Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Kadar caruman pekerja sembilan peratus tahun depan

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan bahawa kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tahun 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata kadar caruman berkanun baharu itu akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama, katanya.

Kadar baharu ini akan berkuat kuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

“Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember, 2020.

“Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember, 2020. Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan,” kata KWSP.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon program i-Sinar bermula tengah Disember 2020 – KWSP

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon program i-Sinar bermula pertengahan Disember ini.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran pertama akan bermula sebulan selepas permohonan diluluskan.

“KWSP akan mengumumkan perincian i-Sinar pada awal minggu hadapan, berikutan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi ucapan penggulungan Belanjawan 2021 hari ini.

“Perincian ini merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan program i-Sinar diperluaskan dan jumlah pengeluaran maksimum meningkat antara RM10,000 bagi mereka yang mempunyai RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1.

Sebelum ini diumumkan, ahli boleh membuat pengeluaran sehingga RM60,000 sekiranya mempunyai baki simpanan lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Keluarkan Akaun 1 KWSP diperluas, maksimum RM10,000

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tidak kira sama ada pencarum hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan tahun ini, mereka layak untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut merupakan pekerja di sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak.

“Selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata pencarum hanya perlu hadir ke cawangan KWSP dengan membawa bukti kehilangan pekerjaan, notis atau cuti tanpa gaji, potongan gaji serta elaun atau kerja lebih masa, mahupun pengurangan pendapatan sekiranya bekerja sendiri atau boleh memohon secara dalam talian.

Tengku Zafrul berkata kerajaan terus peka dan mendengar semua rungutan ahli dan cetusan pendapat daripada kalangan Ahli Parlimen mengenai syarat yang terlalu ketat.

Setiap langkah melibatkan pengeluaran KWSP perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana amanah yang dipikul adalah untuk semua ahli, baik mereka yang mahu mengeluarkan dan juga bagi ahli yang tidak mahu, katanya.

Beliau berkata akhirnya, adalah tanggungjawab kerajaan untuk mencari titik keseimbangan di antara keperluan pengeluaran hari ini dengan keselamatan persaraan untuk hari esok.

“Majoriti caruman KWSP akan dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan jangka panjang dan bukan dalam bentuk tunai. Oleh sebab itu, setiap pengeluaran luar jangka seperti ini memerlukan perincian dan pertimbangan yang rapi.

“Segala isu berkaitan Akaun 1 KWSP berbalik kepada mencari satu titik keseimbangan di antara pengeluaran untuk kelangsungan hidup hari ini dan menjamin kesejahteraan persaraan masa hadapan,” katanya.

Program i-Sinar sebelum ini hanya membenarkan pengeluaran oleh kira-kira dua juta pencarum dengan had maksimum pengeluaran RM9,000, bergantung kepada baki caruman di dalam Akaun 1.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Ahli tidak perlu bayar semula pendahuluan i-Sinar

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial bahawa “ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP”.

Sebaliknya menurut KWSP, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 itu akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa depan.

“Penggantian semula ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1. Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

“Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa depan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar,” jelas KWSP dalam kenyataan di sini.

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula”.

“Penggunaan ayat-ayat tidak betul seperti ‘pembayaran balik’, ‘bayar semula’, ‘bayar kemudian’ dan yang seumpama menyebabkan kekeliruan kepada ramai pihak,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, KWSP mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan melibatkan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

i-Sinar: Pencarum boleh keluar sehingga RM60,000 dari Akaun 1

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka kemudahan i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata KWSP telah memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Bagi ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.

“Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses 10 peratus. Bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000,” katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.

Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias. Foto BERNAMA

Beliau berkata amaun pendahuluan akan dikreditkan secara berkala sehingga enam tempoh enam bulan dengan pendahuluan bulan pertama sehingga RM4,000 bagi yang memiliki simpanan Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke bawah dan sehingga RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan lebih RM90,000 dalam Akaun 1.

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.

“Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya.

Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020 dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

“Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.

Kemudahan itu adalah bertujuan menyediakan dana tambahan kepada ahli yang terkesan untuk memastikan kelangsungan hidup semasa krisis dan simpanan persaraanmasa depan, kata Alizakri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP umum perincian boleh keluar Akaun 1 pada 18 Nov

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian bagi kemudahan akses ke Akaun 1 ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar, pada 18 November ini.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata i-Sinar, yang kini sedang dimuktamadkan perinciannya, diwujudkan hasil konsultasi yang mendalam bersama-sama dengan pihak berkepentingan agar ahli yang terkesan dapat mengharungi cabaran semasa dan pada masa sama memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“KWSP yakin bahawa amaun yang boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April 2020), dapat membantu ahli yang terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek,” katanya.

i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.

