Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran interim sehingga RM1,000 bagi kategori 2 i-Sinar – KWSP

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon kemudahan i-Sinar bagi Kategori 2 akan menerima pembayaran interim sehingga RM1,000 daripada jumlah yang dimohon mulai 26 Januari 2021.

Dalam kenyataan hari ini, dana persaraan itu menyatakan bahawa pembayaran itu bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ahli akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Ini juga bagi membantu ahli memenuhi keperluan asas sementara menunggu kelulusan proses permohonan mereka oleh pihak KWSP.

“Bagi mempercepat dan mempermudah pembayaran wang interim tersebut, KWSP hanya memerlukan ahli membuat pengisytiharan kendiri serta memuat naik dokumen sokongan di laman i-Sinar Online iaitu isinar.kwsp.gov.my.

“Proses ini diperlukan untuk melindungi simpanan ahli daripada sebarang penipuan atau aktiviti scam,” katanya.

Menurut KWSP, pembayaran interim bagi mereka yang sudah memuat naik dokumen sokongan, akan bermula dari 26 Januari 2021 manakala pembayaran untuk permohonan baharu yang masih belum memuatnaik dokumen sokongan yang relevan akan diproses dalam masa tujuh hari dari tarikh permohonan diterima.

“Setelah permohonan ahli disahkan dan diluluskan, KWSP akan meneruskan pembayaran jumlah seperti dimohon, setelah ditolak jumlah pembayaran interim tersebut.

“Sekiranya pengisytiharan kendiri didapati tidak benar atau tidak disokong oleh dokumen dimuat naik, KWSP berhak menghentikan pembayaran seterusnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Caruman wajib majikan kembali ke tarikh asal mulai tahun depan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan supaya mulai Januari ini, majikan perlu membayar caruman wajib KWSP pada 15 hari bulan setiap bulan.

Dalam satu kenyataan hari ini KWSP berkata ia selaras dengan tarikh asal pembayaran caruman yang ditetapkan oleh KWSP setiap bulan.

Sebelum ini KWSP membenarkan lanjutan tarikh bayaran caruman dari 15 hari bulan kepada 30 hari bulan setiap bulan bagi tempoh dari April hingga Disember tahun ini, dengan tujuan meringankan beban yang ditanggung majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19.

“Tarikh bayaran itu akan kembali ke tarikh asal bagi memastikan caruman pekerja dibayar tanpa kelewatan.

“Bayaran caruman boleh dibuat di portal i-Akaun (Majikan) di laman web KWSP, Perbankan Internet, atau di kaunter bank yang dilantik,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendapatan pelaburan kasar suku ketiga KWSP lebih RM17 bilion

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM17.33 bilion bagi suku tahun ketiga berakhir 30 Sept 2020 dalam suasana ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran modal dan persekitaran operasi yang dipengaruhi oleh penularan pandemik Covid-19.

Katanya, ekuiti menyumbang RM7.29 bilion atau 42 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku ketiga, manakala instrumen pendapatan tetap mencatatkan RM8.18 bilion.

Hartanah dan infrastruktur, serta instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM1.63 bilion dan RM0.23 bilion, manakala pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM16.87 bilion (selepas mengambil kira rosot nilai dan turun nilai kos atas ekuiti tersenarai).

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata tahun ini menyaksikan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan, apabila terdapat pergerakan pesat yang beralih daripada satu tahap ekstrim kepada tahap ekstrim seterusnya.

“Kedudukan kewangan KWSP sepanjang tiga suku pertama pada tahun ini dipengaruhi oleh turun naik dalam sentimen pasaran yang diburukkan lagi oleh ketidakpastian berikutan pandemik Covid-19 serta sentimen pengguna yang masih berada pada tahap yang lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Indeks ekuiti global yang dipantau secara terperinci oleh KWSP meningkat semula daripada paras terendah pada Mac, bagaimanapun masih terdapat indeks yang masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik, iaitu pada akhir tahun 2019.

