Categories
AGENDA SUKANKINI

Individu langgar SOP sukan Liga-M akan diasing – menteri

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Mana-mana individu terlibat dengan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang didapati melanggar protokol gelembung sukan akan diisolasi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata kesemua pemain dan pegawai terlibat dalam saingan Liga-M yang bakal membuka tirai pada 5 Mac ini, perlu mematuhi protokol gelembung sukan dan tatacara operasi piawai (SOP) ketat termasuk “camp-based quarantine” dan “home-based quarantine” yang ditetapkan.

“Maknanya kalau mereka mahu masuk melalui gelembung ini, mereka perlu berada dalam protokol ini, kalau mereka langgar protokol gelembung itu, maka mereka akan diasingkan, seperti dilakukan di EPL (Liga Perdana Inggeris), Bundesliga Jerman dan La Liga. Jika diisolasi, maka mereka perlu melalui kesemua prosedur seperti ujian calitan dan kuarantin selama tiga hari sebelum memasuki gelembung itu kembali.

“Pada waktu ini perbincangan juga dirujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), mereka juga telah diberi pandangan supaya model yang kita buat, bukan hanya model selamat tapi praktikal,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, di sini semalam.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kelab masih terus mengadakan perbincangan dalam mencari kaedah yang paling praktikal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas, mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan dan SOP ketat bermula Isnin ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M terima keputusan latihan singkat, SOP ketat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Rata-rata pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima baik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang hanya memberikan mereka tempoh latihan tidak sampai tiga minggu sebelum liga bagi musim ini dilangsungkan pada 5 Mac.

Pasukan juga memahami sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas sesi taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Datuk Ab Ghani Hassan, dengan tempoh persiapan pramusim bermula Isnin ini.

Menurut CEO Kedah Darul Aman (KDA) FC Khamal Idris Ali, keputusan itu diterima baik selepas mendengar kekangan yang dihadapi MFL dalam memastikan semua aksi Liga-M dapat dihabiskan pada musim ini, selain tarikh kalendar perlawanan antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi skuad kebangsaan.

“Melihat beberapa faktor tertentu seperti pasukan kebangsaan juga perlukan ruang untuk membuat persiapan, kami perlu juga memahami atas kepentingan negara serta mengikut suara majoriti lain yang turut bersetuju.

“Kebenaran kerajaan untuk kami jalani latihan dan adakan perlawanan pun cukup menggembirakan. Dalam situasi semasa, pasukan memang tiada pilihan melainkan terpaksa kreatif lakukan persediaan,” katanya menerusi kenyataan daripada MFL.

Sementara itu, CEO Kelantan FC Norizam Tukiman turut bersyukur Liga-M musim ini tidak ditangguhkan lagi atau dibatalkan.

“Mungkin kalau kita tengok dari segi tempoh persiapan agak suntuk sedikit, tetapi yang penting kita sudah jelas bahawa sukan bola sepak boleh berlangsung juga,” katanya.

Pengurus Besar Negeri Sembilan FC Firdaus Bhari berkata jurulatih kecergasan pasukan itu sudah bersedia dengan perancangan untuk memastikan pemain berada di tahap terbaik sebelum sepak mula.

“Melalui nasihat serta pemantauan jurulatih kecergasan dan doktor, pemain mampu berada di tahap kecergasan terbaik semasa latihan,” jelasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga-M: FIFA lulus lanjutkan tempoh daftar pemain akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima ‘masa tambahan’ dalam mempersiapkan pasukan menghadapi musim 2021 apabila tempoh pendaftaran pertama pemain dilanjutkan sehingga 19 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata lanjutan itu diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, selepas menerima permohonan rasmi badan pengelola Liga-M itu yang dibuat melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Katanya, keputusan melanjutkan tempoh pendaftaran itu disebabkan beberapa kekangan dalam tempoh Covid-19 dihadapi pasukan terutama melibatkan pendaftaran pemain import.

“Ini merupakan perkembangan amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga-M kerana mereka mempunyai masa seminggu lagi untuk memastikan pemain benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran musim ini,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Ab Ghani berharap pasukan menggunakan tempoh lanjutan itu sebaik mungkin memandangkan selepas ini tiada lagi tempoh lanjutan boleh diberikan FIFA.

