibat sindiket ‘cuci duit’

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Katanya, beliau telah mengarahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk melakukan siasatan serta membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketiga-tiga pengarah itu sedang jalankan tindakan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah juga diarahkan membantu SPRM dalam siasatan kes itu.

Beliau berkata masih banyak yang sedang disiasat SPRM dan mereka memerlukan ruang serta waktu untuk meneruskan siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid berkata demikian bagi mengulas siasatan terhadap 17 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu oleh SPRM berkaitan sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Kelmarin, sembilan pegawai kanan polis termasuk beberapa Ketua Polis Daerah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan kes itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes meningkat, polis tingkat pematuhan SOP – KPN

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Polis mengetatkan penguatkuasaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan pemantau diarahkan menahan atau memberi kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP tanpa kompromi.

“Peningkatan kes Covid-19 di negara ini menimbulkan kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi arahan kepada saya untuk mengetatkan lagi kawalan pematuhan SOP PKPP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan keselamatan termasuk anggota terlibat sekatan jalan raya Op Benteng diingatkan agar tidak leka atau cuai semasa melaksanakan tugas menghalang pendatang asing tanpa izin yang cuba memboloskan diri masuk ke negara ini.

Pada masa sama, semua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat juga dikerah menggandakan rondaan di kawasan sempadan dan perairan negara serta memperhebat sekatan jalan raya Op Benteng.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sebulan tempoh KPD kesan premis jual makanan haiwan eksotik haram

SEPANG, 19 OGOS: Semua Ketua Polis Daerah (KPD) di seluruh negara diberi tempoh sehingga 18 September ini, untuk memastikan kawasan masing-masing bebas daripada restoran haram menjual atau menyajikan makanan haiwan eksotik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu termasuk ke atas premis haram menjual hidupan liar dan flora, selain arahan berkenaan telah dikeluarkan dengan setiap KPD perlu memberi laporan sebulan sekali kepada Bukit Aman, jika ada restoran atau premis haram ,melakukan kegiatan sedemikian.

“Arahan itu dikeluarkan bagi membantu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), membanteras kegiatan pemburuan haram, yang semakin berleluasa.

“Saya hendak negara kita ini bebas daripada kegiatan menjual beli daging haiwan eksotik, seperti landak, ular sawa dan buaya,” katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, di sini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan secara bersendirian dan akan menjalin kerjasama dengan PERHILITAN.

“Takkan ada 300 hingga 500 anggota sedia ada di sebuah kawasan, tidak boleh mengesan kewujudan restoran dan premis haram jual haiwan eksotik?,” soalnya.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menerima laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diugut, kerana menjalankan tugas memulihara alam sekitar yang semakin terancam.

“NGO berkenaan hanya menjalankan perkhidmatannya memulihara flora dan fauna, namun sebaliknya keselamatan dia diancam oleh pemburu haram.

“Pemburu haram yang mengugut NGO berkenaan adalah warga tempatan, dan kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap pihak yang cuba mengugut mana-mana NGO, petugas, penguat kuasa kerajaan yang menjalankan tugas pemuliharan flora dan fauna,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sebahagian kaunter aduan Balai Polis Sentul ditutup – KPN

SEPANG, 19 OGOS: Sebahagian kaunter aduan di Balai Polis Sentul di Kuala Lumpur ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah dikunjungi seorang individu ingkar arahan kuarantin Covid-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata walaupun sebahagian kaunter aduan ditutup namun operasi balai berjalan seperti biasa.

“Kejadian berlaku apabila seorang individu bergelang tangan merah jambu hadir ke balai terlibat untuk membuat aduan dirinya diganggu orang awam.

Anggota yang bertugas kemudian mendapati individu berkenaan mempunyai simptom batuk sebelum ia dilaporkan kepada pihak hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata perkara berkenaan kemudian dimaklumkan kepada pihak KKM dan kementerian itu meminta kawasan yang dikunjungi mangsa ditutup bagi operasi sanitasi.