KWSP berkata pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menyumbang 47 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun ini.

“Kejatuhan hasil yang meluas memberi peluang kepada KWSP untuk meningkatkan aktiviti dagangan dan mendapatkan keuntungan.

“Bagaimanapun, KWSP akan mempertimbangkan faktor hasil pelaburan semula yang lebih rendah, serta berwaspada dalam memastikan prestasi jangka panjang portfolio pelaburan tidak terjejas,” katanya.

Pada akhir September 2020, jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM941.77 bilion, terdiri daripada 68 peratus yang diperuntukkan dalam pasaran domestik dan 32 peratus yang diperuntukkan dalam pasaran luar negara, yang juga menyumbang sebanyak 45 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun ketiga.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 49 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 39 peratus.

Instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur masing-masing merangkumi 7 peratus dan 5 peratus daripada pelaburan.

Portfolio ini mencerminkan strategi KWSP untuk mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Bagi prestasi KWSP untuk bulan berbaki bagi tahun ini, Alizakri berkata walaupun pelaburan KWSP kekal berpandukan SAA, keadaan masih bergantung kepada tindak balas yang pantas dan efektif terhadap pandemik Covid-19, yang juga harus menangani kesan besar terhadap ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan, pekerjaan dan kehidupan.

“Ketika ekonomi dunia sedang berusaha untuk pulih daripada sekatan pergerakan, jangkitan Covid-19 semakin meningkat semula, dan ini akan menjadi halangan besar kepada pemulihan ekonomi global kepada tahap sebelum pandemik.

“Kami menjangka kadar faedah akan kekal rendah untuk jangka masa yang lebih lama kerana bank-bank pusat terus melonggarkan dasar monetari untuk menyokong ekonomi masing-masing,” katanya.

Sepanjang tahun yang amat mencabar ini, KWSP tetap teguh berpegang pada komitmennya untuk membantu ahli KWSP mencapai masa depan yang lebih baik serta melindungi simpanan persaraan mereka sepanjang tempoh yang tidak stabil ini.

“Ini akan dicapai dengan sentiasa memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan dilakukan dengan cara yang sihat dan mampan, dengan turun nilai yang berhemah dan langkah-langkah rosot nilai diamalkan secara proaktif pada setiap masa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, didorong prestasi Top Glove

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Bursa Malaysia bertentangan dengan trend serantau apabila dibuka tinggi pagi ini didorong oleh sokongan belian bagi kaunter berkaitan indeks diterajui Top Glove.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.22 mata kepada 1,627.11 selepas dibuka 2.55 mata lebih tinggi kepada 1,625.4.

Top Glove meningkatkan indeks komposit sebanyak 1.272 mata selepas menokok lapan sen kepada RM6.68 dengan 1.99 juta saham bertukar tangan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam menjual 7.15 juta lagi saham dalam Top Glove, mengurangkan kepentingannya dalam pembuat sarung tangan perubatan terbesar dunia itu kepada 5.63 peratus.

Dana persaraan itu menjual sahamnya dalam tranche tunggal pada 2 Disember.

Sementara itu, kebanyakan bursa tempatan dalam aliran penurunan akibat kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19.

Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.23 peratus kepada 26,506.85, Indeks Nikkei Jepun susut 0.25 peratus kepada 26,482.2, bagaimanapun Indeks Straits Times Singapura menambah 0.09 peratus kepada 2,828.18.

Di peringkat tempatan, keseluruhan pasaran di Bursa Malaysia adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 391 kepada 181, manakala 353 kaunter tidak berubah, 1,198 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 709.18 juta unit bernilai RM294.61 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan sokongan belian akan wujud ke atas syarikat pembinaan, bahan pembinaan serta pengangkutan dan logistik hari ini berikutan pelonggaran langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami yakin penggiat pasaran mungkin mencari peluang dalam sektor penerbangan, pelancongan dan permainan.