MFL sebelum ini memutuskan tempoh pendaftaran pertama Liga-M akan bermula pada 21 Jan sehingga 12 Feb.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perkembangan itu memberikan suntikan semangat buat pasukan yang bakal memulakan latihan berpasukan pada Isnin ini susulan kebenaran diberikan kerajaan.

“Maka semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai terlibat mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga-M,” katanya.

Kempen saingan Liga-M 2021 dijadual bermula 5 Mac depan dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Longgar sektor sukan diharap manfaatkan industri bola sepak

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diharap membuahkan hasil terbaik kepada semua pihak termasuk industri bola sepak.

Pemerhati bola sepak Mohd Sadek Mustafa berpendapat kelonggaran menjalani sesi latihan berpasukan terbuka boleh diberi kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang sepak mula musim 2021 yang dijadual bermula 5 Mac ini.

Beliau optimis semua pasukan akan memberikan kerjasama mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta pendekatan bakal dikenakan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Memang pasukan-pasukan sepatutnya sudah memulakan latihan bersama dari sekarang. Sekurang-kurangnya dapat dibenarkan berlatih untuk dua sesi seperti SOP dikenakan pada musim lepas.

“Jadi diharapkan keputusan positif akan dicapai kerana saya percaya pihak kerajaan juga semestinya akan memikirkan langkah terbaik untuk kebaikan semua pihak dalam tempoh kita berdepan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Mohd Sadek yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan semua pasukan sedang berlumba dengan masa dalam mempersiapkan pasukan dan memastikan persediaan pada tahap terbaik sebelum saingan bermula.

Beliau berkata dengan masa terhad, pasukan boleh melakukan pengubahsuaian daripada aspek latihan bersesuaian supaya barisan pemain dapat mencapai keserasian di dalam padang dengan segera.

“Jadi kerjasama pasukan dan juga teknikal pasukan serta barisan kejurulatihan amat penting ketika ini untuk mereka menyediakan pelan sepatutnya sebaik sahaja keputusan dibuat berhubung usaha yang telah dibentangkan oleh KBS,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan KBS membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP pada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun jelas Reezal Merican, KBS dan MKN sedang meneliti dan memperinci beberapa perkara berkaitan SOP serta pendekatan yang terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat termasuk cadangan serta SOP melibatkan aktiviti sukan ‘outdoor’ dan gimnasium.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sathianathan harap Liga-M 2021 berlangsung, laksana SOP ketat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Di sebalik ketidaktentuan dan ancaman pandemik Covid-19, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan berharap saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 tidak berdepan nasib sama seperti musim lepas.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui bukan sahaja barisan pemain dan pegawai pasukan akan terkesan, malah perjalanan liga yang terganggu turut menjejaskan semua pihak terbabit sekali gus berkemungkinan besar ‘membunuh’ keseluruhan industri bola sepak tempatan.

“Saya fikir sekiranya kita menunggu sehingga Covid-19 reda, ramai pemain industri bola sepak akan gulung tikar. Jadi kita mesti berfikir di luar kotak, bola sepak bukan sukan dimainkan suka-suka, bola sepak adalah sebuah industri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sathianathan, 62, berpendapat dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan lebih komprehensif saingan Liga-M tidak mustahil berjalan dalam keadaan terkawal selain mampu membendung penularan wabak itu dalam kalangan pemain serta pegawai pasukan.

Menurut beliau, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau kerajaan boleh mengguna pakai pendekatan kebanyakan negara di Eropah yang membenarkan saingan liga berjalan dengan pematuhan SOP ketat.

“Kita tidak boleh batalkan saingan liga, kita mesti menganggap bola sepak sebagai industri dan kemukakan SOP terbaik bagi memastikan perjalanan liga boleh diteruskan. Kita juga boleh melihat dan mengaplikasikan cara liga-liga di Eropah menguruskan perjalanan liga dalam tempoh mencabar ini.

“Dengan SOP itu, kita tunjukkan kepada kerajaan bahawa kita mampu mengambil tanggungjawab ini dengan cekap seterusnya setiap pasukan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata saingan Liga-M sudah pasti menjadi elemen hiburan buat peminat bola sepak tempatan seterusnya mampu melepaskan lelah seharian dan mengatasi tekanan hidup yang mungkin dihadapi kesan daripada Covid-19.

