Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Polis terima data 40,000 individu dalam rangkaian penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis menerima data rangkaian penularan Covid-19 melibatkan kira-kira 40,000 individu termasuk individu dikaitkan dengan kluster ahli tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata data berkenaan diperincikan secara satu persatu pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed bagi mengesan mereka berkemungkinan terlibat jangkitan wabak itu

Beliau berkata hasil daripada data KKM itu, pihaknya mengenal pasti beberapa daerah terdapat individu dan kumpulan seharusnya perlu tampil membuat saringan pemeriksaan Covid-19.

“Kami membuat analisis daripada data-data itu dengan membantu KKM mengenal pasti sehingga lebih kurang 11,000 ahli tabligh yang menyertai majlis ijtimak di Masjid Sri Petaling, di sini, baru-baru ini.

“Daripada data ini, pasukan berkenaan memperhalusi dan menggunakan kaedah tertentu untuk mengenal pasti rangkaian kontak rapat, perjalanan dan siapa yang mungkin dijangkiti mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

“Kami kenal pasti individu itu termasuklah mendapatkan maklumat lengkap seperti alamat rumah, nombor telefon dan kad pengenalan yang diperoleh daripada pasukan itu untuk kami beri pada KKM untuk hadir membuat saringan pemeriksaan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan ahli tabligh itu disaring dan pihak polis menyeru orang ramai agar tidak mengecam dan mendiskriminasi ahli tabligh.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan berkenaan juga sedang berusaha memperoleh maklumat ahli tabligh yang berada di luar negara dan menyampaikannya kepada pihak Jabatan Imigresen atau pihak pelabuhan untuk menunggu kepulangan mereka di lapangan terbang dan pelabuhan

“Ini bertujuan untuk sahkan kumpulan ahli tabligh yang tiba dan polis akan terus ambil tindakan mengiringi mereka menaiki bas serta dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pihak penganjur ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini mendakwa sebanyak 95 peratus daripada kira-kira 11,000 peserta perhimpunan tabligh telah tampil membuat saringan kesihatan bagi COVID-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dari 28 Feb hingga 1 Mac lepas yang kini menjadi kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Bebas keluar antara negeri – KPN

KUALA LUMPUR 17 MAC: Polis menarik balik perintah larangan keluar dari satu negeri ke negeri lain, malam ini, kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata arahan itu dibuat selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu mengisi dokumen keluar di balai polis seluruh negara, lapor BH ONLINE.

“Sehubungan dengan itu, kami menarik balik larangan itu dan orang ramai boleh melakukan perjalanan dengan selamat, secara berhemah malam ini.

“Tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas mereka sehingga satu keputusan baru bakal diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara ini, esok,” katanya ketika dihubungi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Orang ramai perlu maklum perjalanan keluar antara negeri – KPN

KUALA LUMPUR 17 MAC: Orang ramai yang mahu melakukan perjalanan antara negeri (domestik) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, perlu memaklum dan mengisytiharkan perjalanan mereka kepada polis menerusi pengisian borang makluman sebelum dibenar meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata borang berkenaan disediakan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis  sebagai langkah kawalan mengurangkan pergerakan orang ramai serta penularan  Covid-19.

“Individu yang mahu meneruskan perjalanan perlu hadir untuk memaklumkan status perjalanan mereka dan menyatakan sebab kukuh meneruskan perjalanan sebelum surat kebenaran dikeluarkan PDRM.

“Mana-mana individu boleh beri tahu pihak kami atau balai terdekat dan kami akan beri mereka dokumen menjelaskan pembawa dokumen ini telah maklumkan (pihak polis dan) dia perlu buat perjalanan atas sebab demikian.

“Ini perlu dan diyakini dapat menyekat penularan jangkitan Covid-19 di mana polis bertindak mengawal pergerakan orang ramai dari negeri ke negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Abdul Hamid berkata sebanyak 156 IPD dan beratus-ratus balai lagi di seluruh negara akan dibekalkan borang berkenaan dan orang ramai boleh hadir untuk mendapatkannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan bukan Perintah Berkurung – KPN

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bukan Perintah Berkurung, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah demi untuk keselamatan negara dan orang ramai.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersabit Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang akan berkuat kuasa pada tengah malam ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya atau berita palsu yang menimbulkan keresahan dan kerisauan melampau (Perintah Kawalan Pergerakan yang menyamakannya sebagai Perintah Berkurung),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata pembelian panik tidak seharusnya berlaku kerana Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi dan ia tidak sama seperti perintah berkurung yang tidak membenarkan rakyat keluar langsung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Notis tangkap Jho Low tidak boleh didedah kepada umum – KPN

SHAH ALAM, 20 FEB: Notis merah untuk mengesan dan menahan ahli perniagaan dikehendaki Malaysia, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low sudah dikeluarkan Interpol, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum sebaliknya diedarkan dalam kalangan agensi penguat kuasa atas dasar protokol, lapor Harian Metro.