“Sementara itu, saham pembinaan dan bahan binaan mungkin kembali menarik berikutan peniaga menjangka beberapa kontrak akan diberikan pada masa depan susulan kelulusan Belanjawan 2021,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.28, Public Bank naik 10 sen kepada RM18.70, Tenaga dan Hartalega menambah empat sen masing-masing kepada RM10.94 dan RM6.68, namun, Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM7.54.

Dalam kalangan saham aktif, Yong Tai naik 1.5 sen kepada 40 sen, AT Systematization dan P.A Resources menambah setengah sen masing-masing kepada 19.5 sen dan 18.5 sen, manakala Nexgram dan Kanger turun setengah sen masing-masing kepada 5.5 sen dan 17.7 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 44.08 mata kepada 11,806.41, Indeks FBMT 100 meningkat 42.54 mata kepada 11,557.55, dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 50.85 mata kepada 13,546.43.

Indeks FBM 70 melonjak 105.6 mata kepada 15,436.56 dan Indeks FBM ACE meningkat 63.66 mata kepada 10,710.82.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.39 mata kepada 175.13, Indeks Perladangan naik 40.8 mata kepada 7,397.52 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 31.67 mata kepada 14,660.06.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Tiada perubahan kriteria semasa i-Sinar

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar buat masa ini.

Dalam satu kenyataan hari ini sebagai merujuk kepada pelbagai laporan media mengenai permohonan untuk memansuhkan semua kriteria dan syarat yang ditetapkan di bawah kemudahan i-Sinar, KWSP berkata ia sentiasa mengambil berat terhadap setiap permintaan dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

“KWSP mengalu-alukan sebarang maklum balas mengenai i-Sinar, namun buat masa ini, tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KWSP, setiap proses atau perubahan dasar atau penambahbaikan akan menjalani proses pertimbangan sewajarnya dan dibentangkan kepada Ahli Lembaga KWSP untuk kelulusan.

Sehubungan itu, ia menjelaskan, setiap perkara yang melibatkan isu dasar akan dibawa kepada perhatian dan untuk pandangan Kementerian Kewangan.

Sebahagian besar daripada lapan juta ahli yang layak memohon di bawah kategori satu, dijangka akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.

Permohonan dalam talian akan bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelaburan KWSP masih mampu bertahan depani cabaran

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbukti masih terus bertahan sejauh ini walaupun terdapat cabaran unik yang dihadapi pasaran dalam keadaan kelembapan ekonomi ketika ini.

KWSP berkata, ini berpandukan kepada alokasi aset strategiknya dan pihaknya akan terus mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran domestik dan global dengan mempertimbangkan keperluan aliran tunai yang mencukupi setiap waktu, termasuk waktu-waktu melampau dan tidak diduga seperti wabak.

“Pada asasnya, KWSP adalah pelabur jangka panjang dan setiap keputusan pelaburan yang dibuat akan terus mempertimbangkan tanggungjawabnya untuk mengekalkan dana anggota walaupun dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti wabak ini.

“Pada masa ini, dan berpandukan struktur i-Sinar sedia ada, semua tindakan KWSP akan memastikan tiada impak kepada pasaran domestik,” katanya dalam maklum balas kepada media yang dikeluarkan semalam.

KWSP juga berkata, pihaknya memahami keperluan ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka untuk bertahan dalam waktu sukar ini, namun berharap pihak pencarum dapat membuat perancangan mengenai jumlah yang mereka perlukan.

“Ini adalah untuk memenuhi keperluan hari ini sambil meminimumkan kesan persaraan mereka di masa hadapan.

“KWSP mengalu-alukan ahli untuk berjumpa pegawai khidmat nasihat persaraan untuk mendapatkan sebarang nasihat kewangan,” katanya.

