Categories
AGENSI SELANGOR

Kemalangan lori minyak sawit: Luas bertindak segera elak henti tugas LRA

SHAH ALAM,6 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera susulan berlaku kemalangan melibatkan lori membawa minyak sawit di KM276.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pagi tadi.

Agensi berkata insiden itu mungkin menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi dihenti tugas susulan tumpahan minyak dikesan memasuki longkang lebuh raya.

“Maklumat awal diperolehi menunjukkan bahan cemar akan memasuki Sungai Jerangkang seterusnya ke Sungai Batang Labu.

“Jarak pencemaran ke LRA Sungai Labu dalam anggaran 10.7 kilometer (KM) manakala ke LRA Salak Tinggi sejauh 15.68 KM,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB lawat loji, jangka pencemaran bau pulih petang ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran bau di loji rawatan air (LRA) dijangka pulih petang ini jika keadaan semakin baik dan bekalan air ke kawasan terjejas akan disalur secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam satu kenyataan menyebut LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 merekodkan bacaan satu TON (nilai bau ambang), manakala LRA Rantau Panjang mencatat sifar TON.

TON ialah unit ukuran kadar pencairan yang diperlukan untuk menghilangkan bau di dalam air.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha memulihkan pencemaran di empat LRA sedang giat dilaksanakan.

“Mengikut trend bacaan semasa, pencemaran dijangka pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran bau yang yang dikesan pada awal pagi, 19 Oktober 2020. Foto Facebook Amirudin Shari

“Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau melawat muka sauk Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air berikutan pencemaran yang dikesan awal pagi ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 pusat khidmat setempat digerakkan oleh Air Selangor untuk pengguna yang terjejas.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENSI SELANGOR

145 kawasan terima bekalan air sepenuhnya petang esok

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menjangka kumpulan pertama meliputi 145 kawasan terjejas akan menerima bekalan air sepenuhnya jam 6 petang esok.

Ketua komunikasi korporatnya berkata agihan mulai tengah malam ini dibuat selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih lulus ujian kualiti dan pematuhan piawai Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bekalan air bersih dari Kolam Imbangan LRA Sungai Semenyih disalurkan ke sistem agihan bekalan air pada jam 7.30 malam.

“Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pengguna di kawasan kumpulan pertama akan mula mendapat bekalan air seawal jam 12 tengah malam ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum
digunakan selain meminta mereka menggunakannya secara berhemat.

Katanya, bantuan bekalan air alternatif di pili awam dan pusat khidmat setempat dikekalkan untuk kemudahan pengguna yang masih terjejas.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Kelmarin, dua LRA terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Semenyih yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 274 kawasan iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor: Bekalan di kawasan terjejas pulih berperingkat mulai esok

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bekalan air di semua 274 kawasan terjeas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga 6 petang Jumaat, selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA) telah memulakan operasinya pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata pada masa ini proses penstabilan rawatan air sedang dijalankan, sebelum mula diagihkan kepada pengguna terawal mulai pukul 12 tengah malam ini.

“Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan yang akan menerima bekalan air sepenuhnya, menjelang pukul 6 petang esok.

“Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan pada pukul 6 petang Khamis ini, manakala kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada pukul 6 petang, Jumaat ini,” katanya pada sidang media status Loji Rawatan Air Semenyih dan Gangguan Bekalan Air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya di Ibu Pejabat Air Selangor di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Suhaimi berkata, setakat terkini sampel air yang diambil dari LRA Bukit Tampoi masih berada pada tahap 3 TON dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.

“Pengguna dinasihat untuk menggunakan air secara berhemat, bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada 4.30 petang semalam.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran untuk merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan jadual pemulihan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Operator air negeri lain hantar lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 6 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menerima bantuan lapan lori tangki air daripada operator negeri lain untuk diagihkan ke kawasan terjejas.

Operator tersebut ialah Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Melaka Berhad.