Namun, beliau beranggapan sekiranya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, sepak mula saingan Liga-M 2021 yang dijadual pada 28 Februari perlu diteliti semula memandangkan pasukan bakal menghadapi kesuntukan masa mempersiapkan pasukan.

“Jika minggu ini kerajaan membenarkan sesi latihan berpasukan diadakan, mungkin pada 28 Februari kita tidak menghadapi masalah untuk memulakan liga tetapi jika PKP dilanjutkan dan pasukan masih tidak dibenarkan berlatih, ia mustahil untuk bermula pada tarikh itu,” katanya.

Beliau berkata persiapan paling ideal memerlukan sekurang-kurangnya tujuh minggu bagi mengurangkan risiko kecederaan meskipun kini pemain giat menjalani latihan secara dalam talian.

Impak Covid-19 menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula pada Mac terpaksa ditangguh hingga penghujung Ogos manakala beberapa pertandingan utama Liga-M antaranya Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.

Namun, MFL pada Jumaat lepas mengesahkan saingan Liga-M 2021 tidak akan dibatalkan dengan badan pentadbir Liga-M itu kini sedang membincangkan serta mengkaji mekanisme pelaksanaan saingan itu dalam PKP.

MFL turut dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan musim 2021 pada minggu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga-M diiteruskan tanpa penonton 26 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada 26 Ogos kekal berlangsung tanpa kehadiran penonton, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Keputusan ini telah diambil setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak penganjur perlu memastikan semua garis panduan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Belia dan Sukan akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran semula Liga-M ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19 di dalam negara ketika ini.

Liga-M 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan COVID-19 akan bermula pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Premier manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor beraksi di Stadium UiTM untuk Liga-M – Dr Johan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pasukan Selangor akan menjadikan Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai gelanggangnya bagi saingan kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan disambung 26 Ogos ini.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata pendekatan itu diambil kerana Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa kertas cadangan untuk proses baik pulih Stadium Shah Alam.

“FAS membuat keputusan bermain di tempat lain sambil beri ruang Stadium Shah Alam ditambah baik. Malah, kita juga cuba elak ketika Liga-M berlangsung tiba-tiba proses penambahbaikan perlu dijalankan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu juga selari ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu Liga-M dijalankan tanpa penonton.

“Pada awalnya FAS berhasrat untuk habiskan kesemua baki perlawanan musim 2020 di Stadium Shah Alam kerana kita telah menjual pas bermusim kepada penyokong. Justeru (dengan keputusan MKN dan MFL) kita memilih berpindah lebih awal kerana komitmen menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus buat masa ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Johan berkata FAS juga sedang mempertimbangkan Stadium MBPJ sebagai gelanggang sementara The Red Giants untuk aksi tahun depan.

“Saya faham perasaan penyokong yang mahu pasukan kegemaran beraksi di gelanggang sendiri tetapi proses tambah baik ini perlukan sumber dan masa terperinci. Diharap penyokong boleh bagi masa untuk FAS mengkaji, memahami dan mencari dana membina stadium sendiri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: 16 pasukan Liga-M dilulus jalani latihan fasa pertama

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Enam belas pasukan Liga Malaysia (Liga-M), masing-masing lapan pasukan Liga Super dan Liga Premier, telah mendapat kelulusan daripada Liga Bola sepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan sesi latihan fasa pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pasukan-pasukan berkenaan mendapat lampu hijau selepas melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan MFL selaku pentadbir Liga-M.

Dokumen berkenaan adalah laporan keputusan ujian swab, venue latihan berdaftar yang sudah melalui proses nyahkuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan, serta pelantikan pegawai penyelaras bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di padang terbuka.

“Latihan fasa pertama bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum kita melanjutkan proses kepada fasa kedua. Saya turut melihat setiap pasukan telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak.

“Saya berharap kesemua pasukan yang telah memberikan kerjasama penuh ini dapat memastikan perubahan fasa sesi latihan ini kepada fasa kedua dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lapan pasukan Liga Super yang diluluskan permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah, manakala lapan pasukan Liga Premier adalah Negeri Sembilan, Selangor II, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Kuching FA, Perak II dan Kuala Lumpur.