Mengenai kaedah pengisian semula KWSP selepas pengeluaran i-Sinar dilakukan, dana pencen itu berkata, semua caruman pada masa hadapan akan disalurkan ke Akaun 1 sehingga jumlah yang dikeluarkan diisi semula.

“Setelah jumlah yang dikeluarkan diisi semula, caruman akan kembali ke asal iaitu 70:30 di Akaun 1 dan Akaun 2,” katanya.

KWSP juga akan memastikan tindakan diambil terhadap majikan yang tidak bekerjasama memastikan kelancaran permohonan i-Sinar ahli.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat, hanya kriteria – KWSP

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah hanya kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP dalam satu maklum balas yang dikeluarkan hari ini menjelaskan bahawa ini adalah untuk membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.

“Proses pengesahan diperlukan untuk mengelakkan penipuan dan pengeluaran i-Sinar secara tidak sah oleh pihak ketiga.

“Ahli yang memenuhi kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik. Permohonan ahli yang dibuat dalam talian hanya memerlukan pengesahan amaun maksimum sahaja dan tidak susah atau sukar,” kata dana pencen itu.

Ia juga berkata oleh kerana setiap situasi ahli adalah unik, Kategori 2 memberi ruang kepada KWSP mempertimbangkan situasi ahli berdasarkan dokumen sokongan yang boleh dipohon secara dalam talian.

Mengenai mengapa KWSP tidak memberi kelulusan automatik i-Sinar kepada mereka yang telah memohon i-Lestari, ia berkata situasi ketika KWSP melancarkan i-Lestari dan i-Sinar sangat berbeza, negara berada dalam situasi yang berlainan pada ketika itu dan pada masa sekarang.

“Bagaimanapun, KWSP memahami bahawa situasi ekonomi berbeza bagi ahli bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri dan i-Sinar tersedia untuk membantu ahli-ahli tersebut,” katanya.

Bagi individu yang gusar tidak dapat memohon kerana tidak mengalami pengurangan gaji sebanyak 30 peratus, KWSP berkata masih ada ruang di bawah Kategori 2 untuk mempertimbangkan permohonan ahli yang terkesan.

“Sekiranya ahli mengalami pengurangan pendapatan atau gaji dan mempunyai dokumen sokongan sebagai bukti, ahli digalakkan untuk memohon pada 11 Januari 2021. KWSP akan mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Ini untuk memastikan pintu tidak tertutup dan memberi peluang untuk seramai ahli yang mungkin untuk memohon i-Sinar, yang dianggarkan sehingga 8 juta pemohon,” katanya.

Bagi pengeluaran berperingkat untuk enam bulan yang dinyatakan, KWSP menjelaskan bahawa ia adalah untuk memastikan ahli dibantu untuk tempoh selama yang mungkin dan memahami bahawa bulan pertama adalah penting untuk ahli membayar tanggungan dan perbelanjaan awal tahun seperti persekolahan anak dan lain-lain.

“Oleh itu, pendekatan secara berperingkat adalah berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu data semasa tanggungan ahli KWSP, perlunya memanjangkan tempoh bantuan kerana ketidaktentuan tempoh penularan pandemik Covid-19; dan mengimbangi aliran tunai dan struktur pelaburan sedia ada KWSP,” katanya.

Bagi permohonan Kategori 1, KWSP telah mempercepatkan proses permohonan melalui kelulusan automatik menggunakan data dalaman di mana dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada pertengahan Januari 2021.

“Untuk mereka dalam Kategori 2, KWSP menganggarkan masa pemprosesan antara 2 hingga 3 minggu daripada tarikh permohonan, untuk membolehkan pengesahan dokumen dan pertimbangan kes demi kes. Dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada akhir Februari,” katanya.