“Maklumat lanjut pihak KKM akan umum pada petang ini,” katanya ringkas

Hari ini, tular di media sosial satu notis dikeluarkan Ketua Balai Polis Sentul memaklumkan Balai Polis Sentul ditutup sementara bertarikh hari ini selepas diarahkan pihak KKM melalui Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shamugamoorthy Chinniah dalam kenyataan berkata tindakan sanitasi sekitar balai berkenaan telah dibuat manakala petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan HKL.

“Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa selepas selesai proses sanitasi kedua,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Jho Low ‘menyorok’ di Macau

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kini dikesan bersembunyi di Macau, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau ketika mengesahkan perkara itu berkata terdapat petunjuk yang mengesahkan keberadaan Jho Low di wilayah itu.

“Pihak polis sedang berusaha mengesan Jho Low untuk dibawa ke Malaysia,” katanya ringkas ketika dihubungi malam tadi.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang lelaki berkenaan.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tugas polis di sekatan jalan semasa Ramadan kekal – KPN

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pengoperasian dan penugasan polis pada Ramadan di setiap sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah kekal dan tiada perubahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mereka bertugas seperti biasa serta tiada penambahan keanggotaan manakala shif kerja juga masih sama seperti PKP sebelumnya.

“Juadah sahur dan berbuka akan disediakan dan mereka (pegawai dan anggota polis) boleh berbuka puasa secara begilir-gilir,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas mengumumkan PKP yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei ini.

Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18 Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: NGO diminta dapatkan kebenaran buat kerja amal – KPN

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta dan dinasihat untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang kerja amal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata selain NGO, pihak swasta, agensi atau jabatan kerajaan serta mana-mana kementerian juga perlu mendapatkan kebenaran daripada MKN untuk menjalankan sebarang aktiviti.

“Pihak yang mahu melakukan kerja amal perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MKN dan perlu mengikuti Tatacara Operasi Piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Ini juga termasuk jabatan kerajaan, kementerian serta pihak swasta bagi urusan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Menara City One, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan polis memberi keistimewaan kepada pihak tertentu termasuk orang kenamaan untuk tidak terikat dengan PKP, Abdul Hamid menafikan perkara berkenaan.

“Kami ada menerima beberapa laporan polis berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk memanggil individu terlibat untuk mendapatkan penjelasan mereka.

“Saya tahu tidak semua orang melanggar PKP dan saya percaya ada antaranya mendapat kelulusan (bergerak dalam tempoh PKP),” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak berkaitan supaya mematuhi arahan PKP termasuk mematuhi SOP ditetapkan MKN.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.

“Segala peraturan terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi semua pihak. Kecuali (perjalanan) bagi kes melibatkan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN pertahan tindakan tahan, dakwa individu ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan tindakan menahan dan menuduh di mahkamah individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah wajar.

Beliau berkata tindakan lebih tegas itu dibuat susulan pelaksanaan kompaun sebanyak RM1,000 dilihat kurang berkesan malah ada yang memperlekehkan perkara itu.

“Saya setuju (dengan tindakan itu) kerana ada menganggap kompaun itu sesuatu yang boleh diperlekehkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ditanya adakah polis mempunyai lokap yang cukup bagi menampung individu ingkar PKP, beliau berkata bilangan lokap sedia ada mencukupi.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan mengingkari PKP.

Ismail Sabri berkata individu yang ingkar akan terus ditahan dan dituduh di mahkamah.

Jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,090 dan keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 4,036, kata Ismail Sabri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu dikuarantin sengaja keluar hotel bakal ditahan – KPN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Individu yang baru pulang dari luar negara dan diarah menjalani kuarantin di hotel tersenarai oleh kerajaan, akan ditahan sekiranya mereka dengan sengaja bergerak bebas keluar daripada tempat kuarantin masing-masing itu.

Ketika memberi peringatan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan, dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“Kami memandang serius kejadian ini, jika terdapat individu atau kumpulan individu yang dikenakan perintah kuarantin di hotel-hotel tersenarai dengan sengaja bergerak bebas keluar dari bilik untuk merayau-rayau atau berkumpul.

“Perbuatan tidak mengendahkan keperluan jarakan sosial ini amat berbahaya, dan arahan telah dikeluarkan untuk petugas (anggota polis) menahan mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya.

Selain itu, sebanyak 45 hotel ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan terhadap individu yang baru pulang dari luar negara.

-BERNAMA