Mengenai kedudukan pasukan Liga Super, PJ City FC, Ab Ghani memaklumkan permohonan pasukan berkenaan masih belum diluluskan kerana mereka masih belum menentukan venue latihan tertutup, walaupun berjaya melengkapkan beberapa dokumen lain seperti laporan keputusan ujian swab, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta nama pegawai penyelaras.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata tiga pasukan Liga Super iaitu Pahang, PDRM dan Sabah, serta empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC, masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan fasa pertama kerana masih menunggu keputusan ujian swab.

“Saya percaya ia akan selesai dalam sedikit masa lagi. Kita berharap supaya semua pasukan bersedia lebih awal jika kita mendapat kelulusan untuk memulakan liga lebih awal iaitu pada Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata sekiranya semua selesai mengikut jadual, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada semua pasukan malahan turut membantu persiapan skuad kebangsaan mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Walaupun saingan Liga-M mungkin diawalkan dari September kepada Ogos, Ab Ghani menegaskan bahawa saingan Liga Super dan Liga Premier akan diteruskan mengikut perancangan asal iaitu setiap pasukan akan beraksi dalam baki tujuh perlawanan, manakala format Piala Malaysia juga tidak berubah.

MFL sebelum ini mengubah format Liga-M 2020 dengan merancang meneruskan saingan Liga Super dan Liga Premier bermula awal September hingga pertengahan Oktober ini, sementara saingan Piala Malaysia bermula pada pertengahan Oktober hingga awal November manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan susulan kekangan masa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga bola sepak mungkin kembali lebih awal

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Terdapat kemungkinan aktiviti profesional bola sepak termasuk Liga Malaysia (Liga-M) kembali lebih awal dari dijangkakan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Buat masa ini FAM sedang menyediakan dua kertas kerja melibatkan pendekatan latihan berdasarkan kuarantin untuk pasukan kebangsaan dan sesi latihan untuk kelab dalam Liga-M untuk dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu hadapan.

Dengan perkembangan terkini Covid-19 di dalam negara, Stuart tidak menolak kemungkinan kelab bola sepak boleh kembali berlatih seawal Julai sebelum liga bermula pada Ogos sekiranya angka kes positif Covid-19 terus menurun dalam masa terdekat.

“Ya jika anda melihat perangkaan kes, besar kemungkinan (liga disambung balik awal) tetapi kami akan tetap bersabar. Bagaimanapun, sekiranya banyak sektor mula dibuka, angka (kes) mula menurun dan kami boleh melihat bola sepak dimainkan kembali tidak lama lagi.

Bagaimanapun, rancangan kami adalah liga kembali berlatih dalam Ogos dan bermain dalam September. Jadi, tarikh akhirnya begitu tetapi kalau lebih cepat lebih baik untuk semua orang, katanya kepada Bernama, hari ini.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (LFM) menggantung semua aktiviti bola sepak mereka sejak 16 Mac lepas berikutan pandemik Covid-19 selain daripada mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam Mesyuarat Khas Kementerian dalam Pelaksanaan PKP bulan lepas, permohonan MFL untuk menyambung semula pertandingan pada Ogos dan sesi latihan pasukan dalam Julai, tidak diluluskan.

Beberapa negara antaranya Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mencatatkan jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi dari Malaysia sudah mula melonggarkan peraturan mengenai liga bola sepak profesional mereka.

Liga Korea Selatan, Liga-K adalah pertandingan liga bola sepak pertama disambung kembali diikuti Liga-V, Vietnam dan Bundesliga, Jerman bulan lepas sementara La Liga, Sepanyol dijadual disambung kembali pada 11 Jun ini sementara Liga Premier Inggeris dan Serie A Itali, masing-masing akan disambung kembali pada 17 dan 20 Jun ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Bengkel pengurusan stadium bagi kelancaran Liga M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 FEB: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganjurkan bengkel berkaitan aspek pengurusan stadium dan padang bagi kelancaran Liga Malaysia 2018.