Permohonan i-Sinar boleh dibuat bermula Disember 2020 dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke akaun bank pemohon bermula Januari 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kaji semula pengeluaran Akaun 1 KWSP, bantu rakyat terkesan

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan digesa mengkaji semula pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam jumlah yang munasabah.

Ketua pembangkang berkata jumlah RM500 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan individu yang kehilangan kerja susulan penularan Covid-19.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun langkah itu akan menjejaskan simpanan, namun ia terpaksa dilakukan bagi meringankan beban golongan terjejas.

“Perdana menteri sebut (pengeluaran KWSP) dibuat kerana ikut desakan rakyat tetapi beliau tidak faham rakyat pilih itu kerana terpaksa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Meskipun saya kurang setuju kerana itu simpanan masa depan tetapi sebab terdesak, saya cadangkan jumlahnya ditambah dan diberi kelonggaran atas kegagalan kerajaan membantu rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Sementara itu, Anwar mencadangkan bank mengurangkan kadar faedah pinjaman bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40).

Ahli parlimen Port Dickson berkata langkah itu jika dilaksana tidak merugikan kerana agensi berkenaan masih boleh mengaut keuntungan tahunan RM28 bilion.

“Kerajaan harus beri pertimbangan supaya moratorium diperluaskan dan beri sedikit tekanan kepada bank untuk potong faedah pinjaman bagi mengurangkan beban peminjam.

“Bank cuma menanggung sedikit kos dan kurangkan keuntungan. Sama-samalah kita susah dalam hal ini,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perincian boleh keluar Akaun 1 KWSP bersasar diumum 11 Nov

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian lebih lanjut mengenai kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar pada 11 November.

Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias berkata permohonan penambahan kemudahan pengeluaran bersasar itu akan bermula pada Januari 2021.

“Kemudahan pengeluaran tambahan ini adalah sangat khusus dan disasarkan kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan wang tunai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kemunculan gelombang baharu kes Covid-19 mengakibatkan proses pemulihan ekonomi yang tidak menentu sehingga menyebabkan sebilangan ahli kembali berdepan dengan masalah kewangan.

Katanya pihaknya bimbang bantuan yang sedia ada mungkin tidak akan dapat bertahan lama terutamanya bagi mereka yang memerlukan lebih banyak aliran tunai untuk menyara diri dan keluarga.

Sebelum ini, KWSP memperkenalkan kemudahan Pengeluaran i-Lestari untuk meredakan sedikit masalah aliran tunai ahli dan membenarkan mereka mengurangkan kadar caruman syer pekerja secara sukarela daripada 11 peratus kepada tujuh peratus untuk tempoh April 2020 hingga Disember 2020.

“Selain itu, kami juga menghulurkan bantuan kepada majikan yang terjejas dengan memperkenalkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang membolehkan majikan yang layak memohon untuk menangguh dan menstruktur semula caruman syer majikan KWSP,” katanya.

Tunku Alizakri berkata kebenaran untuk ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah berlaku atau dilaksanakan sebelum ini.

Katanya simpanan dalam Akaun 1 (70 peratus daripada simpanan) telah ditetapkan untuk persaraan ahli manakala simpanan dalam Akaun 2 (30 peratus daripada simpanan) pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.

“Oleh yang demikian, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Namun, kami telah menemui jalan tengah untuk membolehkan ahli mengakses simpanan mereka tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa depan,” katanya.

KWSP juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk mendapatkan produk insurans dan takaful yang merangkumi insurans nyawa/keluarga dan penyakit kritikal daripada syarikat insurans dan takaful yang diluluskan.

Beliau berkata produk ini akan disediakan melalui i-Akaun, yang akan disesuaikan untuk ahli KWSP dengan harga premium yang berpatutan dan dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan.

Katanya KWSP juga menyambut baik keputusan kerajaan berkenaan penurunan kadar caruman minimum syer pekerja kepada sembilan peratus, mulai Januari 2021 hingga Disember 2021, yang mengambil kira tekanan ekonomi dan juga pengurangan pendapatan ahli.