KWSP juga menyeru ahli yang memohon untuk memastikan i-Akaun mereka aktif, nombor telefon dikemas kini bagi menerima nombor TAC dan nombor akaun bank aktif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

i-Sinar: Ramai tarik nafas lega tetapi ada masih keliru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Suri rumah, pemandu bas sekolah, kru filem dan pekerja hotel kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dinyatakan sebagai antara kategori yang bakal mendapat kelulusan secara automatik program i-Sinar, bermula pertengahan bulan ini.

Ini susulan kategori itu turut dipaparkan laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas institusi tersebut membuat pengumuman berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar, Rabu lepas.

Seorang suri rumah Kamilia Mohd, 28, berkata kelulusan secara automatik itu memudahkannya kerana tidak perlu berhadapan prosedur  melecehkan membuat pengeluaran caruman KWSP.

“Suami bekerja sendiri dan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lepas pendapatan memang agak terjejas kerana pada waktu itu dia tidak boleh keluar untuk berniaga dan sekarang pun pendapatannya tidak serancak sebelum ini.

“Jadi apabila ada program i-Sinar dan sebagai suri rumah, walaupun saya tidak lagi mencarum hampir 10 tahun, agak memudahkan kerana tidak perlu melalui prosedur melecehkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemandu van sekolah Noria Rashid, 45, pula menyifatkan pengeluaran wang diluluskan secara automatik kepada pemandu van dan bas sekolah yang menjadi ahli KWSP sepertinya, secara tidak langsung memberi sedikit harapan kepada kumpulan pekerjaan sangat terjejas pendapatan.

Noria berkata buat masa ini dia terpaksa menjual aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan alternatif susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Okt lepas.

“Saya tahu program i-Sinar, tetapi tidak tahu kami sebagai pemandu van dan bas sekolah boleh dapat secara automatik, jika benar insya-Allah kami akan memohon.

“Adanya sedikit duit (KWSP) dapatlah kami bernafas buat sementara sebelum sekolah dapat dibuka dan perkhidmatan kami beroperasi semula,” katanya.

Ayuni Zamani, 36, seorang penulis skrip bebas turut senada dan menyifatkan program itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang perlu melunaskan beberapa komitmen tertangguh sebelum ini.

Katanya walaupun jumlah caruman KWSP yang boleh dikeluarkan tidak besar, sedikit- sebanyak dapat membantu ketika keadaan industri perfileman dan drama tempatan terjejas oleh Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat KWSP di ibu negara mendapati kebanyakan pencarum  ditemui memilih berjumpa pegawai KWSP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kemudahan pengeluaran caruman daripada Akaun 1.

Mereka berpandangan bertemu pegawai KWSP bukan sahaja membolehkan mereka mendapat maklumat terperinci tetapi juga mengelakkan kekeliruan berhubung kemudahan berkenaan memandangkan ada dakwaan proses pengeluaran merumitkan.

Zahari Shamsudin, 36, seorang peniaga yang juga pencarum kategori 1 i-Sinar, meluahkan rasa lega dengan penjelasan pegawai KWSP berhubung proses dan maklumat lebih terperinci pengeluaran carumannya.

“Baca di media sosial banyak sangat maklumat yang kadang-kadang mengelirukan, jadi saya datang ke pejabat KWSP berbincang dengan pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya.

Tidak terkecuali penghantar makanan Amirul Amir Ismail, 30, yang hadir di pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada dia layak memohon pengeluaran hingga RM10,000 program itu.

Bekas petugas sektor perhotelan itu berkata kemudahan pengeluaran caruman berkenaan membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja Julai lepas.