Bengkel Pendidikan Pelesenan Kelab FAM 2018 – ‘Stadium Bola Sepak Era Moden’ dihadiri wakil stadium dan pegawai pelesenan kelab daripada pasukan Liga Super serta Perdana yang diadakan Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

FAM memaklumkan, ia dikendalikan wakil Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC) iaitu Ketua Sokongan Pertandingan, Brian See; Pengurus Pertandingan Kelab, Lorenzo Fofi dan Pengurus Keselamatan Stadium, Shahin Rahmani serta Ketua Unit Keselamatan FAM, Isman Bakar, yang memberi taklimat kepada peserta bengkel.

“Bengkel ini merangkumi semua aspek berkaitan stadium bola sepak era moden seperti pengurusan padang, peraturan stadium untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan AFC, sistem lampu limpah, penyelenggaraan stadium juga tahap keselamatan bangunan stadium.

“Ia adalah salah satu daripada lima siri bengkel dijalankan tahun ini sebagai sebahagian daripada program pendidikan anjuran Unit Pelesenan Kelab FAM untuk kriteria ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab 2018,” katanya dalam kenyataan.

Categories
SUKANKINI

Patuh peraturan, elak potongan mata

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengingatkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini melengkapkan dokumen pendaftaran dan mengatasi masalah pembayaran gaji pemain bagi mengelak pemotongan mata.

FMLLP berkata, peringatan itu diberi berulang kali dan pihaknya berharap tindakan terhadap empat pasukan, pada musim lalu tidak berlaku tahun ini.

“Harapan kita untuk tidak mengulangi hukuman sebegini tetapi pasukan harus memberi kerjasama melengkapkan dokumen serta menjelaskan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika ada tunggakan sebelum 31 Mac ini.

“Masih ada pasukan yang tidak melakukannya dan ada yang langsung tidak menghantar dokumen itu walaupun notis serta peringatan dikeluarkan secara bertulis juga melalui telefon,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang baru dan termaktub dalam undang-undang bola sepak sejak sekian lama, selain dibuat sebagai batas pasukan daripada melakukan kesalahan.

Justeru, FMLLP berharap pihaknya tidak dipersalahkan lagi jika tindakan diambil ke atas pasukan yang gagal berbuat demikian.

“Adakah kita ingin menyokong usaha pihak yang menghalang kemajuan industri bola sepak tempatan secara keseluruhan atas perbuatan memberi imej negatif, mengendahkan peraturan, salah urus kewangan serta menguruskan pasukan tanpa perancangan dan integriti?” soalnya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila momentum pemain turut terjejas ekoran hukuman dikenakan kepada pasukan dan menimbulkan rasa marah penyokong kepada FMLLP, seolah hukuman hanya perlu ditanggung pengurusan.

Musim lalu, Kelantan dan T-Team yang beraksi dalam Liga Super serta Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Liga Perdana) dikenakan hukuman pemotongan mata kerana tidak melunaskan tunggakan gaji pemain, juga gagal melengkapkan dokumen pendaftaran, pada tarikh akhir Disember 2016.

Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam: Belum ada keputusan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 DIS: Kerajaan Negeri belum memutuskan status penggunaan Stadium Shah Alam bagi tahun depan, namun ia masih kekal sebagai venue rasmi PKNS FC seperti Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, berdasarkan keputusan dibuat Kerajaan Negeri sebelumnya, maka ia kekal sebagai gelanggang PKNS FC selaku tuan rumah.

“Pada musim lalu, Stadium Shah Alam digunakan PKNS FC dan Kerajaan Negeri belum mengubah sebarang keputusan.

“Liga-M akan bermula pada Februari tahun depan, masih ada masa untuk perbincangan,” katanya sebagai reaksi kepada permintaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya membenarkan Selangor menggunakan Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Super 2018.

Amirudin berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan berkenaan perkara itu dan perlu dibawa ke pengetahuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta pengurusan Kerajaan Negeri untuk perbincangan lanjut.

Bagaimanapun, beliau membayangkan situasi sukar kerana FAS sebelum ini tidak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Prinsip kita, kita akan memberikan kepada mereka yang bekerjasama baik dengan kita,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataannya berharap Kerajaan Negeri membenarkan Selangor menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi bagi Liga-M 2018.

Untuk saingan liga musim ini, Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi venue rasmi The Red Giants.