“Berhubung persoalan daripada pihak tertentu mengenai status notis merah terhadap Jho Low, sebenarnya ia sudah ada dan memang dia (Jho Low) tersenarai.

“Notis sudah dikeluarkan (Interpol) dan dia tersenarai dalam notis untuk ditangkap segara,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Penggantian Lif di Kuala Lumpur semalam.

Categories
BERITA UTAMA

KPN: Lesen senjata api diguna pemburu haram dibatal

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Lesen senjata api yang didapati diguna untuk tujuan pemburuan haram akan dibatal, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata proses penarikan lesen senjata api itu akan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan pemburuan haram berterusan.

Pada masa ini terdapat lebih 6,900 pemegang lesen senjata api.

“Kegiatan pemburuan haram itu bukan lagi satu keperluan.

“Saya bersama bahagian perlesenan senjata api akan melakukan semakan dan memantau kawasan tumpuan memburu sebelum kami tarik semula lesen secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar sempena mesyuarat operasi bersepadu khazanah di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Hamid memberi amaran kepada pemilik senjata api yang dilesenkan oleh PDRM supaya menghentikan kegiatan pemburuan haram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

29,000 kertas siasatan jenayah belum selesai sejak 2005

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Sejumlah 29,000 kertas siasatan membabitkan kes jenayah komersial belum diselesaikan sejak 2005, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata jumlah itu adalah satu angka yang menakutkan dan menggambarkan seolah-olah kes yang dilaporkan orang ramai tidak diambil tindakan oleh polis.

“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad mempengerusikan mesyuarat untuk mengkaji kes terbengkalai itu berjumlah 55,000… sebenarnya kes-kes itu dari tahun 2005… termasuk juga 7,800 lebih fail kes siasatan berhubung penemuan wang palsu.

“Sejak Jun lalu jumlah kertas (siasatan) terbengkalai ini dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali dan kini tinggal lebih kurang 29,000… lebih daripada separuh kami telah diselesaikan dan fail itu telah diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Buku Manual Siasatan Jenayah Komersil dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini semalam.
 
Abdul Hamid berkata langkah itu diharap dapat memberi keadilan kepada orang ramai yang menjadi mangsa dalam kes berkaitan jenayah komersial.

Ditanya mengenai punca berlakunya lambakan kes terbengkalai itu, beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan berlaku pertukaran yang kerap di kalangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan. 

“Selain itu, polis juga sedang meneliti jika terdapat unsur penyelewangan dan sifat cuai, malas dan mempunyai agenda lain bagi tujuan melindungi dalam kalangan pegawai penyiasat yang ditugaskan berhubung kes terbabit.

“Maklumlah ada kes yang melibatkan orang kenamaan, ahli perniagaan yang besar-besar… InsyaAllah kami akan siasat satu persatu… tidak lama lagi akan ada tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang dengan sengaja tidak ambil tindakan untuk teruskan siasatan, gantungkan fail ini supaya satu hari esok ia dianggap fail lapuk dan boleh dibuang,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hamid memberi amaran bahawa setiap fail siasatan yang dibuka tidak boleh dianggap lapuk dan bukan senang untuk dibuang begitu sahaja.

Mengenai buku yang dilancarkan itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi panduan kepada pegawai penyiasat meneruskan kes berkaitan jenayah komersial.

-BERNAMA
 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan rangkaian sistem KLIA belum ada petunjuk kukuh

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mempunyai petunjuk kukuh bagi mengaitkan insiden gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dijalankan dengan polis mengambil kira pandangan pakar dalam bidang membabitkan teknologi.

“Masih tiada lagi petunjuk drastik untuk kami memastikan sama ada berlaku sabotaj atau tidak.

“Polis masih meneliti kenyataan yang diambil sebelum ini terhadap beberapa individu yang dipanggil,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di sini, hari ini.

Setakat ini, 12 individu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung gangguan sistem di KLIA yang berlaku selama empat hari bermula 21 Ogos lalu.