“Bila berjumpa dengan petugas KWSP, selain beri maklumat, mereka juga beri saranan pengurusan wang yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Mohd Nasrul Naim, 39, pula berpendapat KWSP seharusnya menggunakan pendekatan mudah dengan menyenaraikan semua kategori layak serta diberikan kelulusan automatik kerana rata-rata pencarum masih keliru dengan pelaksanaan program yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Bila tiada penerangan, pencarum juga keliru dan akhirnya terpaksa ke pejabat KWSP untuk dapatkan kepastian, ini menyulitkan keadaan bukan sahaja pencarum tetapi juga kepada pihak KWSP,’’ kata pemilik kedai makan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 November lepas mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak dengan jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP pertimbang setiap pemohonan i-Sinar di bawah kategori kedua

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mempertimbangkan setiap pemohonan kemudahan i-Sinar di bawah kategori kedua, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Beliau berkata ahli-ahli yang terjejas dari segi kewangan tidak kira pendapatan kecil atau besar tetapi tidak layak membuat permohonan untuk i-Sinar di bawah kategori pertama, boleh memohon untuk kemudahan itu bawah kategori kedua.

“KWSP sedar situasi individu yang terjejas pendapatannya adalah unik bagi setiap kes dan tidak ada satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Untuk kategori kedua, kita menyarankan kepada ahli kita untuk siapkan dokumen yang boleh menunjukkan impak atau kesan terjejas pendapatan mereka dan hantar kepada KWSP pada 11 Januari 2021,” katanya pada program ‘i-Sinar dialog Bersama KWSP’ di Astro Awani, malam ini.

Tunku Alizakri menegaskan bahawa KWSP akan membuat pertimbangan setiap permohonan bagi memastikan pintu pertolongan tidak tertutup kepada sesiapa.

Pada 2 Disember, KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Bagi kategori 2 pula, KWSP berkata ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020 dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWSP perinci syarat keluar Akaun 1 i-Sinar

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

“Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

“Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020,” katanya.

Katanya pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula pada pertengahan Januari 2021.

Bagi kategori 2, KWSP berkata ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

“Bagi melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa,” katanya.

Menurut KWSP, jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.

“Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021,” katanya.

KWSP berkata untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Pembayaran pula akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas diberi kelulusan.

Bagi jumlah kelayakan i-Sinar pula, KWSP menjelaskan ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini.

“Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000,” katanya.

KWSP turut menggalakkan ahli mendaftar i-Akaun bagi memastikan kelancaran proses permohonan dan mengemaskini nombor telefon bimbit mereka untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kiosk atau kaunter KWSP serta memastikan akaun bank mereka aktif.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua cawangan KWSP operasi semula mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Semua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali beroperasi seperti biasa, bermula esok (2 Disember) dengan semua perkhidmatan kaunter dibuka mulai jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang pada hari bekerja.

KWSP berkata ia terus mengamalkan penjarakan fizikal dan langkah tatacara operasi piawai(SOP) yang wajib di semua cawangan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Ahli-ahli yang ingin berurusan di cawangan KWSP hendaklah membuat janji temu terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Majikan boleh daftar permohonan pekerja kekal caruman 11 peratus

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Majikan boleh mendaftar permohonon pekerja mereka untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus bermula 14 Disember 2020, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP berkata pendaftaran permohonan itu hanya boleh dilakukan melalui portal i-Akaun (Majikan).

“Ini adalah selaras dengan langkah KWSP untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi serta mengurangkan interaksi secara bersemuka untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Dalam tempoh ini, kehadiran majikan di cawangan KWSP adalah terbatas manakala aktiviti lawatan pegawai KWSP ke premis majikan akan dihadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP berkata majikan hanya boleh hadir ke cawangannya untuk tujuan pendaftaran majikan dengan membuat janji temu terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).

Menurutnya, pembayaran caruman bulanan KWSP serta caj lewat bayar dan dividen boleh dibuat melalui saluran i-Akaun (Majikan), perbankan internet dan kaunter ejen bank yang dilantik.

Bagi urusan lain, termasuk khidmat nasihat berkaitan majikan dan pengurusan akaun majikan, para majikan boleh berhubung terus dengan pegawai khidmat nasihat majikan yang ditugaskan kepada syarikat masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, majikan boleh menghubungi pusat pengurusan perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

– BERNAMA