“KWSP ingin menekankan bahawa walaupun langkah-langkah ini adalah respon kepada kebimbangan masa kini ahli dan meliputi keperluan jangka pendek bagi menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya, langkah-langkah untuk menangani isu-isu berkaitan sistem perlindungan sosial negara perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Tunku Alizakri berkata memandangkan KWSP mewakili hampir 50 peratus populasi rakyat Malaysia dengan 14.6 juta ahli, KWSP akan mengambil pendekatan proaktif dalam memberikan pandangan dan membantu kerajaan mewujudkan penyelesaian secara holistik untuk mencapai kesejahteraan sosial bagi ahli KWSP khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

“Kami akan terus memperjuangkan isu perlindungan sosial bersama-sama dengan agensi-agensi dan badan-badan yang lain melalui MySPC (Majlis Perlindungan Sosial Malaysia) dan akan berusaha untuk meningkatkan sistem perlindungan sosial untuk masa depan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya KWSP juga akan meningkatkan program jangkauan untuk mengupaya dan memperkasakan ahli dengan pengetahuan kewangan agar mereka bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa depan di samping membantu mereka dalam meningkatkan kemahiran diri.

Beliau turut menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP untuk membantu merancang kewangan mereka dengan lebih berkesan dan mendapatkan nasihat berkenaan penyelesaian yang sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caruman KWSP sembilan peratus mulai Januari 2021

SHAH ALAM, 6 NOV: Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus mulai Januari tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dalam tempoh 12 bulan.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

Kadar caruman berkanun syer pekerja beberapa kali diturunkan sebelum ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentang pada 5 Mac mengumumkan kadar tersebut diturunkan daripada 11 kepada tujuh peratus berkuat kuasa April.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu hilang kerja boleh keluar simpanan Akaun 1 KWSP

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi membantu individu yang hilang pekerjaan dan meringankan beban kewangan 600,000 ahli terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai ialah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran akaun satu melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

KWSP memperkenalkan i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan yang memanfaatkan 4.7 juta individu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP gesa ahli manfaatkan khidmat nasihat persaraan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa ahlinya untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraannya (RAS) untuk membantu merancang kewangan mereka, yang boleh mengambil kira semua bentuk bantuan yang ada dan membantu mereka melalui tempoh sukar ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata mengakses simpanan mereka dalam Akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya cara untuk ahli mendapatkan tunai bagi menghadapi masa sukar.

Beliau berkata simpanan persaraan adalah insurans ahli untuk kesejahteraan masa depan mereka, dan membenarkan pengeluaran ini adalah sama dengan menjejaskan perlindungan tersebut.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kewangan secara langsung melalui PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA dan KITA PRIHATIN berjumlah RM55 bilion untuk B40 dan M40, serta kumpulan sasaran lain.

“Terdapat juga bantuan lain, seperti membenarkan akses kepada Akaun 2 KWSP melalui i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion telah dikeluarkan kepada lebih 4.7 juta ahli sejak April tahun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pencarum akan berdepan masalah besar pada masa akan datang jika kerajaan membenarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dikeluarkan.

Muhyiddin berkata beliau menyedari cadangan bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP itu berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat Covid-19.

RAS merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang KWSP untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan membantu ahli mencapai persaraan yang mampan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP buka semula cawangan di Selangor, KL dan Nilai mulai 2 Nov

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangannya di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan Nilai bermula Isnin, 2 November 2020, dari 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja.

Bagaimanapun, cawangan KWSP Kajang masih ditutup buat sementara waktu, kata KWSP dalam satu kenyataan semalam.

“Ahli-ahli boleh melayari Janji Temu Online (JTO) bermula hari ini untuk membuat janji temu yang baharu bagi perkhidmatan tertentu yang disediakan apabila cawangan dibuka kelak.

“Walaupun jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan sedang meningkat, keputusan untuk menyambung perkhidmatan tertentu di cawangan yang dinyatakan adalah untuk membantu ahli yang memerlukan akses kepada simpanan mereka,” kata KWSP.

Dalam usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my/janjitemu.

Sementara itu, janji temu untuk perkhidmatan tertentu di cawangan yang beroperasi di Selangor (tidak termasuk KWSP Kajang), Kuala Lumpur dan Labuan, dan Nilai adalah hanya bagi pengeluaran umur 50/ 55/ 60 tahun dan pengesahan cap ibu jari bagi e-Pengeluaran.

Pengunjung perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis KWSP.

“KWSP sedang mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri-negeri ini dan di seluruh negara secara amnya.

“Sebarang kesulitan yang timbul daripada pengurangan perkhidmatan ini adalah dikesali, namun kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di cawangan KWSP setiap hari daripada pelbagai lokasi perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Bagi maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

-BERNAMA