Empat pegawai bahagian Teknologi Maklumat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum ini membuat laporan polis bagi menafikan pembabitan mereka dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA baru-baru ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Tiada unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis hari ini mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, sebaliknya ia adalah akibat kecuaian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati pencemaran itu ekoran kecuaian pekerja syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri untuk membersihkan sungai berkenaan.

“Kami juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

“Siasatan masih giat dijalankan dan hasil siasatan penuh akan selesai dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Khamis lalu, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di sungai berkenaan.

Abdul Hamid berkata, seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala tempoh tahanan reman seorang lagi yang tamat hari ini, akan dilanjutkan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia mengambil serius kes pencemaran di Sungai Selangor kerana mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan.

Susulan insiden pencemaran itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPN nafi mesej tular tentang penahanan Jho Low

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini menafikan mesej yang tular di media sosial mendakwa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, telah ditahan.

“Kami sedang berusaha ke arah itu tetapi tiada apa yang dimuktamadkan lagi. Mesej itu tidak betul,” katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.

Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditahan pihak berkuasa China dan akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi jaminan kepada Jho Low bahawa adalah selamat baginya untuk kembali ke Malaysia bagi menjalani proses perundangan.

Pada Khamis (30 Mei) Abdul Hamid berkata Jho Low dijangka ditahan tidak lama lagi dan polis yakin dapat membawanya pulang ke tanah air untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata polis mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan Jho Low. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hentikan hubungan dengan tauke judi – KPN

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Beliau secara sinis berkata pegawai dan anggota masih mempunyai peluang untuk menghentikan sebarang hubungan dengan sindiket haram sebelum ditahan.

Katanya pasukan tidak akan bersubahat atau melindungi mereka yang menjalankan kegiatan haram di negara ini.

“Nasihat saya, hentikan segera connection (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dan akan berusaha hapuskan gejala rasuah dalam pasukan.

“Selagi mereka (anggota polis) belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan, ia masih belum terlambat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata kegiatan judi yang berleluasa ketika ini hanya akan merosakkan tamadun.

“Saya seru tauke judi ini lakukan perniagaan yang halal kerana Malaysia banyak sumber,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kenaikan pangkat dan surat penghargaan akan diberi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah.

“Kepada orang ramai jangan sesekali menawarkan rasuah kepada polis dan agensi penguat kuasa yang lain, jika berdegil mereka akan ditangkap oleh pegawai dan anggota polis,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan beberapa anggota dalam perlakuan jenayah akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu adalah menyedihkan apabila ia turut berlaku dalam bulan Ramadan.

“Anggota yang melakukan jenayah telah ditahan serta-merta dan disiasat sebelum tindakan lanjut dikenakan kepada mereka…ini memberikan mesej jelas yang kelakuan jenayah oleh pegawai dan anggota polis tidak akan dipandang ringan,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes samun seorang ahli perniagaan pada 19 Mei. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PDRM beri jaminan keselamatan kepada Jho Low untuk pulang – KPN

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk pulang ke tanah air bagi melalui proses undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata dakwaan kononnya ahli perniagaan kontroversi yang didakwa terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan ditahan, diseksa dan dibunuh sekiranya pulang adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, jaminan perlindungan keselamatan bukan sahaja kepada Jho Low tetapi anggota keluarga serta rakan-rakannya yang didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

“Malaysia mempunyai undang-undang, balik jika tidak bersalah dan jangan guna peguam untuk keluarkan kenyataan serta membuat sebarang penafian.

“They (Jho Low and friends) can come back with the best lawyer to defend them…don’t waste our time, they cannot run forever (Mereka (Jho Low dan rakan) boleh pulang bersama peguam yang terbaik untuk pertahan mereka… jangan bazirkan masa kami, mereka tidak boleh lari selama-lamanya) ,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan yang pihaknya mengetahui keberadaan ahli perniagaan yang diburu itu namun enggan mendedahkannya kepada media.

“We know where Jho Low and his friends are hiding (Kami tahu di mana Jho Low dan rakannya bersembunyi) dan polis menggunakan semua sumber yang ada termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa luar untuk mengesan Jho Low.

“Kami juga tahu di mana Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil berada,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kes 1MDB menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan Ketua Polis Negara awal bulan ini.

“That (1MDB case) is my priority, we have to settle this 1MDB as soon as possible(Itu (kes 1MDB) adalah keutamaan saya, kita perlu selesaikan 1MDB ini dengan secepat mungking),” katanya.

Mengulas mengenai serbuan di firma juruaudit, Deloitte Malaysia semalam, Abdul Hamid berkata polis sedang mengumpul beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan penyelewengan dana 1MDB. -BERNAMA