“Bantuan bekalan air alternatif juga boleh didapati di pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) selain merujuk semua medium komunikasi untuk perkembangan terkini,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Sebanyak 92 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan termasuk penyediaan 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, 13 pili awam dan sembilan PKS.

Sementara itu, Air Selangor memaklumkan tahap pencemaran di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kekal sifar TON (Nombor Bau Nilai Ambang) sehingga jam 1 petang.

Kadar pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula meningkat kepada 3 TON berbanding 1 TON pada jam 11.30 pagi tadi.

“Usaha untuk menstabilkan sistem LRA Sungai Semenyih sedang giat dijalankan sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Air Selangor memberi jaminan air yang dirawat akan melalui ujian kualiti termasuk ujian bau dan mengikut piawaian dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna,” kata agensi itu lagi.

Status bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Penutupan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kelmarin menjejaskan bekalan air di 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Tasik Idaman dipam ke Sungai Semenyih hilangkan bau bangkai

SEPANG, 5 OKT: Lembaga Urus Air Selangor bersama Jabatan Pengairan dan Saliran mengepam air dari Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih bagi meneutralkan pencemaran bau di situ.

EXCO alam sekitar berkata dua pam berkapasiti 27 juta liter sehari (JLH) diaktifkan di tasik berkenaan selain pam berkapitisi 300 JLH di empangan Semenyih bagi tujuan sama.

“Air dipam akan mengalir ke kawasan tercemar supaya pencemaran bau hilang. Sekarang kita lihat ada kadar penurunan (pencemaran),” kata Hee Loy Sian pada sidang media di Tasik Idaman dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata cadangan mengepam air dari Putrajaya terpaksa ditangguh berikutan pembinaan sistem paip mengambil masa hingga setahun.

Semalam, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat loji rawatan air beroperasi semula

SHAH ALAM, 5 SEPT: Empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor kelmarin, beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kesemua LRA mengambil masa selama 10 jam untuk pencucian dan pengepaman bagi mengisi kolam imbangan sehingga paras empat meter, yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi ini.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki utama yang kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Kelmarin, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada 9 pagi susulan pencemaran berpunca daripada kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Penduduk mendapatkan bekalan air dari tangki Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor di Seksyen 4, Shah Alam pada 4 September 2020 berikutan gangguan bekalan air. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Elina berkata Air Selangor juga terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sg Tinggi (800 JLH), Horas 600 (150 JLH) dan operasi pengepaman kolam air (582 JLH).

Jelasnya, langkah tersebut bagi membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum 2,850 JLH.

“Air Selangor juga mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk diagihkan kepada pengguna terjejas.

“Sehingga kini, Air Selangor menggerakkan 114 lori tangki, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter,” kata Elina lagi.

Maklumat terkini gangguan bekalan air tidak berjadual boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan pautan www.airselangor.com

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran di muka sauk empat loji rawatan air semakin pulih

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pencemaran di muka sauk empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas semalam susulan pencemaran Sungai Selangor berkurangan dari tiga kepada satu TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran berada pada tahap sifar TON.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 pagi ini kerana pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

“(Justeru), bantuan bekalan air akan terus diagih melalui lori tangki dan pengguna disaran mendapatkan bekalan melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat yang beroperasi 24 jam.”

Semalam, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada 9 pagi.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor mendapati pencemaran berpunca daripada kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tujuh wilayah di Selangor, KL alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 3 SEPT: Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata langkah itu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bermula 10 pagi ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Tambahnya, senarai penuh kawasan terjejas akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang fasa kedua dijangka bermula 2026

KUALA LANGAT, 29 OGOS: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang fasa kedua dijangka bermula pada 2026 selepas LRA Rasau di Puchong siap sepenuhnya pada 2025.

Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pembinaan fasa kedua dijangka mampu menghasilkan 400 juta liter air sehari (JLH) kepada pengguna dan industri di sini.

“(Pembinaan) LRA kedua adalah LRA Rasau di Puchong yang kita jangka mula pada penghujung tahun hadapan atau awal 2022 dengan konsep sama seperti LRA di sini membabitkan sumber air dari Sungai Klang.

“Selepas siap sepenuhnya sekitar 2024 atau 2025 barulah kita akan bina fasa dua LRA Labohan Dagang,” kata Suhaimi Kamaralzaman selepas melawat loji Labohan Dagang di Banting, semalam.

Beliau menjelaskan setakat ini tumpuan diberi kepada operasi loji Labohan Dagang fasa satu yang mampu menghasilkan 200 JLH dalam tempoh dua tahun akan datang selepas semua peralatan siap dipasang sepenuhnya.

Katanya, ketika ini loji berkenaan mampu menghasilkan 50 JLH bagi menampung hampir 30,000 akaun pengguna.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang mampu hasil 200 juta liter air menjelang 2022

KUALA LANGAT, 28 OGOS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 1 mampu menghasilkan 200 juta liter air sehari (JLH) menjelang 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata setakat ini operasi LRA berkenaan hanya menghasilkan 50 JLH disebabkan kerja pemasangan peralatan belum selesai sepenuhnya.

“Dengan kapasiti sedia ada ia mampu menampung penggunaan hampir 30,000 akaun pengguna di Kuala Langat. Kita masih menyediakan paip-paip utama dan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai pada 2022.

“Untuk makluman, LRA Labohan Dagang ini menggunakan teknologi baharu iaitu mengekstrak air dari hilir sungai (down stream).

“Sebelum ini teknologi pada tahun 80-an adalah ekstrak air dari bahagian atas (up stream) dekat dengan empangan yang mana air masih lagi bersih dan dirawat seperti di LRA Semenyih 1,” katanya selepas lawatan ke LRA itu di Banting.

Beliau menjelaskan teknologi ekstrak sumber air dari hilir sungai turut diguna pakai di LRA Labu dan Semenyih 2.

Suhaimi memaklumkan LRA Labohan Dagang merupakan loji pertama di Kuala Langat yang mana pengguna sebelum ini bergantung kepada LRA Sungai Selangor dan Bukit Tampoi.

Loji berkenaan mula dibina pada 2017 dan mula beroperasi pada 18 Disember 2019 dengan kos bernilai RM370 juta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Op Sumber Air berjaya kawal pencemaran, henti tugas LPA

SHAH ALAM, 30 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun.

Agensi itu memaklumkan lima kod kuning dan lima kod merah diaktifkan ekoran insiden pencemaran loji pembersihan air (LPA) selain pemantauan setiap hari selama sebulan bermula 1 Jun di kawasan sensitif seperti di Sungai Selangor, Sungai Langat serta empangan.

“Luas mengeluarkan 84 notis pemberitahuan kesalahan dan lima kompaun pemberitahuan kesalahan bagi premis yang gagal mematuhi Enakmen Luas 1999.

“Manakala Jabatan Alam Sekitar Selangor melalui maklumat diterima mengeluarkan tujuh kompaun dan tujuh notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang Op Sumber Air ini,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun. Foto: Luas

Luas memaklumkan lima insiden tumpahan minyak berjaya ditangani segera sekaligus mengelakkan henti tugas LPA utama di Sungai Selangor, Labohan Dagang, Bukit Tampoi, Sungai Labu dan Salak Tinggi.

Katanya, tindakan bersepadu bersama agensi lain mengurangkan tempoh masa henti tugas LPA terlibat dengan insiden pencemaran kod merah.

“Op Sumber Air dilaksanakan tidak terhad hanya ketika musim perayaan atau waktu tertentu.

“Pemantauan 24 jam tanpa henti dilaksanakan Luas bersama Air Selangor bagi memastikan kelangsungan sumber dan bekalan air terawat,” katanya.